Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • myTukar dinobatkan antara ‘Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2023’ – pendekatan pekerja diutamakan

    myTukar dinobatkan antara ‘Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2023’ – pendekatan pekerja diutamakan

    myTukar, ekosistem digital kereta terpakai yang paling pesat membangun di Malaysia, dinobatkan sebagai antara ‘Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia 2023’ oleh HR Asia iaitu penerbitan paling berwibawa di Asia untuk para profesional sumber manusia. Pencapaian ini merupakan kemenangan dan penyertaan pertama myTukar, sekaligus membuktikan pelaksanaan pendekatan yang mengutamakan pekerja dalam perniagaannya.

    Anugerah ‘Syarikat Terbaik untuk Bekerja di Asia’ ini adalah antara anugerah dalam bidang sumber manusia yang paling penting di rantau ini, dan mengiktiraf syarikat yang mempunyai kaedah sumber manusia terbaik, tahap penglibatan pekerja yang tinggi dan budaya tempat kerja yang cemerlang.

    “Di myTukar, kami komited dalam menyediakan tempat kerja yang inklusif bagi membolehkan pekerja kami berkembang dalam pembangunan profesional dan peribadi. Kami mahu memastikan myTukar terus menjadi sebuah syarikat yang memberikan peluang kepada pekerja dengan penglibatan aktif untuk belajar dan mengaplikasikan pengetahuan baharu, di samping meneroka peluang baharu bagi peningkatan kerjaya mereka,” kata Chok Oi Sin selaku Pengarah Sumber Manusia myTukar.

    myTukar berkata syarikatnya telah menganjurkan lebih 100 sesi pembelajaran berbeza di pelbagai lokasi seluruh negara demi memastikan setiap pekerja berpeluang mengakses sesi latihan dan kelas yang penting. Sesi yang disediakan meliputi kemahiran teknikal hingga pembangunan kemahiran insaniah, dan terbuka kepada semua pekerja termasuk pekerja di bahagian pengurusan pejabat hingga bahagian jualan dan selepas jualan.

    Selain itu, myTukar juga menekankan penglibatan serta kesejahteraan sebagai sebahagian daripada pengalaman pekerja, dengan memastikan komunikasi bersama pekerja, sokongan sosial, serta kesejahteraan mental dan fizikal mereka diutamakan, menerusi penyediaan tempat kerja yang menawarkan keseimbangan fungsi dan fleksibiliti. Awal tahun ini, myTukar telah melancarkan Webinar Kesejahteraan Mental secara langsung setiap dua minggu yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah.

    Derrick Eng, Ketua Pegawai Eksekutif myTukar pula berkata, “Para pekerja merupakan bakat serta sumber terhebat kami, dan merekalah nadi serta jiwa dalam semua yang kami lakukan. Anugerah ini melambangkan kejayaan pendekatan kami yang mengutamakan pekerja dalam menjalankan perniagaan dan bukti bahawa myTukar adalah sebuah syarikat yang mementingkan kesejahteraan pekerjanya.”

    Tambahnya lagi, “Kami komited terhadap kesejahteraan pekerja dan memberi tumpuan pada kesihatan mereka selain memastikan penglibatan mereka dengan apa yang kami lakukan. Kami ingin pekerja tahu bahawa mereka boleh berkembang dan mencapai kejayaan bersama syarikat ini.”

     
     
  • Tanjakan dari Bangsar South dan Kerinchi ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai kini dibuka

    Tanjakan dari Bangsar South dan Kerinchi ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai kini dibuka

    Berita baik untuk penduduk sekitar Kerinchi dan Bangsar South. Tanjakan (ramp) khas menghala ke Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) kini telah pun dibuka sepenuhnya.

    Dengan menggunakan tanjakan tersebut, anda boleh terus akses ke SPE, di mana ia melibatkan perjalanan yang lebih pantas untuk ke pusat bandar KL (TRX, Bukit Bintang), Setiawangsa, Wangsa Maju dan Taman Melati/Gombak, serta beberapa lokasi lain.

    Lebuhraya SPE dilancarkan pada 3 November lalu oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa 3 (DUKE 3), SPE merentasi utara ke selatan Kuala Lumpur dan merupakan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi.

    Melibatkan jajaran sepanjang 29.8 km, lebuhraya ini menghubungkan Taman Melati dan Klang Gates dari Lebuhraya MRR2 ke Kerinchi Link berhampiran Pantai dan Universiti Malaya. Ia diharap dapat mengurangkan kesesakan sebanyak 30% pada waktu puncak untuk pengguna jalan raya yang masuk dan keluar pusat bandar.

    Lebuhraya ini turut menerima dua pencapaian terbesar yang turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records iaitu laluan dua tingkat terpanjang dengan struktur tunggal (dwi arah) sepanjang 2.104 km dan jambatan bertingkat terpanjang (20.686 km).

