Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Volkswagen Scirocco akan kembali sebagai sebuah EV

    Volkswagen Scirocco akan kembali sebagai sebuah EV

    Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, Volkswagen dikatakan sedang membuat kajian berkenaan cadangan rekaan, kejuruteraan serta pengeluaran yang diterima dalam syarikat untuk Scirocco baru yang akan kembali sebagai sebuah EV yang berkongsi platform sama dengan Porsche Boxster dan Cayman EV.

    Scirocco ini akan terus menggunakan tetapan dua pintu, sama seperti tiga generasi model yang menggunakan nama itu sebelum ini. Jika mendapat kelulusan daripada CEO jenama Volkswagen, Thomas Schafer, ia berkemungkinan dapat dilancar pada tahun 2028.

    Jika melihat kepada keseluruhan Volkswagen Group, model lain yang mungkin dapat dikeluarkan dengan menggunakan platform EV sports sama adalah seperti Audi TT baru serta versi produksi bagi Cupra Dark Rebel Concept.

    Volkswagen Scirocco akan kembali sebagai sebuah EV

    Sementara versi elektrik bagi Volkswagen Golf sekarang akan menggunakan platform SSE, Scirocco pula dikatakan bakal menerima platform versi khas yang turut dibangunkan untuk Porsche Boxster dan Cayman. Platform ini dikatakan dapat menerima badan dengan jarak serta lebar roda yang berbeza, serta pelbagai tetapan penggerak dan pacuan.

    Beberapa aspek platform Scirocco baru ini dikatakan mengambil inspirasi daripada paltform J1 yang digunakan untuk Porsche Taycan dan Audi e-tron GT, seperti lantai yang rendah, dan menjadikan profailnya lebih sporty serta bateri yang terletak di bahagian tengah dan belakang kenderaan. Scirocco baru ini juga dijangka menggunakan jarak roda yang lebih panjang supaya terdapat ruang untuk penumpang belakang.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X70 facelift 2024 – dapat set rim baru tapi masih guna rekaan papan pemuka lama

    SPYSHOT: Proton X70 facelift 2024 – dapat set rim baru tapi masih guna rekaan papan pemuka lama

    Kami menerima satu lagi set gambar bagi unit prototaip ujian Proton X70 facelift yang dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan kali ini beberapa perincian lagi dapat didedahkan. Gambar-gambar ini dikirimkan oleh seorang pembaca paultan.org yang tidak mahu dikenali, dan ia didakwa dirakam di Cheras.

    Berbanding dari unit-unit ujian sebelum ini di mana kesemua rim masih disorokkan dengan pelekat penyamaran, unit prototaip yang dijumpai kali ini nampaknya telah mendedahkan rekaan tersebut. Seperti dijangka, X70 facelift ini menggunakan set rim yang sama digunakan pada kembarnya di China iaitu Geely Boyue facelift yang muncul pada 2022.

    Namun apa yang menarik perhatian kami, individu yang menghantar set gambar ini menyatakan bahawa X70 facelift tersebut masih mengekalkan rekaan papan pemuka yang sama seperti model sedia ada. Jadi ia agak berbeza dengan Boyue facelift 2022 di mana papan pemuka berkenaan telah disegarkan, terutama di bahagian ‘lapisan’ tengah yang kini menampilkan skrin infotainmen berbentuk segi empat berbanding bentuk trapezoid pada model lama.

    Bahagian lain, terutamanya sebelah luar masih nampak sama seperti unit ujian sebelum ini. Ia dilindungi dengan pelekat penyamaran yang membalut hampir keseluruhan pada bahagian hadapan, serta membaluti keseluruhan bampar dan sebahagian panel sisi belakang.

    Menerusi bentuk lampu dan bayangan badan di sebalik pelekat tersebut, ia sudah pasti diberikan penyegaran rupa dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.

    Sentuhan Proton yang diberikan pada model ini adalah gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada SUV segmen-D Proton X90 dan S70 yang dilancarkan tahun lalu, bagi menggantikan gril dengan rekaan infinite weave pada X70 sedia ada. Manakala di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bahagian bampar yang ditutup pelekat penyamaran iaitu kemasan diffuser baharu.

    Papan pemuka Proton X70 MC2 2022 (kiri) dan papan pemuka Geely Boyue facelift 2022 (kanan)

    Proton tidak mempunyai model serba baharu untuk dilancarkan tahun ini, namun ia dijangka akan memperkenalkan versi kemaskini dengan perubahan besar pada dua model berasaskan Geely sedia ada iaitu X70 dan X50 facelift bagi mengekalkan momentum jualannya.

    Berdasarkan rupa unit ujian Proton X70 facelift ini yang kelihatan hampir lengkap sebagai model produksi sebenar, mungkin pelancarannya akan dibuat tak lama lagi?

    GALERI: Spyshot Proton X70 facelift 2024

    GALERI: Geely Boyue facelift 2022

     
     
  • GAC lantik sembilan wakil pengedar baharu – Selangor, Pahang, N.Sembilan, Johor, P.Pinang, Kedah

    GAC lantik sembilan wakil pengedar baharu – Selangor, Pahang, N.Sembilan, Johor, P.Pinang, Kedah

    Pengedar kenderaan GAC di Malaysia, Warisan Tan Chong Automotif, telah melantik sembilan wakil pengedar baharu untuk Semenanjung Malaysia.

    Sembilan wakil pengedar baharu itu ialah Evolution Autotech, Gem Utara, Ju Brothers Motor,
    Klinik Kereta Tampin, Kuantan Motor, Mercu Usaha Automobile, Motion Beyond, Sincere Scope dan SV Auto Selection.

    Wakil pengedar ini akan ditempatkan di beberapa lokasi utama di Semenanjung Malaysia, iaitu Cyberjaya, Alor Setar, Butterworth, Seremban, Kuantan, Sungai Petani, Setia Alam, Johor Bahru dan Balakong.

    “Kami teruja untuk mengalu-alukan sembilan pengedar yang dihormati ini untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kami yang semakin berkembang. Kepakaran dan dedikasi mereka terhadap kecemerlangan sejajar dengan nilai kami, dan bersama-sama kami bersedia untuk menawarkan pengalaman automotif yang dipertingkatkan kepada pelanggan di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Warisan TC Holdings Tan Keng Meng dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Pelantikan sembilan pengedar di Semenanjung Malaysia ini berikutan kenyataan awal Tan pada majlis pra-tonton GAC GS3 Emzoom untuk pasaran Malaysia, yang menyatakan Warisan TC menyasarkan untuk menubuhkan lebih daripada 20 bilik pameran dan pusat servis di seluruh negara bagi jenama tersebut menjelang akhir tahun ini.

    Dipertontonkan pada akhir Januari lalu, GS3 Emzoom merupakan crossover segmen-B yang akan ditawarkan pada harga di bawah RM130,000 dan diperkenalkan dengan dua varian iaitu Exclusive dan Premium-R, yang akan dibawa masuk sebagai model import sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu. Manakala unit pemasangan tempatan (CKD) akan mula diproduksi pada April 2024 di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut.

