Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Nikmati tawaran eksklusif Volvo Swedish Auto di KotaSAS Kuantan — berlangsung 21-25 Februari 2024

    Nikmati tawaran eksklusif Volvo Swedish Auto di KotaSAS Kuantan — berlangsung 21-25 Februari 2024

    Elektrifikasi adalah masa depan kenderaan dan pemanduan, dan ia kini dibawa ke Pantai Timur Malaysia oleh Volvo dan Sime Darby Swedish Auto yang akan berada di Pusat Perdagangan TASEK di KotaSAS Kuantan, Pahang dari 10 pagi hingga 6 petang dari 21 hingga 25 Februari 2024.

    Sama ada melalui model mild-hybrid atau Recharge elektrik sepenuhnya daripada barisan kenderaan Volvo yang dipamerkan, pengeluar dari Sweden itu turut membawakan sesuatu yang menarik untuk pengunjung di lokasi.

    Akan ada tawaran eksklusif menarik yang boleh anda manfaatkan sepanjang acara berlangsung. Beli kenderaan baru Volvo dan anda akan menerima pakej penyelenggaraan VSA5+ dan Polestar secara percuma, ditawarkan untuk semua model. Anda juga boleh membawa model Volvo anda keluaran tahun 2018 dan selepasnya ke KotaSAS Kuantan (pada Sabtu dan Ahad, 24-25 Februari dari jam 12 tengahari hingga 6 petang) untuk pemeriksaan dan diagnostik, yang akan tersedia mengikut turutan siapa yang tiba dahulu.

    Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh hubungi talian 03-7623 3200 (Ara Damansara) atau 03-5870 1188 (Setia Alam), atau hantar pesanan ringkas dalam talian ke Sime Darby Swedish Auto hari ini. Rujuk juga laman rasmi Instagram Sime Darby Swedish Auto, serta laman rasmi Facebook Volvo Ara Damansara dan Volvo Setia Alam.

    Jangan lupa — Volvo, melalui Sime Darby Swedish Auto akan berada di Pusat Perdagangan TASEK di KotaSAS Kuantan, Pahang dari 10 pagi hingga 6 petang, dari 21 hingga 25 Februari 2024. Hadir dan nikmati pelbagai tawaran menarik yang menanti!

     
     
  • Proton X70 facelift 2024 sekali lagi dilihat sedang diuji; pelancaran rasminya sudah semakin hampir?

    Proton X70 facelift 2024 sekali lagi dilihat sedang diuji; pelancaran rasminya sudah semakin hampir?

    Selepas beberapa kali dilihat keluar berkeliaran diuji di atas jalan raya awam tahun lalu, model tingkat taraf bagi SUV segmen-C Proton X70 sekali lagi muncul di khalayak umum. Set foto ini kami terima dari salah soerang pembaca paultan.org yang tidak mahu dikenali.

    Unit prototaip yang dilihat kali ini nampaknya masih lagi hampir sama secara luaran dengan unit-unit ujian yang muncul sebelum ini. Ia dilindungi dengan pelekat penyamaran yang membalut hampir keseluruhan pada bahagian hadapan, namun penyamaran pada bahagian belakang ada sedikit berubah di mana ia tidak lagi membaluti keseluruhan bampar serta sebahagian panel sisi dan pintu belakang turut diberikan pelekat tersebut.

    Sejak diperkenalkan kali pertama pada Disember 2018, Proton X70 telah diberikan beberapa peningkatan, dan kali terakhir kemaskininya adalah pada model MC2 2022 tahun lalu. Walau bagaimanapun, kemaskini-kemaskini berkenaan kebanyakkannya dari segi penawaran rangkaian kuasa, tetapi sebahagian besar rupanya masih tidak berubah.

    Proton X70 facelift 2024 sekali lagi dilihat sedang diuji; pelancaran rasminya sudah semakin hampir?

    Bagi perubahan terbaharu ini, SUV segmen-C tersebut nampaknya diberikan penyegaran rupa yang lebih serius dengan mengenakan muka Geely Boyue facelift 2022. Perubahan tersebut termasuk lampu hadapan yang lebih nipis dan bersegi, fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan lampu baharu, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar.

    Malah unit ujian ini juga dilihat sudah mengenakan gril bercorak pin krom seperti elemen rekaan pada SUV segmen-D Proton X90 dan S70 yang dilancarkan tahun lalu. Menurut Proton, rekaan pin krom seperti pada model-model Mercedes-Benz tersebut sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Sebelum ini X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.

    Di belakang, ia masih menggunakan unit lampu kombinasi yang sama. Perubahan dijangka dibuat pada bahagian bampar yang ditutup pelekat penyamaran iaitu kemasan diffuser baharu. Unit ujian prototaip yang dijumpai ini juga dilihat dipadankan dengan bumbung suria yang mungkin merupakan varian tertinggi, serta dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022 di China.

    Penawaran unit rangkaian kuasa mungkin sama dengan versi MC2 2022 di mana varian Standard, Executive dan Premium 2WD dijana dengan enjin 1.5 liter tiga-silider turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS/255 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan.

    Satu-satunya varian yang pacuan semua roda adalah varian 1.5 T-GDi Executive AWD, manakala varian tertinggi 1.8 Premium 2WD pula menerima enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa 184 PS/300 Nm, diganding dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan.

    Unit prototaip ini dilihat sudahpun lengkap seperti sebuah model produksi pasaran Malaysia, yang bukan sahaja tampil dalam badan pemanduan sebelah kanan, malah emblem ‘X70’ juga telah dilekat pada pintu tailgate belakang tetapi ditutup dengan pelekat berwarna hitam.

    Model ini sudahpun berada sekitar lima tahun dalam pasaran dan ia sebenarnya memerlukan versi yang disegarkan secepat mungkin. Jadi tidak mustahil pelancarannya mungkin akan dibuat tidak lama lagi.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Jan 2024 turun 16.5%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Jan 2024 turun 16.5%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengeluarkan data jualan kenderaan bagi Januari 2024, dengan mengumumkan sebanyak 65,499 unit kenderaan telah dihantar kepada pelanggan pada bulan tersebut. Angka tersebut adalah kurang 12,899 unit berbanding 79,398 unit yang direkodkan pada Disember 2023, mewakili penurunan sebanyak 16.45%.

    MAA berkata bahawa penurunan angka jualan pada bulan lalu adalah disebabkan syarikat meningkatkan penghantaran kenderaan untuk memenuhi pesanan tertunggak, terutamanya bagi syarikat dengan tahun kewangan mereka berakhir pada Disember 2023, serta peningkatan hasil daripada tawaran jualan murah akhir tahun.

    Berbanding bulan yang sama pada 2023, jumlah yang dicatatkan pada Januari 2024 adalah 30.5% (atau 15,331 unit) lebih tinggi berbanding 50,168 unit yang dicapai tahun lepas. Walau pun hanya sebulan, angka untuk Januari mengekalkan unjuran TIV 2024 sebanyak 740,000 unit dengan baik di landasan yang betul.

