Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan pihaknya bakal memulakan siasatan berkaitan sistem tol multi-lane free-flow (MLFF). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan bahawa ahli jawatankuasa itu sebulan suara bersetuju untuk menjalankan prosiding berkaitan pengurusan pelaksanaan MLFF oleh Kementerian Kerja Raya, lapor The Edge.

    Jelas Ermieyati, selain meminta pengendali lebuhraya untuk menyediakan perincian berkaitan pelaksanaan sistem tersebut, PAC juga akan memanggil wakil daripada Kementerian Kerja Raya dan juga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Beliau juga menambah, prosiding berkenaan akan dilakukan di bawah Peraturan Tetap 77(1)(d), Arahan Perbendaharaan 301 Tahun 2023, dan Seksyen III Perkara 11 (b) Pekeliling Am Bilangan 2 (1982), tetapi tidak menyatakan punca yang membawa kepada siasatan terhadap MLFF ini.

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    MLFF ialah sistem tol tanpa palang yang direncanakan untuk menggantikan sistem kutipan tol berpalang sedia ada. Ia menggunakan sistem radio-frequency identification devices (RFID) bersama dengan sistem automated number plate recognition (ANPR).

    Sebelum ini, pelaksanaannya dijadualkan bermula pada 2025, namun seperti diumumkan pada Mac tahun lalu, ia akan dipercepatkan dengan fasa percubaannya akan dilakukan di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan juga DUKE tak lama selepas itu.

    Pada Julai tahun lalu pula, Menter Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau berharap akan mendapat persetujuan lebih cepat daripada syarikat pengendali lebuhraya supaya MLFF ini dapat dilaksanakan pada penghujung 2024. Projek berkenaan menelan kos RM3.46 bilion.

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    Pada Disember tahun lalu pula, sebanyak 32 syarikat konsesi lebuhraya memprotes langkah kerajaan yang menganugerakan projek MLFF ini secara langsung kepada sebuah syarikat swasta. Konsesi berkenaan mendakwa “perjanjian pelantikan” dengan KJS-SEP Synergy itu, sebuah syarikat berkaitan dengan YTL Corporation, untuk projek berkenaan telah dilakukan tanpa mengambil pandangan dan maklum balas daripada syarikat konsesi lebuhraya, yang akan menanggung kos itu nanti.

    Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menyatakan telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan memaklumkan bahawa langkah berkenaan telah melanggar persetujuan berasingan syarikat-syarikat terlibat dengan kerajaan. Konsesi berkenaan menambah yang mereka tidak mahu pihak ketiga yang akan mengutip tol bagi pihak mereka kerana akan berlaku ketirisan dan memberi kesan kepada kutipan tol secara keseluruhannya, terutama kerana syarikat swasta tersebut tidak mempunyai pengalaman dan rekod berkaitan hal tersebut.

     
     
  • Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Mazda telah mengumumkan bahawa produksi untuk model segmen-D Mazda 6 bakal berakhir di Jepun tidak lama lagi. Secara spesifiknya, produksi domestik untuk kedua-dua versi badan Mazda 6 iaitu sedan dan wagon tersebut bakal ditamatkan pada pertengahan April nanti.

    Buat masa sekarang pelanggan yang berminat untuk membeli model berkenaan masih boleh menempahnya, tetapi produksinya tetap akan dihentikan sebaik sahaja jumlah produksi yang dirancang untuk tahun ini telah tercapai.

    Mazda 6 sedia ada merupakan model generasi ketiga yang telahpun diproduksi sejak 2012. Di Jepun model ini turut dikenali sebagai Mazda Atenza, dan angka produksi kesemua generasi di Jepun telahpun mencapai 226,437 unit sehingga akhir Disember 2023.

    Perkara ini telah didedahkan oleh pegawai eksekutif Mazda yang bertanggungjawab untuk jualan domestik Jepun iaitu Kazuyoshi Todo, dan beliau turut menyatakan bahawa peranan Mazda 6 selepas ini akan diganti oleh model-model SUV CX jenama itu.

    Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Sebelum jualan di Jepun dihentikan, Mazda 6 sudahpun tidak lagi dijual di Amerika Syarikat bermula 2021 dan di UK sejak 2023.

    Tahun lalu Mazda ada menyebut bahawa ia mungkin akan menghasilkan model generasi baharu Mazda 6 dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang menggunakan platform model-model Large Product baharu seperti CX-60 dan CX-90, namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi sama ada rancangan tersebut diteruskan atau tidak.

    Untuk pasaran Malaysia, kita baru sahaja menerima model kemaskini Mazda 6 ini pada Oktober tahun lalu, dan ia turut ditawarkan dalam versi istimewa 20th Anniversary Edition dan juga versi wagon Touring. Kita sememangnya menerima Mazda 6 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, jadi dengan dengan produksi yang dihentikan mungkin Bermaz juga akan menghentikan jualan model ini tidak lama lagi?

     
     
  • Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

    Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

    Pilihan motosikal adventure kelas pertengahan di Malaysia nampak seperti akan bertambah apabila salah sebuah syarikat pengedar rasmi motosikal berkuasa tinggi (Big Wing) Honda di Malaysia, iaitu Fast Bikes Motorcycles Malaysia mula menyiarkan “sesi meracun” berkenaan Transalp XL750 di laman media sosial.

    Meskipun tiada kenyataan rasmi daripada Fast Bikes mahupun Boon Siew Honda (BSH) sama ada model ini akan betul-betul tiba atau tidak, ia boleh diambil sebagai petunjuk kerana sudah beberapa kali motosikal tersebut dimuat naik dan mereka yang berminat sudah boleh berhubung dengan pengedar tersebut.

    Malahan, Fast Bikes turut memberi bayangan harga apabila ditanya oleh netizen. Antara ayat yang diberi adalah, “Insyaallah, RM65k siap boleh beli box.” Dan juga, “RM80,000 free CB250R sebijik.”

    Jika melihat kepada pasaran negara jiran seperti Thailand, Transalp dijual pada harga 389,000 baht (RM51,586), dan 36,000 baht (RM4,774) lebih murah berbanding X-ADV 750 (425,000 baht/RM56,360). Mengikuti perbandingan sama dengan mengambil harga rasmi (oleh BSH) X-ADV di Malaysia (RM68,899), lingkungan harga bawah RM65k itu nampak logik.

    Walaubagaimanapun, ini semua sekadar jangkaan awal. Harga sebenarnya masih belum diketahui dan ia boleh berubah kerana bergantung kepada banyak perkara yang juga boleh berubah pada bila-bila masa.

    Untuk imbasan kembali, Transalp XL750 adalah sebuah motosikal adventure yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada September tahun 2022, dan ia menggunakan enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Jika tiba di Malaysia nanti, ia akan bersaing dengan antaranya Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800 DE, yang dijual pada harga masing-masing RM69,988 dan RM60,800.

    Walaupun dijual lebih murah berbanding Tenere 700 (di Eropah), Transalp membawa kelebihan dengan antaranya dilengkapi empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

    Ia juga datang dengan meter TFT, suspensi Showa (fork SFF-CATM 41 mm dengan pelarasan pra beban dan monoshock dengan pelarasan pra beban), rim spoked 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang serta tangki bahan api 16.9 liter.

    GALERI: Honda Transalp XL750

     
     
  • BYD Dolphin, Atto 3 dan Seal diperkenal di Indonesia

    BYD Dolphin, Atto 3 dan Seal diperkenal di Indonesia

    BYD kini telah melebarkan sayap ke Indonesia dengan pengenalan tiga model sekaligus — Dolphin, Atto 3 dan Seal. Ketika ini belum ada harga jualan yang disahkan, namun menurut laporan Otodriver, harga anggaran bagi Dolphin dijangka sekitar 400-450 juta rupiah (RM120k-RM136k), sementara Atto 3 di antara 500-550 juta rupiah (RM151k-RM166k).

