Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis tawar 50% diskaun saman pada 23-25 Feb 2024 sempena Program Madani Rakyat di Kuala Selangor

    Polis tawar 50% diskaun saman pada 23-25 Feb 2024 sempena Program Madani Rakyat di Kuala Selangor

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang menawarkan diskaun saman sebanyak 50% mulai hari ini, 23 Februari sehingga Ahad, 25 Februari 2024. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Madani Rakyat Zon Tengah yang berlangsung Kompleks Sukan Kuala Selangor. Kaunter saman trafik dibuka di sana dari jam 9 pagi hingga 10 malam sepanjang penganjuran acara berkenaan.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Kuala Selangor atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Pemilik Proton S70 terlibat kemalangan puas hati alat ganti tiada masalah, siap dibaiki dalam 2 minggu

    Pemilik Proton S70 terlibat kemalangan puas hati alat ganti tiada masalah, siap dibaiki dalam 2 minggu

    Jika dulu Proton sering ‘diejek’ kerana sistem tingkap kuasa yang selalu rosak, sejak jenama automotif nasional itu menjalinkan kerjasama dengan Geely ia sering disindir dengan masalah bekalan alat ganti yang tidak cukup dan lambat. Namun bagi pemilik Proton S70 yang mungkin merupakan “S70 pertama kena sodok” beberapa minggu lalu, pengalamannya dengan khidmat servis selepas jualan Proton membuktikan sebaliknya.

    Pengalaman berkenaan dikongsikan oleh pemilik menerusi hantaran yang dibuat di Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM) Facebook Group. Menurutnya, dia terlibat dalam kemalangan pada 7 Februari lalu dan kereta itu siap diperbaiki dan diserahkan kepadanya semula pada 21 Februari.

    Jadi segala proses pembaikan bahagian belakang sedan berkenaan yang remuk teruk khususnya pada bahagian bampar, kerangka di belakang bampar dan juga penutup but tersebut mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan. Segala proses tersebut diuruskan oleh Pusat 4S Proton di Nilai, Negeri Sembilan iaitu Proton LHM One Stop Car Service Centre 4S.

    Sejak Mac tahun lalu, Proton telah melancarkan program Proton Operational Excellence (POE) yang bukan sahaja untuk mengatasi masalah ketersediaan alat ganti, malah untuk memperbaiki keseluruhan operasi servis selepas jualannya. Menerusi program tersebut, Proton kini telah memperluaskan rangkaian dan lokasi gudang dan stok alat gantinya di seluruh negara.

    Proton juga mengambil serius segala aduan yang diterima dari pelanggan menerusi program ini. Sekiranya ada aduan pelanggan yang diabaikan dan tidak diselesaikan, pengedar boleh dikenakan penalti sebanyak RM1,000, manakala penasihat servis yang terlibat pula boleh dikenakan penalti RM200.

     
     
  • Toyota Alphard Hybrid dan Vellfire Hybrid ditayang di Malaysia – 250 PS, akan dilancarkan di sini nanti?

    Toyota Alphard Hybrid dan Vellfire Hybrid ditayang di Malaysia – 250 PS, akan dilancarkan di sini nanti?

    Dalam acara Beyond Zero yang dianjurkan oleh UMW Toyota di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil yang sedang berlangsung, syarikat tersebut turut mempamerkan versi hibrid untuk kembar MPV premium Toyota Alphard dan Vellfire generasi terbaharu yang kini ditawarkan di pasaran Jepun.

    Toyota Alphard Hybrid dan Vellfire Hybrid ini dijana oleh sistem hibrid siri-selari Toyota, menggandingkan enjin Dynamic Force A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 190 PS dan tork maksima 236 Nm, bersama motor elektrik 5NM berkuasa 182 PS dan tork maksima 270 Nm.

    Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan sejumlah 250 PS, dan kuasa tersebut dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT elektronik (E-CVT). Juga terdapat pilihan sistem pacuan semua roda E-Four yang menampilkan motor elektrik 4NM berkuasa 54 PS/121 Nm bagi memacu roda belakang, yang bukan sahaja ditawarkan pada pasaran Jepun, malah untuk pelanggan di pasaran Thailand.

