Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volkswagen Amarok 2023 – teaser terbaru tunjuk lampu hadapan, lima pilihan enjin diesel dan petrol

    Volkswagen Amarok 2023 – teaser terbaru tunjuk lampu hadapan, lima pilihan enjin diesel dan petrol

    Sebelum ini Volkswagen telah mengeluarkan beberapa teaser untuk trak pikap terbaru mereka, Amarok 2023. Ini termasuk lukisan digital pada awal tahun lalu, dan kemudiannya diikuti oleh kereta RnD yang penuh dengan pelekat samaran. Sekarang yang terbaru, mereka menyiarkan pula lukisan digital bahagian lampu hadapan.

    Lampu LED matriks ini didapati mempunyai DRL berbentuk C yang mengelilingi bahagian utamanya. Ia juga mempunyai bahagian lampu tinggi aktif yang boleh turun secara sendiri apabila ada kenderaan datang dari hadapan atau lampu terang, sementara lampu pada bucu pula membantu menerangkan jalan apabila mengambil selekoh.

    Di sebalik badannya, Amarok baru ini menggunakan asas yang sama dengan Ford Ranger 2022 dan dimensinya juga sama, iaitu panjang 5,350 mm, (100 mm lebih panjang berbanding model sebelumnya), serta jarak roda 3,270 mm (175 mm lebih panjang).

    Volkswagen Amarok 2023 – teaser terbaru tunjuk lampu hadapan, lima pilihan enjin diesel dan petrol

    Volkswagen juga sebelum ini pernah memberitahu bahawa Amarok akan ditawarkan dalam satu versi enjin petrol dan empat enjin diesel, dengan kapasiti antara 2.0L hingga 3.0L dan tetapan empat silinder hingga enam silinder. Ini semua berkemungkinan besar adalah enjin dari Ford, dengan kuasa antara 170 PS/405 Nm hingga 250 PS/600 Nm.

    Di dalam, Amarok baru ini akan menampilkan panel instrumen digital serta sistem infotainmen skrin sesentuh, papan pemuka dibalut kulit, pilihan tempat duduk hadapan boleh laras 10 arah, serta kelengkapan lain seperti Ranger 2022.

    Ia juga diberitahu akan mendapat beberapa mod pemanduan termasuk untuk keadaan jalan offroad, serta lebih daripada 30 sistem bantuan pemandu dengan 10 daripadanya adalah baru bagi Amarok. Melihat kepada Ranger, antara sistem yang ada adalah seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go, Lane Centring Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert serta Reverse AEB.

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jun 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jun 2022 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluar jadual bulan Jun 2022 bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.

    Klik untuk besarkan jadual

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kudat, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi.

    Syarikat pemeriksaan kenderaan ini berkata, pelanggan boleh berkunjung terus ke lokasi yang berada dalam senarai mengikut tarikh yang telah diumumkan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain. Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • Honda CRF450R, CRF450RX 2023 terima peningkatan – ditawarkan dengan versi ulang tahun ke-50

    Honda CRF450R, CRF450RX 2023 terima peningkatan – ditawarkan dengan versi ulang tahun ke-50

    Melalui maklum balas daripada pelumba profesional dalam pelbagai siri, Honda telah memberikan peningkatan kepada model motocross mereka, CRF450R 2023. Peningkatan sama turut dilakukan pada model CRF450RX, dan kemudiannya penawaran dijadikan lengkap dengan ketibaan versi sambutan ulang tahun ke-50 Honda dalam dunia perlumbaan motocross.

    Untuk model tahun 2023 ini, CRF450R menampilkan lubang intake lebih kecil, salur udara lebih panjang, throttle body 44 mm (lebih kecil), pemasaan cam sama seperti jentera factory (memberikan 10% lebih kuasa pada rpm rendah) serta ekzos yang tahan lasak, tetapi tidak memberi kesan kepada berat.

    Bersama dengan peningkatan pada enjin empat strok satu silinder 449.7 cc ini, Honda turut memperbaiki bahagian suspensi CRF450R dengan menaikkan kadar spring serta serapan untuk monoshock belakang, manakala fork hadapan ditala semula untuk menghasilkan reaksi serta penyerapan yang lebih baik.

    Honda CRF450R, CRF450RX 2023 terima peningkatan – ditawarkan dengan versi ulang tahun ke-50

    Sudah tentu, bagi model baru, grafiknya ditukar, dan kali ini turut menampilkan logo ikonik HRC yang telah direka semula. Menjadikannya lebih menarik tahun ini, Honda juga memperkenalkan satu versi istimewa CRF450R 50th Anniversary sempena sambutan ulang tahun ke-50 penyertaan Honda dalam perlumbaan motocross.