    Harga Seal pula dijangka antara 700-800 juta rupiah (RM211k-RM242k) untuk bersaing dengan Hyundai Ioniq 5. Bagi pasaran Malaysia, Atto 3 dan Dolphin sudah pun diperkenalkan, sementara bagi Seal pula telah dibuka untuk tempahan dengan penawaran tiga varian.

    Bagaimanapun, BYD menyediakan spesifikasi penuh bagi semua model yang dinyatakan ini untuk pasaran Indonesia. Bagi Dolphin, dua varian diperkenalkan, iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range.

    Kedua-duanya menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) oleh BYD. Bagi model Standard Range, ia menggunakan kapasiti bateri 44.9 kWh dan memberikan jarak hingga 410 km (NEDC). Motornya menghasilkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat.

    Bagi Extended Range, ia menggunakan bateri dengan kapasiti 60.48 kWh dengan jarak hingga 490 km, dengan motor elektriknya menjana 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat. Kapasiti bateri lebih besar ini juga memberikan kapasiti pengecasan DC yang lebih tinggi iaitu 80 kW berbanding 60 kW untuk model standard, dengan pengecasan AC kedua-duanya sama 11 kW.

    Untuk Atto 3, ada dua varian juga ditawarkan — Standard Range Advanced dan Extended Range Superior. Varian pertama ini menggunakan bateri 49.92 kWh dengan jarak 410 km (NEDC). Bagi varian tertinggi pula, baterinya 60.48-kWh dengan kemampuan pengecasan DC lebih tinggi, 88 kW berbanding 70 kW.

    Kapasiti pengecasan bagi Atto 3 pula sama dengan 7 kW untuk kedua-dua varian. Motor elektriknya menjana kuasa sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm, dengan varian tertinggi sedikit lebih pantas: 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat berbanding 7.9 saat untuk varian lebih rendah.

    Seal pula ditawarkan dalam tiga varian sama seperti di Malaysia. Ini terdiri daripada Dynamic, Premium dan Performance. Dynamic yang paling asas menggunakan bateri 61.44-kWh dengan jarak 510 km (NEDC), dengan motor di belakang menyediakan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW).

    Premium pula menggunakan bateri lebih besar, 82.56 kWh dengan jarak 650 km (NEDC) dengan motor lebih berkuasa — 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm. Ini memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat, berbanding Dynamic dengan 7.5 saat.

    Performance pula menggunakan dual-motor dengan tetapan pacuan semua roda dengan kemampuan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Motor depan menyediakan 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 310 Nm, manakala motor belakang dengan 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm. Keseluruhan sistem ini menghasilkan sebanyak 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan 670 Nm.

    Semua varian Seal mempunyai input AC maksimum 7 kW, dengan kemampuan pengecasan DC 110 kW untuk Dynamic dan 150 kW untuk Premium dan Performance. Ciri keselamatan aktif pula termasuk kawalan melayar adaptif dan AEB yang diberikan standard untuk semua varian.

     
     
  • KKR pertimbang naik taraf Jalan Johor Bahru-Endau yang sering menjadi lokasi kemalangan dan banjir

    KKR pertimbang naik taraf Jalan Johor Bahru-Endau yang sering menjadi lokasi kemalangan dan banjir

    Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan cadangan untuk naik taraf dan baiki jajaran FT003 (Jalan Johor Bahru-Endau) membabitkan lokasi sering berlaku kemalangan dan banjir untuk dimasukkan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), laporan Bernama. Laluan FT003 merupakan jalan penghubung utama dari Kota Tinggi ke Mersing, serta untuk negeri-negeri di sepanjang pantai timur Semenanjung Malaysia.

    Projek ini melibatkan kerja menaik taraf dan membaikpulih jalan dari Seksyen 106 hingga Seksyen 118, dan dijangka menanggung kos anggaran lebih RM100 juta, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Tambahnya, KKR berhasrat mengemukakan cadangan itu selepas berbincang dengan Jabatan Kerja Raya negeri dan melihat kepentingan projek berkenaan.