     
     
  • Honda Malaysia terima 6,500 tempahan CR-V baharu dalam masa 2 bulan, sekitar 1.5k unit sudah diserah

    Honda Malaysia terima 6,500 tempahan CR-V baharu dalam masa 2 bulan, sekitar 1.5k unit sudah diserah

    Selepas dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan pada 14 Disember 2023, Honda Malaysia mengumumkan bahawa sehingga 22 Februari lalu ia telah pun menerima hampir 6,500 tempahan pelanggan untuk SUV segmen-C CR-V generasi baharu. Dan dari jumlah tersebut, sekitar 1,500 unit sudahpun dihantar kepada pelanggan.

    Menurut Honda Malaysia dalam data yang dikongsikan ketika sesi pandu uji media CR-V 2024 pagi ini, varian petrol paling mahal iaitu CR-V 1.5L Turbo V merupakan model yang paling laris dimana 45% dari keseluruhan pelanggan yang menempah memilih varian ini.

    Ia diikuti dengan gred E sebanyak 30%, manakala varian paling murah iaitu CR-V 1.5L Turbo S ditempah sebanyak 11% berbanding angka keseluruhan. Manakala varian paling sporty, paling mahal serta menerima unit rangkaian kuasa hibrid iaitu CR-V RS e:HEV yang baru diumumkan harganya bulan lalu pula telah ditempah sebanyak 14% dari jumlah tempahan keseluruhan.

    Klik untuk besarkan

    Pelanggan-pelanggan CR-V generasi baharu ini nampaknya begitu berminat dengan warna Canyon River Blue Metallic kerana 36% tempahan adalah dalam rona tersebut. Ia diikuti dengan Platinum White Pearl (24%), Meteor Grey Metallic (23%), Lunar Silver Metallic (9%), manakala warna hero untuk varian RS iaitu Ignite Red Metallic pula hanya dipilih oleh 8% pembeli.

    Honda CR-V generasi keenam ini dijual di Malaysia bermula dengan harga RM159,900 untu varian asas 1.5L Turbo S, diikuti RM169,900 untuk varian 1.5L Turbo E dan RM181,900 untuk 1.5L Turbo V AWD. Manakala varian RS e:HEV pula dijual pada harga RM195,900. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Untuk lebih perincian berkenaan kesemua varian Honda CR-V 2024 pasaran Malaysia ini, anda boleh baca laporan pelancarannya pada PAUTAN INI.

    GALERI: Honda CR-V e:HEV RS 2024

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo V 2024

     
     
  • Kerajaan akan mula guna EV untuk flit kenderaan tahun ini, mula dengan skala kecil – Nik Nazmi

    Kerajaan akan mula guna EV untuk flit kenderaan tahun ini, mula dengan skala kecil – Nik Nazmi

    Menteri Sumber Asli,Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa kerajaan akan memulakan inisiatif untuk menukarkan kenderaan operasi kerajaan kepada kenderaan elektrik (EV) bermula tahun ini. Menurutnya ini merupakan salah satu usaha kerajaan bagi mengurangkan pencemaran karbon dalam negara.

    Walau bagaimanapun beliau menyatakan peralihan ini akan dimulakan dalam skala kecil terlebih dahulu kerana ia turut akan mengambil kira implikasi kewangan sebelum langkah tersebut diimplementasikan kepada semua agensi.

    “Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu, flit kerajaan akan turut merangkumi EV pada tahun ini,” katanya dalam laporan The Star ketika melancarkan Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 semalam.

    “Namun, implementasi ini tidak akan dibuat sepenuhnya kerana ia melibatkan jumlah yang besar. Kami perlu mengambil kira implikasi kewangan juga,” tambahnya lagi

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunkan kereta elektrik penuh (EV) sebagai kenderaan rasmi bagi menggantikan kereta-kereta sedia ada.

    Walau bagaimanapun beliau tidak memperincikan sama ada ia hanya akan membabitkan kereta-kereta rasmi menteri kabinet atau melibatkan kesemua kenderaan kerajaan.

     
     
  • Perodua Myvi lawan arus di Linkedua JB – libatkan pemandu warga emas, alasan salah masuk jalan

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor, ACP Rahmat Ariffin telah mengesahkan insiden sebuah Perodua Myvi berwarna perak yang didapati dipandu melawan arus di daerah berkenaan petang semalam.

    Menurut Rahmat, semalam pihaknya telah menerima maklumat berkaitan video yang tular di laman Facebook. Video berdurasi 60 saat yang dirakam menerusi dashcam sebuah kenderaan menunjukkan Myvi dengan plat pendaftaran JWH 8557 dipandu secara berbahaya dengan melawan arus di lokasi 13.1J Lebuhraya Linkedua, Johor Baharu.

    “Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri telah membuat tangkapan ke atas pemandu terbabit iaitu seorang lelaki berbangsa Cina (suspek) berusia 74 tahun di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah dan dibawa ke BSPTD bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya.

    “Hasil daripada siasatan yang dijalankan mendapati suspek yang berasal dari Segamat dan pertama kali datang ke Johor Bahru. Semasa kejadian, suspek dalam perjalanan ke rumah rakannya di Nusa Bayu. Suspek tidak tahu selok belok jalan di Johor Bahru dan telah masuk ke jalan yang salah hingga melawan arus seperti mana di dalam video yang tular,” kata Rahmat menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sambungnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian tersebut boleh menghubungi BSPTD Iskandar Puteri di talian 07-5101322 untuk membantu siasatan.

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak kali memberikan peringatan bahawa memandu melawan arus adalah satu kesalahan, di mana tindakan boleh diambil terhadap pemantu atau penunggang jika didapati bersalah di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

    Ini termasuklah pemanduan yang melulu dan berbahaya, dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun, dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000. Individu yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh lima tahun dari tarikh sabitan, kata polis sebelum ini.

     
     
  • KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    Selepas hanya diadakan satu pusingan tahun lalu, siri Kejohanan KBS Rally Sprint kembali untuk edisi 2024 – kali ini ia akan dilangsungkan sebanyak tiga pusingan, di mana pusingan pertama telah pun berjaya ditamatkan dengan jayanya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang hujung minggu lalu.

    Pusingan pertama Rally Sprint berkenaan nampaknya berjaya menarik penyertaan wira-wira rali negara seperti Saladin Mazlan, Karamjit Singh dan Haji Sutan Mustafa Salihin, serta pasukan-pasukan rali yang sudah lama tidak beraksi untuk dijadikan sebagai platform ‘pemanas badan’ bagi banyak lagi perlumbaan rali yang dijadualkan akan berlangsung semula di Malaysia tahun ini.

    Walau bagaimanapun pusingan pertama KBS Rally Sprint 2024 bukan hanya penuh dengan drama, malah ia turut menyajikan keputusan yang mengejutkan di mana pelumba yang sinonim dalam displin Gymkhana, Mitch Chong berjaya menjuarai rali kali ini dengan menewaskan jentera-jentera 2.0 liter turbo pacuan semua roda dalam kelas P12, hanya dengan memandu Proton Satria dengan enjin 1.8 liter NA!

    Para pelumba dilepaskan tepat pada pukul 8 pagi, 25 Februari 2023 selepas segala persiapan termasuk sesi recce yang berlangsung pada hari sebelumnya. Pada SS pertama, pelumba dari pasukan Kie Garage Motorsport, Zahid Latiff yang memandu Daihatsu Mira L5 membuat kejutan dengan mencatat masa terpantas, 7 saat lebih laju dari Haji Sutan yang memandu Subaru Impreza WRX STi GDB pasukan Magnax Racing.