    Persatuan ini turut meramalkan jualan untuk Februari 2024 juga akan lebih rendah berbanding bulan sebelumnya, disebabkan waktu kerja yang pendek pada bulan ini disebabkan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANK dan VMD dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan WP Kuala Lumpur sedang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, ANK mula dibuka bidaan sejak 18 Februari lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 22 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 23 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini WP Kuala Lumpur, VMD, dibuka bidaan sejak 19 Februari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 23 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 24 Februari 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Proton R&D di Hangzhou akan bangunkan Saga, Iriz/Persona generasi baru — turut libatkan model NEV

    Proton R&D di Hangzhou akan bangunkan Saga, Iriz/Persona generasi baru — turut libatkan model NEV

    Proton telah berkongsi beberapa perkara berkaitan rancangan masa depan syarikat itu ketika majlis sempena CNY bersama media malam ini. CEO Proton, Dr. Li Chunrong memaklumkan, antara perkara yang menarik itu termasuklah berkaitan model-model asal Proton, yang tidak semua akan digantikan oleh model dari Geely.

    Li mengesahkan, Proton akan membuka pusat R&D di Hangzhou, China khusus untuk melanjutkan pembangunan model-model asal Proton yang ketika ini terdiri daripada Saga, Iriz dan Persona. Ini akan membuka jalan kerjasama yang lebih erat bagi pembangunan model tersebut bersama Geely, dan peluang untuk saling memanfaatkan kepakaran antara dua jenama tersebut. Geely juga turut berpangkalan di Hangzhou.

    Namun, setakat ini masih belum jelas sekiranya akan ada model baru yang akan dibangunkan daripada model asal Proton berkenaan atau akan menggunakan platform daripada Geely — seperti B-segment Modular Platform (BMA) yang digunakan oleh X50 dan S70.

    Dengan perkembangan ini, tiga model asal Proton itu tidak akan digantikan dengan model yang dimiliki Geely ketika ini dan hanya melibatkan aktiviti rebadge semata-mata — kerana akan ada input tempatan yang penting dan besar dalam pembangunannya. Juga, masih belum ada sebarang tempoh waktu dinyatakan berkaitan perkara ini.

    Turut disahkan Proton bakal memperkenalkan model Kenderaan Tenaga Baharu (NEV, seperti hibrid atau elektrik) yang menggunakan platfom Saga/Iriz/Persona dan bukannya platform daripada Geely. Ini kemungkinan besar akan menjadi model mild-hybrid yang menggunakan enjin 1.5 liter turbocas tiga-silinder dengan 48-volt belt starter-generator (BSG) daripada X90.

     
     
  • Proton bakal lancarkan EV pertama tak lama lagi — EV kedua 6-8 bulan selepas itu; rebadge Geely Geometry?

    Proton bakal lancarkan EV pertama tak lama lagi — EV kedua 6-8 bulan selepas itu; rebadge Geely Geometry?

    CEO Proton, Dr. Li Chunrong mendedahkan bahawa syarikat itu bakal memperkenalkan kereta elektrik sendiri dalam masa terdekat. Ini selari dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar ketika pelancaran Proton S70 November tahun lalu.

    Berkongsi perkara berkenaan dalam satu majlis bersama media sempena CNY malam ini, Li memaklumkan yang Proton bukan sahaja akan memperkenalkan sebuah EV, tetapi sebaliknya ada dua model EV. Menurut Li, EV kedua akan tiba dalam tempoh antara enam ke lapan bulan selepas EV pertama diperkenalkan kelak. Namun, tiada perincian lanjut didedahkan setakat ini.

    Perkara ini juga selari dengan sasaran yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong di dalam parlimen sebelum ini bahawa Proton mampu mengeluarkan EV pertama menjelang 2025 nanti.

    Proton pernah mencuba pembangunan EV sebelum ini dengan menggunakan Iriz sebagai prototaip, lapan tahun lalu. Namun projek berkenaan tidak pernah menjadi kenyataan. Dengan sasaran EV menjelang 2025 untuk Proton seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, masih menjadi tanda tanya tentang model EV yang mana akan dikeluarkan oleh Proton, memandangkan jangka masa yang ada agak singkat.

    Adakah ia akan menjadi versi EV bagi model sedia ada ketika ini, atau adakah ia sebuah model yang akan menggunakan model yang sudah dihasilkan Geely? Jenama Geometry oleh Geely ketiak ini sudah ada model yang sesuai, seperti model A, C, E dan Panda. Jalan yang mana agaknya sedang diambil oleh Proton ketika ini?

     
     
  • Toyota Hilux V-Active 2024 dilancar di Australia – hibrid ringkas 48V, lebih berkuasa dan selesa

    Toyota Hilux V-Active 2024 dilancar di Australia – hibrid ringkas 48V, lebih berkuasa dan selesa

    2024 Toyota HiLux SR5

    Selepas ditunjukkan pada awal bulan ini menerusi pendedahan versi facelift 2024, Toyota Hilux dengan teknologi hibrid ringkas 48 Volt secara rasmi dilancarkan di Australia dan mula boleh dibeli di pasaran berkenaan bermula 1 Mac ini. Teknologi hibrid ringkas 48 Volt berkenaan secara rasmi digelar sebagai V-Active Technology, dan ia dipadankan secara standard pada varian SR5 dan Rouge 4X4, sementara pembeli untuk varian SR 4X4 double cab pula ia ditawarkan secara opsyen.

    Sistem hibrid ringkas berkenaan menampilkan tiga komponen utama iaitu satu unit motor generator (sebelum ini dinyatakan berkuasa 16 PS dan tork 65 Nm) yang menggantikan tugas motor penghidup dan alternator konvensional, bateri 48 volt dan juga penukar arus DC/DC. Untuk enjin utama, Hilux ini masih menerima enjin turbodiesel 2.8 liter empat silinder berkuasa 204 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm.

    Menurut Toyota, teknologi V-Active ini bukan hanya memberikan kemampuan pemanduan serta prestasi yang lebih baik dan menawarkan penggunaan bahan api lebih jimat, malah ia juga menampilkan aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang lebih rendah dari varian tanpa sistem ini.

    Menerusi sistem tersebut, motor elektrik akan membantu enjin diesel ketika memecut, membolehkan bebanan enjin direndahkan terutamanya ketika ia dikerah secara tidak efisien. Manakala ketika nyah pecut, fungsi motor berkenaan akan berubah menjadi generator bagi mengecas semula bateri 48 Volt tersebut, tetapi dalam masa yang sama masih memberikan rasa engine braking yang semula jadi.

    Toyota Hilux V-Active 2024 dilancar di Australia – hibrid ringkas 48V, lebih berkuasa dan selesa

    2024 Toyota HiLux SR5

    Ia juga memberikan fungsi start/stop yang akan menghidupkan dan mematikan enjin ketika kelajuan melahu (idling). Fungsi ini dihasilkan dengan dua mod iaitu ‘Normal’ dan ‘Long’, di mana ketika mod ‘Long’ dipilih enjin akan dimatikan lebih lama dari biasa.