    “Kami menganggap projek ini penting untuk keselamatan nyawa kerana sebahagian jajaran ini memang ‘black spot’ yang kerap berlaku kemalangan dan mengakibatkan banyak kehilangan nyawa,” katamya selepas meninjau laluan terbabit baru-baru ini.

    Berdasarkan data JKR, sepanjang tiga tahun dari 1 Januari 2021 hingga 10 Disember lalu, sebanyak 103 kemalangan direkodkan di laluan FT003 di daerah ini, bermula dari sempadan Kota Tinggi hingga Rompin, Pahang. Daripada 103 kemalangan itu, 27 kes melibatkan kemalangan maut.

    Sementara itu, bagi laluan yang dicadang untuk dinaik taraf kerana sering terjejas dengan banjir, Nanta berkata, ia juga merupakan kepentingan yang perlu diutamakan. Cadangan menaik taraf jalan itu adalah kesinambungan usaha ke arah menaikkan aras jalan laluan FT003 (Kota Tinggi ke Mersing), yang dianggarkan bernilai RM120 juta. Pembiayaan ini telah diluluskan dalam Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12, tambah menteri itu.

    Buat masa ini, jelasnya, terdapat empat lokasi di Kota Tinggi di laluan berkenaan yang dikenal pasti berisiko dinaiki air apabila hujan lebat iaitu Seksyen 47-Seksyen 49 (berhampiran Lembaga Getah Malaysia), Seksyen 55-56 (Kim Long), Seksyen 59-61 (Yatama City) dan Seksyen 71-72 (RISDA).

     
     
  • WMoto RT1 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter dengan TC, meter TFT, perakam video, harga RM9,888

    WMoto RT1 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter dengan TC, meter TFT, perakam video, harga RM9,888

    Selepas RT2 awal bulan lalu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd kini melancarkan sebuah lagi skuter untuk pasaran Malaysia, iaitu RT1. Ia datang dalam pilihan tiga warna iaitu biru, hitam dan kelabu, dijual pada harga bermula RM9,888 tidak termasuk insurans.

    RT1 dipacu oleh enjin satu silinder 149.3 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan penyejukan udara, mampu menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.5 Nm pada 6,750 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT.

    Skuter ini juga cuba mengatasi pesaing lain dengan menyediakan sistem kawalan cengkaman serta panel meter TFT, yang mana menurut MForce, adalah yang pertama di dalam kelasnya. Selain daripada itu, ia juga datang dengan brek ABS, dilaksana oleh brek cakera pada roda hadapan dan belakang.

    Teknologi lain yang terdapat pada RT1 adalah seperti sistem kunci pintar, lampu hadapan dan belakang LED, serta yang paling istimewa, kamera hadapan yang boleh merakam video dalam resolusi sehingga 1080p.

    Untuk suspensi, RT1 menggunakan fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, sementara rimnya pula masing-masing bersaiz 14 inci dan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang. Tangki bahan api berkapasiti sembilan liter dan berat keseluruhannya adalah 144 kg. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mercedes-Benz GLA200 FL 2024 di Malaysia – gaya dinaiktaraf, infotainmen MBUX terkini; RM258,888

    Mercedes-Benz GLA200 FL 2024 di Malaysia – gaya dinaiktaraf, infotainmen MBUX terkini; RM258,888

    Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model crossover GLA 200 yang dinaiktaraf, kini ditawarkan dengan harga atas jalan (OTR) RM258,888 tanpa insurans.

    Model facelift (FL) ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, selepas beberapa tahun ia diperkenalkan secara rasminya sebagai model import sepenuhnya pada Disember 2020.

    GLA 200 ini terus dijanakan oleh enjin 1.3 liter pengecas turbo empat silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 163 hp pada 5,000 rpm dan tork 250 Nm dari 2,000 rpm hingga 3,500 rpm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia didakwa boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.9 saat, dengan kelajuan tertinggi cecah 210 km/j.