    Selain grafik istimewa, model ulang tahun ke-50 ini turut menggunakan tempat duduk warna biru, panel nombor lumba putih, rim aluminium serta pemegang warna emas serta yoke warna kelabu metalik.

    Turut menerima peningkatan yang sama seperti CRF450R adalah CRF450RX, iaitu satu model yang ditawarkan untuk perjalanan lebih jauh, dan didatangkan dengan tangki bahan api plastik lapan liter, rim belakang 18 inci, tetapan ECU untuk pengapian dan suntikan khas, tongkat tepi aluminium serta pelindung tangan.

     
     
  • Ora Good Cat 2022 kini dalam Flux — EV dengan 500 km akan dijual sekitar harga RM165k di Malaysia?

    Ora Good Cat 2022 kini dalam Flux — EV dengan 500 km akan dijual sekitar harga RM165k di Malaysia?

    Ora Good Cat dari Great Wall Motors dijangka mula dijual di Malaysia bulan depan, walaupun masih belum ada petunjuk berapa harga yang akan dikenakan. Barisan penawaran dan variannya juga akan sama dengan yang di Thailand, dengan tiga pilihan (Tech, Pro dan Ultra) bakal ditawarkan oleh pengedar tempatan di sini, Go Auto.

    Syarikat itu berharap akan dapat mengekalkan harga di sini pada kadar yang hampir dengan apa yang dikenakan di Thailand, dengan varian asas Tech di sana dijual pada harga 828,500 baht (RM106,246), varian Pro 898,500 baht (RM115,208) dan varian paling lengkap Ultra pada harga 1.0385 million baht (RM133,148).

    Sementara menunggu harga rasmi di sini, Good Cat kini telah disenaraikan dalam perkhidmatan langganan kenderaan Flux, dengan satu-satunya varian Ultra dibuka untuk tempahan berjumlah RM3,500 sebulan. Berdasarkan angka ini dan sedikit kira-kira, kita boleh mengagak berapa harga Good Cat ini ketika dilancarkan nanti.

    Ora Good Cat 2022 kini dalam Flux — EV dengan 500 km akan dijual sekitar harga RM165k di Malaysia?

    Dengan menganggap harga Flux ini adalah harga atas jalan, membandingkan yuran bulanan Good Cat Ultra dengan EV lain seperti Hyundai Ioniq 5 Lite (RM4,200/sebulan di Flux, RM199,888 jualan) dan Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8 (RM5,200/sebulan di Flux, RM262,460 jualan) akan meletakkan Good Cat di sekitar harga RM165k hingga RM175k.

    Sekiranya Go Auto berhasil mengekalkan harga Good Cat sehampir mungkin dengan yang di Thailand, model berkenaan mungkin menjadi EV paling murah di Malaysia. Di sana, Good Cat paling asas adalah 20% lebih murah berbanding varian Ultra, jadi varian Tech mungkin akan dijual serendah RM132k!

    Ora Good Cat 2022 kini dalam Flux — EV dengan 500 km akan dijual sekitar harga RM165k di Malaysia?

    Ketika ini, Kona Electric e-Plus merupakan EV paling murah boleh dibeli, pada harga RM149,888. Jadi, varian paling asas Good Cat perlu berada pada harga lebih rendah.

    Varian Tech dan Pro memberikan jarak perjalanan 400 km (standard NEDC) dengan bateri 47.8-kWh lithium-iron phosphate yang membekalkan kuasa kepada motor elektrik 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan 210 Nm tork. Ultra menggunakan bateri yang lebih besar, 63.1-kWh yang memberikan jarak 500 km dengan motor elektrik yang sama.

    Berapa harga yang boleh kita jangkakan berdasarkan semua maklumat yang ada ini?

     
     
  • DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    DeLorean Motor Company (DMC), jenama automotif yang begitu diingati kerana menghasilkan DMC-12 yang menjadi watak utama dalam siri filem Back To The Future sebagai mesin merantas masa, diketahui telah berkubur selepas pengasasnya, John DeLorean ditangkap kerana skandal dadah pada 1982.

    Namun sebenarnya jenama ini kini sudah mempunyai pemilik baharu, dan ini adalah model pertama dari mereka setelah dihidupkan semula – Delorean Alpha5! Unit sebenar Delorean Alpha5 ini akan didedahkan sepenuhnya kepada orang awam pada acara Pebble Beach Concours d’ Elegance Ogos nanti, tetapi sebelum itu beberapa imej dan perincian awalannya telah pun disiarkan dalam laman web rasmi mereka.