    Toyota menyatakan dengan motor elektrik pada sistem V-Active ini, enjin dapat dihidupkan semula dengan cepat, senyap serta gegaran yang minima ketika fungsi auto start/stop itu digunakan. Kelajuan melahu enjin juga dapat direndahkan kepada hanya 600 rpm berbanding 720 rpm pada versi biasa, membolehkan enjin dihidupkan semula dengan mudah dan senyap ketika dalam kesesakan trafik.

    Dalam situasi di mana kenderaan berada pada permukaan jalan menurun cerun, enjin juga masih boleh dihidupkan semua secara automatik dengan lancar, di mana sistem ini akan mengekalkan tekanan brek sehingga cukup tenaga tolakan dihasilkan bagi memberikan pecutan tanpa gangguan.

    Secara keseluruhan, Toyota mendakwa bahawa V-Active Technology ini dapat memberikan penjimatan bahan api sehingga 10% lebih baik berbanding Hilux yang hanya dijana oleh enjin 2.8L turbodiesel biasa tanpa bantuan sistem elektrifikasi.

    Toyota Hilux V-Active 2024 dilancar di Australia – hibrid ringkas 48V, lebih berkuasa dan selesa

    2024 Toyota HiLux SR5

    Dan bagi memastikan sistem elektrifikasi pada Hilux dengan teknologi V-Active ini tidak menggangu kemampuan meredah laluan off-road trak pikap berkenaan, unit motor generator tersebut diletakkan pada kedudukan yang agak tinggi dalam ruang enjin dan ia disahkan boleh meredah laluan berair dengan kedalaman tinggi.

    Motor generator tersebut juga dihubungkan pada aci engkol enjin menggunakan tali sawat fabrik dengan rusuk berkekuatan tinggi, serta unit penegang tali sawat (belt tensioner) dengan dua lengan bagi memastikan ia tahan serta memberikan rintangan gelincir lebih baik ketika basah.

    Bukan itu sahaja, setiap Hilux yang menerima sistem V-Active ini turut akan menerima sistem pemanduan laluan off-road Multi-Terrain Select (MTS), yang menawarkan enam mod yang boleh dipilih bagi memaksimakan cengkaman pada pelbagai permukaan jalan.

    Dalam kedudukan gear High (H), MTS akan menyediakan mod Dirt, Sand, Mud, Deep Snow dan Auto. Manakala dalam gear Low (L), mod Dirt dan Deep Snow digugurkan, dan digantikan dengan mod Rock bagi membolehkan Hilux ini ‘merangkak’ untuk melepasi permukaan berbatu besar.

    Toyota Hilux V-Active 2024 dilancar di Australia – hibrid ringkas 48V, lebih berkuasa dan selesa

    2024 Toyota HiLux SR5

    Dengan penambahan teknologi V-Active ini, Hilux SR Cab Chassis dijual pada harga bermula AUD54,130 (RM170k), atau hanya AUD1,025 (RM3.2k) lebih mahal dari versi yang tidak diberikan sistem tersebut. Manakala varian SR5 4X4 Double Cab yang datang standard dengan teknologi V-Active serta penambahan pengecas telefon pintar tanpa wayar dan dua penegecas USB-C untuk kabin belakang, ia dijual pada harga AUD60,580 (RM190k) atau AUD5,901 (RM18.5k) lebih mahal dari sebelum ini.

    Semua varian utama Hilux 2024 pasaran Australia ini (kecuali varian WorkMate, SR Single Cab dan varian dijana enjin petrol) menerima rupa facelift baharu yang didedahkan tempoh hari. Ia dipadankan dengan gril baharu menampilkan elemen sarang lebah yang bersambung dengan bampar baharu direka dengan kemasan seperti diffuser di hadapan serta kemasan hitam menegak yang jelas pada perumah lampu kabus di tepi.

    Semua varian pikap untuk Hilux 2024 pasaran Australia ini juga kini dibekalkan dengan perincian standard lebih baik seperti peredam dan bantuan mengangkat pada pintu bed belakang, serta penderia parkir hadapan dan belakang bagi model-model dengan transmisi automatik.

     
     
  • Nombor plat ‘GOLD 1’ jadi milik YDP Agong Sultan Ibrahim – RM1.5 juta, bidaan tertinggi dalam sejarah

    Nombor plat ‘GOLD 1’ jadi milik YDP Agong Sultan Ibrahim – RM1.5 juta, bidaan tertinggi dalam sejarah

    KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diumumkan menjadi pemilik bagi ‘GOLD 1’, nombor plat pendaftaran kenderaan yang dikeluarkan khas sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

    Menurut laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, nombor plat berkenaan dibida dengan nilai RM1.5 juta, sekaligus menjadi nilaian bidaan tertinggi yang tercatat dalam sejarah negara. Difahamkan bahawa RM1.5 juta tersebut akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

    Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, hari ini di Istana Negara. Pada pertemuan itu, Loke turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Siri GOLD tersebut dibuka bidaan bermula 1 Februari lalu, dan berlangsung selama lima hari. Untuk membidanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menetapkan harga minima bagi setiap kategori iaitu RM20,000 untuk Nombor Bernilai Utama (Golden), RM3,000 untuk Nombor Menarik (Attractive), RM800 bagi Nombor Popular dan Nombor Biasa pula RM300.

    Manakala bermula 13 Februari lalu, JPJ telah menawarkan baki nombor siri GOLD tersebut, dengan kadar bayaran sebanyak RM510 termasuk fi perkhidmatan. Anda boleh menyemak baki nombor yang tinggal menerusi jabatan perlesenan kenderaan di ibu pejabat JPJ di Putrajaya atau pun mana-mana cawangan JPJ negeri. Permohonan boleh dibuat menerusi wakil, dan setiap indivitu dihadkan untuk tiga permohonan sahaja. Untuk memohonnya, anda perlu melampirkan salinan MyKad atau pun sijil pendaftaran perniagaan dan isi borang JPJ eBid yang boleh dimuatturun menerusi laman web JPJ.

     
     
  • Volkswagen ID.7 Tourer 2024 diperkenal – wagon EV dengan jarak gerak sehingga 685 km, 286 PS, RWD

    Volkswagen ID.7 Tourer 2024 diperkenal – wagon EV dengan jarak gerak sehingga 685 km, 286 PS, RWD

    Volkswagen telah memperkenalkan ID.7 Tourer, iaitu satu versi wagon bagi ID.7 yang dilancarkan April tahun lalu. Menurut pengeluar Jerman itu, ID.7 Tourer adalah antara kereta wagon elektrik pertama dalam kelas pertengahan dan akan mula dijual di Eropah sekitar suku pertama tahun ini.

    Secara visualnya, ID.7 ini nampak sama sahaja seperti kembar sedannya apabila dipandang dari hadapan, dan dimensinya juga sama, dengan ukuran panjang 4,961 mm, lebar 1,862 mm, tinggi 1,536 mm dan jarak roda 2,971 mm.

