Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

2023 Honda Accord.

Selepas menyiarkan teaser bulan lalu, Honda kini mendedahkan sepenuhnya rupa dan spesifikasi untuk Honda Accord generasi ke-11 bagi pasaran Amerika Syarikat. Seperti imej paten yang terdedah sebelum ini, Honda Accord 2023 menampilkan rekaan yang lebih sporty, matang dan ringkas dengan imej seakan sedan dari Eropah.

Untuk muka, tiada lagi rekaan Solid Wing pada model generasi ke-11 ini dan ia menerima gril hadapan besar berbentuk heksagon, seakan mendapat inspirasi dari gril model-model Acura yang lebih mewah.

Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan yang tirus, dan turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED. Apron hadapan ini dilengkapkan dengan kemasan liang ambilan udara sebelah bawah yang direka lebar merentangi keseluruhan bampar.

Model generasi ke-11 ini masih tampil dengan bentuk badan fastback, tetapi ia diperkemas dengan garis-garis yang lebih tegak dan bersegi. Kemasan krom pada bahagian atas cermin tingkap sisi masih diberikan, dan ia kini lebih panjang sehingga ke bahagian bawah cermin suku belakang.

Di belakang, tiada lagi lampu berbentuk ‘stapler’ seperti model sebelumnya, dan ia digantikan dengan rekaan lampu nipis yang lebih ringkas bersama bar yang merentangi sepenuhnya. Penutup but masih direka dengan hujung yang nampak seperti diberikan spoiler ‘ekor itik, manakala kemasan diffuser di bawah bampar kini lebih menonjol.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

2023 Honda Accord.

Honda menyatakan bahawa ia kini menggunakan proses pemasangan menggunakan teknologi kimpalan laser, dan membolehkan bumbung Accord ini tidak perlu diberikan perapi penutup kimpalan, memberikan rekaan yang lebih ringkas dan kemas.

Dalam kabin, Accord 2023 ini menerima papan pemuka lebih ringkas seperti Civic FE, diberikan corong pendingin hawa yang kelihatan seperti merentangi sepenuhnya papan pemuka. Tiada lagi kawalan penghawa dingin digital menerusi skrin, dan ia sudah diganti semula dengan suis-suis putar analog yang lebih mudah digunakan.

Skrin infotainmen juga kini diletakkan secara ‘berdiri sendiri’ pada bahagian tengah. Skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci berkenaan merupakan yang paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Honda. Menurut jenama itu lagi, pada bahagian bawah skrin tersebut turut direka dengan permukaan rata sebesar satu-inci, membolehkan anda meletakkan jari bagi mengoperasikan skrin tersebut dengan stabil.

Ia turut menampilkan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay yang boleh dihubungkan tanpa wayar, serta dihubungkan kepada sistem infotainmen yang berintegrasi dengan servis-servis terhubung Google untuk model varian tertinggi Touring pasaran AS. Servis-servis tersebut termasuk aplikasi Google Assistant, Google Maps dan pelbagai aplikasi lain boleh dipilih pada Google Play. Ini membolehkan pelbagai fungsi pada Accord ini dioperasikan menerusi arahan suara Google Assistant, mendapat navigasi dari maklumat trafik dari Google Maps serta memuat turun muzik, podcast, audiobooks dan lain-lain dengan Google Play.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

2023 Honda Accord.

Model Touring juga diberikan paparan head-up bersaiz enam-inci bersama sistem bunyi 12-pembesar suara dari Bose. Menurut Honda, sistem bunyi berkenaan menggunakan teknologi Bose Centerpoint dan pemproses isyarat digital Bose SurroundStage, yang didakwa “direka khas dengan jitu untuk kabin Accord supaya pemandu dan penumpang – tanpa mengira kedudukan tempat duduk mereka – diletakkan di tengah-tengah muzik, dengan pengalaman mendengar yang jelas dan luas.”

Walau bagaimanapun, untuk varian-varian lebih rendah, Accord 2023 ini hanya diberikan skrin bersaiz 7-inci, bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay yang dihubungkan dengan wayar.