    Model generasi baharu ini merupakan model elektrik penuh (EV), tetapi masih menerima sentuhan dari firma rekaan Itali iaitu Italdesign sama seperti DMC-12. Walau bagaimanapun, hanya beberapa perincian seperti pintu gullwing dan warna dua-tona serta beberapa ciri lain dilihat dibawa dari DMC-12, manakala rekaan selebihnya pada Alpha5 ini adalah lebih tersendiri.

    DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    Alpha5 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,995 mm, lebar 2,044 mm, dan tinggi 1,370 mm – jauh lebih besar dri DMC-12 yang hanya bersaiz panjang 4,267 mm, lebar 1,988 mm dan tinggi 1,140 mm. Tiada lagi bentuk badan bersegi di mana rekaan Alpha5 ini adalah seiiring dengan rupa kereta-kereta sport EV moden, menampilkan pekali seretan serendah 0.23.

    Muka Alpha5 ini menampilkan lampu hadapan yang nipis dan tirus bersama jalur LED pada bahagian ‘kening’. Bonet hadapan direka dengan lekuk yang kelihatan seperti mengalirkan udara yang diambil dari bampar hadapan. Juga terdapat jalur LED berbentuk-V pada bampar sempena angka lima roman.

    Berbanding DMC-12 yang dihasilkan sebagai model enjin tengah dengan hanya dua tempat duduk, unit rangkaian kuasa EV pada Alpha5 ini membolehkan ia turut menampilkan tempat duduk untuk penumpang belakang. Ini menyebabkan pintu gullwing pada kereta ini dihasilkan sangat besar untuk akses ke kabin belakang, serta tiada tiang-B antara ruang hadanpan dan belakang.

    DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    Cermin belakang DeLorean Alpha5 ini direka seakan air terjun bagi memperingati penutup enjin pada DMC-12. Tiada lagi lampu belakang dengan rekaan piksel, sebaliknya lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang Alpha5 ini menampilkan grafik berjalur dengan tulisan ‘DeLorean’ di tengah.

    Perkataan ‘DeLorean’ yang seakan dilarik pada sebelah kiri bampar seperti DMC-12 masih diterapkan pada Alpha5 ini, dan ia menerima liang udara menegak pada kedua-dua sisi bampar. Ia turut diberikan diffuser udara pada bahagian bawah bersama kemasan dan juga lampu kabus berbentuk-V seperti pada bahagian hadapan. Rekaan luaran Alpha5 ini dilengkapkan dengan rim pelbagai jejari, juga inspirasi dari DMC-12.

    Bahagian kabin DeLorean generasi baharu ini dihasilkan dengan rekaan minimalis. Ia menampilkan terowong tengah yang tinggi, bersambung dengan skrin yang diletakkan secara menegak dan kelihatan seperti terapung pada bahagian tengah papan pemuka. Manakala pemandu pula menerima skrin untuk paparan instrumen digital.

    DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    Ia turut diberikan roda stereng rata di bawah, suis-suis fizikal yang sangat sedikit, manakala di belakang diberikan tempat duduk individu hanya untuk dua orang penumpang.

    Delorean masih belum memberikan perincian lengkap berkenaan unit rangkaian kuasa untuk Alpha5 ini. Namun ada diberitahu bahawa ia boleh memecut dari 0-60 bsj (96 km/j) dalam masa hanya 3.4 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima yang dihadkan pada 150 bsj (241 km/j) – angka prestasi yang jauh lebih baik dari DMC-12. Manakala untuk “pecutan merentas masa” iaitu 0-88 bsj seperti yang diperlukan oleh mesin masa Doc Emmet Brown pula hanya 4.35 saat.

    Bagi yang belum mengetahui, walaupun Delorean DMC-12 sebelum ini direka seakan sebuah kereta sport, model berkenaan sebenarnya hanya menerima enjin PRV V6 2.85L yang hanya mampu menghasilkan 132 PS/207 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-60 bsj dalam masa 8.8 saat serta mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    DeLorean Alpha5 – kebangkitan semula jenama DMC; EV sport, 0-60 bsj dalam 3.4 saat, hanya 88 unit

    Perincian berkenaan bateri dan sistem pengecas juga belum diperincikan, tetapi Delorean mengesahkan bahawa Alpha5 dalam versi paling asas menerima bateri dengan kapasiti lebih dari 100 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 300 batu (483 km) dengan satu cas penuh.