    Bahagian yang paling berbeza adalah bumbung lebih panjang, sementara lampu pula masih nampak sama dengan terdapat jalur penyambung di bahagian tengah. Melalui badan jenis wagon ini, ruang simpanan belakangnya, dengan tempat duduk belakang masih tegak bertambah 73 liter berbanding versi sedan, menjadi 605 liter. Apabila tempat duduk dilipat pula ia menjadi 1,714 liter (sedan 1,586 liter.

    Volkswagen ID.7 Tourer 2024 diperkenal – wagon EV dengan jarak gerak sehingga 685 km, 286 PS, RWD

    Selain pelbagai aksesori yang boleh menjadikan kereta ini lebih praktikal, pemilik juga boleh mendapatkan ID.7 Tourer dengan bumbung panoramik yang menggunakan kaca polymer-dispersed liquid crystal (PDLC). Hanya dengan sentuhan satu butang, kaca bumbung ini boleh menjadi lutsinar ataupun gelap. Rim pula disediakan dari saiz 19 inci hingga 21 inci.

    Masuk ke dalam, ID.7 Tourer ini menggunakan papan pemuka yang sama seperti ID.7 sedan, dengan terdapat skrin sesentuh 15 inci di bahagian tengah, dan disambungkan kepada sistem infotainmen MID4. Ciri bantuan kawalan suara IDA pada kenderaan ini boleh mengakses informasi daripada pelbagai sumber termasuk Wikipedia dan ChatGPT, untuk menjawab soalan spesifik berkenaan pelbagai subjek.

    Satu lagi yang baru adalah Wellness In-Car-App (pilihan tambahan), yang boleh melaras beberapa fungsi seperti pendingin hawa, untuk menjadikan keadaan dalam kereta lebih menyenangkan. ID.7 Tourer juga mendapat head-up display AR, yang dipertingkat dengan navigasi daripada Android Auto dan Apple CarPlay mengikut kemahuan pengguna.

    Pelbagai sistem bantuan pemandu disediakan pada ID.7 Tourer, seperti Park Assist Plus dengan fungsi memori (boleh merekod sehingga 50 metre), Lane Assist, Adaptive Cruise Control, Emergency Assist, Side Assist Lane Change, Front Assist (Autonomous Emergency Braking) dan Dynamic Road Sign Display.

    Seperti yang boleh dijangka, penggerak ID.7 Tourer ini masih sama seperti versi sedan biasa, iaitu menggunakan tetapan motor tunggal dan pacuan roda belakang, dengan kuasa 286 PS (282 hp atau 210 kW) dan tork 545 Nm. Varian Pro mendapat bateri berkapasiti 77 kWh manakala Pro S ditingkatkan menjadi 86 kWh dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 685 km (WLTP).

    Bateri berkapasiti lebih kecil boleh menerima pengecasan DC maksimum sehingga 175 kW, manakala bateri Pro S boleh dicas menggunakan sumber sehingga 200 kW – 10-80% dalam masa bawah 30 minit.

     
     
  • Pembiayaan Agility+ Mercedes-Benz — pakej servis tambahan, kredit pengecasan hingga 29 Februari

    Pembiayaan Agility+ Mercedes-Benz — pakej servis tambahan, kredit pengecasan hingga 29 Februari

    Ingin miliki kenderaan baharu dari Mercedes-Benz, tetapi tidak mahu terkongkong dengan syarat perjanjian sewa beli konvensional? Jika ya, anda boleh mempertimbangkan Agility+, sebuah pelan bayaran ansuran inovatif yang memberikan anda lebih banyak kemudahan dan lebih fleksibel.

    Ditawarkan oleh Mercedes-Benz Financial Malaysia, Agility+ memberikan pelbagai kelebihan dan manfaat. Paling utama, anda boleh menikmati bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah kerana anda tidak perlu membayar untuk keseluruhan harga kenderaan, sebaliknya hanya untuk tempoh dan jarak yang anda rancang untuk gunakan sahaja.

    Anda juga tidak perlu risau tentang susut nilai harga jualan semula, kerana Agility+ melindungi anda melalui Nilai Masa Depan Dijamin, semuanya berdasarkan tempoh penggunaan serta jarak perbatuan yang anda pilih.

    Pelan Agility+ juga menampilkan pelbagai pilihan perjanjian yang lebih fleksibel. Pada penghujung tempoh pajakan, anda akan diberikan pilihan untuk selesaikan, lanjutkan atau pulangkan kenderaan. Jika anda berhasrat untuk menyimpan kenderaan Mercedes-Benz tersebut, anda boleh memilih untuk selesaikan dan bayar baki nilai yang masih tertunggak, dan jadi pemilik sepenuhnya.

    Pembiayaan Agility+ Mercedes-Benz — pakej servis tambahan, kredit pengecasan hingga 29 Februari

    Jika anda memilih untuk panjangkan tempoh pajakan, anda boleh melanjutkan pelan bayaran balik untuk menampung baki nilai tertunggak bagi tahun-tahun ke depannya. Akhir sekali, jika anda memilih untuk pulangkan kenderaan, anda hanya perlu serahkan kereta kembali kepada Mercedes-Benz tanpa apa-apa tanggungan lain. Melalui pilihan ini, anda bebas untuk menaik taraf kepada model Mercedes-Benz yang lebih baharu bagi setiap tiga atau lima tahun.

    Dan ada lagi: turut termasuk dalam pakej Agility+ ialah MobilityPlus. Disediakan untuk dua tahun pertama pelan, ia menjamin adanya kereta gantian sekiranya kereta anda perlu menjalani servis atau tuntutan jaminan melebihi 48 jam. Selain itu, program ini turut melibatkan dua pakej servis untuk menampung servis berjadual yang diperlukan.

    Untuk menjadikannya lebih menarik, syarikat ini menawarkan lebih banyak kelebihan dengan Agility+ sepanjang tempoh musim perayaan ini, dengan menyediakan sokongan insurans tahun pertama (dihadkan kepada 55% NCD) untuk model C 200, E 200, E 300, EQA, EQB, EQC, EQE dan EQS.

    Pembiayaan Agility+ Mercedes-Benz — pakej servis tambahan, kredit pengecasan hingga 29 Februari

    Promosi perayaan ini juga meningkatkan jumlah pakej servis bagi beberapa model, dengan A 200, A 250, GLA 200, GLA 250, GLA 35, GLC 300 dan C 300 menerima empat pakej servis. Jika anda memilih S 580e, anda akan mendapatkan sembilan pakej servis. Model yang tidak dinyatakan di sini turut menerima dua pakej servis untuk menampung servis berjadual dengan Agility+.

    Model dengan elektrifikasi juga berpeluang menerima kredit pengecasan, dengan EQA, EQB, EQC dan EQE menerima kredit pengecasan bernilai RM900. Pilih EQS atau EQS SUV dan anda akan menerima sehingga RM1,200 kredit pengecasan tersebut.