Pemandu diberikan tempat duduk larasan elektrik lapan-hala (untuk varian EX dan ke atas) roda stereng baharu yang nampak seiras dengan roda stereng Civic FE, bersama paparan insrumen digital dengan skrin 10.2-inci. Bagi model hibrid, ia tidak disertakan dengan takometer pada skrin tersebut, tetapi digantikan dengan paparan aliran kuasa. Tombol gear telah diarahkan kepada pemandu pada sudut 5 darjah, yang bukan sahaja memudahkan capaian pemandu, malah ia turut membolehkan pemegang cawan bersiaz besar diletakkan di sebelah.

Kesemua varian Accord ini diberikan kebolehan untuk mengemaskini perisian secara Over the Air (OTA) untuk hampir kesemua modul komputer dalam kereta tersebut bagi mengemaskini fungsi dan kemampuan dari masa ke masa.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

Honda menyatakan bahawa Accord generasi ke-11 ini menawarkan ruang penumpang paling luas dalam kelasnya iaitu 2,994 liter, bersama ruang kaki penumpang belakang 1,036 mm. Ia diberikan tempat duduk hadapan baharu yang dipanggil Kerusi Penstabil Badan, menampilkan kerangka yang mampu memegang badan serta mengurangkan keletihan ketika memandu dalam masa yang lama. Manakala tiang-A hadapan pula direka lebih ‘kurus’ bagi memberikan pendangan luar yang lebih luas.

Menurut Honda lagi, kabin Accord 2023 ini diberikan komponen-komponen yang diperbuat dari material berkualiti tinggi, terutamanya pada titik-titik sentuh bagi memberikan rasa yang premium. Antara material yang digunakan termasuk kemasan yang ‘menarik pandangan mata’ seperti perapi-perapi Piano Black, gril mesh logam untuk liang pendingin hawa dan lain-lain.

Ruang kargo untuk Accord ini juga didakwa paling besar dalam kelasnya dengan kapasiti ruang but 473 liter, dan tempat duduk belakang turut boleh dilipat bagi memberikan ruang lebih besar.

Honda Accord 2023 ini diasaskan dari platform global Honda yang telah dipertingkat, memberikan ketegaran casis lebih tinggi serta sokongan badan lebih keras, bersama bar-bar pendakap hadapan yang memberikan pengendalian, pemanduan dan juga perincian keseluruhan yang diperhalusi.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

2023 Honda Accord

Talaan untuk suspensi hadapan dengan sistem bebas sepenuhnya telah dibuat semula, dengan galas cagak penyerap hentak hadapan direka dengan rintangan geseran lebih rendah bagi memberikan stereng yang lebih lancar. Menurut Honda, talaan baharu pada suspensi dan stereng ini membolehkan Accord lebih seronok untuk dipandu, dalam masa yang sama memberikan kualiti pemanduan lebih baik. Kesemua varian juga menerima trek roda belakang empat-inci lebih lebar dari sebelum ini bagi memberikan rupa lebih garang serta kestabilan lebih baik.

Dua jenis unit rangkaian kuasa disediakan untuk Accord generasi baharu ini iaitu dalam versi petrol penuh dan hibrid. Bagi model petrol, ia diberikan enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo yang dikemaskini, memberikan prestasi emisi lebih baik. Antara penambahbaikkan yang dibuat termasuk menaik taraf sistem suntikan bahan api terus, menggunakan pemangkin aktif-sejuk baharu, serta aci engkol dan takung minyak enjin lebih keras bagi mengurangkan bunyi enjin.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear CVT automatik yang telah diperhalusi bagi mengurangkan bunyi, serta talaan semula yang dibuat bagi memberikan rasa seperti tukaran gear sebenar ketika dipandu dengan pedal pendikit yang ditekan sepenuhnya. Namun Honda masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa, penggunaan bahan api dan juga prestasi Accord dengan enjin VTEC Turbo ini.

Manakala untuk model Hybrid, ia masih menggunakan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang menggandingkan dua motor elektrik dan juga enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson. Namun untuk model baharu ini, enjin petrol tersebut sudahpun diberikan sistem suntikan terus.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

2023 Honda Accord.

Menurut Honda, konfigurasi baharu ini membolehkan enjin tersebut digandingkan dengan motor elektrik lebih berkuasa, dan kini ia menerima kuasa keseluruhan 204 hp dan tork maksima 335 Nm. Jika dibandingkan dengan Accord Hybrid generasi sebelumnya, model baharu ini menghasilkan kuasa 8 hp lebih kecil tetapi dengan tork 20 Nm lebih besar.