    DeLorean menyatakan bahawa hanya 88 unit Alpha5 akan dihasilkan, diproduksi di Itali bermula 2024, manakala unit rangkaian kuasanya dibekalkan dari UK. Jika segalanya berjalan seperti dirancang, DeLorean bakal memperkenalkan pula model-model lain termasuk coupe sport dengan enjin V8, sedan elektrik dan juga SUV berkuasa hidrogen selepas ini.

    “Alpha5 merupakan representasi untuk Delorean 40-tahun kebelakangan ini,” kata ketua pengarah pemasaran DeLorean Motor Company, Troy Beetz. “Terdapat tanggungjawab yang besar untuk memastikan kami menghormati sejarah jenama DeLorean, tetapi tanggungjawab yang lebih besar dalam mengatur masa depannya…Saya rasa kami melakukan kedua-duanya dengan Alpha5”, tambahnya lagi.

     
     
  • PLUS umum lorong kiri Jambatan P.Pinang ditutup hari ini dari jam 11 pagi-1 t/hari untuk penyelenggaran

    PLUS umum lorong kiri Jambatan P.Pinang ditutup hari ini dari jam 11 pagi-1 t/hari untuk penyelenggaran

    PLUS telah mengumumkan penutupan lorong kiri di Jambatan Pulau Pinang pada hari ini, 31 Mei, dari jam 11 pagi hingga 1 tengahari. Penutupan lorong kiri itu adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran yang dijalankan di atas jambatan terbabit.

    Lorong kiri terbabit ditutup dari KM4 di bahagian pulau menuju ke tanah besar, dan dari KM8 dari Perai ke bahagian pulau.

    Justeru, pengguna jalan raya yang melalui jambatan terbabit dinasihatkan mengikuti arahan dari kakitangan yang terlibat dan lebih berhati-hati ketika sampai di laluan tersebut. Sentiasa jaga jarak kenderaan anda dengan kenderaan lain dan patuhi had kelajuan yang ditetapkan. Anda juga boleh merancang perjalanan mengikut waktu yang lebih sesuai bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

     
     
  • JPJ peroleh keuntungan sebanyak RM5.9 juta hasil jualan kenderaan lelong dalam tempoh Jan-Mei 2022

    JPJ peroleh keuntungan sebanyak RM5.9 juta hasil jualan kenderaan lelong dalam tempoh Jan-Mei 2022

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merekodkan sebanyak RM5.9 juta menerusi jualan kenderaan lelong dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

    Di mana ia membabitkan sebanyak 636 kenderaan yang dilucut hak termasuk kereta, motosikal dan sebagainya dalam sesi lelongan yang dilakukan di beberapa negeri di seluruh negara, kata
    Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, M Janagarajan menerusi laporan Harian Metro.

    Tambahnya, semua kenderaan yang dilelong itu adalah kenderaan yang dilucut hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Lelongan dilakukan secara bidaan bagi membolehkan setiap pembida membeli secara telus. Kenderaan yang dilelong ini boleh didaftarkan semula atau boleh digunakan yang mana ia akan diuruskan pihak JPJ dan bagi kenderaan yang tidak boleh didaftarkan yang biasanya digunakan untuk alat ganti,” katanya.

    Walau bagaimana pun, katanya, masih ramai juga yang sanggup membeli kereta klon kerana harganya yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran dan keadaan kereta yang masih baik.

    “Dalam kes membeli kenderaan klon, individu itu boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 bagi setiap kesalahan iaitu menggunakan kenderaan klon, nombor pendaftaran palsu, insurans palsu, lesen kenderaan motor palsu dan menggunakan kenderaan tidak daftar,” katanya.

     
     
  • Sayap kecil di belakang jentera Aprilia RS-GP “ada beri perubahan” – kata pelumba pasukan, Aleix Espargaro

    Sayap kecil di belakang jentera Aprilia RS-GP “ada beri perubahan” – kata pelumba pasukan, Aleix Espargaro

    Aerodinamik sentiasa menjadi perkara penting dalam pembangunan sesebuah jentera lumba, bukan sahaja untuk menjadikan ia lebih laju, tetapi juga membantu ciri lain seperti daya tolakan ke bawah dan stabiliti. Disebabkan itu, anda akan kerap dapat melihat perubahan pada panel-panel badan, termasuklah jentera lumba MotoGP.

    Jumaat lalu, semasa sesi ujian pusingan perlumbaan MotoGP di Mugello, Itali, Aprilia telah menarik perhatian ramai dengan kemunculan sayap kecil di bahagian belakang jentera RS-GP yang dibawa oleh penunggang uji mereka, Lorenzo Savadori.