    Dengan semua kelebihan ini, Agility+ merupakan cara paling menarik untuk membiayai kenderaan Mercedes-Benz anda. Tetapi anda perlu cepat, kerana kempen dengan kelebihan tambahan ini hanya sah sehingga 29 Februari 2024 sahaja. Ketahui lebih lanjut tentang pajakan fleksibel yang ditawarkan oleh Agility+.

    Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Mazda 6 20th Anniversary Edition 2023 di M’sia – galeri penuh; perubahan gaya, kelengkapan; RM240,848

    Mazda 6 20th Anniversary Edition 2023 di M’sia – galeri penuh; perubahan gaya, kelengkapan; RM240,848

    Mazda 6 generasi ke-enam telah pun diberikan sedikit peningkatan untuk pasaran Malaysia pada Oktober lalu dan kini ditawarkan dengan tiga varian. Ini termasuklah varian 2.0 Sedan yang ditawarkan pada harga atas jalan RM180,359 tanpa insurans, diikuti dengan 2.5 High Plus Sedan berharga RM240,848. Dan jika anda mahukan Mazda 6 versi station wagon, pilihan ketiga ialah 2.5 Touring yang berharga RM230,848.

    Untuk galeri foto ini, kami fokuskan pada varian 2.5 High Plus Sedan, dengan model edisi khas 20th Anniversary Edition sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-20. Untuk pengetahuan anda, Mazda 6 pertama kali diperkenalkan pada tahun 2002, dan dipasarkan di peringkat global pada Disember 2022.

    Bagi 20th Anniversary Edition, sentuhan luaran diberikan secara lebih istimewa dengan roda aloi 19-inci dalam kemasan Bright Metallic Alloyyang dibaluti tayar profil 225/45, gril hadapan dengan kemasan gunmetal serta lencana khasnya pada fender hadapan.

    Ciri istimewa juga diberikan untuk ruang dalamnya, termasuk upholstery kulit tan dan sulaman khas pada perehat kepala tempat duduk, dengan kelengkapan yang dinaiktaraf termasuk tempat duduk hadapan dengan fungsi ventilasi, cermin padang belakang tanpa bingkai dengan fungsi auto-kelam, paparan kluster instrumen pelbagai-info tujuh-inci (TFT LCD 4.6-inci untuk varian lain), tirai suria untuk tingkap belakang dan pencahayaan kabin LED (jenis mentol untuk varian lain).

    Citi lain termasuk lampu utama dan lampu belakang LED dengan iluminasi signitur, lamu kabus belakang LED, bilah pengelap cermin dengan penderia hujan, penderia parkir hadapan dan belakang, bumbung suria larasan kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, brek parkir elektrik (dengan fungsi penahan auto), paparan utama, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong di belakang), tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, pengecas tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 11-pembesar suara, paparan pandangan 360-darjah, dan sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci dengan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto berwayar.

    Bagi aspek keselamatan, kesemua varian Mazda 6 didatangkan dengan enam beg udara, ABSm EBD, bantuan brek, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki, pengunci pintu automatik, pengunci walk away dan cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak ISOFIX.

    Klik untuk besarkan

    Sistem bantuan pemandu aktif hanyalah eksklusif untuk 2.5 High Plus Sedan dan 2.5 Touring, yang merangkumi lampu utama LED adaptif, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan perhatian pemandu, Sokongan Brek Pintar (brek kecemasan sendiri) hadapan dan belakang, Mazda Radar Cruise Control dan Cruising & Traffic Support.

    Tiada perubahan pada penjana kuasa dengan masih mengekalkan enjin Skyactiv-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris petrol dengan output 195 PS (192 hp atau 143 kW) dan tork 258 Nm. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam-kelajuan Skyactiv-Drive, di mana ia juga sama dengan varian asas yang diberikan enjin 2.0 liter NA empat-silinder sebaris petrol denggan kuasa 164 PS (162 hp atau 121 kW) dan tork 213 Nm.

    Warna baharu yang ditawarkan untuk Mazda 6 adalah Platinum Quartz dan Rhodium White Premium, yang menyertai pilihan warna sedia ada iaitu Arctic White, Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Gray, Sonic Silver, Soul Red Crystal dan Polymetal Gray. Selain itu, warna Artisan Red menjadi rona eksklusif untuk 20th Anniversary Edition. Setiap pembelian turut didatangkan dengan waranti pengeluar lima-tahun/100,000 km dan juga pakej penyelenggaran percuma.

     
     
  • Fasa Pertama projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor dari empat ke enam lorong bermula Jun ini

    Fasa Pertama projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor dari empat ke enam lorong bermula Jun ini

    Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad mengumumkan bahawa Projek pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) daripada empat lorong kepada enam lorong di Johor akan bermula Jun ini. Menurutnya dalam laporan Harian Metro, projek pelebaran akan bermula dengan Fasa Satu yang membabitkan laluan dari Senai Utara ke Sedenak dengan jarak 21.8 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.

    “Projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor daripada empat kepada enam lorong akan dimulakan dari Senai Utara ke Sedenak, mulai Jun ini, bagi fasa pertama. Projek dengan jarak 21.8 km itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.”

    Beliau turut menjelaskan tempoh masa yang diperlukan tersebut adalah kerana kerja pelebaran dari Senai Utara ke Sedenak berkenaan agak mencabar berikutan keadaan muka bumi yang berbukit dan curam. Manakala projek pelebaran Fasa Dua daripada Sedenak ke Machap pula akan bermula pada awal 2025. Buat masa sekarang Hasni memberitahu bahawa ia sedang dipertimbangkan untuk dilanjutkan sehingga ke kawasan Ayer Hitam dengan jarak 17.3 km.

    Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berharap, projek pelebaran Lebuhraya Plus di kawasan Johor itu diberi keutamaan dan berjalan lancar supaya tidak berlaku kelewatan daripada jadual. Beliau turut menambah (LLM) turut akan memberi keutamaan kepada pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran dilaksanakan berikutan jangkaan kesesakan berlaku.

    Fasa Pertama projek pelebaran Lebuhraya PLUS di Johor dari empat ke enam lorong bermula Jun ini

    “Pengurusan pelan trafik di kawasan pelebaran jalan sedang diperhalusi termasuk contohnya kenderaan berat yang menggunakan lebuhraya akan dijadualkan perjalanan mereka. Mungkin juga sebahagian kenderaan berat akan dialihkan menggunakan jalan Persekutuan, namun ia masih diteliti dan dibincangkan,” katanya.

    Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

    Buat masa sekarang laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

     
     
  • Range Rover Evoque 2024 di Malaysia – P200 dan P250, skrin sesentuh 11.4-inci baharu, RM499k-RM566k

    Range Rover Evoque 2024 di Malaysia – P200 dan P250, skrin sesentuh 11.4-inci baharu, RM499k-RM566k

    Range Rover Evoque 2024 kini telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia, setelah diperkenalkan di peringkat global pada Jun tahun lalu. SUV mewah ini telah diberikan sentuhan yang lebih segar dengan menampilkan sedikit perubahan pada penggayaanya.