Honda juga menyatakan bahawa perubahan telah dibuat pada sistem kawalan hibrid yang memberikan pengurusan enjin dan kuasa elektrik lebih baik dalam pelbagai situasi berbeza bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih baik.

Empat mod pemanduan diberikan pada Accord baharu ini iaitu Econ, Normal, Sport (hanya untuk hybrid) dan juga Individual. Tiga mod pertama tersebut diberikan pra-tetapan prestasi yang telah dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan pemandu termasuk respon rangkaian kuasa, tahap bantuan stereng, corak paparan instrumen dan sistem cruise control adaptif. Manakala mod Individual pula membenarkan pemandu membuat tetapan mengikut ‘selera’ mereka sendiri.

Untuk keselamatan, Accord 2023 ini menerima beg udara hadapan yang direka bagi mengurangkan potensi untuk mengalami trauma otak yang teruk biasanya terjadi dalam pelanggaran hadapan bersudut. Beg udara untuk pemandu pula menggunakan jahitan yang lebih inovatif bagi menguatkan lagi setiap sisi beg tersebut.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

Manakala beg udara penumpang hadapan pula menggunakan rekaan tiga kebuk baharu dengan dua kebuk luar direka bagi melindungi kepala serta mengurangkan putaran. Buat pertama kali, Accord diberikan beg udara untuk lutut dan hentaman sisi penumpang belakang sebagai ciri standard.

Sistem bantuan pemanduan Honda Sensing pada Accord ini turut diberikan pelbagai kemaskini. Antaranya, ia kini diberikan kamera pandangan lebih lebar 90 darjah serta radar juga dengan pandangan lebih lebar 120-darjah. Kamera dan radar baharu ini memberikan prestasi untuk mengelak pelanggaran yang lebih baik menerusi kebolehan lebih tepat untuk mengenal objek seperti kenderaan atau pejalan kaki, serta garisan putih, sempadan jalan, penunggang basikal, motosikal dan papan tanda jalan.

Kamera sudut lebar ini juga membolehkan pelbagai kawalan untuk sistem bantuan pemanduan di kawasan persimpangan. Manakala sistem informasi titik buta juga kini lebih baik dengan radar yang boleh mengesan sehingga 25 meter. Juga buat pertama kali, Accord diberikan sistem Traffic Jam Assist (TJA) yang sebelum ini sudahpun diberikan pada Civic FE.

Antara perincian keselamatan baharu yang lain termasuk Rear Seat Reminder bagi mengingatkan pemandu agar tidak tertinggal barang, haiwan peliharaan atau kanak-kanak di tempat duduk belakang sebelum keluar dari kereta, serta sistem pengesan kedudukan kenderaan sekiranya dicuri, immobilizer jarak jauh dan fungsi Find-My-Vehicle sekiranya anda terlupa di mana anda memarkir kenderaan.

Honda Accord 2023 pasaran AS didedahkan – 1.5L VTEC Turbo & 2.0L Hybrid, dalaman lebih premium

Enam varian Accord 2023 ditawarkan di Amerika Syarikat bermula dengan varian yang menerima enjin turbo iaitu LX dan EX, diikuti model yang dijana sistem hibrid iaitu Sport, EX-L, Sport-L dan Touring. Lapan warna badan disediakan termasuk tiga warna baharu iaitu Meteorite Gray Metallic, Urban Gray Pearl dan Canyon River Blue Metallic. Rim bersaiz 17-inci hingga 19-inci disediakan bergantung pada varian.

Honda Accord 2023 ini akan terus diproduksi kilang Honda Marysville Auto Plant di Ohio, dan pada 1 November lalu merupakan ulangtahun ke-40 sejak Accord pertama diproduksi di Ohio pada 1982.

Di Malaysia, kita baru sahaja menerima Accord generasi ke-10 pada Februari 2020, jadi adakah model generasi ke-11 ini akan dibawa ke sini dalam masa terdekat? Dalam laporan sebelum ini, Honda ada menyatakan bahawa kitaran hayat untuk Accord pasaran AS dan juga pasaran Asia, Asia Tenggara dan Australiasia (termasuk Jepun, Malaysia dan Australia) adalah berlainan. Jadi boleh dijangka Accord sedia ada akan terus dijual di Malaysia sehingga tempoh sekitar enam tahun dalam pasaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required