    Toyota Alphard Hybrid dan Vellfire Hybrid ditayang di Malaysia – 250 PS, akan dilancarkan di sini nanti?

    Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu yang diasaskan dari platform TNGA ini sudah pun dilancarkan di Malaysia pada Oktober tahun lalu, di mana UMWT menawarkan dua unit rangkaian kuasa petrol yang berbeza untuk kedua-duanya. Alphard pasaran Malaysia dijana oleh enjin T24A-FTS 2.4 liter empat-silinder turbo berkuasa 278 PS/430 Nm, manakala Vellfire hanya diberikan enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder NA berkuasa 182 PS/235 Nm

    Buat masa sekarang UMWT masih lagi belum memberikan bayangan sama ada versi hibrid ini akan dilancarkan di Malaysia atau tidak, namun kedua-dua unit MPV yang dipamerkan ini sudahpun dipasang dengan kamera dashcam yang sama seperti Alphard dan Vellfire petrol penuh pasaran tempatan.

    UMWT menjual Alphard 2.4L Turbo yang diimport sepenuhnya dari Jepun pada harga RM538,000, manakala Vellfire 2.5L NA yang juga unit CBU pula dijual pada harga RM438,000. Sekiranya versi hybrid ini benar-benar dilancarkan di sini kelak, berapa agaknya harga yang anda rasa sepatutnya bagi varian lebih mesra alam ini?

    Acara Beyond Zero yang berlangsung bermula 20 hingga 28 Februari ini merupakan acara untuk memberikan kefahaman kepada orang ramai tentang strategi pelbagai-cara (multi-pathway strategy) syarikat berkenaan yang telah diperkenalkan tahun lalu. Strategi tersebut menekan bahawa matlamat neutral karbon bukan hanya bergantung kepada teknologi EV semata-mata, malah ia turut boleh dicapai dengan menggunakan pelbagai teknologi lain yang lebih praktikal.

    GALERI: Toyota Alphard Hybrid 2024

    GALERI: Toyota Vellfire Hybrid 2024

     
     
  • Proton Arena pernah diuji ANCAP dalam ujian pelanggaran; remuk teruk, hanya dapat 1 bintang

    Proton Arena pernah diuji ANCAP dalam ujian pelanggaran; remuk teruk, hanya dapat 1 bintang

    Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP), badan bebas yang membuat ujian pelanggaran keselamatan untuk Australia dan New Zealand menyiarkan semula video ujian yang dibuat terhadap trak pikap keluaran Proton iaitu Proton Arena (atau Proton Jumbuck untuk pasaran eksport) yang dibuat hampir 15 tahun yang lalu.

    Dalam video berkenaan dapat dilihat untuk ujian pelanggaran offset hadapan pada kelajuan 64 km/j berkenaan, bukan hanya bahagian hadapan Arena tersebut ‘hancur’, malah ia turut menyebabkan kabin hadapan sebelah pemandu remuk teruk.

    Menurut ANCAP, hasil dari ujian tersebut Arena hanya menerima 1 dari 16 markah penuh. Namun dalam ujian pelanggaran sisi, Arena menerima markah lebih tinggi iaitu 7.39 dari 16 markah. Tetapi markah berkenaan masih ditafsirkan sebagai berisiko tinggi yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa kerana kecedraan pada dada.

    Proton Arena merupakan trak pikap yang diproduksi oleh Proton bermula tahun 2002. Walau bagaimanapun model ini diasaskan dari sedan Proton Wira yang muncul pada tahun 1993; jadi hasil ujian ANCAP terhadap Arena ini adalah lebih kurang sama dengan model-model era 90’an lain yang diuji dengan kaedah yang sama.

    ANCAP turut menyatakan bahawa Proton telah memberhentikan jualan Proton Jumbuck ini tidak lama selepas ujian berkenaan dijalankan.

    Arena bukan satu-satunya Proton yang diuji oleh ANCAP. Pada 2013, dua buah model Proton iaitu MPV segmen-C Exora dan juga sedan segmen-C Preve telah diuji oleh badan berkenaan. Exora menerima penarafan empat bintang dalam ujian itu, sementara Preve pula menerima markah tinggi dan menerima penarafan lima bintang penuh.