    Walau bagaimanapun, selepas terlalu memaksa Kei-Car turbo pacuan roda hadapan berkenaan, jentera yang dipandu oleh Zahid tersebut mengalami kerosakan sistem stereng di mana tie-rod end bahagian kanan telah patah pada SS2. Selepas Zahid terpaksa pulang ke service park, saingan untuk LEG 1 tertumpu antara dua pelumba pasukan Magnax Racing iaitu Haji Sutan dan Mitch Chong.

    Dengan jentera yang kurang berkuasa tetapi lebih ringan serta dibangunkan khas untuk laju di permukaan tar, khususnya dalam perlumbaan Gymkhana, Proton Satria 1.8L NA pacuan roda hadapan Mitch berjaya mencatatkan masa lebih pantas di SS3, SS5, SS6 dan SS8 berbanding Subaru Impreza yang dipandu oleh Haji Sutan.

    Melihat catatan masa yang dibuat oleh Mitch begitu serius, Haji Sutan sedikit demi sedikit menukar gaya pemanduannya dari agresif dengan ‘membelanja’ aksi power slide untuk penonton, kepada pemanduan yang lebih kemas dan tidak membuang masa. Namun selepas habis lapan SS pertama, Mitch Chong berjaya menamatkan LEG 1 pada kedudukan pertama, dengan kelebihan hanya 3 saat berbanding Haji Sutan.

    Kedudukan Mitch di hadapan ini juga dibantu oleh nasib tidak baik yang dialami oleh tiga pemandu untuk kelas P12 (kapasiti lebih 2.0L, 4WD) iaitu Saladin Mazlan, Karamjit Singh dan Faidzal Alang. Bagi Saladin, jentera space frame MINI Deus dengan enjin 4G63T yang dipandunya mengalami masalah pada kotak komputer enjin, menyebabkan dia terpaksa ‘merangkak’ mengharungi SS1 hingga SS4, dan mengambil keputusan untuk keluar terus dari perlumbaan selepas itu.

    Karamjit Singh pula memandu Mitsubishi Lancer Evolution 8 pasukan Marcars Motorsport yang baru ‘dikejutkan semula’ disaat-saat akhir selepas ‘tidur’ selama lapan tahun, menyebabkan ia tidak dapat beraksi sepenuhnya kerana menghadapi pelbagai masalah termasuk tekanan bahan api yang tidak stabil. Walau bagaimanapun Karamjit masih mampu menghabiskan LEG 1 pada kedudukan kelima.

    Manakala bagi Faidzal Alang dari pasukan Darsa Lube Rally Consortium, enjin Mitsubishi Lancer Evolution yang dipandunya tiba-tiba mati di SS3. Jentera berkenaan kemudiannya terpaksa ditunda untuk kembali ke service park dan kemudiannya disahkan mengalami masalah pada pam bahan api.

    LEG 2 bermula pada sebelah petang dengan pelumba pertama dilepaskan ke SS9 tepat pada pukul 2 petang. Beberapa kereta yang rosak pada LEG 1 seperti Mira Zahid Latiff dan Lancer Evo Faidzal Alang berjaya diperbaiki dan mula berlumba semula dalam LEG 2 ini.

    Kali ini Karamjit Singh seakan bangkit semula dengan mencatatkan masa terpantas di SS9 dan SS10, dan seterusnya memenangi LEG 2 secara keseluruhan. Walau bagaimanapun catatan masa yang dibuat tersebut masih tidak boleh menandingi Mitch Chong dan Haji Sutan secara keseluruhan, dan Karam berada di tempat keempat keseluruhan dan kedua dalam kategori P12 dan 4WD.

    Persaingan antara Mitch dan Haji Sutan masih lagi hebat ketika ini di mana kedua-dua pelumba berkenaan mencatatkan masa yang sama iaitu 5 minit 45 saat pada SS9. Tetapi pada SS terakhir iaitu SS10, Mitch mengesahkan kemenangannya dengan mencatatkan masa yang jauh lebih baik iaitu 5 minit 40 saat, berbanding Haji Sutan yang hanya mampu mencatatkan masa 6 minit 1 saat.

    Turut mencatatkan kejutan kali ini adalah pasangan suami isteri – Shafiq Shamsudin sebagai pemandu yang dibantu isterinya iaitu Shasha Farina sebagai juru arah – berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Mitch dan Haji Sutan, serta dinobatkan sebagai naib juara kategori P11.

    Shafiq beralih dari Toyota Vios yang dibangunkan untuk perlumbaan one make Vios Challenge pada Rally Sprint 2023 kepada Suzuki Swift Sport ZC32 untuk Rally Sprint 2024, yang bukan sahaja menghidangkan aksi flamboyant ketika mengambil selekoh, malah penonton turut dihiburkan dengan ‘jeritan’ RPM tinggi enjin M16A 1.6 liter NA dalam perut Swift tersebut.

    KBS Rally Sprint kali ini juga menyaksikan Purnama Rally Team turun semula untuk berlumba. Walau bagaimanapun jentera Honda Integra Type R DC2 ikonik pasukan tersebut tidak dipandu oleh prinsipal pasukan berkenaan iaitu Jamaludin Tukimin. Tetapi ia dipandu oleh anaknya, Hashrul Jamaludin yang dibantu oleh juru arah Ruzana Tukimin. Pasangan anak-ibu saudara berkenaan menghabiskan rali ini di tempat ke-11 keseluruhan, dan ketiga dalam kategori P11.

    Kategori Rookie yang memberikan peluang kepada pelumba baharu untuk menyertai rali masih dipertandingkan dalam KBS Rally Sprint 2024. Ia adalah kategori yang diwujudkan untuk pelumba yang benar-benar baharu iaitu tidak pernah berlumba dengan lesen perlumbaan yang dikeluarkan oleh MAM sebelum ini, dan kereta yang digunakan tidak perlu dilengkapi rollcage tetapi kapasiti enjin dihadkan di bawah 1,400 cc serta hanya dipadankan dengan kotak gear automatik atau CVT.

    Dalam kategori ini, Farid Adley yang memandu Perodua Kembara pasukan Yetza Garage berjaya menjadi juara selepas hanya mendapat tempat kedua dalam Rookie Cup Rally Sprint 2023. Ia diikuti oleh Ahmad Fadzlan Rahim dari Happy Happy Racing yang memandu Perodua Kelisa.