    Perubahan bahagian luarannya termasuklah gril hadapan baharu, dengan bampar hadapan yang kini tampil dengan rekaan semula ‘visual underride protection’ bersama kemasan perak pada bawah bampar hadapan. Sementara itu, bampar belakang kini ditampilkan dengan diffuser. Untuk pencahayaannya, ia diberikan lampu utama LED High Performance dengan Adaptive Highbeam Assist, dan lampu belakang LED secara standard.

    Melengkapkan lagi gayanya ialah dengan menampilkan roda aloi lima-jejari-berkembar 18-inci dengan kemasan kelabu Tremolite berkilau, dibaluti tayar berukuran 235/55R18.

    Untuk bahagian kabinnya pula, instrumentasi dan infotainmen bagi GLA facelift H247 diberikan dwi paparan 10.25-inci, dan juga roda stereng rekaan baharu yang disepadukan dengan kawalan permukaan sentuhan yang menggantikan butang konvensional. Selain itu, ia juga diberikan upholsteri kulit sintetik Artico dan tempat duduk hadapan pula menerima larasan elektronik dengan fungsi memori.

    Ciri yang paling menarik buat model naiktaraf ini ialah ia ditampilkan dengan paparan antara muka MBUX generasi terkini, yang memyokong ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, dan kini dengan lima port USB-C serta pengecas peranti tanpa wayar dan juga pencahayaan ambien 64-warna.

    Untuk sistem bantuan, GLA facelift H247 ini juga menerima pakej parkir dengan kamera undur, Bantuan Parkir Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Amaran Keluar dan Bantuan Brek Aktif serta Keyless Go dan Akses Bebas Tangan.

    Sebagai tambahan kepada barisan warna luaran sedia ada, GLA facelift 2024 ini juga ditambahkan dengan rona Spectral Blue metallic. Kini semua kenderaan penumpang Mercedes-Benz baharu di Malaysia dilindungi dengan waranti empat-tahun dengan perbatuan tanpa had.

     
     
  • Lori rempuh enam kenderaan di Tasek Gelugor disebabkan masalah brek, seorang pemandu cedera

    Lori rempuh enam kenderaan di Tasek Gelugor disebabkan masalah brek, seorang pemandu cedera

    Sebuah lori telah merempuh enam buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, yang mengakibatkan seorang pemandu mengalami cedera ringan, laporan Astro Awani.

    Dalam kejadian yang berlaku pada pagi semalam, lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Tasek Gelugor menuju ke Lunas, Kedah dikatakan mengalami masalah brek, menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad yang menerima panggilan dari orang ramai kira-kira jam 11.15 pagi.

    “Apabila tiba di lampu isyarat Jalan Ara Kuda dikatakan brek lori tidak berfungsi menyebabkan pemandu cuba mengawal dan memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan ke kanan. Namun, lori tidak berhenti dan merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat itu,” kata Siti Nor Salawati.

    Siti Nor Salawati berkata lori itu telah merempuh dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva dan Proton Waja. Bagaimanapun, impak pelanggaran kedua-kedua kenderaan itu menyebabkan kereta mereka bergerak dan melanggar kenderaan di hadapan menyebabkan lain-lain kereta yang berada di hadapan menggelongsor ke hadapan lalu melanggar kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat.

    “Akibat kejadian tersebut, seorang pemandu kereta mengalami cedera ringan manakala pemandu kenderaan lain tidak cedera. Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah Kaedah Lalulintas 1959,” tambahnya lagi.

    Menerusi video insiden berdurasi 28 saat yang tular itu, kelihatan beberapa kenderaan dilihat sedang berhenti di sebuah persimpangan. Namun, sebuah lori kemudiannya dilihat meluru laju dari arah kiri ke kanan dipercayai kerana mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan di hadapannya.