     
     
  • Wanita ditemui mati dalam kereta di medan parkir hospital di Ipoh — tertidur tanpa buka tingkap

    Wanita ditemui mati dalam kereta di medan parkir hospital di Ipoh — tertidur tanpa buka tingkap

    Siasatan awal yang dijalankan ke atas seorang wanita yang ditemui mati di dalam sebuah kereta yang diletak di medan parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun Selasa lalu adalah disebabkan dia tertidur di kerusi belakang tanpa membuka tingkap, lapor The Star. Kes berkenaan diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan sedang menunggu laporan bedah siasat.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan memaklumkan mangsa sedang menjaga bapanya yang dimasukkan ke dalam wad hospital berkenaan. “Dia ke kereta untuk berehat di kerusi belakang, tanpa membuka sedikitpun tingkat,” jelasnya.

    “Pihak polis menerima panggilan daripada penjaga keselamatan di hospital berkenaan pada Selasa petang, melaporkan tentang seorang wanita yang tidak sedarkan diri dan berkemungkinan telah meninggal dunia di dalam keretanya. Dengan bantuan bomba, pintu kereta berkenaan dapat dibuka, dan pegawa kesihatan kemudiannya mengesahkan wanita itu sudah meninggal dunia,” ujarnya.

    Yahaya menasihati orang ramai agar tidak tidur dalam kereta mereka. Ini kerana, jika enjin tidak dihidupkan, sistem pendingin tidak akan berfungsi dan mengakibatkan kekurangan oksigen yang boleh membawa kepada kematian. Untuk tidur dengan enjin dan pendingin dihidupkan juga tidak digalakkan, kerana ada kemungkinan berlaku keracunan gas karbon monoksida.

     
     
  • Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition di M’sia — generasi ke-5 hibrid raikan lumba endurans

    Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition di M’sia — generasi ke-5 hibrid raikan lumba endurans

    Pertama kali didedahkan ketika acara ulangtahun ke-100 perlumbaan endurans 24 Hours Le Mans, kereta konsep Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition kini sedang berada di Malaysia sempena pameran Toyota Beyond Zero.

    Dibangun menggunakan Prius generasi kelima, model ini memperingati kejayaan Toyota dalam World Endurance Championship dengan lima kemenangan berturut-turut untuk Le Mans sejak 2018. Ia diperhias dengan bahagian dan peralatan daripada sayap prestasi GR, seperti bonet gentian karbon, skirting sisi, bampar depan, sayap belakang dan diffuser belakang.

    Bahagian badan turut melibatkan pelebaran lekuk tayar untuk memuatkan rim aloi 18-inci yang digunakan dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 235/50R18. Jejak permukaannya, serta rekaan bampar dan wajah depan memperlihatkan kereta ini yang hadir lebih lebar secara keseluruhannya — mengikuti imej kereta lumba endurans yang terlibat dalam perlumbaan terbabit.

    Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition di M’sia — generasi ke-5 hibrid raikan lumba endurans

    Ia juga unit pemanduan sebelah kiri, dengan rekaan dan kemasan yang lebih sporty berbanding Prius biasa — antaranya menggunakan kerusi GR. Di belakang, tiada tempat duduk disediakan kerana tujuannya untuk perlumbaan, sama seperti GR Corolla Morizo Edition.

    Menurut maklumat daripada wakil UMWT, kereta ini menampilkan sistem janaan hibrid EV pacuan semua roda. Tiada sebarang makluman sama ada tetapan itu diubahsuai untuk keperluan perlumbaan litar atau tidak.

    Model Prius yang biasa misalnya menggunakan enjin M20A-FXS 2.0 liter NA petrol (152 PS/188 Nm) yang digandingkan dengan motor elektrik 113 PS/206 Nm untuk menghasilkan janaan keseluruhan 196 PS. Sementara tetapan E-Four pula menambah sebuah lagi motor elektrik 41 PS/84 Nm di belakang untuk memberikan janaan keseluruhan 199 PS.