    Berikut adalah keputusan keseluruhan serta setiap kelas dan kategori:

    Keseluruhan

    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    Juara – Mitch Chong & Fadzli Ishak
    Magnax Racing Team, Proton Satria 1.8

    Naib Juara – Haji Sutan Mustafa Salihin & Victor Chong
    Magnax Racing Team, Subaru Impreza WRX STi GDB

    Tempat Ketiga – Mohd Shafiq Shamsuddin & Shasha Farina Mohd Shapie
    Race Rally KL, Suzuki Swift ZC32

    Kelas P12

    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Haji Sutan Mustafa Salihin & Victor Chong
    Magnax Racing Team, Subaru Impreza WRX STi GDB

    2. Karamjit Singh & Daveender Singh
    Marcars Motorsport, Mitsubishi Lancer Evolution VIII

    3. Mohd Aizudin Aizudin Ibrahim & Shamsudin Ibrahim
    SIR 2 Motorsport, Proton Satria 4WD

    Kelas P11

    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Mitch Chong & Fadzli Ishak
    Magnax Racing Team, Proton Satria 1.8

    2.Mohd Shafiq Shamsuddin & Shasha Farina Mohd Shapie
    Race Rally KL, Suzuki Swift ZC32

    3. Muhammad Hashrul Jamaludin & Ruzana Tukimin
    Purnama Rally Team, Honda Integra Type R DC2

    Kelas P10

    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Muhammad Syakirin Razaki & Amir Izham Abd Aziz
    East Coast Rallying, Honda Jazz GE

    2.Kang Chin Wan & Brandon Choong Y-Leong
    Magnax Racing Team, Honda CRZ

    3. Zairi Zakaria & Khairul Nizam Mohammad
    Ezz Machine, Proton Satria

    Kelas P9
    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Chan Sook Ping & Ng Pei Yi
    Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

    2. Ang Yuh Guan & Ng Yuan Kean
    Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

    3. Zahid Latif & Kamal Shukri
    Kie Garage, Daihatsu Mira L5

    Classic Cup
    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Aideel Husairry & Mahadi Husin
    SIR 2 Motorsport, Proton Saga

    2. Mohd Syu’aib Hassan & Muhammad Firdaus Mohd Fodzi
    Doris Racing Team, Proton Saga

    Junior Cup
    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Syahmie Ruzainie & Dinie Nazmi
    R&R Sport Speed Garage, Proton Wira

    2. Ang Yuh Guan & Ng Yuan Kean
    Magnax Racing Team, Proton Saga Iswara

    Ladies Cup
    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Chan Sook Ping & Gan Chew Hoon
    Magnax Racing Team, Proton Iswara

    Rookie Cup
    KBS Rally Sprint 2024 Pusingan 1: Mitch Chong benam jentera 2.0L Turbo 4WD dengan Proton Satria 1.8L!

    1. Farid Adley & Wan Muhammad Akshah
    Yetza Garage, Perodua Kembara

    2. Ahmad Fadzlan Rahim & Ridwan Bachotang
    Happy Happy Racing, Perodua Kelisa.

     
     
  • Rakyat Malaysia yang memandu di Thai diingat supaya patuhi undang-undang trafik di sana – Konsul Jeneral

    Rakyat Malaysia yang memandu di Thai diingat supaya patuhi undang-undang trafik di sana – Konsul Jeneral

    Bagi rakyat Malaysia yang memasuki Thailand dengan membawa kenderaan sendiri atau pun menyewa kenderaan di sana, sama ada untuk melancong atau apa jua urusan, ini ada pesanan khas untuk anda.

    Pesanan ini dititipkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, yang mengingatkan anda supaya mematuhi undang-undang trafik termasuk tidak memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan negara itu iaitu sekitar 90 km/j sahaja, laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia di negara jiran itu untuk pelbagai tujuan seperti perniagaan, pendidikan atau melancong.

    “Namun begitu dalam masa yang sama juga, kita ingin mengingatkan kembali kepada rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand supaya sentiasa mematuhi undang-undang negara berkenaan. Sebagai contoh, apabila berada di jalan raya Thailand, janganlah memandu kereta terlalu laju atau melulu sebab di Thailand ini, had laju ditetapkan kerajaannya hanyalah sekitar 90 km/j dan bukannya 110 km/j seperti di Malaysia.

    Rakyat Malaysia yang memandu di Thai diingat supaya patuhi undang-undang trafik di sana – Konsul Jeneral

    “Malah, lebuhraya di Thailand juga berbeza daripada di Malaysia. Lebuhraya Thailand mempunyai banyak laluan yang membolehkan kenderaan membuat pusingan-U dan disebabkan itu juga, banyak motosikal yang dinaiki rakyat negara jiran itu akan melintas dan membuat pusingan-U sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya yang membabitkan pengguna jalan raya dari Malaysia yang tidak begitu memahami had laju di Thailand ini,” katanya.

    Tambah beliau, pihaknya melihat ketidakfahaman terhadap undang-undang jalan raya Thailand juga menjadi antara faktor ramai rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan di Thailand.

    “Selain itu juga, kami ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang membawa kenderaan ke Thailand, perlu mengembalikan semula borang deklarasi kenderaan kepada Jabatan Kastam Thailand semula ketika meninggalkan negara ini untuk memasuki Malaysia.

    “Situasi berlaku ketika ini ramai rakyat Malaysia terlupa menyerahkan semula borang deklarasi kenderaan mereka pada Kastam Thailand atau tersalah kaunter ketika menyerahkan borang itu apabila menyerahnya kepada Imigresen Thailand,” katanya.

    Rakyat Malaysia yang memandu di Thai diingat supaya patuhi undang-undang trafik di sana – Konsul Jeneral

    Jelasnya, keadaan yang berlaku menyebabkan rekod yang ada pada Kastam Thailand menunjukkan kenderaan negara ini berada lebih masa di negara itu.

    “Jika situasi itu berlaku, Kastam Thailand menganggap kita tinggal lebih masa apabila tiada rekod menyatakan kita sudah meninggalkan negara itu. Kesilapan menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Imigresen Thailand juga turut boleh menyebabkan tiada wujud data kita meninggalkan negara itu disebabkan Imigresen tidak (membantu) menyerahkan borang deklarasi itu kepada kaunter Kastam.

    “Sekiranya itu berlaku, rakyat Malaysia boleh didenda 1,000 Thai Bhat (RM132.70) sehari bermula pada tarikh luput penyerahan borang deklarasi kenderaan,” katanya.

    Thailand sememangnya menjadi antara destinasi percutian kegemaran segelintir rakyat Malaysia, bahkan ramai di antara kita yang memandu kenderaan sendiri untuk ke sana. Malah kos percutian di sana juga sering kali dianggap lebih murah berbanding di Malaysia terutamanya melibatkan hal penginapan dan makanan. Malahan tidak sukar berurusan dengan pihak kastam di sana untuk membawa masuk kenderaan kita sendiri. Apa pun, kena beringat, adat resam bila memasuki ‘rumah orang’. Kenalah hormati dan patuhi peraturan yang ditetapkan oleh tuan rumah ya.

     
     
  • Perodua Aruz dibayangkan sebagai sebuah trak pikap

    Perodua Aruz dibayangkan sebagai sebuah trak pikap

    Perodua Aruz masuk ke dalam pasaran sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk, dan Ativa nanti akan disertai oleh sebuah SUV segmen B, yang sekarang ini dipanggil dengan nama kod D66B atau Nexis. SUV baru ini akan diletakkan di atas Ativa, dan harganya nanti mungkin lebih tinggi daripada Aruz. Tapi, bagaimana pula jika Aruz dibentukkan kembali dengan badan yang berbeza?