     
     
  • Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat dilancar – RM136k, gaya lebih sporty, unit terhad

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat dilancar – RM136k, gaya lebih sporty, unit terhad

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah pun melancarkan Mitsubishi Triton AT Premium versi yang dipertingkat hari ini, yang menampilkan pelbagai tingkat taraf penggayaan yang lebih sporty. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM135,900, iaitu harga yang sama seperti Triton AT Premium biasa, tetapi ditawarkan dalam unit yang terhad.

    Model ini hanya datang dengan warna badan White Diamond, bersama grafik badan merah-perak-hitam ala livery perlumbaan Ralliart bermula pada pintu belakang, bed dan sehingga ke pintu tailgate. Ia juga diberikan beberapa perincian tambahan termasuk, bampar hadapan, sports bar, visor pintu, overfender pada setiap ruang roda berwarna hitam yang sama seperti model edisi terhad Triton Phantom Plus.

    Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat dilancar – RM136k, gaya lebih sporty, unit terhad

    Rupa luaran Triton istimewa ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi istimewa 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Yokohama Geolander A/T G015, juga sama seperti Triton Phantom Plus yang dilancarkan tahun lalu. Manakala pada bahagian dalaman, model ini ditambah dengan scuff plate bernyala pada bendul pintu dan juga sulaman grafik pada perehat kepala tempat duduk hadapan yang sama seperti grafik badan sebelah luar.

    Tiada tingkat taraf mekanikal pada model edisi terhad ini, dan ia masih dijana oleh enjin 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuam empat roda Easy Select 4WD.

    Perincian standard AT Premium biasa turut dibawa pada model tingkat taraf ini, termasuk lampu hadapan projektor halogen, lampu nyalaan siang bersama lampu kabus hadapan dan belakang halogen, kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama dengan skrin sesentuh sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik, cruise control dan upholsteri leatherette.

    Manakala untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, traction control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, Bantuan Kestabilan Treler. Kamera perakam video digital turut dipadankan pada model ini.

    Setiap pembelian trak pikap ini disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Walaupun MMM menyatakan Triton AT Premium dipertingkat ini hanya ditawarkan dalam jumlah terhad, ia tidak menyatakan berapa jumlah sebenar yang akan dihasilkan.

     
     
  • Carlos Sainz dinobat juara Rali Dakar pada usia 61 tahun dengan jentera hibrid Audi RS Q e-tron

    Carlos Sainz dinobat juara Rali Dakar pada usia 61 tahun dengan jentera hibrid Audi RS Q e-tron

    Audi RS Q e-tron #207 (Team Audi Sport), Mattias Ekström/Emil Bergkvist

    Kebanyakkan dari kita mungkin sudah mula perlahan dari membuat sebarang aktiviti apabila sudah menjangkau usia emas kerana kekangan stamina dan juga keadaan fizikal yang semakin menurun. Namun tidak untuk juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dua kali, Carlos Sainz kerana beliau sekali lagi dinobatkan sebagai juara rali paling lasak di dunia iaitu Rali Dakar pada usia menjangkau 61-tahun!

    Rali Dakar 2024 yang juga merupakan edisi ke 46 itu sekali lagi berlangsung di Arab Saudi buat tahun keempat. Ia bermula di Al-‘Ula pada 6 Januari, dan berakhir di Yanbu pada 19 Januari lalu. Secara keseluruhan rali ini melibatkan pengembaraan di atas padang pasir sejauh 7,891 km, di mana 4,727 km daripadanya adalah Special Stage (SS) di mana ke semua pelumba beradu untuk mencatatkan masa terpantas.

    Carlos Sainz yang dibantu oleh juruarah Lucas Cruz menamatkan rali yang berlangsung selama hampir dua minggu ini dengan kelebihan 1 jam 20 minit di hadapan pelumba Belgium, Guillaume de Mevius. Kejayaan Sainz ini turut mencatatkan satu lagi sejarah kerana ini kali keempat beliau menjuarai rali berkenaan sejak menyertainya bermula 2006, dan jentera Audi RS Q e-tron yang dipandunya merupakan jentera dengan unit rangkaian kuasa elektrik pertama yang memenangi kategori utama Rali Dakar sepanjang penganjurannya.