    Toyota Prius 24h Le Mans Centennial GR Edition di M’sia — generasi ke-5 hibrid raikan lumba endurans

    Pilihan enjin kedua untuk Prius ialah 2ZR-FXE 1.8 liter NA empat silinder dengan janaan 98 PS dan 142 Nm tork, digandingkan dengan motor elektrik 1VM dengan janaan 95 PS dan 185 Nm, untuk mendapatkan output keseluruhan 140 PS. Kedua-dua pilihan ini digandingkan dengan transmisi eCVT dan disertai dengan bateri 4.08 Ah lithium-ion.

     
     
  • JPJ keluarkan 63,414 saman dalam operasi CNY 2024

    JPJ keluarkan 63,414 saman dalam operasi CNY 2024

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 63,414 saman pelbagai kesalahan trafik dalam 20 hari pelaksanaan operasi khas sempena perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) baru-baru ini, laporan Bernama.

    Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 781 saman dikeluarkan untuk pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan dan 781 kenderaan turut disita kerana ketiadaan dokumen yang sah, kata Pengarah kanan (Penguatkuasaan) JPJ Datuk Lokman Jamaan.

    “Dalam operasi itu, kami memeriksa 2,500 kenderaan yang dipandu warga asing. Di Terengganu sahaja, kita merekodkan 281 kesalahan. Kebanyakan pesalah adalah dari Myanmar, Bangladesh dan Pakistan,” katanya.

    Lokman turut memberi amaran kepada rakyat tempatan agar tidak menyewa atau menjual kenderaan kepada warga asing, kerana mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti tersebut akan berdepan hukuman berat termasuk disenaraihitamkan. “Sejak kebelakangan ini isu kebanjiran warga asing menjadi isu besar, dan kami menerima banyak aduan daripada orang ramai,” katanya.

    Tambahnya, JPJ terpaksa mengambil tindakan tegas dan kerap menjalankan operasi bersepadu dengan agensi lain untuk menegakkan undang-undang termasuk peraturan jalan raya.

     
     
  • Lorong kecemasan bukan hak eksklusif buat penunggang motosikal; sentiasa peka, fokus – LLM

    Lorong kecemasan bukan hak eksklusif buat penunggang motosikal; sentiasa peka, fokus – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengingatkan penunggang motosikal bahawa lorong kecemasan di lebuhraya bukanlah hak eksklusif mereka, dan penunggang motosikal mesti sentiasa berwaspada dan fokus untuk keselamatan semua.

    “Peringatan untuk semua pengguna lebuh raya! Lorong kecemasan bukanlah hak eksklusif penunggang motosikal. Ia turut digunakan oleh kenderaan lain yang berhenti jika berlaku sebarang kerosakan atau kecemasan di lebuhraya. Penunggang motosikal perlu sentiasa peka dan fokus ketika di lebuh raya demi keselamatan bersama,” kata LLM menerusi laman Facebook rasminya.

    Baru-baru ini, terdapat kes seorang penunggang motosikal yang ‘naik angin’ apabila ada sebuah kereta menggunakan lorong kecemasan yang telah diaktifkan sebagai SmartLane di Lebuhraya Utara-Selatan. Penunggang motosikal tersebut secara sengaja telah merosakkan cermin sisi kereta terbabit sebelum memecut laju. Rakaman video insiden terbabit telah tular di laman media sosial dan mendapat pelbagai kecaman netizen.

     
     
  • JPJ eBid: Siri SWK dan BRV dibuka untuk bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah dan Selangor bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SWK telah dibuka bidaan mulai hari ini, 22 Februari 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 26 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 27 Februari 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BRV, dibuka bidaan mulai esok, 23 Februari 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 27 Februari, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 Februari 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

    BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

    BYD Cars Malaysia selaku pengedar model BYD di sini telah pun melancarkan sedan sport elektrik empat-pintu dengan gaya seperti coupe, BYD Seal, untuk pasaran tempatan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, dua varian ditawarkan iaitu Premium Range RWD dan Performance Range AWD. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM179,800 tanpa insurans untuk Premium Range RWD dan model spesifikasi penuh Performance Range AWD pula berharga RM199,800.