     
     
  • Kemasukan kenderaan CBU cc rendah akan jejaskan industri tempatan, beri kesan kepada vendor – MITI

    Kemasukan kenderaan CBU cc rendah akan jejaskan industri tempatan, beri kesan kepada vendor – MITI

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Bernama, timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Liew Chin Tong dipetik berkata bahawa membenarkan kemasukan kenderaan cc rendah CBU akan membawa kepada lambakan kenderaan seperti itu dalam pasaran tempatan dan seterusnya mengganggu sasaran kerajaan untuk membangunkan industri automotif tempatan.

    Sasaran Polisi Automotif Negara (NAP) 2020 akan terganggu jika syarikat automotif mengubah fokus aktiviti mereka dari pemasangan kenderaan dalam negara kepada import penuh (CBU), kata beliau.

    “Dalam masa sama, ia juga akan memberi kesan kepada rancangan pelaburan jangka masa panjang untuk pengeluaran tempatan oleh pengeluar alat ganti asli (OEM) serta syarikat kereta nasional. Ini seterusnya akan memberi kesan kepada usaha pembangunan vendor tempatan dan membawa kepada kehilangan peluang pekerjaan untuk warga tempatan pada masa hadapan,” tambah Liew.

    Kemasukan kenderaan CBU cc rendah akan jejaskan industri tempatan, beri kesan kepada vendor – MITI

    Liew memberi jawapan kepada satu soalan yang dibangkitkan dalam Dewan Negara, berkenaan kesanggupan kerajaan untuk melihat semula prosedur operasi standard dan peraturan import untuk kenderaan dengan kapasiti enjin rendah seperti 660 cc.

    Fokus rancangan industri automotif tempatan adalah untuk mendorong aktiviti pemasangan tempatan, oleh pengeluar kenderaan tempatan serta syarikat OEM lain, tanpa mengira jenama atau kapasiti enjin, kata Liew. “Mempunyai kapasiti enjin kecil tidak bermakna kenderaan tersebut akan dijual pada harga murah kerana kereta import masih akan dikenakan cukai import, duti eksais dan cukai jualan,” tambah Liew.

     
     
  • Sambutan Ulang Tahun Pertama BYD! Tawaran menarik di Bukit Kiara Indoor Arena 8-10 Disember ini!

    Sambutan Ulang Tahun Pertama BYD! Tawaran menarik di Bukit Kiara Indoor Arena 8-10 Disember ini!

    Rasanya macam baru sahaja BYD memasuki pasaran Malaysia, dengan melancarkan BYD Atto 3 dan BYD Dolphin. Rupanya, jenama EV gergasi itu sudah satu tahun berada dalam pasaran kita dan mereka ingin menyambutnya bersama anda semua!

    Acara BYD 1st Anniversary: Beyond Dreams Celebration akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini, 8-10 Disember di Bukit Kiara Indoor Arena. Pelbagai aktiviti akan dianjurkan, termasuk pertunjukan muzik, jualan makanan, bahagian pameran rakan niaga BYD serta beberapa kejutan istimewa.

    PROMOSI: Tawaran istimewa ulang tahun pertama BYD. Tempah sebuah BYD sebelum 31 Disember dan nikmati tawaran tempoh terhad eksklusif. Pilihan promosi yang disediakan adalah:

    • Pengecas wallbox
    • Kredit mengecas
    • Pakej servis tiga tahun
    • Rebat eksklusif
    • Kunjungan ke ibu pejabat BYD

    *Tawaran tempoh terhad. Disediakan untuk kedua-dua BYD Atto 3 dan BYD Dolphin, tetapi bergantung kepada varian. Tertakluk kepada terma dan syarat.

    Sambutan Ulang Tahun Pertama BYD! Tawaran menarik di Bukit Kiara Indoor Arena 8-10 Disember ini!

    Sudah tentu, semasa acara nanti anda juga boleh memandu uji dan merasakan sendiri pengalaman bersama crossover BYD Atto 3 dan BYD Dolphin. Pastikan anda bersedia dengan kejutan yang akan diberi melalui tahap keselesaan serta prestasi dua model ini — tempah semasa acara dan nikmati promosi istimewa. Anda juga boleh mendekati rakan acara lain BYD seperti 3M, Trapo, Gentari, Kineta dan Happy Tiger Handmade.

    Sekali lagi, BYD 1st Anniversary: Beyond Dreams Celebration akan berlangsung di Bukit Kiara Indoor Arena hujung minggu ini. Pada hari Jumaat, ia akan mula dibuka dari jam 9 pagi hingga 2 petang, sementara pada Sabtu dan Ahad, karnival dibuka kepada orang ramai dari 9am hingga 6pm. Masuk adalah percuma – anda cuma perlu imbas kod QR di atas, tekan pautan yang disediakan dan daftar untuk mendapatkan pas masuk. Jumpa di sana!

     
     
  • Lebuhraya Skyway penghubung dari GCE, beberapa laluan baharu sedang dirancang untuk Shah Alam

    Lebuhraya Skyway penghubung dari GCE, beberapa laluan baharu sedang dirancang untuk Shah Alam

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan sesi Town Hall Bagi Pelan Induk Pengurusan Lalu Lintas MBSA 2035 (SATMAS) yang telah diadakan di Whydham Hotel, Klang, semalam.

    Merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memastikan kawasan di bawah pentadbirannya mempunyai sistem pengurusan lalu lintas yang bersistematik dan efisien, sesi ini dihadiri oleh lebih kurang 200 orang peserta terlibat yang terdiri daripada pegawai MBSA, pemaju, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dan agensi-agensi teknikal.

    Menurut MBSA, fokus kajian SATMAS adalah untuk mengenalpasti keadaan semasa pengurusan trafik, mengenalpasti kelulusan pelan pembangunan dan pembangunan komited di tapak, serta menyediakan cadangan/garis panduan berkaitan bagi menyelesaikan permasalahan di tapak yang melibatkan pengurusan trafik dan sistem pengangkutan awam.

    Lebuhraya Skyway penghubung dari GCE, beberapa laluan baharu sedang dirancang untuk Shah Alam

    Salah seorang Ahli Parlimen yang turut serta dalam sesi berkenaan, Azli Yusof (AP Shah Alam) telah mendedahkan sebahagian hasil kajian SATMAS 2023. Menerusi perkongsiannya di laman media sosial ‘X’, katanya, beliau telah membangkitkan isu yang melibatkan pembinaan Lebuhraya Skyway dari Lebuhraya Guthrie (GCE) ke Persiaran Jubli Perak, laluan baharu dari Seksyen U12 ke Persiaran Keluli di Bukit Raja dan I-City.

    Selain itu, turut berada dalam perancangan ialah missing link Bukit Cerakah ke Persiaran Mimbar Bukit Jelutong. Ada spekulasi menyatakan, ia akan disambungkan ke Persiaran Gunung Nuang, dan boleh sampai hingga ke Seksyen 8, Shah Alam.

    Selain itu, terdapat beberapa laluan baharu turut dirancang menerusi pelan SATMAS 2025, antaranya 14 cadangan missing link, 11 cadangan naik taraf jalan, Shah Alam Middle Ring Road sepanjang 22.3 km dan cadangan sirkulasi empat jalan utama pusat bandar.

    Lebuhraya Skyway penghubung dari GCE, beberapa laluan baharu sedang dirancang untuk Shah Alam

    Kata Azli, “Cadangan penyelesaian SATMAS akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu Fasa 2025, Fasa 2030 dan Fasa 2035 mengikut keutamaan.”

    Walau bagaimana pun, perincian mengenai Lebuhraya Skyway dan juga beberapa laluan baharu yang direncanakan untuk sistem pengurusan lalu lintas yang lebih efektif di Shah Alam masih belum didedahkan.

    Namun penduduk sekitar Shah Alam pastinya ternanti-nanti tindakan selanjutnya daripada pihak yang bertangungjawab untuk pengurusan trafik yang lebih efektif dan sistematik ini. Memandangkan lalu lintas di kebanyakan laluan utama di sekitar Shah Alam sering kali berlakunya kesesakan teruk terutamanya pada waktu puncak hari bekerja. Itu belum masuk lagi masalah banjir yang melanda beberapa kawasan termasuk melibatkan laluan trafik.

     
     
  • Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

    Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

    Selepas didedahkan buat pertama kali di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023 Ogos lalu, kini Honda Accord generasi ke-11 yang membuat kemunculan sulung global di Amerika Syarikat pada November 2022 secara rasminya mula dijual di pasaran republik berkenaan. Ini bermakna Indonesia bukan sahaja negara pertama yang menerima Accord ini bagi pasaran ASEAN, malah ia juga menerima model tersebut lebih awal dari pasaran Eropah dan Australia.

    Bagi pasaran Indonesia, PT Honda Prospect Motor hanya menawarkan Accord ini dalam satu varian tunggal iaitu Honda Accord RS e:HEV, dijual pada harga bermula 959,900,000 rupiah (RM290k). Ini bermakna Accord berkenaan tampil dengan kit penggayaan RS yang sporty serta diberikan unit rangkaian kuasa hibrid I-MMD.

    Walau bagaimanapun jika diteliti, tiada sebarang penambahan kit aero lebih agresif untuk varian RS pasaran Indonesia ini dan kelihatan sama dengan model pasaran AS. Ia hanya dibezakan dengan tambahan lencana ‘RS’ pada gril hadapan serta pada penutup but di belakang, bersama pemadanan set rim aloi 18-inci lima jejari berkembar yang berbeza dari model pasaran AS.

    Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

    Antara perincian lain yang diberikan pada sebelah luar Accord ini termasuk logo ‘H’ dengan serlahan biru, kemasan hitam berkilat pada gril hadapan, cermin sisi, antena sirip yu, spoiler bawah hadapan, skirt sisi dan spoiler but. Ia juga diberikan lampu hadapan LED penuh, lampu isyarat membelok LED sequential, lampu belakang LED, bumbung panaromik, dan juga penutup aliran udara aktif pada gril hadapan bagi membolehkan sistem penyejukkan beroperasi dengan lebih efisien.