    Kita sebagai orang biasa mungkin terdetik bagaimana sayap sekecil itu boleh memberi kesan kepada jentera, apatah lagi ia berada di belakang penunggang sewaktu bergerak, tetapi menurut pelumba Aprilia, Aleix Espargaro, ia memang “ada beri perubahan.”

    Sayap kecil di belakang jentera Aprilia RS-GP “ada beri perubahan” – kata pelumba pasukan, Aleix Espargaro

    “Saya sendiri masih belum dapat mencuba sayap belakang ini, tetapi saya telah melihat data yang didapati daripada ujian dalam terowong angin, dan ia sangat menarik. Ia nampak macam satu gimik pemasaran, tetapi percayalah saya, ia memang ada beri perubahan,” kata Aleix kepada Crash.net.

    Menurut Aleix lagi, sayap itu direka untuk meningkatkan beban pada roda belakang, dan ia membantu menambah baik prestasi fasa pertama membrek. Walaubagaimanapun, semasa perlumbaan, kedua-dua pelumba pasukan Aprilia Racing, iaitu Maverick Vinales dan Aleix Espargaro masih belum menggunakan sayap belakang tersebut.

     
     
  • Polis kini sedang siasat penunggang motosikal cuba baling helmet selepas dihon di Jalan Temiang-Pantai

    Polis kini sedang siasat penunggang motosikal cuba baling helmet selepas dihon di Jalan Temiang-Pantai

    Selepas tular video seperti yang kami laporkan sebelum ini, iaitu seorang penunggang motosikal cuba melempar topi keledarnya kepada sebuah kereta apabila dihon kerana ‘bersantai’ di lorong kecemasan Jalan Temiang-Pantai semalam, Polis Daerah Seremban mengesahkan bahawa pihak mereka kini sedang melakukan siasatan, lapor Utusan Malaysia.

    Dalam video berdurasi 11-saat yang dirakam oleh kamera dashcam kereta yang memberikan amaran hon berkenaan, dengan jelas penunggang motosikal tersebut berdiri di atas laluan utama sambil memberikan reaksi agresif selepas dihon, sambil rakan-rakan kumpulan motosikalnya memarkir kenderaan masing-masing betul-betul di atas laluan kecemasan Jalan Temiang-Pantai yang pastinya sangat membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada hari yang sama iaitu pada waktu tengah hari di mana terdapat sekumpulan penunggang motosikal yang berhenti dan meletakkan kenderaan di dalam laluan kecemasan di lokasi kejadian.

    Polis kini sedang siasat penunggang motosikal cuba baling helmet selepas dihon di Jalan Temiang-Pantai

    “Pada masa yang sama, rakaman video dari kamera papan pemuka (dashcam) tersebut turut memaparkan seorang individu seakan-akan cuba untuk membaling objek ke arah kenderaan perakam.

    “Bertindak atas rakaman yang diperoleh, satu siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pesalah yang terlibat. Kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan galangan di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nanda turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat terhadap kes berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801.

    “Pihak polis sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan di lokasi-lokasi tumpuan terutama di Jalan Temiang-Pantai bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku,” jelasnya lagi.

     
     
  • Larikan diri ketika SJR boleh undang bahaya – polis

    Larikan diri ketika SJR boleh undang bahaya – polis

    Bukan satu dua kemalangan yang berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal lari daripada sekatan jalan raya (SJR) yang sedang dilakukan oleh pihak berkuasa. Beberapa kejadian pernah berlaku sebelum ini, malah ada juga anggota polis yang dilanggar dalam insiden terbabit.

    Ekoran insiden sebegini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata tindakan melarikan diri dari SJR boleh mengundang risiko kemalangan yang bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri, malah pengguna jalan raya lain serta anggota pasukan penguatkuasaan.

    Katanya, masih ramai orang yang mengambil mudah mengenai isu ini dan terus bertindak melarikan diri dari SJR, laporan Sinar Harian.

    “Pemeriksaan dilakukan ketika SJR adalah untuk mengesan kesalahan dilakukan dan mengeluarkan saman. Rutin itu bukanlah merujuk kepada kes jenayah dan tidak ada keperluan untuk melarikan diri dari sekatan kecuali terbabit dengan kes jenayah yang lebih besar.

    Larikan diri ketika SJR boleh undang bahaya – polis

    “Kes saman trafik melalui SJR adalah dengan mengeluarkan saman yang boleh diberikan tawaran kompaun untuk dibayar atau hadir ke mahkamah untuk mempertahankan hak serta kesalahan yang dikesan,” katanya.