    Berukuran 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,920 mm, Seal dibangunkan dengan e-platform 3.0, sama seperti Atto 3 dan Dolphin. Namun tidak seperti dua model tersebut, Seal menggunakan platform binaan elektrikal 800V sama seperti EV yang lebih mewah misalnya Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

    Seal juga menjadi model pertama yang dilengkapi teknologi CTB (sel pada badan) inovatif, yang menyepadukan Blade Battery ke dalam struktur kenderaan, memastikan kestabilan dan keselamatan dalam pelbagai keadaan. Seal turut diposisikan sebagai pesaing kepada segmen yang sama dengan BMW i4 dan Tesla Model 3.

    BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

    Varian Premium menggunakan tetapan motor tunggal yang memacu roda belakang, dengan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.

    Varian teratas bagi sedan EV ini adalah Performance AWD, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan semua-roda, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium RWD, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).

    Seal boleh dicas menggunakan pengecas AC 7 kW (15.2 jam untuk penuh), tetapi DC meningkat sehingga 150 kW, membolehkan baterinya naik dari 10-80% dalam masa 37 minit.

    Sedan sport ini turut diberikan sistem Kawalan Adaptasi Tork Pintar (ITAC) bagi memberikannya prestasi optimum dalam pelbagai keadaan pemanduan. Manakala agihan bebanan gandar depan dan belakang 50:50 bagi pemanduan yang seimbang dan responsif.

    Sedan empat-pintu dengan gaya coupe ini menampilkan garisan bumbung yang condong dan dek belakang yang pendek. Direka oleh bekas pereka Audi yang kini Ketua Pereka Global BYD, Wolfgang Egger bersama pasukannya, Seal digambarkan sebagai sebuah jentera yang memiliki imej yang menawan yang berasaskan falsafah ‘Ocean Aesthetic’, walau pun gabungan lengkung yang bersifat agak generik dari sudut tertentu.

    Imej luaran Seal ditampilkan dengan lampu utama double-u Floating LED dengan gaya seksi, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED serta pemegang pintu boleh ditarik keluar dan bumbung suria panoramik. Ia juga diberikan roda aloi rekaan unik pelbagai-jejari 19-inci dengan dibaluti tayar profil 235/45R19.

    Di dalamnya, imejnya kurang sarat dan kelihatan lebih ringkas, tidak seperti Atto 3. Sifat minimalis ini jelas kelihatan pada bahagian papan pemuka, yang menampilkan panel instrumen bersaiz 10.25-inci di hadapan pemandu yang menampilkan meter digital dan maklumat kenderaan. dan skrin sesentuh bersaiz 15.6-inci di bahagian tengah yang boleh dipusingkan dalam orientasi landskap/potret. Rak bahagian tengahnya ditampilkan dengan tombol Crystal Gearshift dengan rekaan futuristik.

    Tempat duduk balutan kulit diberikan untuk kedua-dua varian, dengan tempat duduk pemandu menerima lapan-cara larasan kuasa dan bahagian penumpang hadapan dengan enam-cara larasan kuasa. Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan sistem bunyi premium HIFI Dynaudio 12-pembesar suara, pendingin hawa dwi-zon, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kad kunci NFC, paparan utama W-HUD, dua pengecas telefon pintas tanpa wayar, ketersambungan Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar dan sistem penapis PM2.5.

    BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, hingga 530 PS/670 Nm, jarak gerak 580 km; dari RM180k

    Seal yang diberikan penarafan lima-bintang dari ANCAP turut diberikan ciri keselamatan pasif termasuk sembilan beg udara, sistem ADAS, dua penderia parkir hadapan, empat penderia parkir belakang dan sistem kamera resolusi tinggi 360. Selain itu, ia dilengkapi dengan sistem brek pintar, EBD, Hill Hold Control (HHC), Adaptive Cruise Control (ACC), Brek Kecemasan Sendiri (AEB), Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Kekal Lorong Kecemasan, Pengesan Isyarat Trafik, Bantuan Lampu Tinggi, dan Pengesan Titik Buta.

    Beberapa warna ditawarkan untuk Seal iaitu Cosmos Black, Aurora White dan Atlantis Grey, namun varian Performance AWD menerima satu lagi warna tambahan iaitu Arctic Blue. Seal telah pun mula dibuka tempahan sejak 19 Januari lalu, dan pembeliannya didatangkan dengan waranti enam-tahun/150,000 km, waranti bateri lapan-tahun/160,000 km, dan waranti unit pemacu lapan-tahun/150,000 km.