    Tiga varian diberikan sebagai pilihan, bermula dengan P200 Dynamic SE (M Spec) yang ditawarkan pada harga atas jalan RM498,800 tanpa insurans. Diikuti dengan versi yang lebih padu, P250 (H Spec) yang berharga RM30,000 lebih tinggi iaitu mencecah RM529,800. Manakala P250 Dynamic HSE (Lux Spec) pula lebih mahal sebanyak RM40,000 dengan harga RM565,800.

    Ketiga-tiga varian masih terus dijanakan oleh enjin 2.0 liter Ingenium pengecas turbo empat-silinder petrol. Bagi versi P200, ia mampu menghamburkan hingga 200 PS dan tork 320 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.6 saat. Sementara kedua-dua varian P250 pula dengan 249 PS dan 365 Nm dengan pecutan 0-100 km/j cecah 7.6 saat. Kesemuanya juga dipadankan dengan kotak gear automatik ZF sembilan-kelajuan secara standard, dengan pacuan semua roda Efficient Driveline dengan Driveline Disconnect.

    Untuk luarannya, Evoque agak mirip dengan adik-beradiknya Velar facelift dan juga Range Rover L460 serba baharu. Di hadapannya, lampu utama LED diberikan semakan semula dengan lampu nyalaan siang yang lebih nipis (tiada lagi segi empat tepat di dalamnya), bersama paten segi empat tepat pada gril. Manakala untuk di belakangnya, lampu “double-U” telah memberi laluan kepada grafik berbentuk-U yang lebih lebar. Warna baharu iaitu Corinthian Bronze, Tribeca Blue dan Arroios Grey turut diberikan menampaknya lebih menarik.

    Bagi serlahan dalam kabin pula, ia berubah lebih ketara berbanding model sebelumnya, menampilkan reka bentuk reduktif dibantu oleh penggunaan skrin sentuh infotainmen terapung besar 11.4-inci (masih mengoperasikan antara muka Pivi Pro) daripada Velar facelift.

    Namun ia telah menggugurkan ciri kawalan suhu fizikal, yang fungsinya kini dipindahkan sepenuhnya ke skrin atas. Selain itu, ia diberikan lebih banyak ruang storan di bawahnya termasuk pengecas tanpa wayar Qi secara standard. Ia turut diberikan roda stereng yang disemak semula yang diperkenalkan pada tahun 2020 yang kini disertai dengan serlahan Moonlight Chrome dan tuil gear baharu yang lebih berketerampilan.

    Range Rover Evoque 2024 di Malaysia – P200 dan P250, skrin sesentuh 11.4-inci baharu, RM499k-RM566k

    Ciri standard yang diberikan untuk P200 Dynamic SE termasuklah roda aloi Style 1085 20-inci, upholstery kulit Ebony, kemasan anodised gelap, tempat duduk pemandu larasan kuasa 12-cara (10-cara untuk penumpang hadapan), kawalan suhu dwi-zon, paparan instrumen digital 12.3-inci, pedal penukar gear kemasan krom satin, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, 11-pembesar suara, sistem bunyi Meridian 400-wat, kamera undur dan tailgate bukaan elektronik.

    Untuk versi P250 diberikan ciri tambahan termasuk lampu tinggi automatik, lampu kabus hadapan, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi 3D dan cermin pandang belakang digital ClearSight. Bagi versi Dynamic HSE ditambah dengan ciri lampu utama Pixel LED matrix, roda aloi Style 5137 21-inci, upholstery kulit Windsor bumbung kaca panoramik, tempat duduk larasan kuasa 14-cara, suspensi adaptif dan paparan utama.

    Kesemua model juga kini dilengkapi dengan bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, pemantauan titik buta, pengesan isyarat trafik dan pemantauan trafik lintasan belakang.

    GALERI: Range Rover Evoque P250 Dynamic HSE 2024

    GALERI: Range Rover Evoque P250 SE 2024

     
     
  • Penutupan lorong berperingkat di laluan Simpang Pulai-Gopeng Lebuhraya PLUS hingga 8 Mac 2024

    Penutupan lorong berperingkat di laluan Simpang Pulai-Gopeng Lebuhraya PLUS hingga 8 Mac 2024

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan bahawa pihaknya sedang menjalankan kerja- kerja penyenggaraan jalan di laluan Simpang Pulai-Gopeng (arah selatan) Lebuhraya Utara- Selatan sejak semalam sehingga 8 Mac 2024.

    “Kerja-kerja penyenggaraan jalan tersebut dilaksanakan secara berperingkat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Sehubungan itu, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka susulan penutupan lorong secara berperingkat di laluan tersebut.

    “Justeru, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini. Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh petugas lebuhraya ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengguna lebuhraya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • JPJ eBid: TCW dan VMC bersedia untuk dibida

    Bagi yang bakal menerima kenderaan baharu yang ditempah, bolehlah mencari siri nombor pendaftaran menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Ia melibatkan penawaran siri baharu dari Terengganu iaitu TCW dan VMC pula dari WP Kuala Lumpur yang kedua-duanya telah pun boleh dibida sejak 17 Februari lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 Februari ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaram yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • ACO Tech, Geno dan MARii tandatangan MoC bagi teroka solusi rantaian blok bagi pengguna EV di M’sia

    ACO Tech, Geno dan MARii tandatangan MoC bagi teroka solusi rantaian blok bagi pengguna EV di M’sia

    Pembekal solusi keterhubungan mobiliti ACO Tech, pembekal penyelesaian rantaian blok (blockchain) Geno dan juga Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini telahpun menandatangani satu Memorandum Kerjasama (MoC) bersama bagi meneroka penggunaan penyelesaian rantaian blok bagi infrastruktur kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

    Kenyataan bersama ketiga-tiga pihak yang dikeluarkan hari ini menyebut bahawa MoC ini adalah bertujuan untuk membuka jalan untuk penerokaan penyelesaian rantaian blok termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian ACO Tech untuk Platfom Perkhidmatan Mobiliti Elektrik (EMSP).

    “Usaha ini boleh memastikan privasi dan hak milik data, membolehkan pengewangan data, dan memanfaatkan pelabur strategik melalui pelaburan jangka panjang. EMSP adalah teras Visi Mobiliti Terhubung Kerajaan untuk membantu memperkasa pembangunan infrastruktur EV di Malaysia,” tulis kenyataan tersebut dan menambah bahawa dengan kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dapat menangani kebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadar pengecasan yang tidak konsisten.

    “Penggunaan penyelesaian teknologi rantaian blok memperkasakan pengeluar EV, penyedia perkhidmatan, dan pemilik/pengguna untuk berinteraksi secara lebih interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat yang tidak boleh disunting. Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar. Selain itu, ia memudahkan perkongsian tenaga dan pengecas, memastikan ketelusan sepanjang kitaran hidup produk dan perkhidmatan,” tulis kenyataan itu lagi.

