Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Proton S70 – bayangan digital sebagai peronda polis

    Proton S70 – bayangan digital sebagai peronda polis

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya antara jabatan kerajaan yang tegar menggunakan sedan-sedan dari Proton, sejak dari zaman Saga ‘bumper besi’. Walau bagaimanapun jumlah kereta-kereta peronda polis Proton Preve buat masa sekarang yang sedang dimamah usia secara beransur-ansur ditukar kepada Honda Civic FC dan juga FE yang lebih moden dan bertenaga.

    Namun hujung tahun lalu Proton baru sahaja melancarkan sedan segmen-C iaitu Proton S70 yang mempunyai kemampuan yang boleh menandingi Honda Civic. S70 dibekalkan dengan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo PFI yang menjana 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Walaupun kuasanya sedikit rendah, S70 menerima kotak gear DCT automatik berbanding CVT pada Civic.

    Jadi mungkin hanya menunggu masa sahaja PDRM akan memilih semula Proton menerusi S70 ini untuk dijadikan kereta perondanya. Untuk membayangkan bagaimana rupa S70 sebagai kereta peronda PDRM, ini dia unit yang sudahpun menerima sentuhan digital dari pakar manipulatif automotif tempatan, Theophilus Chin.

    Proton S70 – bayangan digital sebagai peronda polis

    Theo menggunakan asas S70 Flagship X berwarna putih yang lengkap dengan kit badan asli dari Proton untuk bayangan digital peronda PDRM ini. Tranformasi ini agak mudah kerana Theo hanya perlu menambah grafik badan rekaan terkini PDRM yang diambil dari peronda Civic FE sedia ada serta memadankan lampu strob pada bahagian atas bumbung sedan ini.

    Kacak juga S70 selepas dijadikan kereta peronda PDRM bukan? Apa pula pendapat anda? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • GALERI: Nissan Almera Kuro Edition 2024 – bermula RM84k, pilihan kit badan Tomei, rim aloi Impul 16-inci

    GALERI: Nissan Almera Kuro Edition 2024 – bermula RM84k, pilihan kit badan Tomei, rim aloi Impul 16-inci

    Tidak seperti pasaran Thailand dan Filipina yang kini telah pun menerima Nissan Almera N18 dalam versi facelift, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) masih lagi menawarkan model berkenaan dalam versi asal yang diperkenalkan di Malaysia sejak akhir 2020. Namun untuk mereka yang masih mahukan Almera yang lebih garang, ini sebenarnya adalah berita baik kerana model facelift Almera ini tampil dengan rupa lebih elegen tetapi kurang karekter agresif.

    Dan pada awal tahun ini, ETCM turut menawarkan Almera Kuro Edition yang datang dengan kit penggayaan memberikan imej lebih garang pada sedan segmen-B ini. Kuro Edition ini bukan hanya ditawarkan dalam versi varian tertinggi VLT, malah turut boleh dipilih dalam varian VLP dan VL.

    Secara asasnya Kuro Edition ini menerima kit penggayaan dalam kemasan hitam (Kuro bermaksud hitam dalam bahasa Jepun), yang terdiri dari kit aero serta pelbagai aksesori lain. Unit yang kami tampilkan dalam galeri lengkap Nissan Almera N18 Kuro Edition 2024 ini merupakan model dalam varian VLT dan dengan warna badan baharu untuk tahun ini iaitu Glacier Grey.

    GALERI: Nissan Almera Kuro Edition 2024 – bermula RM84k, pilihan kit badan Tomei, rim aloi Impul 16-inci

    Antara kelengkapan Kuro Package yang boleh anda lihat pada unit ini termasuk gril hadapan berwarna hitam berkilat, rim aloi dalam kemasan hitam (15-inci untuk varian VL, 16-inci untuk VLP dan VLT), set aloi pedal sport dan lapisan filem penebat haba Ice Cool.

    Paling menonjol pada bahagian luaran Almera Kuro Edition ini adalah kit badan dari penala Jepun untuk jenama Nissan iaitu Tomei. Kit berkenaan terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan dan belakang dan skirt sisi – berbanding kit yang sama pada model biasa diberikan warna badan, kit pada Kuro Edition ini datang dalam kemasan hitam berkilat.

    Bagi pembeli Kuro Edition dalam varian VL dan VLP, lid spoiler pada penutup but belakang berwarna hitam berkilat turut akan diberikan sekali (ia adalah perincian standard pada varian VLT). Manakala pembeli Kuro Edition dalam varian VLT pula, aksesori tambahan yang turut diberikan sekali adalah termasuk pelindung pembuka pintu, kicking plate pada bendul pintu dan juga visor pintu.

    GALERI: Nissan Almera Kuro Edition 2024 – bermula RM84k, pilihan kit badan Tomei, rim aloi Impul 16-inci

    Khas untuk Almera Kuro Edition dalam varian VLT dan VLP, ETCM turut menawarkan Kuro GT Package khas untuk dua varian tertinggi ini yang menampilkan spoiler belakang Tomei GT Wing yang lebih besar dan juga rim aloi 16-inci dua tona dari Impul Racing. Walau bagaimanapun, pakej ini hanya disediakan terhad kepada 300-unit.

    Tiada perubahan pada aspek mekanikal sama ada dari segi prestasi mahupun pengendalian pada Almera Kuro Edition ini. Ia masih kekal dijana oleh enjin HRA0 1.0 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 100 PS pada takat 5,000 rpm, dan tork puncak 152 Nm bermula seawal 2,400 hingga 4,000 rpm, serta dipadankan dengan kotak gear CVT X-tronic dengan D-Step Logic dan juga mod Sport.

    Almera N18 pasaran Malaysia ini menerima sistem brek kecemasan automatik (AEB) untuk semua varian, manakala varian paling mahal VLT pula dilengkapi dengan kamera pemantau 360-darjah dan sistem bantuan pemanduan asas Nissan Safety Shield yang menampilkan fungsi pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    Model paling rendah VL diberikan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama empat-pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual. Manakala varian VLP dan VLP diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Nissan Almera Kuro Edition ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM83,888, dan ETCM menawarkan promosi pelancaran di mana anda boleh mendapatkan Kuro Package ini hanya pada harga RM1,000 (harga sebenar RM8,000), atau Kuro GT Package dengan tambahan RM500 berbanding Kuro Package biasa (harga sebenar yang perlu ditambah adalah RM3,200).