    Manakala pada bahagian kabin Accord pasaran Indonesia ini diberikan tema hitam sepenuhnya dengan upholsteri gabungan kulit dan fabrik bersama serlahan jahitan merah, tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-hala dengan sokongan lumbar dan fungsi memori untuk pemandu, sistem penghawa dingin dua-zon bersama penghembus udara kabin belakang, dua port pengecas Type C, pelindung cahaya cermin tingkap belakang, lampu kabin LED sentuhan elektrostatik dan juga lampu suasana kabin pelbagai warna.

    Pemandu pula menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT 10.2-inci dan paparan head-up 11.5-inci. Manakala untuk sistem infotaimen, Accord ini dilengkapi dengan paparan Display Audio bersaiz 12.3-inci yang menyokong Google Built-in, Apple CarPlay dan Android Auto serta dihubungkan kepada sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

    Honda Accord generasi ke-11 dilancar di Indonesia – RM290k, hanya varian hibrid RS e:HEV, 207 PS

    Dengan adanya Google Built-in, ia bukan sahaja diberikan fungsi seperti Google Maps, Google play dan sebagainya, malah pemandu juga boleh mengoperasikan pelbagai fungsi kereta ini seperti sistem navigasi, kawalan suhu penghawa dingin dan lain-lain dengan hanya menggunakan arahan suara menerusi sistem Google Assistant.

    Ia juga diberikan aplikasi Honda Connect bagi membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi secara jarak jauh, serta memberikan notifikasi kepada pemandu jika terlupa menutup pintu, tingkap dan sebagainya. Ruang but yang tersedia pada Accord ini adalah 568 liter, dan walaupun ia sebuah sedan tempat duduk belakangnya masih boleh dilipat rata bagi memberikan ruang kargo lebih besar.

    Accord RS e:HEV pasaran Indonesia ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD 2.0L yang sama seperti Honda Civic RS e:HEV yang sudahpun dilancarkan di Malaysia tahun lalu. Ia menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 144 PS dan tork maksima 179 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

    Sistem ini berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 335 Nm.

    Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol yang dihubungkan dengan klac lock-up dalam transmisi E-CVT. Secara keseluruhan enjin petrol dan motor elektrik berkenaan menghasilkan kuasa gabungan 207 PS.

    Empat mod pemanduan diberikan pada unit rangkaian kuasa tersebut iaitu Normal, Sport, Econ dan Individual. Ia juga menampilkan satu suis khas dipanggil sebagai suis EV, yang akan mengoptimakan penggunaan motor elektrik tanpa menghidupkan enjin petrol untuk bergerak.

    Untuk keselamatan, model ini diberikan lapan-beg udara, kamera 360 darjah dengan paparan pelbagai sudut, lampu membelok aktif, kamera pemantau titik buta Honda LanWatch dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing yang didakwa lebih lengkap dari model generasi sebelumnya.

    Antara fungsi dalam sistem Honda Sensing tersebut adalah Sistem Brek Pengelak Pelanggaran (CMBSTM), cruise control adaptif dengan Low-Speed Follow (ACC dan LSF), sistem pengelak keluar jalan dan amaran keluar lorong (RDM dan LDW), sistem bantuan kekal lorong (LKAS) serta sistem notifikasi mula gerak kereta hadapan (LCDN).

    Tiga pilihan warna badan ditawarkan untuk Honda Accord RS e:HEV pasaran Indonesia ini iaitu Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl serta Ignite Red Metallic.

    Bagi anda di Malaysia yang berminat dengan Accord generasi ke-11 ini, berita buruk untuk anda, Honda Malaysia sudahpun mengesahkan bahawa model ini tidak akan di bawa ke pasaran tempatan dan Accord generasi sedia ada nampaknya menjadi Accord terakhir yang dijual di sini.

    GALERI: Brosur Honda Accord RS e:HEV pasaran Indonesia

    GALERI: Honda Accord RS e:HEV di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2023

     
     
  • Lebuhraya Setiawangsa-Pantai: Kadar tol bermula; RM3.50 di Chan Sow Lin, Ampang, Setiawangsa

    Lebuhraya Setiawangsa-Pantai: Kadar tol bermula; RM3.50 di Chan Sow Lin, Ampang, Setiawangsa

    Sejak 3 Disember 2023, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) telah pun memulakan kutipan tol di tiga plaza tolnya iaitu Plaza Tol Chan Sow Lin, Plaza Tol Ampang (dari Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur AKLEH menuju ke SPE) dan Plaza Tol Setiawangsa (arah Selatan dan Utara).

    Bagi kenderaan Kelas 1 iaitu dua gandar dan tiga atau empat roda (kecuali teksi dan bas), kadar bayaran tol ialah RM3.50. Manakala bagi Kelas 2 (dua gandar dan lima atau enam roda, tidak termasuk bas) dikenakan caj RM7, dan RM10.50 untuk Kelas 3 iaitu lori. Bagi Kelas 4 iaitu teksi, dikenakan caj sebanyak RM1.80 dan RM3.50 untuk Kelas 5 iaitu bas.

    Pengendali SPE juga mengingatkan pengguna lebuhraya ini supaya memastikan baki kad Touch & Go serta RFID mencukupi.