    ACO Tech, Geno dan MARii tandatangan MoC bagi teroka solusi rantaian blok bagi pengguna EV di M’sia

    Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech Encik Li Pu berkata, “Kami teruja dengan prospek pertumbuhan sektor mobiliti di Malaysia dengan adanya sokongan Kerajaan dan polisi yang progresif. Sebagai pembekal penyelesaian mobiliti pintar yang utama, ACO Tech bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran kami serta menyokong semua pihak berkepentingan dalam mencapai matlamat negara. Kami yakin kerjasama seperti ini adalah langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif untuk Malaysia, dengan penekanan pada keselamatan. Dengan menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia dapat memacu revolusi EV di Asia Tenggara.”

    “Kerjasama kami dengan ACO Tech, sebuah syarikat usaha sama antara PROTON, ECARX dan Altel Communications, dan Geno, merupakan langkah penting yang dapat mencorak masa depan ekosistem EV di Malaysia. Dengan meneroka penyelesaian rantaian blok, kita tidak hanya menangani cabaran semasa dalam sektor EV tetapi juga membina landasan untuk infrastruktur yang selamat dan boleh dikembangkan selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan 2020. Kami berhasrat untuk menetapkan standard industri baharu, memajukan amalan lestari serta inovasi yang mengutamakan pengguna melalui gabungan keupayaan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii Encik Azrul Reza Aziz.

    “Inisiatif ini merupakan aplikasi industri rantaian blok yang pertama. Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan transformasi bagi perusahaan yang terlibat ke arah model yang berfokus pada perkhidmatan. Langkah strategik ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dengan pelanggan pengguna akhir, membolehkan interaksi yang lebih awal, mendalam, dan berkekalan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Geno Encik Zhang Yi Ian.

     
     
  • Berjaya dilapor bakal bersaing dengan YTL untuk projek tol MLFF — telah berunding dengan konsesi

    Berjaya dilapor bakal bersaing dengan YTL untuk projek tol MLFF — telah berunding dengan konsesi

    Disember tahun lalu, sejumlah 32 syarikat konsesi lebuh raya memprotes langkah kerajaan yang memberikan kontrak bagi multi-lane free-flow toll system (MLFF) kepada syarikat swasta tunggal. Syarikat konsesi berkenaan mendakwa bahawa perjanjian pelantikan dengan KJS-SEP Synergy, sebuah syarikat yang berkait dengan YTL Corporation, telah diberikan tanpa berunding terlebih dahulu dengan konsesi berkenaan, yang akan menanggung kos pelaksanaannya kelak.

    Kini ada satu lagi nama yang muncul, dengan Berjaya Group memaklumkan telah meminta sokongan daripada syarikat konsesi lebuh raya untuk melengkapkan bidaan bagi pemasangan sistem MLFF berkenaan, lapor FMT.

    Satu sumber memaklumkan portal berita berkenaan, barisan eksekutif kanan syarikat itu telah mengadakan perjumpaan dengan wakil daripada 32 syarikat konsesi tersebut untuk mendapatkan maklum balas sebelum menyerahkan cadagan akhir kepada Kementerian Kerja Raya. Sumber itu juga memaklumkan yang tawaran Berjaya juga lebih menarik berbanding cadangan asal, yang ketika ini sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

    Berjaya dilapor bakal bersaing dengan YTL untuk projek tol MLFF — telah berunding dengan konsesi

    Antara cadangan yang digariskan adalah untuk konsesi lebuh raya untuk membina gerbang tol MLFF mereka sendiri, sementara BErjaya dan sebuah lagi syarikat lain akan menyediakan servis kutipan tol. Dengan cara ini, konsesi terlibat akan memperoleh pendapatan mereka pada hari berikutnya, seperti yang diamalkan ketika ini.

    Laporan itu juga menyebut tentang cadangan konsesi agar syarikat yang menyediakan servis kutipan tol untuk bertanggungjawab tentang ketirisan pendapatan yang muncul selepas penghadang tol ditanggalkan, kerana mereka tidak mahu terbeban untuk mengenal pasti pengguna yang melalui laluan tersebut tanpa membayar tol.

    Pihak konsesi itu juga mahu MLFF dilaksanakan hanya di plaza tol utama di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang, di mana kesasakan lalulintas lebih teruk. Ini adalah mengurangkan kos pelaksanaan sebanyak 30%. Sebelum ini, kos yang terlibat dinyatakan mencecah RM3.46 bilion telah diperuntukkan untuk pelaksanaan MLFF menjelang 2025.

    Berjaya dilapor bakal bersaing dengan YTL untuk projek tol MLFF — telah berunding dengan konsesi

    Bantahan daripada konsesi lebuh raya terhadap rancangan kerajaan melantik hanya satu syarikat untuk mengendalikan projek MLFF adalah disebabkan kos dan kontrak yang terlibat. Mereka menyatakan mampu melaksanakan sistem tersebut dengan kos 30% lebih rendah berbanding yang dicadangkan oleh YTL, dan menambah bahawa langkah itu turut akan melanggar perjanjian syarikat individu dengan kerajaan yang telah dimeterai sebelum ini.

    Mereka mendakwa rancangan YTL akan membolehkan syarikat baru untuk mengambil alih operasi dan proses pengesahan konsesi berkenaan, yang membawa kepada kemungkinan masalah integriti berkaitan pendapatan tol. Di bawah perjanjian berkenaan, kerajaan akan mengumpul antara RM650 juta hingga RM850 juta setahun daripada konsesi berkenaan dalam tempoh 20-tahun.

    Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berkaitan perkara ini. Bulan lalu, dilaporkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat pengurusan yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF ini di Kementerian Kerja Raya.

     
     
  • Tan Chong Group kendali solar terapung di Serendah, penglibatan pertama sektor tenaga diperbaharui

    Tan Chong Group kendali solar terapung di Serendah, penglibatan pertama sektor tenaga diperbaharui

    Tan Chong Motor Holdings (TCMH) melalui anak syarikatnya TC Sunergy (TCS) telah umumkan kilang Floating Large-Scale Solar Photovoltaic (LSSPV) yang pertamanya di Serendah. Operasi kilang berkenaan telah dimulakan pada 5 Januari lalu.

    LSSPV terapung Tan Chong yang pertama itu adalah hasil daripada penyertaan kumpulan syarikat berkenaan dengan projek solar fotovoltaic 20-megawatt di bawah LSSPV Bidding Cycle 4 (LSS@MEnTARI) oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2020. Ini menjadi langkah pertama kumpulan syarikat berkenaan menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui.

    Di bina di atas Sungai Rawang – Tasik Serendah, LSSPV itu dijangka akan membekalkan sebanyak 1,043,114 MWh tenaga hijau kepada TNB di bawah perjanjian pembelian 25-tahun (PPA). Tan Chong menyatakan perkembangan ini akan menyumbang kepada pengurangan sebanyak 610,221 tan pembebasan gas CO2 ke atmosfera, bersamaan dengan mengalihkan 132,656 unit kenderaan daripada aktif di jalanan, atau menanam sebanyak 29,058,175 pokok.