    Tiada tambahan harga jika anda membeli Almera Kuro Edition tanpa kit badan Tomei, di mana varian VL dijual pada harga RM83,888, varian VLP berharga RM89,888 dan varian VLT dijual pada harga RM95,888. Dengan tiada perubahan pada sistem mekanikal, jadi ulasan pandu uji kami yang boleh anda baca pada PAUTAN INI masih lagi relevan.

     
     
  • Radar RD6 AWD – trak pikap EV dari Geely didakwa mampu memecut sepantas Tesla Cybertruck!

    Radar RD6 AWD – trak pikap EV dari Geely didakwa mampu memecut sepantas Tesla Cybertruck!

    Trak pikap RD6 yang dihasilkan oleh sub-jenama Geely iaitu Radar sudahpun dilancarkan di China pada hujung 2022, namun ia hanya hadir dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang. Menurut laporan Carnewschina, versi lebih berkuasa Radar RD6 ini yang dijana dua motor elektrik pacuan semua roda bakal dilancarkan di negara berkenaan pada suku kedua tahun ini.

    RD6 merupakan trak pikap yang dihasilkan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu platform yang diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA). Oleh itu bagi menghasilkan versi pacuan semua roda, satu lagi motor elektrik boleh dipadankan dengan mudah pada gandar hadapan.

    Menurut CEO Radar, Ling Shiquan dalam laporan tersebut, dengan satu lagi motor elektrik yang dipadankan pada RD6 AWD tersebut kelak membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa yang hampir sama seperti trak pikap EV Tesla Cybertruck, iaitu sekitar empat saat walaupun dengan membawa beban 100 kg.

    Radar RD6 AWD – trak pikap EV dari Geely didakwa mampu memecut sepantas Tesla Cybertruck!

    Ling turut menyatakan bahawa RD6 AWD ini turut mempunyai kebolehan meredah air dengan seperti Hummer EV iaitu dengan kedalaman sekitar 813 mm.

    Buat masa sekarang RD6 pacuan roda belakang dijana oleh motor tunggal berkuasa 272 hp (200 kW) memboolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6 saat. Motor berkenaan disuap dengan kuasa elektrik yang dibekalkan dari bateri LFP 63 kWj untuk varian asas, memberikan jarak gerak 400 km. Varian pertengahan menerima bateri NMC 86 kWj untuk jarak gerak 550 km, dan varian paling mahal diberikan bateri NMC 100 kWj untuk jarak gerak 632 km.

    Walaupun belum ada perincian rasmi diumumkan, model AWD kelak mungkin menerima motor untuk gandar hadapan dengan kuasa yang sama, seperti model-model EV lain yang dibangunkan oleh Geely menggunakan platform SEA tersebut. Ia juga mungkin akan menerima pilihan bateri dengan kapasiti lebih besar bagi mengekalkan jarak gerak yang jauh.

    GALERI: Radar RD6 RWD

     
     
  • BMW iX 2024 dikemaskini di M’sia — tiada xDrive40; pengecas AC 22 kW, suspensi udara, dari RM466k

    BMW iX 2024 dikemaskini di M’sia — tiada xDrive40; pengecas AC 22 kW, suspensi udara, dari RM466k

    BMW iX 2024 untuk pasaran Malaysia kini telah menerima peningkatan dari sudut senarai kelengkapannya serta penawaran varian — xDrive40 dan xDrive40 Sport kini telah digugurkan, menjadikan hanya ada varian ditawarkan selepas ini iaitu xDrive50 Sport dan M60.

    Dari segi harga, iX xDrive50 Sport dijual RM465,800, atas jalan tidak termasuk insurans, sementara versi M60 pula pada harga RM579,800. Angka ini bagaimanapun tidak termasuk pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI), yang melibatkan lanjutan jaminan kepada lima-tahun (daripada dua-tahun standard) dan pakej servis enam-tahun.

    Dengan BSRI, harga xDrive50 Sport menjadi RM499,000, manakala M60 menjadi RM613,000. Berbanding senarai harga lama sebelum ini, xDrive50 dan M60 masing-masing lebih murah sebanyak RM62,630 dan RM32,630 kini, dengan atau tanpa BSRI.

    BMW iX 2024 dikemaskini di M’sia — tiada xDrive40; pengecas AC 22 kW, suspensi udara, dari RM466k

    Perubahan senarai kelengkapan pula menyaksikan xDrive50 Sport kini datang dengan pengecas dalaman AV (Type 2) yang dipertingkat kapasitinya menjadi 22 kW berbanding hanya 11 kW sebelum ini. Pengecasan AC kini hanya memerlukan masa lima jam 30 minit untuk satu cas penuh dan bukan lagi 11 jam seperti sebelum ini. M60 pula memang sudah dilengkapi dengan pengecas AC 22 kW.

    Tiada perubahan untuk pengecas DC (CCS), dengan kapasiti maksimum 195 kW untuk membolehkan baterinya dicas 0-80% dalam masa hanya 35 minit. Jarak perjalanan yang diperoleh juga sama, dengan xDrive50 Sport memberikan 630 km (WLTP) sementara M60 dengan 561 km — kedua-duanya menggunakan bateri berkapasiti 111.5 kWh (109.4 kWh kapasiti bersih).

    iX menampilkan dua motor dan tetapan pacuan semua roda dengan janaan 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork bagi xDrive50 Sport (0-100 km/j dalam masa 4.6 saat), manakala bagi M60 pula dengan 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan 1,100 Nm (0-100 km/h dalam masa 3.8 saat). Bagi xDrive50 Sport, ada satu kemaskini penting — suspensi udara dua-gandar adaptif, yang sudah menjadi ciri standard untuk M60.

    BMW iX 2024 dikemaskini di M’sia — tiada xDrive40; pengecas AC 22 kW, suspensi udara, dari RM466k

    iX yang dikemaskini juga menerima BMW Operating System 8.5 yang baru, serta Comfort Access diperkemas dengan Digital Key Plus. Ini membolehkan pengguna untuk membuka kunci menggunakan telefon yang serasi — dan boleh dikongsi kepada lima lagi peranti lain. Varian xDrive50 Sport juga kini dilengkapi ciri Parking Assistant Professional yang ada pada M60 — dipertingkat daripada Parking Assistant Plus yang melibatkan pertambahan bantuan parkir mengundur dan mengiring, serta Manoeuvering Assistant.