    Itulah yang dibuat oleh Theophilus Chin, yang menukarkan Aruz daripada pengangkut orang kepada pengangkut barang. Untuk bentuk asas double cab bahagian belakang model imaginasi ini, beliau mengambilnya daripada Ford Ranger facelift generasi T6.

    Walaupun begitu, beberapa bahagian diubah, termasuk lampu belakang, serta garis tingkap, yang diluruskan untuk mendapatkan bentuk sebuah trak pikap. Anda juga boleh melihat sport bar yang diambil daripada Ranger varian Wildtrak.

    Perodua Aruz dibayangkan sebagai sebuah trak pikap

    Bahagian hadapan masih lagi nampak seperti sebuah Alza, terutamanya bahagian lampu utama dan gril, tetapi beberapa elemen daripada kembarnya, iaitu Toyota Rush turut diserapkan (keliling lampu kabus dan bukaan udara bawah). Demi mendapatkan gaya lebih ranggi, Theo menambah kemasan keliling roda kenderaan ini, yang berwarna hitam.

    Aruz dalam keadaan asalnya menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter NA, dengan kuasa 101 hp dan tork 131 Nm, digabungkan bersama transmisi automatik empat kelajuan serta pacuan roda belakang. Harganya bermula RM72,900 untuk varian asas X, dan RM77,900 untuk varian AV.

     
     
  • Hong Leong perkenal Tekhne, jenama aksesori kenderaan dengan kerjasama syarikat terkemuka

    Hong Leong perkenal Tekhne, jenama aksesori kenderaan dengan kerjasama syarikat terkemuka

    Hong Leong Industries Berhad (HLI) hari ini memperkenalkan sebuah syarikat baru, Tekhne Sdn Bhd, yang bertugas sebagai Pengeluar Kelengkapan Asli (OEM) dan Pengeluar Kelengkapan Ganti (REM) untuk kenderaan dua roda dan empat roda (termasuk motosikal, kereta dan basikal).

    Barangan yang dikeluarkan oleh syarikat ini akan menggunakan jenama Tekhne dan ia dibuat dengan kerjasama jenama terkemuka tempatan dan juga luar negara termasuk sekitar Asia Tenggara dan Eropah.

    Nama rakan kerjasama dan negara yang terlibat dengan Tekhne ini tidak dinyatakan secara spesifik tetapi apabila melihat kepada barangannya, kita boleh nampak cop jenama seperti AHM, Akront, Vee Moto dan Profender.

    Walaupun barangan tersebut dihasilkan dengan kerjasama syarikat lain, Tekhne mempunyai pasukan penyelidikan serta pembangunan sendiri dan memberikan input spesifikasi barangan yang dimahukan kepada rakan kerjasama, supaya mengikut keperluan pelanggan sasaran.

    “Melalui kerjasama dengan rakan niaga, di peringkat tempatan dan juga antarabangsa, kami memastikan produk Tekhne memenuhi standard kecemerlangan dan kepuasan pelanggan yang tertinggi. Untuk masa hadapan, kami bersedia untuk melebarkan sayap ke rantau ASEAN dan seterusnya menembusi pasaran global,” kata Chong Chee Kong, pengurus besar Tekhne Sdn Bhd.

     
     
  • 12,437 individu dikenakan tindakan di bawah sistem Kejara antara tahun 2017 hingga 2023 – JPJ

    12,437 individu dikenakan tindakan di bawah sistem Kejara antara tahun 2017 hingga 2023 – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengesahkan seramai 12,437 individu dikenakan tindakan selepas mengumpul mata demerit di bawah sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sejak tahun 2017 hingga 2023. x

    Menerusi siaran podcast Apa Saja Harian Metro, Pengarah Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jaman berkata, Kejara diperkenalkan sejak 1984 yang mana 20 perbuatan digariskan sebagai kesalahan bersifat ‘sikap’. Ia susulan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS) yang mendapati 80% kemalangan maut berpunca daripada sikap pengguna jalan raya sendiri.

    “Tak dapat dinafikan faktor lain seperti keadaan jalan raya, selekoh gelap dan sebagainya menyumbang kadar yang kecil tetapi faktor sikap itu sehingga 80 peratus, perkara itu boleh dielakkan. Kejara ini diwujudkan untuk mengawal tingkah laku. Dia mungkin kompeten, sudah terima latihan tetapi bagaimana nak mengawal perangai manusia di atas jalan raya?” katanya.

    Tambahnya, individu yang didapati melakukan mana-mana antara 20 kesalahan disenaraikan di bawah Kejara akan diberikan mata demerit dalam jumlah berbeza mengikut kesalahan.

    12,437 individu dikenakan tindakan di bawah sistem Kejara antara tahun 2017 hingga 2023 – JPJ

    “Mana-mana individu pemegang lesen komersil, barangan (GDL) atau vokasional (PSV) turut digantung walaupun mereka melakukan kesalahan menggunakan Lesen Memandu Kompeten (CDL) (kereta/motosikal). Individu yang mengumpul 20 mata demerit dalam tempoh lima tahun akan dikenakan tindakan mengikut lima peringkat iaitu amaran buat kali pertama dan pergantungan bagi tempoh berbeza mengikut peringkat sebelum lesen dibatalkan.

    “Bagi individu yang mengumpul 20 mata demerit kali pertama akan diberikan notis amaran namun ia hanya untuk pemegang CDL bagi Lesen Percubaan (PDL) iaitu 20 mata dalam tempoh setahun, lesen mereka akan dibatalkan terus. Manakala pemegang lesen PDL yang mengumpul 20 mata demerit dalam tempoh setahun perlu menjalani semula proses latihan memandu daripada awal, perlu jawab ujian semula dan sebagainya,” jelasnya.

    Katanya lagi, mata demerit itu dikira dalam tempoh lima tahun buat lesen CDL/PSV/GDL yang mana 20 mata pertama akan diberikan amaran, 20 mata kedua akan diberi notis gantung pertama, dan seterusnya notis gantung kedua dan ketiga sebelum lesen dibatalkan.

    Selain itu, JPJ juga akan memberi empat kali amaran sebelum membatalkan lesen kerana lebih mengutamakan advokasi dan tidak mahu sewenang-wenangnya menghukum individu terbabit dengan pembatalan lesen.

    “Individu yang memungut mata demerit akan diberikan pengurangan sehingga 50% jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah Kejara bagi tempoh satu tahun berikutnya.

    12,437 individu dikenakan tindakan di bawah sistem Kejara antara tahun 2017 hingga 2023 – JPJ

    “Beberapa kesalahan disenaraikan jika dilakukan akan mengumpul jumlah tertinggi iaitu 10 mata demerit adalah memandu tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol, muatan bahaya, muatan menjulur, muatan terjatuh serta memandu secara berbahaya,” jelasnya.

    Antara kesalahan yang dikesan sering dilakukan berdasarkan statistik sejak 2017 sehingga tahun 2023 mendapati memandu lebih had laju mencatat jumlah tertinggi 232,723 kes atau 28 peratus.

    “Kesalahan kedua tertinggi membabitkan peralatan keselamatan seperti topi keledar dan tali pinggang sebanyak 216,932 kes, lampu isyarat (166,098), guna telefon bimbit (91,257), dan membawa muatan bahaya (68,298).