    Tambahnya lagi, pihaknya khuatir apabila ada pengguna jalan raya yang melarikan diri dari SJR,
    mereka akan menempah risiko lebih besar termasuk dilanggar kenderaan lain atau merempuh anggota kita yang bertugas.

    “Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana ia memberikan impak kepada pengguna jalan raya lain serta anggota penguat kuasa bertugas selain diri sendiri,” katanya bagi mengulas kemalangan membabitkan seorang anggota polis yang cedera akibat dirempuh motosikal ditunggangi seorang lelaki berusia 22 tahun ketika operasi ‘snap check’ di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan, Isnin lalu.

    “Bagi kes seperti yang berlaku di Kelantan itu, penunggang berkenaan boleh diambil tindakan mengikut Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas selain Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Larikan diri ketika SJR boleh undang bahaya – polis

    “Bergantung kepada situasi kes, kita juga boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh,” katanya.

    Beliau turut berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang dipatuhi pada setiap SJR dilakukan seperti meletakkan kon dan papan tanda selain menggunakan wisel bagi menarik perhatian pengguna jalan raya supaya berhenti pada tempat ditetapkan.

    Beliau berkata, pihaknya sebenarnya menyantuni penunggang motosikal dan bukannya mahu mengambil tindakan semata-mata tetapi untuk membendung peningkatan kemalangan membabitkan motosikal.

    “Ini kerana 67% kemalangan maut disumbang oleh kumpulan motosikal dan sekiranya masalah itu dapat dibendung, ia dapat mengurangkan kadar kemalangan maut secara keseluruhan di negara ini.

    “Disebabkan itu, JSPT prihatin dengan isu kemalangan membabitkan penunggang motosikal dan kami sentiasa menjalankan operasi secara konsisten di peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah bagi membendung masalah terbabit,” katanya.

     
     
  • Toyota Fortuner 2023 – model generasi seterusnya akan dapat enjin diesel turbo 2.8L hibrid ringkas

    Toyota Fortuner 2023 – model generasi seterusnya akan dapat enjin diesel turbo 2.8L hibrid ringkas

    Toyota Fortuner generasi seterusnya akan mendapat versi dengan enjin diesel hibrid ringkas apabila ia diperkenalkan di Thailand tahun depan – lapor penerbitan dari negara itu, Headlight Magazine.

    Menurut sumber majalah tersebut, model serba baru tersebut akan menggunakan platform TNGA-F dan bakal menjadi SUV pertama di Thailand yang menggunakan enjin diesel hibrid, sementara bagi Toyota juga, ia adalah yang pertama.

    Headlight Magazine ada menyatakan, secara spesifiknya, enjin diesel yang akan digunakan untuk tetapan hibrid ringkas ini adalah enjin keluarga 1GD. Sebagai tambahan kepada membantu pergerakan awal, ia juga akan membantu memberi kuasa kepada sistem pendingin hawa untuk mengurangkan penggunaan bahan api. Pada Fortuner generasi sekarang, enjin empat silinder 2.8 liter diesel turbo 1GD-FTV menghasilkan 204 PS dan 500 Nm tork.

    Toyota Fortuner 2023 – model generasi seterusnya akan dapat enjin diesel turbo 2.8L hibrid ringkas

    Turut dinyatakan oleh Headlight Magazine, apabila Fortuner generasi baru ini masuk ke dalam pasaran tahun hadapan dengan enjin diesel hibrid ringkas tersebut, harganya dijangka lebih rendah berbanding Fortuner Legender yang sedia ada dalam pasaran negara itu.

    Pembangunan enjin diesel hibrid di Toyota telah menjadi topik khabar angin sejak Ogos tahun lalu, dan ia berlaku apabila penerbitan Jepun, Best Car Web menulis bahawa enjin jenis sebegitu dijangka digunakan pada “kenderaa off-road 4WD” serta model berasaskan kenderaan komersial.

     
     
  • Honda ZR-V — dalaman ala Civic ditunjuk di China

    Honda ZR-V — dalaman ala Civic ditunjuk di China

    Berita tentang Honda ZR-V mula beredar sejak awal bulan ini, namun belum pernah ditunjukkan bahagian dalamannya. Kini, imej berkenaan SUV itu muncul dari China untuk ditatap, seperti yang didedahkan oleh Autohome ini.