    Lebuhraya Setiawangsa-Pantai: Kadar tol bermula; RM3.50 di Chan Sow Lin, Ampang, Setiawangsa

    Lebuhraya SPE dilancarkan pada 3 November lalu oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan diberikan tol percuma selama sebulan. SPE sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa-3 (DUKE Fasa-3) akan merentasi utara ke selatan Kuala Lumpur dan merupakan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer bermula dari Setiawangsa ke Kerinchi.

    Melibatkan jajaran sepanjang 29.8 km, lebuhraya ini menghubungkan Taman Melati dan Klang Gates dari Lebuhraya MRR2 ke Kerinchi Link berhampiran Pantai dan Universiti Malaya. Turut dimaklumkan bahawa ramp atau laluan penghubung dari Bangsar South dan Kerinchi ke SPE kini telah dibuka. Cuma laluan keluar dari Taman Desa (menghala ke KL) masih belum dibuka.

     
     
  • LRT Bukit Jalil beri diskaun 25%, bas perantara percuma ke acara ‘Setahun Bersama Kerajaan Madani’

    LRT Bukit Jalil beri diskaun 25%, bas perantara percuma ke acara ‘Setahun Bersama Kerajaan Madani’

    Untuk acara Setahun Bersama Kerajaan Madani yang mula berlangsung hari ini hingga Ahad, 10 Disember 2023 yang berlangsung di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Prasarana menawarkan diskaun sebanyak 25% untuk mereka yang menaiki LRT ke/dari Stesen Bukit Jalil untuk mengunjungi lokasi terbabit.

    Tawaran diskaun ini diberikan untuk penumpang yang menggunakan token dan kad Touch ‘n Go (TnG) sebagai transaksi pembayaran, tetapi kecuali tidak termasuk bagi mereka yang menggunakan kad konsesi dan pas perjalanan.

    Selain itu, perkhidmatan bas perantara turut disediakan secara percuma untuk ke dan dari Stesen LRT Bukit Jalil. Bas berkenaan akan singgah di bangunan parkir bertingkat di Mranti Park, Astro (pintu masuk pengunjung), Pavilion Bukit Jalil dan Endah Parade di Sri Petaling. Waktu operasinya dari jam 7 pagi hingga 6 petang pada hari ini, manakala dari jam 7 pagi hingga 11.30 malam pada Sabtu dan 7 pagi hingga 8 malam pada Ahad. Sebanyak 10 unit bas disediakan untuk tujuan tersebut.

    Prasarana turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi etika menaiki pengangkutan awam termasuk tidak makan dan minum di dalam tren dan bas. Pengguna Touch n Go digalakkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya RM10 baki kredit dalam kad mereka untuk perjalanan yang lancar.

     
     
  • Maklumat Mazda CX-5 facelift 2024 pasaran Malaysia tertiris – RM149k-RM197k, varian tertinggi 2.5T AWD

    Maklumat Mazda CX-5 facelift 2024 pasaran Malaysia tertiris – RM149k-RM197k, varian tertinggi 2.5T AWD

    Baru-baru ini kami ada menerima gambar intipan Mazda CX-5 facelift 2024 yang dilihat sedang dibawa oleh trak pengangkut, menandakan pelancarannya ke pasaran Malaysia akan berlangsung tak lama lagi. Dan hari ini kami menerima pula perincian hampir sepenuhnya berkenaan SUV segmen-C yang dikemaskini tersebut oleh sumber yang tidak mahu dikenali menerusi Pirates R Us.

    Perincian berkenaan adalah dari dokumen dalaman Mazda Malaysia dan ia menunjukkan CX-5 2024 akan ditawarkan dalam lima varian iaitu 2.0G 2WD Mid, 2.0G 2WD High, 2.5G 2WD High, 2.2D 2WD High dan 2.5T AWD High. Oleh itu kali ini bagi anda yang mahukan CX-5 dengan pacuan semua roda, ia hanya ditawarkan menerusi varian tertinggi sahaja.

    Dokumen ini turut menyenaraikan harga bagi setiap varian, bermula dengan model asas 2.0G 2WD Mid dijual pada harga RM149,469.20, diikuti 2.0G 2WD High berharga RM166,469.20, 2.5G 2WD High berharga RM179,960.40, 2.2D 2WD High berharga RM185,322.80, manakala varian teringgi 2.5T AWD High pula dijual pada harga RM193,760.40.

    Klik untuk besarkan

    Angka-angka yang dinyatakan tersebut adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia. Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna metalik yang lebih premium (Soul Red Crystal dan Machine Grey) perlu menambah kos tambahan sebanyak RM3,300.

    Menerusi dokumen yang tertiris tersebut ada beberapa kemaskini utama yang diberikan pada model facelift 2024 ini. Bagi model asas 2.0G Mid, ia diberikan gril hadapan dan bampar baharu, rim aloi 17-inci rekaan baharu, cermin sisi auto-lipat, sistem kemasukan tanpa kunci dengan fungsi kunci walkaway, dan emblem ‘CX-5’ baharu.