    Selain itu, dua pakej servis turut diperkenalkan iaitu pakej Standard dan Plus. Ia merangkumi khidmat penjajaran, pengimbangan dan penggiliran tayar yang diberikan untuk kedua-dua pakej berkenaan. Bagi 800 tempahan pertama akan menikmati pengecas wallbox percuma dan kredit cas Gantri atau ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

    BYD Seal Premium Range RWD

    BYD Seal Performance Range AWD

     
     
  • Toyota Supra A90 dirampas, pemandu ditahan polis Johor selepas aksi drift berakhir dengan rempuh 4X4

    Toyota Supra A90 dirampas, pemandu ditahan polis Johor selepas aksi drift berakhir dengan rempuh 4X4

    Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Daerah (BSPTD) Batu Pahat mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telahpun menahan seorang lelaki selepas satu video sebuah Toyota Supra A90 berwarna perak tular semalam, memaparkan aksi drift yang berakhir dengan kemalangan.

    Dalam kenyataan tersebut polis mengesahkan bahawa pemandu Supra berkenaan, iaitu seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an telahpun ditangkap di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, manakala kereta yang dipandunya itu turut telah dirampas.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, kejadian itu disahkan berlaku di Jalan Desa Botani 1, Taman Botani, Batu Pahat pada pukul 12 tengah malam, 20 Februari lalu.

    Video aksi pemuda tersebut kemudiannya viral di media-media sosial pada hari berikutnya, dan susulan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu pada jam 1.15 tengahari semalam, kata Shahrulanuar.

    Beliau turut mengesahkan bahawa pemuda tersebut di masukkan ke lokap IPD Batu Pahat terlebih dahulu untuk permohonan reman pada pagi ini di Mahkamah Batu Pahat, dan hasil saringan air kencing menunjukkan suspek yang bekerja kilang tersebut bebas dari sebarang pengaruh dadah.

    Dalam video berdurasi 38 saat yang tular itu, dapat dilihat Toyota Supra A90 tersebut cuba melakukan aksi ‘donut’ di satu persimpangan jalan. Selepas ‘donut tak jadi’ yang dibuat, coupe dua pintu berkenaan cuba untuk memecut ke arah satu laluan lurus, namun pemandunya tidak dapat mengawal kereta tersebut apabila roda belakangnya hilang cengkaman, menyebabkan ia melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di tepi jalan.

     
     
  • Miliki kereta impian dan bawa pulang pada hari yang sama di EON & Sahabat Autofest — dari 1-3 Mac 2024

    Miliki kereta impian dan bawa pulang pada hari yang sama di EON & Sahabat Autofest — dari 1-3 Mac 2024

    Sempena menyambut ulang tahun ke-40, EON mempelawa anda dan seisi keluarga untuk meraikannya bersama dalam satu bazar istimewa! Terdapat pelbagai makanan menyelerakan, kelengkapan hari raya serta pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak disediakan, jadi jangan lepaskan peluang untuk ikut serta dalam acara EON & Sahabat Autofest 2024.

    Di lokasi, anda juga berpeluang memandu uji bermacam jenis kereta dari pelbagai jenama dan model yang diedarkan oleh EON, seperti Proton, Volkswagen, Mitsubishi, smart, Audi, Isuzu dan Honda. Lebih menarik, anda boleh memiliki dan bawa pulang kenderaan impian pada hari yang sama melalui skim pantas dan mudah yang disediakan oleh rakan pembiayaan kewangan EON yang turut serta.

    Bukan hanya itu. Turut disediakan potongan harga dan rebat, begitu juga dengan tawaran untuk trade-in kenderaan sekiranya anda merancang untuk bertukar kereta. Ada juga hadiah menarik untuk dimenangi, termasuk sebuah Proton S70 terbaharu, dan banyak lagi.

    Jangan ketinggalan dan sertai acara tiga hari yang penuh dengan pelbagai tawaran dan hadiah menarik ini. Daftar kehadiran anda ke acara EON & Sahabat Autofest 2024 yang akan berlangsung di EON Glenmarie pada 1-3 Mac 2024 nanti.