    Pengaruh rekaan Civic — yang menjadi asas bagi ZR-V — sangat jelas kelihatan, dengan rekaan papan pemuka yang hampir sama hadir juga dengan skrin sentuh infotainmen bersaiz sembilan-inci, paparan panel instrumen digital 10.25-inci, stereng tiga jejari dan kemasan mesh/jaring dengan kelebaran penuh yang menutupi corong udara.

    Namun tetap ada perincian yang berbeza. Corongnya — yang lebih bulat berbanding pada Civic — kini menampilkan jalur krom, yang padanya terletak tab penetap arah dan bukannya rekaan ala joystick seperti pada Civic. Bahagian atas papan pemukanya juga tampil dengan jahitan.

    Honda ZR-V — dalaman ala Civic ditunjuk di China

    Konsol tengah pula telah ditiruskan untuk memuatkan tombol gear di tengah, pemilih mod pemanduan dan tuil brek parkir elektronik; ruang storan dengan dua port USB Type C terletak di bawahnya. Di belakang konsol ini ada corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, serta dua port USB-C.

    Ukuran dimensi ZR-V juga sudah diketahui, dan ia lebih besar daripada jangkaan awal. Ia memiliki 4,568 mm panjang, 1,840 mm lebar dan 1,621 mm tinggi. SUV ini lebih panjang 108 mm, 15 mm lebih lebar dan 1 mm lebih tinggi berbanding Corolla Cross, sementara jarak antara rodanya 2,655 mm juga 15 mm lebih panjang.

    Ini menjadi menjadikan SUV baru ini hanya berbeza 55 mm panjang dan 5 mm dari jarak antara roda CR-V, walaupun model generasi seterusnya SUV popular itu akan lebih besar untuk membezakannya dari ZR-V. Jangan lupa, Honda juga masih mempunyai HR-V yang lebih kecil.

    Honda ZR-V — dalaman ala Civic ditunjuk di China

    Seperti dijangkakan, ZR-V ini akan ditawarkan di China dengan enjin 1.5 liter VTEC turbo empat-silinder Civic. Dalam versi terkini dengan VTEC sebenar, ia menghasilkan 182 PS dan 240 Nm tork, seperti ditunjukkan oleh lencana di belakang. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui CVT. Jangkakan juga versi e:HEV hibrid, yang akan menjadi satu-satunya janaan kuasa ditawarkan di Eropah, untuk ditawarkan juga.

    Masih belum diketahui sama ada ZR-V akan dijual di Asia Tenggara — rantau di mana Corolla Cross dijual dengan laris. Namun, HR-V juga sudah menjadi agak mahal di pasaran berkenaan, dan dengan ZR-V memanfaatkan pilihan suspensi belakang yang lebih murah dengan torsion beam sama seperti Corolla Cross, ia masih dijangka akan agak mahal. Kita tunggu dan lihat.

     
     
  • 1,000 kenderaan Thai dijangka masuk Kelantan – pintu sempadan negeri-Thailand dibuka mulai 1 Jun 2022

    1,000 kenderaan Thai dijangka masuk Kelantan – pintu sempadan negeri-Thailand dibuka mulai 1 Jun 2022

    Susulan pembukaan pintau masuk sempadan antara negeri Kelantan dan Thailand mulai 1 Jun ini,
    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan sebanyak 1,000 kenderaan persendirian dari negara berkenaan akan masuk ke negeri ini pada hujung minggu.

    Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, pihaknya menjangkakan sebanyak 150 kenderaan memasuki Kelantan secara harian pada hari biasa menerusi tiga pintu masuk utama iaitu Stesen Kawalan Sempadan JPJ Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga, laporan Bernama.

    “Ini yang kita jangkakan mulai 1 Jun ini selepas sekian lama penutupan sempadan dan sebelum ini walaupun sempadan dibuka, kemasukan kenderaan asing masih tidak dibenarkan. Semua kenderaan persendirian asing yang ingin memasuki negara ini perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    1,000 kenderaan Thai dijangka masuk Kelantan – pintu sempadan negeri-Thailand dibuka mulai 1 Jun 2022

    “Pas Kawalan Sempadan yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada tempoh masa kebenaran masuk yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.

    Jelas beliau, Stesen Kawalan Sempadan JPJ akan mengeluarkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan syarat pemohon mengemukakan dokumen ditetapkan dan lulus pemeriksaan kenderaan.

    “Dokumen yang diperlukan bagi tujuan pengeluaran ICP termasuk borang permohonan Permit Peredaran Antarabangsa (JPJK9), Borang Pengisytiharan Penumpang (JPJK9A), salinan pasport pemohon (pemandu/pemilik), salinan sijil perakuan pendaftaran kenderaan dan sebagainya.