    Rupa yang sama diberikan pada varian 2.0G High, manakala vaian 2.5G High pula menerima rim aloi lebih besar berdiameter 19-inci. Varian teringgi 2.5T High pula dilihat menerima perincian yang sama dengan 2.5G.

    Klik untuk besarkan

    Untuk bahagian dalaman, model facelift 2024 ini menerima sistem infotaimen yang diperbaharui. Varian 2.0G Mid kini menerima skrin infotainmen lapan-inci dan hubungan Apple CarPlay tanpa wayar (Android Auto pula masih memerlukan wayar), serta tambahan perincian lain seperti penegcas telefon pintar tanpa wayar dan lampu-lampu kabin menggunakan LED.

    Bagi 2.0 High pula ia ditambah dengan pedal penukar gear pada roda stereng, tempat duduk pemandu larasan elektrik 10-hala bersama fungsi memori dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS). Manakala varian 2.5G, ia ditambah dengan liang aliran udara untuk tempat duduk hadapan dan paparan instrumen digital TFT tujuh-inci (varian lebih rendah masih diberikan paparan meter kelajuan analog).

    Satu-satunya varian dengan enjin diesel iaitu 2.2D High menerima perincian dalaman yang sama dengan varian tertinggi enjin petrol tanpa turbo, 2.5G High. Manakala varian tertinggi dengan enjin turbo petrol 2.5T High menerima fungsi Offroad Traction Assist bersama sistem pacuan semua roda yang diberikan.

    Maklumat Mazda CX-5 facelift 2024 pasaran Malaysia tertiris – RM149k-RM197k, varian tertinggi 2.5T AWD

    Klik untuk besarkan

    Sumber yang memberikan maklumat ini turut memberitahu bahawa tempahan CX-5 2024 juga telah mula diambil dengan deposit RM1,000 yang boleh dipulangkan, manakala stok untuk model kemaskini ini dijangka akan tiba pada Mac 2024, sementara penghantarannya kepada pelanggan akan dibuat pada April.

    Walau bagaimanapun ingin diingatkan, maklumat-maklumat yang bocor ini bukan informasi rasmi dan ia mungkin akan berbeza menerusi pengumuman yang dibuat secara rasmi kelak. Namun ia masih boleh dijadikan panduan sekiranya anda benar-benar berminat untuk menempah SUV ini.

     
     
  • Proton S70 mula diserah minggu depan — tempahan lebih 3,600 unit, tempoh menunggu kini sebulan

    Proton S70 mula diserah minggu depan — tempahan lebih 3,600 unit, tempoh menunggu kini sebulan

    Kepada pembeli yang sudah membuat pembelian untuk Proton S70 — yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu — mereka akan mula menerima serahan model terbabit bermula minggu hadapan. Ini dinyatakan oleh CEO Proton Edar, Roslan Abdullah ketika ditemui hari ini dalam acara Proton Operational Excellence (POE) di Bangi.

    Jawapan itu diberikan kepada pertanyaan sampingan oleh paultan.org ketika acara berkenaan tentang apa status penyerahan sedan S70. Dilancarkan hujung November lalu, serahan model itu agak sedikit tertangguh dan tiada sebarang angka jualan sedan berkenaan dilaporkan oleh syarikat itu bagi bulan November 2023.

    Apapun, pembeli S70 akan menerima kenderaan mereka dalam masa terdekat. Ketika ini, Proton sudah menerima sekitar 3,600 unit tempahan untuk S70 dan 800 unit sedia untuk diserahkan kepada pelanggan.

    Sebagai tambahan, tempoh menunggu bagi sedan terbaru itu juga adalah selama sebulan. Jumlah serahan juga dijangka perlahan kerana ramai pelanggan yang memohon agar kereta mereka didaftarkan pada tahun 2024 berbanding bulan terakhir 2023 ini.

    Jadi, jika anda salah seorang pembeli S70, kereta tersebut akan tiba ke pangkuan anda dalam masa terdekat ini.

     
     
  • MLFF: Semua aspek projek sedang dikaji, pengendali lebuhraya masih ada hak untuk kutipan tol – KKR

    MLFF: Semua aspek projek sedang dikaji, pengendali lebuhraya masih ada hak untuk kutipan tol – KKR

    Dalam maklumbalas mengenai projek Multi Lane Fast Flow (MLFF) dan bantahan 32 syarikat konsesi tol lebuh raya terhadap pemberian terus projek tersebut, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah pun mengeluarkan kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

    Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan MLFF seperti yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu, yang bermula pada tahun 2021.

    “Tidak dinafikan bahawa kerajaan terdahulu telah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF. Walau bagaimanapun, kelulusan ini hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini.

    “Meskipun perancangan dan proses-proses kelulusan awal telah bermula sejak 2021, namun sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari perlunya beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan dilakukan terutamanya yang melibatkan aspek perundangan bagi memastikan MLFF ini dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

    MLFF: Semua aspek projek sedang dikaji, pengendali lebuhraya masih ada hak untuk kutipan tol – KKR

    Walau bagaimana pun, tambahnya, pihak konsesi lebuhraya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.