    Selain kelengkapan yang ditambah ini, ada juga perkara yang digugurkan atau diubah. Misalnya, ciri bumbung kaca panoramik Sky Lounge telah digugurkan untuk xDrive50 Sport, sementara untuk M60, sistem bunyi Bowers & Wilkins telah digantikan oleh sistem Harman Kardon.

    Ciri lain yang diguguran ialah lampu utama Leserlight (kini LED standard), aplikasi dalaman Clear & Bold untuk xDrive50 Sport, kemasan luaran Titanium Bronze M untuk xDrive50 Sport, kawalan gerakan serta pengudaraan kerusi bagi M60. Selebihnya, ruang dalaman kekal sama seperti sebelumnya — antara lain dilengkapi Live Cockpit Professional dengan paparan panel instrumen 12.3-inci dan infotainmen 14.9-inci.

    BMW iX ditawarkan dengan pilihan warna seperti berikut: Alpine White, Mineral White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, Oxide Grey Metallic dan Blue Ridge Mountain Metallic. Tambah RM6,200, pelanggan boleh mendapatkan warna Aventurine Red Metallic atau Individual Storm Bay Metallic.

    Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri, bantuan tepi jalan dan talian kecemasan serta sokongan BMW Service Online.

     
     
  • Petron Blaze RON100 kini RM5 seliter, manakala Shell V-Power Racing pula RM6.10 seliter di Malaysia

    Petron Blaze RON100 kini RM5 seliter, manakala Shell V-Power Racing pula RM6.10 seliter di Malaysia

    Harga bahan api tanpa subsidi, seperti Petron Blaze 100 dan Shell V-Power Racing memang dijangka menjadi lebih mahal. Dan, perkara ini memang sudah pernah berlaku: harga bagi kedua-dua bahan api yang dinyatakan ini masing-masing pernah mencecah harga RM5.60 dan RM6.20 seliter pada 2022. Harga runcit bagi kedua-dua minyak ini disandarkan kepada harga RON97, dan diselaraskan untuk naik atau turun bergantung kepada RON97.

    Dalam kemaskini harga runcit bahan api terkini minggu lalu (15-21 Februari), Petron Blaze 100 dijual pada harga RM5.00 seliter, manakala Shell V-Power Racing dengan harga RM6.10 seliter. Blaze 100 hanya melibatkan kenaikan kecil daripada harga RM4.90 seliter yang dikenakan sejak beberapa bulan lalu.

    Bagi V-Power Racing, harganya berada sekitar lebih RM6 sejak kenaikan harga 60 sen daripada RM5.80 kepada RM6.40 seliter pada Disember tahun lalu.

    Petron Blaze RON100 kini RM5 seliter, manakala Shell V-Power Racing pula RM6.10 seliter di Malaysia

    Dengan harga minyak mentah yang kini menurun berbanding tempoh pertengahan 2022 dahulu dan lebih stabil harganya, mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa Blaze 100 dan V-Power Racing masih dijual dengan harga yang tinggi sebegitu. Selain harga bahan api khusus ini yang ditentukan sendiri oleh pengeluarnya, prestasi nilai mata wang ringgit untuk tukaran wang asing juga memainkan peranan dalam menjadikannya harga kedua-duanya masih tinggi dan tidak diturunkan.

    Dalam keadaan seperti ini, adakah masih ramai yang menggunakan minyak premium yang lebih mahal itu, terutama untuk kereta-kereta prestasi tinggi dan mewah? Nanti, setelah subsidi minyak ditarik balik dan hanya diberikan secara bersasar, harga untuk bahan api premium ini seharusnya tidak akan banyak berubah seperti sekarang kerana ia sudah mengikut harga pasaran semasa. Tapi itu kita tunggu perkembangannya kelak untuk dipastikan.

     
     
  • Honda BR-V N7X Edition 2024 dilancarkan di Indonesia – tiga varian; sentuhan penggayaan unik; dari RM97k

    Honda BR-V N7X Edition 2024 dilancarkan di Indonesia – tiga varian; sentuhan penggayaan unik; dari RM97k

    Menerusi penganjuran acara Indonesia International Motor Show (IIMS) tahun ini, Honda memperkenalkan BR-V N7X Edition baharu, di mana ia ditampilkan dengan beberapa perubahan estetika yang diinspirasi berdasarkan konsep yang dipertontonkan menerusi crossover tiga barisan tempat duduk generasi kedua ini pada tiga tahun yang lalu. Menurut Honda, N7X bermakna ‘New 7-Seater eXcitement’.

    N7X Edition ditawarkan dengan tiga varian, bermula dengan E CVT berharga 319.4 juta rupiah (RM97,472). Diikuti dengan Prestige CVT berharga 343.4 juta rupiah (RM104,797) dan varian tertinggi Prestige yang dilengkapi Honda Sensing yang ditawarkan pada harga 363.4 juta rupiah (RM110,911).

    Dengan harga yang agak premium itu, N7X Edition ditampilkan dengan gril hadapan krom gelap baharu bersama lencana spesifik varian, kemasan krom pada lampu kabus (varian Prestige sahaja), dan kit aero yang merangkumi spoiler bawah untuk hadapan dan belakang serta skirt sisi. Manakala cermin pintu, pemegang pintu, antena shark fin, tailgate spoiler dan roda 17-inci diberikan kemasan hitam.

    Tambahan kepada sentuhan luarannya, ia juga diberikan kemasan warna Sand Khaki Pearl, eksklusif untuk N7X Edition ini. Pilihan warna lain termasuk Premium Opal White Pearl, Crystal Black Pearl dan Meteoroid Grey Metallic.