    “Pengembara juga diingatkan sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan. Diharapkan menerusi kebenaran masuk kenderaan asing ini juga dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.

     
     
  • Shell tambah senarai stesen Touch ‘n Go RFID Fuelling; 35 stesen terlibat di Lembah Klang

    Shell tambah senarai stesen Touch ‘n Go RFID Fuelling; 35 stesen terlibat di Lembah Klang

    Shell telah menambah senarai stesen yang mempunyai servis Touch ‘n Go RFID Fuelling , dan kini sebanyak 35 stesen telah mengambil bahagian di sekitar Lembah Klang.

    Lima stesen pertama yang terlibat dengan fasa percubaan untuk servis Touch ‘n Go RFID Fuelling ini ialah Shell Bandar Sri Menjalara, Shell Mint Hotel, Shell NKVE Damansara, Shell Taman Connaught dan Shell Taman Tun Dr Ismail.

    Pertambahan bilangan stesen baharu dialu-alukan, tetapi walaupun dengan senarai baharu yang diperluaskan, ketersediaan masih terhad kepada Lembah Klang setakat ini.

    Jika anda ingin melakukan transaksi pembayaran menggunakan Touch ‘n Go RFID ini, apabila berada di stesen Shell berkenaan, anda perlu mencari petak pengisian minyak dengan RFID. Ini adalah kerana tidak semua petak pengisian minyak mempunyai sokongan RFID.

    Pertama sekali, apa yang perlu dilakukan ialah anda harus mengaktifkan RFID Fuelling terlebih dahulu. Langkah ini hanya sekali sahaja dilakukan. Caranya senang, buka aplikasi eWallet, tekan pada ikon Shell dan kemudian aktifkan butang fuelling. Dari situ, anda boleh menetapkan amaun untuk mengisi minyak, malahan boleh juga disambungkan ke kad BonusLink untuk mendapatkan mata ganjaran.

    Untuk mengisi minyak, anda perlu mengenalpasti petak spesifik dengan tanda RFID, parkir kenderaan anda di dalam petak berkenaan, betul-betul mengadap skrin LED (terletak di bahagian atas atau pun bawah, di hadapan petak berkenaan). Apabila pengimbas dapat mengesan kenderaan anda, sistem akan ‘menghantar isyarat’ pada pam dan apabila skrin menunjukkan ikon pam hijau, anda mempunyai 80 saat untuk memulakan proses mengisi minyak.

     
     
  • Penunggang motosikal berhenti di Jalan Temiang-Pantai beri tindak balas kasar bila dihon oleh pemandu

    Penunggang motosikal berhenti di Jalan Temiang-Pantai beri tindak balas kasar bila dihon oleh pemandu

    Walaupun Jalan Temiang-Pantai telah banyak kali tular kerana pelbagai karenah orang awam yang mengambil gambar di ‘New Zealand’ Malaysia berkenaan serta mendapat perhatian pihak berkuasa, kawasan tersebut masih lagi menjadi tumpuan untuk pelbagai kelab permotoran untuk berhenti di lorong kecemasan jalan itu.

    Dan baru sahaja tular semalam, seorang penunggang motosikal memberikan reaksi yang agak agresif apabila sebuah kereta memberikan amaran kepada kelakuan bahaya dia dan kumpulannya yang berhenti di laluan kecemasan jalan berkenaan sesuka hati.

    Tingkah laku penunggang motosikal tersebut dirakam oleh kamera dashcam kereta yang memberikan amaran berkenaan. Dia di lihat berdiri laluan utama di jalan tersebut dan seakan mahu menghayun topi keledar ke arah kereta berkenaan. Juga boleh dilihat, kereta berkenaan dipandu pada kelajuan biasa iaitu sekitar 70 km/j.

    Penunggang motosikal berhenti di Jalan Temiang-Pantai beri tindak balas kasar bila dihon oleh pemandu

    Februari lalu Polis telah mengeluarkan 48-saman kepada pemilik-pemilik kenderaan sebuah kelab kereta apabila foto mereka berhenti di laluan kecemasan Jalan-Temiang Pantai berkenaan tular di media sosial.

    Menurut polis, tiada halangan untuk orang awam untuk bersantai dan mengambil gambar di kawasan tersebut, namun jangan pula menghalang lalu lintas dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain. “Tidak salah untuk ambil gambar, tetapi jangan letak kereta anda di lorong kecemasan dan ganggu trafik serta membahayakan pengguna lain,” jelas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika itu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025