    Audi RS Q e-tron tersebut digerakkan oleh dua buah motor elektrik (masing-masing pada gandar hadapan dan belakang) dikenali sebagai motor-generator unit (MGU) yang diambil daripada kereta lumba Audi e-tron FE07 Formula E, menghasilkan kuasa maksimum 680 PS. Manakala bateri yang menggerakkan kedua-dua motor tersebut dicas menggunakan enjin pembakaran dalaman 2.0 liter empat-silinder turbo TFSI yang diambil dari kereta lumba DTM.

    Juara Rali Dakar tahun lalu, Nasser Al Attiyah yang berpindah dari pasukan Toyota Gazoo Racing ke Bahrain Raid Extreme tahun ini gagal untuk mempertahankan gelarannya untuk kali ketiga berturut-turut selepas mengalami pelbagai kerosakan dan tidak menghabiskan perlumbaan ini. Namun rakan sepasukannya, juara WRC sembilan kali Sebastien Loeb menamatkan rali ini di tempat ketiga keseluruhan.

     
     
  • Laluan Simpang Pulai-Gopeng di Lebuhraya PLUS ditutup secara berperingkat hingga 7 Feb 2024

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong secara berperingkat dilaksanakan di laluan Simpang Pulai – Gopeng di Lebuhraya Utara-Selatan mulai hari ini (22 Januari) hingga 7 Februari 2024.

    Menurut PLUS, penutupan lorong berkenaan iaitu di antara KM291.4 hingga KM296.4 (arah selatan) adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan turapan jalan dilaksanakan di lokasi terbabit secara berperingkat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh berkenaan.

    “Sepanjang tempoh tersebut, penggunaan bagi setiap lorong secara berkala akan diaktifkan sebaik sahaja kerja-kerja turapan jalan tersebut selesai. Justeru, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

    “Mereka juga dinasihatkan mematuhi semua papan tanda trafik dan arahan dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • JPJ eBid: SU-L dan NEB sedia untuk dibida

    Tahun baharu, kenderaan baharu. Bagi yang bakal menerima kenderaan baharu yang ditempah, bolehlah mencari siri nombor pendaftaran menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SU-L dibuka bidaan sejak semalam, 21 Januari 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 25 Januari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Januari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Negeri Sembilan, NEB, dibuka bidaan mulai hari ini, 22 Januari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 Januari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Januari 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaram yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • WMoto SM125i dilancar untuk pasaran Malaysia – kapcai 124 cc dengan meter LCD, lampu LED, RM6k

    WMoto SM125i dilancar untuk pasaran Malaysia – kapcai 124 cc dengan meter LCD, lampu LED, RM6k

    Mforce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini juga telah melancarkan sebuah kapcai mampu milik yang dipanggil sebagai SM125i untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, biru dan kuning, pada harga RM5,888 tidak termasuk insurans.

    Model ini dipacu oleh enjin satu silinder 123.7 cc dengan sistem suntikan bahan api dan SOHC, dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 7.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 8.5 Nm pada 6,000 rpm.

    Walaupun digelar sebagai motosikal mampu milik, SM125i datang dengan beberapa kelengkapan moden seperti meter digital LCD berwarna, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB di bawah bahagian pemegang serta brek cakera pada roda hadapan.

    Brek belakang bagaimanapun masih lagi menggunakan jenis dram manakala rim datang dengan unit aluminium 17 inci dengan tayar tanpa tiub bersaiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan barang bersaiz sederhana.