    Di sebalik perubahan estetika itu, banyak ciri lain bagi N7X Edition masih sama dengan barisan BR-V biasa. Ini termasuklah enjin 1.5 liter i-VTEC empat-silinder DOHC yang mampu memberikan kuasa hingga 121 PS pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, yang disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Lampu utama LED merupakan ciri standard untuk BR-V, namun hanya varian tertinggi menerima fungsi on/off automatik. Manakala Prestige dengan Honda Sensing merupakan satu-satunya varian yang diberikan sistem bantuan pemandu termasuk LaneWatch, brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan kekal lorong, bantuan pemusatan lorong dan kepekaan ketibaan hadapan.

    Manakala E CVT didatangkan dengan remote engine start, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, paparan pelbagai-info 4.2-inci, unit utama skrin sesentuh 7-inci, upholstery fabrik, empat beg udara, kamera undur dan pendingin hawa automatik. Bagi varian Prestige ke atas, ciri tambahan termasuk upholstery kulit, dua lagi beg udara (kesemuanya enam unit), serta tombol gear dan roda stereng balutan kulit.

    Malaysia hanya menerima BR-V generasi pertama, dan kini digantikan dengan model yang lebih kecil iaitu WR-V. Generasi keduanya pertama kali dperkenalkan di Indonesia pada September 2021 dan kemudian ia dipasarkan pula di Thailand dan Filipina.

     
     
  • Perkhidmatan LRT di antara Stesen Bandaraya-Masjid Jamek dibuka sepenuhnya pada 17 Februari ini

    Perkhidmatan LRT di antara Stesen Bandaraya-Masjid Jamek dibuka sepenuhnya pada 17 Februari ini

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah mengumumkan bahawa perkhidmatan LRT antara Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek dibuka sepenuhnya esok, 17 Februari 2024, mulai jam 6 pagi, selepas selesai menjalani ujian percubaan terakhir selama dua minggu sejak 1 Februari lalu.

    Dengan pembukaan semula operasi bagi perkhidmatan LRT di kedua-dua stesen berkenaan, para penumpang tidak perlu lagi menaiki bas perantara percuma bagi meneruskan perjalanan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya, kata Rapid Rail.

    Sebelum ini, pengendali perkhidmatan LRT ini turut memaklumkan bilangan tren juga ditambah dan kekerapan tren pada waktu puncak juga akan dipertingkatkan dengan masa menunggu 3.5 minit bagi daerah pusat perniagaan dan 7 minit luar daerah pusat perniagaan. Walau bagaimana pun, tidak dimaklumkan pula adakah perkara tersebut akan dikekalkan selepas perkhidmatan LRT kembali beroperasi secara normal di kedua-dua stesen berkenaan.

    Sejak 27 Januari tahun lalu, laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang telah menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.

     
     
  • Pengusaha pengecas EV perlu patuhi semua syarat pelesenan Suruhanjaya Tenaga, PBT dan Bomba

    Pengusaha pengecas EV perlu patuhi semua syarat pelesenan Suruhanjaya Tenaga, PBT dan Bomba

    Kerajaan mengarahkan pengusaha industri pengecasan kenderaan elektrik (EV) agar mematuhi semua syarat pelesenan daripada Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk ketetapan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, selain itu, agensi kerajaan yang terbabit diarahkan menyelaras dan memudahcara peraturan berkaitan termasuk berkaitan dengan hal pelesenan bagi memastikan pembangunan serta pengoperasian stesen pengecas EV di seluruh negara berjalan dengan lancar, laporan Berita Harian.

    “Kerajaan mengambil maklum akan cabaran semasa yang dihadapi oleh pihak penyedia perkhidmatan pengecasan EV dan saya telah mengarahkan agensi berkaitan menyelaras dan memudahcara. Ini akan membantu menyokong pembangunan ekosistem EV secara holistik, tanpa menjejaskan aspek keselamatan,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (National EV Steering Commitee – NEVSC) yang pertama bagi 2024.

    Pengusaha pengecas EV perlu patuhi semua syarat pelesenan Suruhanjaya Tenaga, PBT dan Bomba

    Hadir sama pada Mesyuarat NEVSC ialah Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Menerusi mesyuarat tersebut, perkara lain yang turut dibincangkan ialah berkaitan usaha menambahbaik prosedur dan pelesenan stesen pengecas EV.

    Kenyataan tersebut turut menyebut bagi menambah bilangan stesen pengecasan EV di lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut bersetuju untuk memudahcara proses membangunkan stesen pengecas di sepanjang Lebuhraya PLUS. Ia termasuklah mengenalpasti lokasi strategik di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di Lebuhraya PLUS.

    “Selain itu, kerajaan meminta agar pembekalan kuasa elektrik di lokasi pembangunan pengecasan EV yang diluluskan di R&R adalah sentiasa mencukupi dan pembangunan sub-stesen baharu disegerakan di lokasi yang diperlukan,” katanya.

    Pengusaha pengecas EV perlu patuhi semua syarat pelesenan Suruhanjaya Tenaga, PBT dan Bomba

    Turut dimaklumkan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula sedang meneliti kaedah penyumberan bekalan tenaga dan penggunaan tenaga mengikut waktu untuk menggalakkan aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

    Dalam masa yang sama, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula memaklumkan selain aktiviti pengecasan EV menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, kerajaan juga menyambut baik cadangan untuk menggalakkan model perniagaan baharu bagi mengoptimumkan pengecasan EV pada waktu penggunaan grid yang rendah.

    “Mesyuarat juga dimaklumkan bahawa Northport (Malaysia) Bhd telah membangkitkan isu berkaitan risiko keselamatan EV semasa pengendalian dalam aspek logistik. Oleh itu, mesyuarat bersetuju supaya garis panduan amalan baik berkenaan tatacara pengendalian EV semasa urusan logistik disediakan dalam tempoh enam bulan sebagai rujukan kepada industri,” katanya.

     
     
  • Toyota Veloz dan Vios di Indonesia turut dipanggil semula kerana masalah nat penyerap hentak longgar

    Toyota Veloz dan Vios di Indonesia turut dipanggil semula kerana masalah nat penyerap hentak longgar

    Baru-baru ini UMW Toyota Motors telah membuat kempen panggilan semula untuk dua model berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang dipasang dan dijual di sini iaitu Toyota Veloz dan Toyota Vios berkenaan nat penyerap hentak hadapan yang longgar kerana tidak diikat dengan tork yang secukupnya.