    Dalam usaha untuk memulihara ekosistem tasik berkenaan dan persekitarannya, kilang solar terapung itu memanfaatkan seluas 60% permukaan air. Projek berkenaan mematuhi garis panduan pelan pengurusan alam sekitar yang dikeluarkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “LSSPV Terapung LCS — Serendah merupakan pencapaian penting yang menandakan penglibatan pertama kumpulan syarikat ini ke dalam sektor tenaga mapan dan boleh diperbaharui. TCMH Group berbesar hati kerana dapat memainkan peranan kami dalam memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujar CEO TCMH Group, Daniel Ho.

     
     
  • Jualan Proton di Brunei naik 87% pada 2023, kini jenama ke-5 paling laris di sana; X50 paling laris

    Jualan Proton di Brunei naik 87% pada 2023, kini jenama ke-5 paling laris di sana; X50 paling laris

    Proton hari ini mengumumkan bahawa ia berjaya menjual sebanyak 789 unit kenderaan di Brunei sepanjang tahun 2023. Rekod berkenaan menunjukkan pretasi jualan jenama automotif Malaysia itu meningkat sebanyak 87% di Brunei tahun lalu berbanding dengan catatan jualan sebanyak 422 unit pada 2022.

    Dengan rekod baharu tersebut, Proton menyatakan bahawa ia kini memegang bahagian pasaran sebanyak 5.4% (naik 2.2% berbanding tahun sebelumnya) dari Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut yang turut meningkat kepada 14,640 unit untuk tahun 2023, berbanding 13,000 unit pada 2022. Ini turut membolehkan Proton kini menjadi jenama kelima paling laris di Brunei, naik satu anak tangga berbanding 2022.

    Menurut Proton, SUV segmen-B X50 merupakan modelnya yang paling laris di Brunei dengan jualan sebanyak 476 unit, atau mewakili 60% dari jumlah jualan keseluruhan berkenaan.

    “Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya, serta ekuiti jenama kami. Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors, untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian. Ini disokong dengan aktiviti kami untuk mempromosikan jenama Proton, yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang membantu membina keyakinan pelanggan Brunei,” kata Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu.

    Jualan Proton di Brunei naik 87% pada 2023, kini jenama ke-5 paling laris di sana; X50 paling laris

    Dalam kenyataan yang sama, ada juga model-model lain dari Proton yang turut berada dalam senarai 10 terlaris dalam segmen masing-masing di Brunei pada 2023. Antaranya Proton Persona dan Proton Iriz berada di kedudukan keenam dan
    kelapan untuk kereta segmen B, manakala Proton X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun telah dijual kurang daripada setengah tahun.

    Bagi 2024, Proton dan PAD Motors mensasarkan jumlah jualan lebih tinggi dan yakin dapat menjual lebih dari 1,000 unit kenderaan. Antara faktor penting bagi mencapai sasaran tersebut adalah pelancaran sedan segmen-C baharunya iaitu Proton S70 yang dijadualkan sebelum hujung Februari ini. Proton menyatakan bahawa Brunei merupakan pasaran eksport pertama bagi S70 di mana 15 unit pertama model tersebut telah pun dihantar ke sana bulan lepas.

    “Untuk 2024, Proton yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan di Brunei. Dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model lain serta pengenalan Proton S70, kami menyasarkan untuk menembusi halangan 1,000 unit pada akhir tahun ini,” tambah Steven Xu.

     
     
  • Mitsubishi L100 EV dilancar di Indonesia – Kei-Van panel elektrik CKD bermula RM98k, jarak gerak 180 km

    Mitsubishi L100 EV dilancar di Indonesia – Kei-Van panel elektrik CKD bermula RM98k, jarak gerak 180 km

    Selepas ditunjukkan dikhalayak awam sejak awal tahun lalu, akhirnya Kei-Van Mitsubishi Minicab EV secara rasminya dilancarkan di Indonesia. Model berkenaan tidak diimport dari Jepun, sebaliknya dipasang secara tempatan (CKD) di Indonesia, dan secara rasminya ia dikenali sebagai Mitsubishi L100 EV di republik tersebut.

    Operasi pemasangan kei-van EV berkenaan telah pun bermula di sana sejak Disember tahun lalu, dan Mitsubishi Motors Indonesia (MMI)) menyatakan bahawa L100 EV ini merupakan kenderaan komersil elektrik Jepun pertama di Indonesia. Sebelum ini ia telahpun digunakan oleh Pos Indonesia sebagai kenderaan operasi logistik di Nusantara, dan untuk versi yang baru dilancarkan untuk pasaran awam ini L100 EV dijual pada harga bermula 320 juta rupiah (RM97,791).

    Model ini hanya ditawarkan dalam badan panel van dengan hanya dua tempat duduk di hadapan. Ia ini menampilkan dimensi 3,395 mm panjang, 1,475 mm lebar, 1,915 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,390 mm. Ruang kabin belakang tanpa tempat duduk menyediakan kapasiti kargo 1,830 mm panjang, 1,370 mm lebar dan 1,230 mm tinggi.

    Mitsubishi L100 EV dilancar di Indonesia – Kei-Van panel elektrik CKD bermula RM98k, jarak gerak 180 km

    MMI juga menyatakan van ini mampu menanggung beban maksima 425 kg tetapi dengan hanya seorang pemandu di dalamnya. Jarak kelegaan rodanya pula adalah 165 mm, dan direka dengan radius pusingan hanya 4.3 meter membolehkan ia mudah dikendali di tempat sempit.

    Untuk menggerakkan van ini, ia dilengkapi dengan hanya satu motor elektrik di belakang untuk memacu roda belakang, berkuasa 42 PS (31 kW) dan tork maksima 195 Nm, bagi membolehkan ia dipandu dengan kelajuan maksima 100 km/j. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkapasiti 20.1 kWj, yang memberikan jarak gerak sejauh 180 km dalam kitaran WLTC dengan satu cas penuh.

    Bateri tersebut boleh dicas menerusi pengecas AC menggunakan penyambung Type 1, yang mengambil masa selama 7.5 jam untuk dipenuhkan. Ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC (penyambung CHAdeMO) yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-80% dalam masa hanya 42 minit.

    Antara kelengakapan standard yang dibekalkan untuk L100 EV pasaran Indonesia ini termasuk lampu hadapan halogen, rim besi 12-inci, penghawa dingin manual, dua beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, Traction Control dan juga sistem pengingat pemakaian tali pinggang keledar.

    Kei-van panel ini hanya ditawarkan dengan warna badan White Solid. Manakala setiap pembelian akan diberikan waranti kenderaan selama lima tahun atau 100,000 km, waranti bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km, dan juga pakej SMART yang merangkumi penyelengaraan percuma (termasuk alat ganti) sehingga empat tahun atau 50,000 km.