    Kelengkapan lain pada SM125i adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, tangki bahan api empat liter, soket kunci anti kecurian serta pemula enjin elektrik dan tendang. Motosikal ini datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Yamaha Y16ZR ABS dilancar untuk pasaran Malaysia – panel hadapan turut berubah, harga RM11,398

    Yamaha Y16ZR ABS dilancar untuk pasaran Malaysia – panel hadapan turut berubah, harga RM11,398

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini dalam satu acara meriah yang dibuat di Bukit Bintang telah melancarkan Y16ZR ABS untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Violet Knight, Ocean Neon dan Mag Grey, pada harga (cadangan) RM11,398 tidak termasuk insurans.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, versi baru bagi Y16ZR ini dilengkapi dengan sistem brek ABS one-channel, iaitu untuk roda hadapannya dan dilaksanakan oleh cakera serta angkup dua piston yang sama seperti sebelum ini. Pada roda belakang, brek cakera dengan angkup tunggalnya masih sama.

    Setakat yang diberitahu oleh wakil dari bahagian teknikal HLYM kepada kami, Y16ZR ABS ini juga menerima sedikit perubahan rekaan pada bahagian perumah lampu hadapannya serta panel depan yang menempatkan lampu siang (DRL). Berhampiran meter digital LCD motosikal ini juga anda boleh melihat terdapat panel getah yang ditambah.

    Selain daripada itu, semua kelengkapan Y16ZR ini masih lagi sama termasuk enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, serta padanan tranmisi enam gear dengan klac assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

    Motosikal ini juga dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, rim 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, tangki bahan api 5.4 liter, sistem kunci pintar serta soket pengecas 12V.

    Setiap pembelian diberikan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km dan pemilik akan menerima kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.


     
     
  • Sembilan stesen KTMB di Lembah Klang akan dinaiktaraf; stesen Seremban Sentral akan dibina

    Sembilan stesen KTMB di Lembah Klang akan dinaiktaraf; stesen Seremban Sentral akan dibina

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan sebanyak sembilan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang akan dinaik taraf dengan satu stesen baharu bakal dibina di Seremban iaitu Seremban Sentral, dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM280 juta.

    Katanya, penaiktarafan di bawah projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) itu melibatkan KTMB Salak Selatan, Bangi, Pantai Dalam, Seri Setia, Batu Tiga, Padang Jawa, Klang, Jalan Kastam dan Pelabuhan Klang, laporan Bernama.

    Di mana kesemua projek berkenaan akan dimulakan serta-merta dengan Stesen Seremban Sentral dijangka disiapkan dalam tempoh 24 bulan, sekali gus bakal menjadi mercu tanda bandar raya Seremban, kata Loke.

    “Kabinet dua hari lepas setuju naik taraf sembilan stesen dan satu bina baharu. Hal ini merupakan komitmen kerajaan untuk terus beri kemudahan dan infrastruktur baik dalam sistem rel kita. Ia hala tuju baharu kerajaan sekali gus menjadikan pengangkutan awam sebagai mod penting.

    Sembilan stesen KTMB di Lembah Klang akan dinaiktaraf; stesen Seremban Sentral akan dibina

    “Saya tahu sekarang ramai mengeluh perkhidmatan KTMB lambat kerana kekerapan tak tinggi berikutan projek naik taraf landasan masih berjalan tetapi ini hanyalah jangka pendek,” katanya selepas melancarkan projek pembinaan Stesen Seremban Sentral pagi tadi.

    Tambahnya, beliau memahami kesulitan dialami para pengguna ketika ini, namun kerja naik taraf landasan itu perlu dijalankan serentak supaya dalam beberapa tahun akan datang tiada lagi penaiktarafan lain dilakukan sehingga menjejaskan orang ramai.

    Beliau turut berkata, pembinaan Stesen Seremban Sentral bernilai RM170 juta itu menitikberatkan warisan sejarah stesen asal selain mengintegrasikan aspek kemodenan dengan reka bentuk unik menggunakan konsep Minangkabau. “Ia bukan stesen biasa, rekaan menggunakan kaca, reka bentuk moden dan mengambil kira pelepasan karbon sifar bersih, boleh dikatakan stesen hijau, pada waktu siang dapat menjimatkan elektrik kerana menggunakan cahaya matahari dan tenaga itu boleh dikitar semula,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Loke berkata projek KVDT1 kini hampir mencapai 97% dan dijangka disiapkan sepenuhnya akhir April ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025