     
     
  • Toyota Camry Hybrid dipertonton di M’sia sempena Beyond Zero UMWT — 211 PS, 2.5L; bakal dilancar?

    Toyota Camry Hybrid dipertonton di M’sia sempena Beyond Zero UMWT — 211 PS, 2.5L; bakal dilancar?

    Sebuah lagi model hibrid yang dipertontonkan dalam acara Beyond Zero anjuran UMW Toyota Motor (UMWT) ialah Toyota Camry Hybrid. Ini kali kedua model berkenaan ditampilkan kepada umum selepas taklimat strategi pelbagai laluan oleh syarikat pada Mei tahun lalu.

    Camry yang dijual di Malaysia ketika ini ialah versi facelift generasi ke-lapan yang dijual bermula Februari 2022. Ditawarkan hanya dalam varian tunggal 2.5V dengan harga RM219,800 atas jalan tidak termasuk insurans, model ini menggunakan enjin Dynamic Force A25A-FKS 2.5 liter NA empat silinder sebaris petrol yang menjana 209 PS dan 253 Nm tork.

    Versi hibrid ini menggunakan enjin kitaran Atkinson unit yang sama, yang membekalkan sebanyak 178 PS and 221 Nm. Ini digandingkan dengan CVT elektronik (e-CVT) dan dibantu oleh motor elektrik berkuasa 120 PS dan 202 Nm dengan output keseluruhan sistem 211 PS.

    Toyota Camry Hybrid dipertonton di M’sia sempena Beyond Zero UMWT — 211 PS, 2.5L; bakal dilancar?

    Walaupun kita tidak menerima model hibrid bagi Camry kegenerasi ke-8 ini, ia pernah ditawarkan di sini untuk model generasi ke-7 sebelum ini beberapa tahun lalu. Jika UMWT kembali menawarkan varian berkenaan, ia mungkin akan sama dengan penawaran yang ada di Thailand.

    Camry untuk pasaran tempatan hadir sebagai unit CBU dari Thailand, jadi tidak mustahil langkah sama akan diteruskan untuk model hibrid, sekiranya ada nanti.

    Di Thailand, varian Premium yang paling asas menggunakan enjin 2.5 liter NA dijual pada harga 1.599 juta baht, sementara pilihan hibrid (2.5 HEV Premium) adalah 4% lebih tinggi dengan harga 1.659 juta baht. Varian paling tinggi, 2.5 HEV Premium Luxury di sana pula 13% lebih mahal daripada varian asas tersebut. Nampak gambaran harga Camry hibrid ini sekiranya ia dipasarkan di Malaysia?

     
     
  • Harga minyak 22-28 Februari – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 22-28 Februari – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Februari 2024, tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Chery Omoda E5 EV di bilik pameran hujung minggu ini — tempahan dibuka, lancar Mac; anggaran RM160k

    Chery Omoda E5 EV di bilik pameran hujung minggu ini — tempahan dibuka, lancar Mac; anggaran RM160k

    Chery telah umumkan yang model Omoda E5 akan berada di semua bilik pamerannya di seluruh negara bermula hujung minggu ini, bermula 24 Februari. Untuk itu, tempahannya juga sudah mula dibuka dengan harga anggaran RM160,000. Pelancaran rasmi SUV elektrik ini bakal diadakan Mac nanti.

    Unit warna merah yang dilihat ini adalah model spesifikasi Malaysia yang bakal kita terima kelak. Chery Omoda E5 memanfaatkan motor elektrik di depan dengan janaan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat.

    Kuasa untuk motor elektrik itu pula dibekalkan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

    Untuk pengecasan, Omoda E5 menyokong pengecasan AC maksimum 9.9 kW serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang boleh memberikan kuasa dari 30-80% hanya dalam 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beroperasi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Chery Omoda E5 EV di bilik pameran hujung minggu ini — tempahan dibuka, lancar Mac; anggaran RM160k

    Ia menggunakan rim aloi 18-inci dengan rekaan yang lebih tertutup dan aerodinamik, serta rekaan ala diffuser bawah bampar belakang yang lebih ringkas tanpa perumah untuk tip ekzos. Sebagai sebuah EV, imej berkenaan dapat dilihat di bahagian rekaan grilnya yang tertutup — tiada keperluan untuk rekaan terbuka kerana EV tidak memerlukan sistem pengaliran udara untuk menyejukkan radiator dan enjin seperti kereta biasa.