    “Atas dasar ini, saya dan pasukan Kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan. Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh bukan sahaja dari kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

    Pada Mac tahun lepas, kerajaan Malaysia berkata bahawa RM3.46 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksanaan sistem MLFF yang dirancang akan diperkenalkan pada 2025. Pada Julai tahun ini, Alexander berkata, beliau berharap dapat mengadakan perjanjian lebih awal dengan syarikat-syarikat tersebut agar MLFF dapat dilaksanakan lebih awal iaitu pada penghujung 2024.

     
     
  • Honda akan tunjuk siri EV global baru Januari 2024

    Honda akan tunjuk siri EV global baru Januari 2024

    Honda telah mengumumkan bahawa mereka akan menunjukkan buat kali pertama satu siri EV global baru semasa pameran Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas 9-12 Januari 2024 nanti. Perincian berkenannya tidak diberi tetapi dalam siaran akhbar Honda menyatakan selain siri EV global baru itu, mereka juga akan menunjukkan “teknologi penting yang memberi gambaran kepada transformasi utama yang sedang dilalui Honda sekarang.”

    April tahun lalu, Honda mendedahkan rancangan elektrifikasi mereka sehingga 2030, yang akan menyaksikan 30 EV baru diperkenal dan sasaran jumlah pengeluaran tahunan lebih dua juta unit. Ini akan menyumbang kepada misi syarikat untuk mencapai neutraliti karbon bagi semua produk serta aktiviti korporat mereka sehingga tahun 2050.

    Bersama dengan pengumuman ini, Honda telah mengeluarkan satu gambar teaser yang mungkin adalah kereta konsep yang akan ditunjukkan semasa CES 2024 nanti. Dalam keadaan asal, gambar ini mungkin kurang jelas dan cuma menampakkan panel petak yang tertutup, tetapi setelah diterangkan barulah terlihat ia adalah bahagian hadapan sebuah kereta yang mempunyai garis lurus dari bumbung ke bonet, serta rim yang mempunyai garis bercorak.

    Bentuk yang banyak menggunakan garis lurus ini mengingatkan kepada model e:N2 Concept yang ditunjukkan tahun lepas, tetapi ia lebih tinggi dan tidak serendah dan setajalm model yang akan ditunjukkan di CES ini. Honda sudah mempunyai beberapa EV dalam pasaran dan lebih lagi akan dilancarkan, tetapi bukan semuanya adalah model global. Model yang akan ditunjukkan di CES ini bagaimanapun boleh dipandang penting.

     
     
  • Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Tak sampai sebulan selepas dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 21 November lalu, smart Malaysia mengumumkan model EV pertamanya yang di bawa ke sini iaitu smart #1 telahpun mencatatkan jumlah tempahan melebihi 1,000 unit.

    “Kejayaan smart #1 tidak hanya mencerminkan kecemerlangan produk, tetapi juga dedikasi kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar dan menyeronokkan. Perlindungan jaminan komprehensif, pakej percuma, dan tawaran pengecas rumah smartCharge adalah bukti komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan. Penghantaran juga merupakan aspek penting, dan pasukan kami sedang berusaha gigih untuk memastikan kereta disampaikan kepada pelanggan kami yang dihargai tepat pada masanya,” kata ulas Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    Untuk menempah smart #1, anda tidak perlu ke bilik pameran kerana ia boleh dibuat secara atas talian menerusi aplikasi Hello smart. Aplikasi berkenaan akan terus digunakan oleh pelanggan sehingga ke proses pembayaran, dan selepas menerima kereta ia boleh digunakan untuk memantau status kereta, kawalan jauh untuk pelbagai fungsi, mencari lokasi pengecas serta memulakan proses dan memantau pengecasan.

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Walaupun masih baharu dalam Malaysia, smart kini sudahpun mempunyai 10 cawangan pengedar yang terletak di enam negeri. Menerut syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, jaringan pengedar berkenaan “tidak hanya bertujuan untuk memudahkan proses pembelian, tetapi juga memastikan perkhidmatan pasca-pembelian terkemuka yang menawarkan bimbingan pakar kepada pelanggan.”

    smart #1 ditawarkan dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia. Ia dijual dengan harga bermula RM189,000 bagi varian Pro, dengan varian Premium pula pada harga RM219,000 – kedua-dua varian ini menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 272 PS (200 kW)/343 Nm. Manakala bagi versi yang lebih berprestasi dengan dua motor AWD berkuasa 428 PS (315 kW)/543 Nm smart #1 Brabus pula dijual harga RM249,000.

    Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit – percuma data 60GB, aksesori RM2k & pengecas sehingga 31 Dis

    Setiap pembelian smart #1 ini datang dengan pakej waranti komprehensif menampilkan waranti bateri EV selama 8 tahun atau 200,000km, waranti komponen bervoltan tinggi selama 8-tahun atau 150,000km, waranti kenderaan selama 4-tahun tanpa had perbatuan dan waranti alat ganti selama 2-tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan juga diberikan khidmat bantuan tepi jalan 24 jam sehari, 7-hari seminggu.