    “Bagi tempoh itu, 10,470 notis amaran dikeluarkan (iaitu) pergantungan lesen kali pertama selama lapan bulan (1,736), pergantungan kedua selama 10 bulan (195), pergantungan ketiga melibatkan 12 bulan (14), dan 21 lesen PDL dibatalkan,” katanya.

     
     
  • Konsesi tol di lebuhraya di KL boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan bertambah baik – PMX

    Konsesi tol di lebuhraya di KL boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan bertambah baik – PMX

    Konsesi tol bagi lebuhraya di sekitar Kuala Lumpur boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan negara bertambah baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, laporan Free Malaysia Today.

    Beliau mengakui bersetuju dengan pandangan mengenai terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara, namun pemansuhan tol tidak dapat dilakukan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian. Katanya, pemansuhan tol akan menyebabkan perbelanjaan tambahan berikutan terdapat perjanjian yang dibuat bersama syarikat konsesi.

    Di mana syarikat konsesi lebuh raya perlu diberi pampasan sekiranya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan tol, dan kerajaan terikat dengan perjanjian bersama pemegang konsesi. “Apabila negara menjadi kukuh dari segi kewangan, kita boleh berunding semula,” kata Anwar, sambil menambah bahawa perkara berkaitan tol diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

    Konsesi tol di lebuhraya di KL boleh dirunding semula apabila keadaan kewangan bertambah baik – PMX

    Rundingan antara kerajaan dan pemegang konsesi tol lebuhraya bermula pada 17 November 2023, dan ia melibatkan pemegang konsesi termasuk Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR), Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas), IJM, ANIH dan PLUS, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya ketika itu Abdul Rahman Mohamad.

    Lebuhraya di bawah ALR termasuk LDP, Sprint, Kesas dan Terowong Smart, sementara Prolintas pula mengendalikan AKLEH, Leburaya Koridor Guthrie, LKSA, Kajang SILK, SUKE dan DASH. Manakala IJM pula merupakan pemegang konsesi Lebuhraya Besraya, NPE, LEKAS dan Lebuhraya Pantai Barat di bawah pengurusan WCE Holdings.

    PLUS pula mengendalikan Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan Linkaran Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim. Begitu juga dengan Lebuhraya Lingkaran Kedua Malaysia-Singapura dan Jambatan Pulau Pinang.

     
     
  • Myvi dipandu lawan arus di Lebuhraya PLUS di Johor

    Myvi dipandu lawan arus di Lebuhraya PLUS di Johor

    Nampak gayanya perbuatan memandu lawan arus semakin menjadi-jadi di negara kita. Semalam, video tular menerusi laman X yang dimuatnaik oleh anthraxxx781 yang memaparkan sebuah Perodua Myvi berwarna perak yang dipandu melawan arus di Lebuhraya PLUS. Menerusi paparan video berkenaan, insiden tersebut berlaku pada petang semalam.

    Rakaman dashcam dari kenderaan yang dipandu di lorong laju di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor itu, menyaksikan sebuah Honda City Hatchback yang berada di hadapan tiba-tiba dipandu perlahan secara drastik sebelum bertindak memberhentikan kenderaan. Honda City terbabit hampir-hampir bertembung dengan Myvi yang datang dari arah hadapannya. Nasib baik kedua-dua kereta tersebut berjaya mengelak antara satu sama lain, begitu juga dengan kenderaan di belakang yang berjaya dipandu perlahan.

    Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) banyak kali memberikan peringatan bahawa memandu melawan arus adalah satu kesalahan, di mana tindakan boleh diambil terhadap pemantu atau penunggang jika didapati bersalah di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

    Ini termasuklah pemanduan yang melulu dan berbahaya, dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun, dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000. Individu yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen ini juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh lima tahun dari tarikh sabitan, kata polis sebelum ini.

    Harus diingat bahawa tindakan memandu melawan arus trafik ini sangat merbahaya kepada pengguna jalan raya dan boleh membawa maut. Dan terdapat beberapa kejadian sebegini berlaku sebelum ini yang menyebabkan kecederaan dan kematian.

     
     
  • GALERI: Off The Grid 2024 – kenderaan menarik di acara gaya hidup outdoor di MAEPS, Serdang

    GALERI: Off The Grid 2024 – kenderaan menarik di acara gaya hidup outdoor di MAEPS, Serdang

    Acara Off The Grid (OTG) yang mengetengahkan gaya hidup outdoor dan sebelum ini dianjurkan sekali dengan Art of Speed (AOS) kini berdiri sebagai acara sendiri dan sedang berlangsung di MAEPS, Serdang hari ini (24 Februari) dan esok (25 Februari).

    Memandangkan paultan.org adalah laman automotif, kami paparkan antara kenderaan menarik yang boleh anda dekati sama ada di dalam dewan pameran ataupun bahagian luar acara ini. Antaranya adalah Steyr-Pauch Pinzgauer 6×6 dan juga Mercedes-Benz Unimog.

    Dua model ini memang sukar untuk dilihat atas jalan kerana ia bukan dijual secara umum di negara kita, sebaliknya digunakan untuk jabatan kerajaan seperti tentera, perhutanan ataupun badan pengurusan kereta api.

    Sudah tentu, memandangkan ini adalah cara gaya hidup outdoor, anda boleh melihat banyak kereta diubah suai untuk dibawa berkhemah ataupun bermalam terus (seperti campervan dan campertruck). Aksesori yang dipasang juga ada pelbagai daripada yang ringkas seperti atap kanvas sehinggalah keperluan lengkap seperti tempat mandi atau tidur.

    Gaya hidup seperti ini sebenarnya boleh disesuaikan dengan pelbagai jenis kenderaan dan hanya bergantung kepada kreativiti anda untuk mengubah suainya mengikut keperluan. Seperti yang boleh dilihat di acara ini, bukan sahaja kenderaan seperti pacuan empat roda dan trak pikap boleh digunakan, tetapi juga kereta mewah seperti Porsche Cayenne, kereta kompak dan van klasik.

     
     
  • Mercedes-Benz C350e dilancar untuk pasaran Malaysia – PHEV dengan kuasa 313 PS, 550 Nm, harga RM355k

    Mercedes-Benz C350e dilancar untuk pasaran Malaysia – PHEV dengan kuasa 313 PS, 550 Nm, harga RM355k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah menambah satu lagi varian bagi C-Class W206, dan kali ini adalah versi plug-in hybrid C350e AMG Line. Ia dipasang dalam negara (CKD), dan dijual pada harga RM355,000 tidak termasuk insurans, menggantikan C300 AMG Line (RM333,888) dan menyertai C200 Avantgarde (RM292,888) yang diperkenalkan sebelum ini – kedua-duanya menggunakan enjin hibrid ringkas.

    C350e ini menggunakan enjin petrol empat silinder turbo 2.0 liter berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) pada 6,100 rpm dan tork 320 Nm antara 2,000 hingga 4,000 rpm dan dibantu motor elektrik 129 PS (127 hp atau 95 kW) dan tork 440 Nm yang bersepadu pada transmisi automatik 9G-Tronic untuk memacu roda belakangnya.