    Nampaknya masalah berkenaan bukan berpunca dari barisan pemasangan tempatan di sini kerana Toyota Astra Motor turut membuat panggilan semula yang sama terhadap Veloz dan Vios yang dipasang serta dijual di Indonesia. Malah panggilan semula tersebut turut membabitkan dua lagi model berasaskan platform DNGA di sana iaitu kembar Veloz dalam versi lebih murah iaitu Avanza dan SUV segmen-B Toyota Yaris Cross.

    Perkara ini dilaporkan oleh portal automotif Indonesia, Autonetmagz dan menyatakan masalah berkenaan akan menyebabkan bunyi yang tidak normal terhasil, dan dalam situasi paling buruk nat tersebut mungkin tercabut, menyebabkan kenderaan hilang kestabilan.

    Unit-unit yang terlibat dalam panggilan semula ini adalah Toyota Veloz yang diproduksi bermula Oktober 2021 hingga Ogos 2023, Toyota Avanza yang diproduksi bermula November 2021 hingga September 2023, Toyota Vios yang diproduksi bermula Jun 2022 hingga Ogos 2023, dan Toyota Yaris Cross yang diproduksi dari Mei hingga September 2023.

    Apa yang disebut dalam laporan tersebut adalah sama seperti yang dinyatakan dalam surat panggilan semula yang dikirim oleh UMW Toyota kepada pemilik-pemilik Veloz dan Vios di Malaysia. Masa yang diambil untuk pembaikkan tersebut juga adalah sama iaitu 0.5 jam.

    Selain Toyota, Perodua juga mengeluarkan panggilan semula terhadap satu lagi kembar Veloz di sini iaitu Perodua Alza. Juga tiada hebahan umum untuk panggilan semula ini dan ia cuma diberitahu kepada pemilik menerusi surat notis yang dihantar.

     
     
  • Chery Omoda E5 2024 di Malaysia – galeri penuh EV dengan jarak gerak 430 km; 204 PS; dilancar Mac ini

    Chery Omoda E5 2024 di Malaysia – galeri penuh EV dengan jarak gerak 430 km; 204 PS; dilancar Mac ini

    Menjelang pelancaran Chery Omoda E5 pada bulan hadapan, kami membawakan galeri penuh versi EV bagi Omoda 5 untuk tontonan anda. Unit Omoda E5 yang dipertontonkan sebelum ini adalah versi pra-produksi, yang anda lihat ini adalah spesifikasi sebenar yang akan dipasarkan di Malaysia.

    Penjana kuasa bagi EV ini menampilkan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat. Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

    Chery mendakwa penggunaan kuasanya sekitar 14.5 kWh bagi setiap 100 km. EV ini menyokong pengecasan AC maksimum 9.9 kW serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang boleh mencapai tahap 30-80% dalam 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Chery Omoda E5 2024 di Malaysia – galeri penuh EV dengan jarak gerak 430 km; 204 PS; dilancar Mac ini

    Dari sudut imejnya, Omoda E5 tidak diberikan gril utama ikonik seperti Omoda 5 kerana ia tidak memerlukan unit radiator, digantikan dengan hanya satu bar hitam berkilat yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang.

    Bahagian yang kini kelihatan lebih kemas dan ringkas berkenaan menempatkan soket plag untuk mengecas SUV EV ini, disorokkan dengan penutup pada bahagian tengah muka. Namun ia masih diberikan liang udara dengan penutup aktif pada bahagian bampar yang tertutup dalam keadaan biasa bagi meminimakan kesan seretan udara, dan dibuka secara automatik bagi menyejukkan motor elektrik ketika ia dipandu laju.

    Omoda E5 ini juga diberikan set rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos.

    Pada bahagian kabin pula rekaan yang jelas berbeza adalah pada bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 ini tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.

    Chery Omoda E5 2024 di Malaysia – galeri penuh EV dengan jarak gerak 430 km; 204 PS; dilancar Mac ini

    Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng ala-tuil gear Mercedes-Benz. Selain itu ia diberikan upholsteri kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen, dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).

    Dan satu perincian yang agak menarik, Omoda E5 ini tidak diberikan butang pemula seperti butang penghidup enjin pada model Omoda 5 – pemandu hanya perlu meletakkan kunci dalan poket, tekan pedal brek dan SUV ini sudah boleh dipandu. Selesai memandu, pemandu hanya perlu meletakkan gear pada posisi ‘P’ dan terus keluar dari kenderaan.

    Untuk aspek bantuan pemandu, ia dilengkapi dengan kamera 360-darjah, lampu tinggi automatik, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Pendaftaran minat untuk Omoda E5 telah pun mula dibuka sejak Disember tahun lalu, namun buat masa ini harganya masih belum didedsahkan. Ketika ini, Omoda 5 janaan petrol ditawarkan pada harga dari RM108,800 hingga RM118,800 dan kami menjangkakan harga versi EV pula akan lebih tinggi dari itu. Omoda E5 juga dijangka mampu memberikan persaingan sengit dengan BYD Atto 3 yang berharga RM167,800.

     
     
  • Ora 07 EV tiba di Malaysia — pelancaran tak lama lagi?

    Ora 07 EV tiba di Malaysia — pelancaran tak lama lagi?

    Selain model Tank 300, Great Wall Motor Malaysia telah umumkan yang unit pertama Ora 07, yang turut dikenali dengan nama Lightning Cat atau Grand Cat di pasaran lain, akan masuk ke pasaran Malaysia. Hujung Januari lalu, syarikat itu memberi petunjuk bahawa model terbabit akan diperkenalkan di sini pada suku pertama 2024. Untuk itu, ketibaan Ora 07 yang dilihat ini selari dengan tempoh pengenalan yang dinyatakan itu.

    Syarikat itu sebelum ini menjelaskan yang EV berkenaan akan menjadi model EV kedua jenama tersebut untuk pasaran tempatan dan akan diperkenalkan dalam dua konfigurasi. Pertama, versi motor elektrik tunggal dengan jarak perjalanan 640 km, dan yang kedua dengan dua motor elektrik, merupakan varian dengan pacuan semua roda yang menawarkan jarak 550 km.

    Ini selari dengan dua varian Ora 07 yang dijual di Thailand, dengan kedua-duanya dilengkapi dengan bateri lithium 83.5 kWh. Varian Long Range mempunyai motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 340 Nm, sementara varian Performance dengan output keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.