    Sebagai tambahan, smart Malaysia juga menawarkan pakej aksesori percuma bernilai RM2,000 dan data internet 60GB selama lima-tahun. Sempena pelancaran semula jenama smart di Malaysia, syarikat itu turut menawarkan smartCharge Home Charger bernilai RM3,200 secara percuma (tidak termasuk kos pemasangan, yang bermula dari RM2,488). Namun tawaran ini hanya sah sehingga 31 Disember 2023.

    GALERI: Pilihan warna luaran smart #1 2023

    GALERI: smart #1 Premium di Malaysia


    GALERI: smart #1 Brabus di Malaysia

     
     
  • Auto Bavaria bekerjasama dengan DC Handal untuk tambah pengecas EV di Lembah Kelang, P.Pinang

    Auto Bavaria bekerjasama dengan DC Handal untuk tambah pengecas EV di Lembah Kelang, P.Pinang

    Kumpulan pengedar BMW terbesar di Malaysia, iaitu Auto Bavaria (AB), telah menjalin kerjasama dengan pengendali tempat mengecas (CPO), DC Handal untuk menambah lagi pengecas kenderaan elektrik (EV) di kawasan bandar. Kerjasama strategik ini dijadikan rasmi dalam satu majlis di Bamboo Hills, Kuala Lumpur sambil dihadiri timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri, Liew Chin Tong. Di situ juga sudah tersedia beberapa pengecas DC Handal dengan logo AB dan BMW.

    AB memberitahu, mereka akan bekerja rapat dengan DC Handal untuk menyiapkan pengecas pantas di 10 kawasan utama dalam Lembah Kelang dan Pulau Pinang, dan mempunyai perancangan untuk beberapa tempat lain. Di Bamboo Hills, terdapat empat pengecas Kempower DC 200 kW dengan bayaran RM1.50 bagi setiap kWh. Walaupun mempunyai jenama BMW, pengecas ini boleh digunakan untuk apa sahaja EV, bukannya BMW sahaja.

    Unik berkenaan pengecas DC Handal adalah anda tidak perlu menggunakan aplikasi untuk pembayaran, dan boleh membayar dengan kad kredit atau debit. Sudah tentu, anda juga masih boleh membayar dengan aplikasi seperti JomCharge atau ChargEV. Senarai lokasi pengecas DC Handal ada di sini.

    “Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelanggan, tetapi juga menyumbang kepada usaha bersama untuk membentuk, mengetuai dan menjadikan landskap automotif Malaysia lebih bersedia untuk masa hadapan, selari dengan matlamat yang telah ditetapkan dalam Bajet 2024,” kata ketua komunikasi korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambihaipahan.

    Pengarah DC Handal, Lim Chern Chuan pula berkata, “kerjasama dengan Auto Bavaria ini menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan bukan sahaja teknologi pengecas EV yang terbaik, tetapi juga pengalaman mengecas yang serba mudah melalui rangkaian kami.”

     
     
  • Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Angka kenderaan yang berdaftar di Malaysia kini mencecah 36.3 unit setakat Oktober 2023, lonjakan yang ketara berbanding yang dilaporkan sebelum ini. Pada Jun tahun lalu, ia mencatatkan sejumlah 33.3 juta kenderaan berdaftar, dengan peningkatan sejuta unit setiap tahun sejak 2019.

    Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang turut memberi pecahan jenis kenderaan yang didaftarkan. Beliau berkata, kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 17,244,978 unit, diikuti motosikal sebanyak 16,773,112 unit dan kenderaan untuk mengangkut barangan sebanyak 1,429,403 unit.

    Selain itu, 84,745 teksi telah didaftarkan, serta 64,021 unit bas dan 30,318 unit kereta sewa, dengan 736,410 kenderaan lain yang tidak sesuai dalam mana-mana kategori juga dalam senarai, seperti yang dilaporkan New Straits Times.

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini cecah 36.3 juta unit, hampir 24 juta masih aktif – Loke

    Ternyata jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia telah melebihi jumlah penduduk negara, yang setakat tahun lepas berjumlah 32.4 juta. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bilangan sebenar kenderaan di jalan awam adalah lebih tinggi daripada populasi pada masa ini.

    Ini kerana keseluruhan jumlah kenderaan yang berdaftar itu adalah dalam tempoh hampir lapan dekad. Pada November 2021, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika itu Zailani Hashim menyatakan bahawa jabatan itu telah mendaftarkan 33.05 juta kenderaan dalam tempoh 75 tahun sejak ia diperbadankan pada 1 April 1946 sebagai pendaftar dan pemeriksa kenderaan bermotor (RIMV).

    Tetapi berapa banyak kenderaan yang sebenarnya masih digunakan pada ketika ini? Agak banyak sebenarnya. Loke mendedahkan bahawa daripada jumlah itu, 23,822,322 kenderaan masih mempunyai lesen kenderaan bermotor atau cukai jalan yang aktif; manakala 12,540,664 kenderaan tidak aktif tanpa sebarang cukai jalan. Jadi, hampir 24 juta kenderaan berdaftar masih aktif dan angka itu tidak melebihi keseluruhan jumlah penduduk Malaysia setakat ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025