    Tetapan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 550 Nm, membolehkan C350e mencapai kelajuan 245 km/j atau 140 km/j apabila menggunakan elektrik sahaja. Untuk sistem hibrid ini, ia menggunakan bateri lithium ion berkapasiti 25.4 kWh dan boleh memberikan jarak gerak 117 km dengan menggunakan elektrik sahaja (WLTP).

    Mercedes-Benz C350e dilancar untuk pasaran Malaysia – PHEV dengan kuasa 313 PS, 550 Nm, harga RM355k

    Berkenaan pengecasan, C350e boleh menerima sumber AC pada kapasiti maksimum 11 kW dan mengambil masa dua jam untuk penuh. Tidak seperti model pasaran Thailand, C350e yang tiba di Malaysia ini tidak datang dengan kemampuan mengecas DC 50 kW (0-80% dalam masa 20 minit).

    Pakej AMG Line Night Package diberikan secara standard pada C350e ini menyaksikan ia datang dengan gril bercorak bintang di bahagian dalam, bampar hadapan dan belakang lebih sporty, kemasan ekzos khas, elemen diffuser pada bampar belakang serta kemasan hitam di beberapa bahagian. Varian ini juga menjadi satu-satunya C-Class W206 yang datang dengan suspensi udara boleh laras sendiri pada roda belakang.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk lampu utama Digital Light, rim 18 inci AMG, kawalan pendingin hawa dua zon (dengan corong belakang), roda stereng dibalut kulit Nappa AMG Line, tempat duduk dibalut kulit Artico, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, lampu suasana, penghadang cahaya cermin belakang, Keyless-Go, alas kaki AMG, bumbung panoramik serta Hands-Free Access.

    Sistem infotainmen menggunakan Mercedes-Benz User Experience, dan ia dihubungkan kepada skrin sesentuh 11.9 inci di tengah serta panel instrumen digital 12.3 inci di hadapan pemandu. Ia boleh disambungkan dengan Android Auto serta Apple CarPlay tanpa wayar, dan datang dengan modul komunikasi LTE untuk servis sambungan Mercedes Me, pengimbas cap jari serta navigasi AR.

    Untuk Sistem keselamatan dan bantuan pemandu, C350e datang dengan Active Blind Spot Assist, pakej Lane Tracking, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, Passive Cruise Control, pakej Parking dengan kamera undur, Active Parking Assist dengan Parktronic dan kamera 360-darjah.

     
     
  • JPJ catat perolehan hasil cecah RM5.07b pada 2023 – RM569.6j dari bidaan nombor pendaftaran kenderaan

    JPJ catat perolehan hasil cecah RM5.07b pada 2023 – RM569.6j dari bidaan nombor pendaftaran kenderaan

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mencatatkan perolehan hasil mencecah RM5.07 bilion sepanjang tahun lalu, meningkat sebanyak 3.53% berbanding RM4.9 bilion pada 2022, laporan Bernama.

    “Ingin saya kongsikan dan mengucapkan tahniah kepada JPJ kerana dalam sejarah, buat kali pertama, hasil diperoleh JPJ mencecah RM5 bilion. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPJ dalam menjayakan peningkatan hasil ini,” katanya.

    Katanya, kutipan hasil kategori bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan turut meningkat daripada RM501.5 juta pada 2022 kepada RM569.6 juta tahun lalu.

    JPJ catat perolehan hasil cecah RM5.07b pada 2023 – RM569.6j dari bidaan nombor pendaftaran kenderaan

    “Peningkatan hasil itu termasuk siri bidaan nombor pendaftaran FF dan M_M, masing-masing pada Mei dan Ogos tahun lalu. Untuk siri GOLD yang dilancarkan sempena sambutan Jubli Emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50 pada 1 Febuari lalu, JPJ merekodkan RM17.24 juta hasil kutipan.

    “Ini termasuk GOLD 1 yang berjaya dibida oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan harga bidaan sebanyak RM1.5 juta,” katanya sambil menambah siri nombor pendaftaran GOLD menerima 23,160 bidaan dengan 6,810 berjaya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa 50% daripada hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa akan disalurkan kepada inisiatif di bawah kementerian bagi 2024. Ini termasuk bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar, subsidi FlySISWA dan caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) kepada pemandu teksi.

     
     
  • Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

    Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

    Selepas muncul di India pada Januari lalu, Indonesia kini turut menerima SUV off-road kompak Suzuki Jimny dalam versi lima-pintu, sebagai tambahan dari versi tiga pintu sedia ada. Pada pasaran tersebut Suzuki Jimny 5-Door dijual pada harga bermula 476.5 juta rupiah (RM145,986) untuk varian dengan kotak gear manual, manakala versi dengan kotak gear automatik empat kelajuan pula berharga 462 juta rupiah (RM141,563).

    Seperti dijangka, model 5-Door ini adalah lebih mahal dari versi tiga-pintu biasa. Sebagai contoh, Jimny 5-Door dengan kotak gear manual ini dijual pada harga 18.1 juta rupiah (RM5,547) lebih mahal berbanding Jimny tiga-pintu manual. Manakala model dengan kotak gear automatik pula versi 5-Door ini adalah 15.1 juta rupiah (RM4,627) lebih mahal berbanding versi tiga-pintu automatik.

    Jimny 5-Door pasaran Indonesia ini ditawarkan dalam enam warna badan, di mana tiga daripadanya adalah pilihan dua tona yang menampilkan bumbung berwarna Pearl Bluish Black dengan harga 3 juta rupiah (RM919) lebih mahal. Suzuki Indonesia juga menawarkan pilihan pakej aksesori dalam tiga tema iaitu Camping Style, Marine Style, Street Style, serta pelbagai lagi pilihan aksesori asli lain.

    Namun kesemua model masih lagi menerima enjin yang sama seperti model tiga-pintu, iaitu enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm. Tidak kira sama ada dalam versi manual atau automatik, kedua-duanya menerima sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

    Suzuki Jimny 5-Door 2024 dilancarkan di Indonesia – bermula RM142k, 4AT dan 5MT, 1.5L 102 PS/130 Nm

    Model dengan tambahan pintu belakang ini dihasilkan dengan ukuran 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,590 mm. Oleh itu berbanding model biasa, versi 5-Door ini adalah 505 mm lebih panjang dengan jarak roda 340 mm lebih jauh.

    Jadi bukan pintu sahaja ditambah, malah bahagian penumpang belakang juga menampilkan ruang kaki lebih luas berbanding versi tiga-pintu. Dalam masa yang sama, tempat duduk belakang juga masih direka bagi membolehkan ia dilipat dengan nisbah 50:50, memberikan ruang kargo lebih besar jika diperlukan.

    Model 5-Door ini menampilkan sudut approach 36 darjah, sudut breakover 24 darjah dan sudut departure 47 darjah, berbanding model tiga pintu biasa yang mempunyai sudut approach 37 darjah, sudut breakover 28 darjah dan sudut departure 49 darjah. Saiz badan yang lebih panjang ini juga menyebabkan radius pusingan bagi model 5-Door lebih besar iaitu 5.7 meter, berbanding 4.85 meter bagi model biasa.

    Pada sebelah luar, gril hadapan model 5-Door ini menerima serlahan kemasan krom yang tidak diberikan pada model tiga-pintu. Selain itu ia diberikan perincian standard lain seperti lampu hadapan projektor LED, lampu kabus hadapan dan juga rim aloi 15-inci yang dibalut dengan tayar 195/80R15.