    Masih belum ada petunjuk terhadap harga jualannya, tetapi di Thailand, Ora 07 dijual dengan harga antara 1.299-1.499 juta baht (RM172k-RM199k). Untuk pasaran tempatan, model fastback sedan yang menggunakan platform Lemon E pengeluarnya ini akan menjadi pesaing kepada model Tesla Model 3 dan BYD Seal.

     
     
  • Ora Good Cat EV hijau Pistachio kini tiba di Malaysia — ruang dalaman khas, hanya untuk varian 500 Ultra

    Ora Good Cat EV hijau Pistachio kini tiba di Malaysia — ruang dalaman khas, hanya untuk varian 500 Ultra

    Mei tahun lalu, Great Wall Motor Malaysia telah umumkan warna hijau Pistachio untuk model Ora Good Cat edarannya. Kini, penghantaran model versi warna tersebut sudah tiba di Malaysia.

    Warna hijau istimewa itu hanya ditawarkan bagi varian 500 Ultra yang paling tinggi, dan dijual pada harga RM169,800 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans). Ada varian lain yang lebih rendah, 400 Pro yang dijual pada harga RM139,800 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans), tetapi tanpa pilihan warna hijau Pistachio ini.

    Datang bersekali dengan warna luar Pistachio ini ialah skim warna dua-tona bahagian dalaman yang khusus — krim yang digandingkan dengan hijau lembut untuk bahagian panel pintu dan kemasan kerusi, dengan kontras warna oren. Ada juga cetak motif tapak kaki kucing di perehat lengan.

    Ora Good Cat EV hijau Pistachio kini tiba di Malaysia — ruang dalaman khas, hanya untuk varian 500 Ultra

    Varian 500 Ultra antara lain dilengkapi dengan bateri berkapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km (NEDC). Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.

    Kelengkapan lainnnya termasuklah stereng dengan butang kawalan multi-fungsi, dua slot USB untuk penumpang depan, satu USB di belakang, satu USB untuk perakam video digital berserta satu lagi outlet kuasa, paparan multi-maklumat tujuh-inci dengan skrin sentuh 10.25-inci untuk infotainment dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan, EV ini dilengkapi kawalan kelajuan adaptif, bantuan kelajuan pintar, AEB, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan kelajuan rendah, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong dan bantuan pemusatan lorong. Varian 500 Ultra menerima ciri tambahan termasuk Wisdom Dodge System, kekal lorong kecemasan, bantuan tukar lorong dan pengesan titik buta, amaran pelanggaran belakang, amaran trafik lintasan belakang dan brek trafik lintasan belakang.

     
     
  • JPJ terima 3,440 laporan kesalahan trafik dari orang awam menerusi MyJPJ, e-mel dalam operasi CNY

    JPJ terima 3,440 laporan kesalahan trafik dari orang awam menerusi MyJPJ, e-mel dalam operasi CNY

    Walau pun mungkin pihak berkuasa tidak mengesan anda sedang melakukan kesalahan trafik, ini tidak bermakna anda berjaya untuk mengelak daripada dikenakan sebarang tindakan. Awas! Sekarang ini orang awam pun sudah boleh merakam dan melaporkan sebarang kesalahan trafik yang dikesan melalui saluran dalam talian. Sekiranya terbukti kesalahan tersebut dilakukan, maka tindakan sewajarnya boleh diambil oleh pihak berkuasa.

    Sepanjang Op Selamat 21 yang dilaksanakan dalam musim perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) dari 1 hingga 13 Februari 2024, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menerima sebanyak 3,440 laporan pelbagai kesalahan trafik daripada orang awam menerusi aplikasi MyJPJ dan juga e-mel, laporan Bernama.

    Menurut Pengarah Kanan (penguatkuasaan) JPJ, Datuk Lokman Jamaan, jumlah kesalahan tertinggi ialah menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

    “Kami akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 114 Akta 333 dalam tempoh tiga hari bekerja kepada pemilik yang dikenal pasti untuk datang ke pejabat JPJ bagi prosedur dan penyelesaian kes. Sekiranya pemilik gagal hadir dalam tempoh 14 hari selepas notis Seksyen 114 dikeluarkan, pemilik akan dikenakan saman Notis P (22) dan sekiranya (pemilik) masih gagal memberi keterangan dalam tempoh masa yang ditetapkan termasuk gagal hadir ke mahkamah, dia akan disenaraihitamkan,” katanya.

    Lokman berkata, sebanyak 27,339 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang tempoh operasi di seluruh negara. Beliau berkata, lebih 72% (19,722 saman) kesalahan direkodkan melibatkan pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju, manakala 16% (4,283 saman) dikeluarkan untuk kesalahan lampu isyarat, dan 6% (1,700 saman) adalah kerana tidak memakai topi keledar/tali pinggang keledar.

     
     
  • GWM Tank 300 sudah tiba di Malaysia – SUV ladder frame gaya retro dari China bakal dilancar tak lama lagi

    GWM Tank 300 sudah tiba di Malaysia – SUV ladder frame gaya retro dari China bakal dilancar tak lama lagi

    GWM Malaysia mengumumkan kumpulan pertama SUV Tank 300 telah pun mendarat di Malaysia sebelum pelancaran rasmi SUV dengan gaya retro berkenaan di sini yang dijadualkan tak lama lagi. Walau bagaimanapun, GWM Malaysia masih belum mengumumkan sebarang spesifikasi mahupun harga bagi model pasaran Malaysia tersebut.

    Sesuai dengan rupanya, Tank 300 diasaskan dari casis ladder frame yang sama dengan trak pikap GMW Cannon. Di pasaran negara asalnya iaitu China, Tank 300 menerima enjin petrol empat-silinder 2.0 liter turbo berkuasa 220 PS dan tork 380-387 Nm.

    Enjin tersebut digandingkan kotak gear lapan-kelajuan automatik bersama sistem pacuan empat roda separa masa. Malah pelanggan di China turut dilaporkan menerima pilihan varian hibrid ringkas 48-volt dan juga varian plug-in hybrid Hi4-T.

    Manakala di Thailand, SUV ini dijadualkan akan dihantar kepada pelanggan bermula bulan Februari tahun ini untuk varian Ultra yang dijual pada harga 1.799 juta baht (sekitar RM238k). Untuk varian Pro yang lebih murah dijual pada harga 1.649 juta baht pula, ia akan dihantar kepada pelanggan bermula bulan Mac.

    GWM Tank 300 di China

    Kedua-dua varian yang dijual di Thailand berkenaan ditawarkan dalam versi hibrid. Unit rangkaian kuasa tersebut menggandingkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 244 PS dan tork maksima 380 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 106 dan tork maksima 268 Nm.

    Ini membolehkan Tank 300 pasaran Thailand berkenaan dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 351 PS dan tork 615 Nm. Motor elektrik berkenaan digerakkan dengan bateri lithium-ion berkapaditi 1.75 kWj, manakala kuasa pacuan pula disampaikan ke roda menerusi kotak gear 9HAT (9-speed Hybrid Automatic) dan juga sistem pacuan empat roda.

    Antara kelengkapan yang diberikan pada Tank 300 pasaran Thailand berkenaan termasuk set rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu suasana kabin pelbagai warna, brek parkir elektrik, tempat duduk hadapan larasan kuasa, paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, skrin infotainmen 12.3-inci, penghawa dingin dua zon, sistem telematik, enam-beg udara dan juga sistem ADAS.

    Teruja dengan SUV lasak menampilkan rupa seakan Jeep ini? Teruskan mengikuti kami di paultan.org untuk menegtahui informasi terkini mengenainya.

     
     
  • GALERI: KTM sambut ulang tahun ke-30 model Duke

    GALERI: KTM sambut ulang tahun ke-30 model Duke

    Nama Duke yang digunakan oleh KTM untuk model naked mereka kini sudah berusia 30 tahun memasuki tahun 2024 ini. Ia bermula pada tahun 1994 dengan pengenalan Duke yang menggunakan enjin satu silinder 609 cc, dan membawa gaya serta ergonomik gabungan antara supermoto dan juga street fighter.

    Setelah beberapa tahun dalam pasaran, ia semakin diterima ramai dan KTM seterusnya mengeluarkan versi yang lebih berkuasa, iaitu Duke II pada tahun 1999 dan seterusnya Super Duke, yang menggunakan enjin 990 LC-8 v-twin pada tahun 2005.

    Imej motosikal jahat mula melekat pada Duke dan merasakan ia masih tidak mencukupi, KTM perkenalkan pula versi yang lebih berkuasa pada tahun 2008 iaitu 990 Super Duke R. Pada tahun itu juga 690 Duke mula diperkenalkan kepada pasaran, dan model ini menawan ramai pembeli kerana bukan sahaja datang dengan enjin satu silinder 690 cc yang padu, tetapi juga harga yang lebih mesra pelanggan termasuk di Malaysia kerana dipasang di dalam negara.

    Menandangkan nama Duke sudah semakin kukuh dalam pasaran, KTM seterusnya mengambil langkah memperkenalkan Duke yang lebih kecil untuk mendekati lebih ramai pelanggan, bermula dengan 125 Duke pada tahun 2011 dan diikuti 200 Duke dan 390 Duke.

    Raksasa sebenar Duke muncul pada tahun 2014, iaitu 1290 Super Duke R, dengan enjin v-twin 1,301 cc berkuasa sehingga 177 hp dan pelbagai sistem elektronik canggih. Ia juga membawa kepada kelahiran versi jelajah yang dipanggil sebagai Super Duke GT.

    GALERI: KTM sambut ulang tahun ke-30 model Duke

    Perubahan besar Duke kelas pertengahan dibawa oleh 790 Duke bermula pada tahun 2018 waktu ia diperkenalkan, dengan membawa enjin dua silinder selari yang lebih berkuasa serta pelbagai teknologi moden.

    Untuk yang terbaru, tahun lepas KTM memperkenalkan 990 Duke dan 1390 Super Duke R, dengan masing-masing membawa kekuatan untuk bersaing di dalam segmennya. Sebagai menyambut ulang tahun ke-30 ini, 990 Duke, 1390 Super Duke R dan 390 Duke tahun 2024 dipasang dengan grafik khas yang mendapat inspirasi daripada model-model sebelumnya.

     
     
  • Subaru Forester GT Wild Lite 2024 – pelekat dan roda baharu; pendaftaran minat kini dibuka di Malaysia

    Subaru Forester GT Wild Lite 2024 – pelekat dan roda baharu; pendaftaran minat kini dibuka di Malaysia

    Motor Image Malaysia telah mula menerima pendaftaran minat untuk Subaru Forester GT Wild Lite, edisi terkini bagi SUV facelift yang dilancarkan pada Mei tahun lalu. Menurut laman web rasminya, GT Wild Lite didatangkan dengan kit aksesori yang menampakkan kelainan baginya berbanding varian lain bagi barisan Forester.

    Kit tersebut hanya akan dipasang di cawangan wakil pengedar terpilih, ini termasuklah pelekat imej gunung, pelekat hud anti-silau dan juga roda aloi baharu yang menampilkan ‘GT’ pada penutup tengahnya bersama tayar
    Yokohama Geolander.

    Seperti barisan Forester yang lain, unit edisi khas ini turut diberikan spesifikasi dan kelengkapan yang sama dengan varian 2.0i-S. Ia masih menerima enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 156 PS dan tork 196 Nm, dipadankan bersama Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-wheel Drive.

    GT Wild Lite ini juga menerima pemilih mod pemanduan SI-Drive dan juga Special X-Mode, selain kelengkapan bantuan pemandu EyeSight 4.0 yang merangkumi pre-collision braking, autonomous emergency steering, adaptive cruise control, lane centering dan departure prevention.

    Tidak dimaklumkan harganya, namun GT Wild Lite ini mungkin berharga dari RM163,000 hingga RM185,500 atas jalan tanpa insurans. Jika berminat, anda boleh mendaftarkan minat sekarang menerusi laman web Motor Image Malaysia.