    Manakala dalam kabin, ia dilengkapi dengan perincian standard seperti sistem penghawa dingin automatik, tempat duduk balutan fabrik, serta sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh 9-inci yang lebih besar berbanding versi tiga-pintu yang hanya menerima skrin 6.8-inci.

    Model yang lebih panjang ini juga menerima penambahan beg udara sisi dan tirai, menjadikan jumlah beg udara adalah enam unit secara keseluruhan, berbanding model tiga-pintu yang hanya diberikan dua beg-udara. Tetapi ia masih belum dibekalkan dengan sebarang kelengkapan keselamatan aktif, dan hanya diberikan sistem keselamatan pasif seperti ESP, bantuan mula mendaki, sistem brek ABS dan BA.

    Masih belum ada petunjuk sama ada Suzuki Malaysia akan turut membawa Jimny 5-Door ini ke sini atau tidak. Buat masa sekarang Jimny biasa tiga-pintu yang hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM174,900. Sekiranya Jimny 5-Door dilancarkan di Malaysia, pada pendapat anda berapa harga patut untuk ia dijual di sini?

    GALERI: Suzuki Jimny 5-Door di Singapore Motor Show 2024

     
     
  • QJMotor LTR150 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter 149 cc EFI 16 hp dengan ABS dual-channel

    QJMotor LTR150 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter 149 cc EFI 16 hp dengan ABS dual-channel

    MForce Bike Holdings terus rancak dengan pengenalan model baru apabila melancarkan skuter LTR150 yang berada di bawah jenama QJMotor untuk pasaran Malaysia. Empat pilihan warna disediakan untuk pembeli, dan ia dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans. Jaminan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    LTR150 adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 149 cc, mampu menghasilkan 16 hp pada 8,500 rpm dan tork 14.8 Nm pada 6,500 rpm. Enjin boleh dihidupkan melalui pemula elektrik dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT.

    Kelengkapan moden diberikan pada skuter ini, antaranya seperti lampu hadapan dan belakang LED dengan DRL, panel meter digital, soket pengecas USB serta sistem start/stop. Untuk memberi kemudahan kepada pengguna, di bawah tempat duduk terdapat ruang yang boleh menempatkan sebuah helmet, serta poket barangan di bahagian hadapan.

    Meletakkan skuter ini atas jalan adalah rim 12 inci yang dibalut tayar 100/90 di hadapan dan 110/90 di belakang, dan ia dipegang masing-masing oleh fork teleskopik serta satu penyerap hentak. Tugas penghentian dilaksanakan oleh brek cakera hadapan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS dual-channel.

    Perincian lain LTR150 adalah termasuk tangki bahan api 6.5 liter, berat keseluruhan 118 kg, tinggi tempat duduk 760 mm serta rekaan klasik dengan kemasan krom pada beberapa bahagian seperti cermin sisi dan keliling lampu.

     
     
  • Jaecoo J7 – M’sia jadi negara pertama Asia Tenggara terima SUV ini; lancar Q2 2024; dijangka dari RM160k

    Jaecoo J7 – M’sia jadi negara pertama Asia Tenggara terima SUV ini; lancar Q2 2024; dijangka dari RM160k

    Malaysia bakal menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang akan menerima kemasukan Jaecoo J7, yang dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun ini. Jaecoo akan dipasarkan sebagai jenama berasingan dari Chery dan sebanyak 20 wakil pengedaran telah terpilih untuk menjual SUV ini di sini.

    J7 ini telah pun menjalani ujian off-road menerusi acara Malaysia 4WD Training and Experience Centre (M4TREC) yang berlangsung pada bulan lalu, membuktikan keupayaannya dalam pemanduan lasak menggunakan All Road Drive Intelligent System (ARDIS) dengan tujuh mod pacuan

    SUV ini juga pernah dipertontonkan kepada pihak media tempatan pada awal bulan lalu. Untuk pasaran tempatan, SUV ini menggunakan unit enjin 1.6-liter turbocas empat-silinder petrol dengan janaan kuasa 194 hp atau 145 kW kW dan 290 Nm tork. Ini digandingkan pula dengan transmisi 7DCT dari Getrag. Pecutan 0-100 km/j SUV ini didakwa dalam masa 8.0 saat.

    Jaecoo J7 mempunyai ukuran dimensi 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,680 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,650 mm. Lebih kurang sama saiz dengan Toyota Corolla Cross, lebih kecil berbanding Mazda CX-5.

    Ia juga mencatat jarak kelegaan dari tanah 200 mm, boleh meredah air berkedalaman 600 mm serta sudut condong 21 darjah hadapan dan 29 darjah di belakang. Malahan SUV ini juga boleh membawa muatan dengan kapasiti maksimum cecah 1,300 kg, kapasiti muatan pada bumbung hingga 75 kg dan ruang but berkapasiti 412 liter.

    Buat masa ini, kit kelengkapan untuk versi pasaran Malaysia masih belum didedahkan. Namun berdasarkan model pra-tonton, ia diberikan paparan utama, kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 14.8-inci, tempat duduk hadapan dengan kawalan pendingin, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong di belakang), tailgate bukaan kuasa dan bumbung suria panoramik.

    Selain itu, ia juga diberikan sistem ADAS yang merangkumi ciri antaranya seperti AEB, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, kawalan lampu utama pintar, makluman ketika kereta depan bergerak, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan banyak lagi.

    Jaecoo J7 disasarkan berharga lebih kurang dengan harga Chery Tiggo 8 Pro, yang berharga RM159,800 dan pemasangan tempatan (CKD) model ini juga akan bermula tidak lama lagi.

    Jaecoo J7 dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Husqvarna siar teaser model baru – Svartpilen 901?

    Husqvarna siar teaser model baru – Svartpilen 901?

    Husqvarna melalui laman media sosial mereka telah menyiarkan teaser pendek untuk sebuah model baru, dengan menunjukkan ia sedang dibelasah atas jalan bertanah tetapi tidak terlalu lasak.

    Beberapa bahagian motosikal juga dapat dilihat antaranya seperti ekzos, lampu belakang, suspensi WP serta rim yang masih menggunakan unit aluminium bersaiz seperti motosikal jalanan biasa.

    Dengan konsep seperti ini, serta bentuk keseluruhan motosikal yang dilihat merupakan sebuah naked, kami menjangkakan ini adalah Svartpilen yang menggunakan enjin lebih besar (mungkin dipanggil sebagai 901) kerana sebelum ini telah tersebar spyshot ia diuji atas jalan.

    Walaupun masih belum dinyatakan secara rasmi oleh Husqvarna, kita boleh menjangka Svartpilen 901 ini menggunakan enjin sama seperti Norden 901, iaitu unit dua silinder selari 889 cc bersama gabungan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan sehingga 105 hp dan tork 100 Nm.

    Svartpilen 901 dijangka memberikan tunggangan yang lebih mengujakan kerana pakej lebih kompak, dan mungkin juga datang dengan kelengkapan lain seperti quickshifter, pilihan mod tunggangan, suspensi boleh laras, ABS, kawalan cengkaman serta pelbagai aksesori lain.