     
     
  • Perodua panggil semula Alza; nat penyerap hentak perlu diketatkan semula, sama seperti Toyota Veloz

    Perodua panggil semula Alza; nat penyerap hentak perlu diketatkan semula, sama seperti Toyota Veloz

    Baru-baru ini UMW Toyota Motors ada membuat panggilan semula terhadap Toyota Veloz di Malaysia berhubung masalah nat penyerap hentak hadapan yang perlu diketatkan semula. Nampaknya kembarnya di sini iaitu Perodua Alza juga sudah dipanggil semula berhubung masalah yang sama.

    Perodua tidak menghebahkan notis panggilan semula ini secara umum, namun ada beberapa pemilik telah menerima surat pemberitahuan notis tersebut dan memuat naiknya di Perodua Alza D27A Malaysia Facebook Group.

    Walau bagaimanapun surat tersebut hanya menyatakan bahawa pemilik perlu membawa Alza mereka ke pusat servis bagi membolehkan suspensi hadapan diperiksa dan ia mengambil masa selama satu jam. Namun menerusi job order pusat servis yang kami lihat, arahan pembaikan yang perlu dilakukan untuk panggilan semula ini adalah untuk mengetatkan kembali nat penyerap hentak hadapan.

    Dalam surat yang dikirimkan oleh UMW Toyota kepada pemilik Toyota Veloz sebelum ini, ia ditulis dengan jelas bahawa kempen ini bertujuan untuk memanggil semula pemilik kenderaan, agar menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah Toyota untuk mengetatkan semula nat pemasangan penyerap hentak hadapan. Ini kerana nat tersebut mungkin tidak diikat dengan kadar tork secukupnya.

    “Jika kenderaan terus digunakan dalam keadaan ini nat berkenaan mungkin akan longgar, menyebabkan bunyi yang tidak normal terhasil, dan nat tersebut mungkin tercabut, menyebabkan kenderaan hilang kestabilan. Oleh itu kami menjalankan kempen servis istimewa ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan,” tulis surat dari UMW Toyota tersebut.

    Sama seperti UMW Toyota, Perodua turut menyatakan bahawa kesemua kos pembaikkan dalam panggilan semula ini diserap sepenuhnya oleh mereka dan pelanggan tidak perlu membuat sebarang pembayaran. Namun pelanggan masih perlu membuat temu janji dipusat servis terdekat terlebih dahulu bagi membuat pembaikan tersebut.

     
     
  • Polis akan panggil pemandu kenderaan yang biarkan kanak-kanak keluarkan kepala melalui sunroof

    Polis akan panggil pemandu kenderaan yang biarkan kanak-kanak keluarkan kepala melalui sunroof

    Selepas menerima laporan mengenai penularan video yang memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala menerusi bumbung suria (sunroof) sebuah kenderaan yang sedang bergerak dipercayai di Persiaran Putra Perdana, Putra Height, Polis Subang Jaya mengesahkan pemandu kenderaan berkenaan akan dipanggil untuk beri keterangan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, hasil siasatan awal rakaman percakapan pengadu yang merupakan Penolong Ketua Balai Polis Putra Height telah melihat satu video berdurasi 29 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun di X. Di mana video tersebut yang dirakamkan menerusi dashcam kenderaan di belakang semasa kejadian, memaparkan dua orang kanak-kanak kelihatan mengeluarkan kepala dan separuh badan menerusi sunroof.

    “Semakan mendapati pemilik kenderaan tersebut merupakan seorang warga tempatan beralamat di sekitar kawasan Putra Height. Suspek akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 (kecuaian terhadap kanak-kanak).

    “Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali. Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 0378627100 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Tahukah anda, dengan membiarkan kanak-kanak berbuat sebegini, ia boleh mengundang bahaya terhadap dirinya? Walau pun melalui jalan yang tidak sibuk, kita sendiri tidak tahu apakah bahaya yang menanti di hadapan. Malahan tindakan ini memang menyalahi undang-undang jalan raya. Sebelum insiden yang tidak diingini berlaku, maka, tolonglah bertindak bijak.

     
     
  • GWM Ora 07 EV, Haval H6 HEV dan Tank 300 SUV muncul dalam teaser sempena Tahun Baru Cina

    GWM Ora 07 EV, Haval H6 HEV dan Tank 300 SUV muncul dalam teaser sempena Tahun Baru Cina

    GWM Malaysia baru-baru ini menyiarkan satu ucapan selamat sempena Tahun Baru Cina di laman media sosial, tetapi ada perkara lain yang lebih menarik perhatian. Gambar yang digunakan bukan sahaja menampakkan model Ora Good Cat yang sudah sedia dijual, tetapi juga tiga lagi model lain.

    Ia adalah Ora 07, GWM Tank dan Haval H6 HEV. Ora adalah satu jenama bawah GWM yang digunakan untuk EV manakala Haval adalah jenama bawah kategori SUV (walaupun begitu masih ada SUV yang masih menggunakan jenama GWM sahaja). Seperti yang dilaporkan sebelum ini, tiga model ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Ora 07 sebenarnya adalah ‘adik-beradik’ kepada Good Cat, dan juga dikenali sebagai Lightning Cat atau Grand Cat di negara lain. Melihat keadaan di Thailand, model ini dijual pada harga bermula 1.299 juta baht (RM174,648) untuk varian asas Long Range dan 1.499 juta baht (RM201,655) untuk Performance.

    Kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5 kWj yang sama tetapi Model Long Range menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, manakala model Performance pula dibekalkan dengan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan tork maksima 680 Nm. Jarak geraknya adalah masing-masing 640 km dan 550 km.

    Bagi GWM Tank 300 pula, di China, ia dijual dalam dua varian, iaitu yang menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo biasa, ataupun hibrid ringkas 48 volt (enjin sama dengan tambahan sistem elektrikal 48 volt). Kuasa enjin itu sahaja adalah 227 PS dan tork 387 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan serta sistem pacuan empat roda dengan beberapa mod.

    Akhir sekali untuk H6 HEV, ia adalah sebuah crossover moden yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 167 hp dan tork 285 Nm, digabungkan bersama sistem hibrid series-parallel FWD dan kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan.

    GALERI: GWM Ora 07

    GALERI: Haval H6 HEV yang dipertonton di Malaysia

    GALERI: GWM Tank 300 di Auto Shanghai 2023

     
     
  • Harga minyak 15-21 Februari – Masih dikekalkan

    Harga minyak 15-21 Februari – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 15 hingga 21 Februari 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.