    Untuk kabin dalaman pula, ada kelainan rekaan di bahagian konsol terowong, di mana model EV Omoda E5 tidak menampilkan tombol gear konvensional, membolehkan bahagian tersebut diberikan ruang storan lebih banyak dan nampak lebih ringkas.

    Manakala untuk memilih bergerak ke hadapan, mengundur atau parkir, pemandu disediakan dengan suis tangkai yang diletakkan pada konsol stereng. Selain itu, ia diberikan kerusi balutan kulit hitam serta skrin berkembar masing-masing bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen yang dikuasakan dengan Qualcomm 8155 system on chip (SoC).

    Pendaftaran minat untuk Omoda E5 telah dibuka sejak Disember tahun lalu, dan kini kita tahu harga anggarannya ialah RM160,000. Ketika ini, Omoda 5 janaan petrol ditawarkan pada harga dari RM108,800 hingga RM118,800. Omoda E5 dijangka mampu memberikan persaingan sengit dengan BYD Atto 3 yang berharga RM167,800.

     
     
  • Lexus RZ 450e bakal tiba ke pasaran Malaysia? EV dua motor dengan kuasa 313 PS, jarak gerak 440 km

    Lexus RZ 450e bakal tiba ke pasaran Malaysia? EV dua motor dengan kuasa 313 PS, jarak gerak 440 km

    Acara Toyota Beyond Zero telah pun bermula minggu ini dan ia menjadi tapak pengeluar Jepun itu menunjukkan hala tuju mereka ke arah neutralisasi karbon, dengan pameran pelbagai model hibrid, fuel-cell, pembakaran hidrogen dan elektrik bateri (BEV).

    Bagi kategori BEV, salah satu wakil yang dibawa adalah daripada jenama mewah mereka, iaitu Lexus RZ 450e, di mana ia sudah pun dilancarkan di Thailand semasa Bangkok Motor Show tahun lepas. Walaubagaimanapun, waktu ketibaannya atau sama ada ia betul-betul akan dilancarkan ke dalam pasaran Malaysia masih belum diberitahu.

    Kemunculan model ini bersama satu lagi BEV, iaitu Toyota bZ4X bagaimanapun boleh diambil sebagai penunjuk kerana bZ4X sudah diumumkan termasuk dalam senarai model yang akan dilancar di Malaysia. Ia sepatutnya berlaku pada tahun 2023 tetapi ditunda kepada tahun ini.

    Lexus RZ 450e bakal tiba ke pasaran Malaysia? EV dua motor dengan kuasa 313 PS, jarak gerak 440 km

    Kembali kepada RZ 450e, ia mencatat ukuran panjang 4,805 mm, lebar 1,895 mm dan tinggi 1,635 mm. Perincian awal yang dikeluarkan oleh UMW Toyota Motor menyatakan SUV elektrik ini menggunakan bateri lithium ion 71.4 kWh yang boleh memberikan jarak gerak sekitar 440 km, dan boleh dicas menggunakan AC 11 kW (6.5 jam untuk penuh) atau DC sehingga 150 kW (0-80% dalam masa 30 minit).

    Kuasa keseluruhan sebanyak 230 kW (313 PS) mampu dikeluarkan oleh gabungan motor hadapan 204 PS/266 Nm dan motor belakang 109 PS/169 Nm, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.

    Model yang dipamerkan di acara ini dilihat menggunakan rim 20 inci yang dibalut tayar 235/50 dan datang dengan perincian dalam seperti varian Premium di Thailand, seperti skrin sesentuh 14.1 inci, panel paparan depan pemandu lapan inci, tempat duduk balutan Ultrasuede, pengecas tanpa wayar, soket pengecas USB-C serta pelbagai lagi.

    Menurut UMW Toyota Motor, RZ 450e juga mendapat pakej sistem bantuan pemandu Lexus Safety System+. Jika melihat kepada pasaran Thailand, pakej ini datang dengan ADAS yang termasuk Speed Adaptive Cruise Control, Lexus Teammate Advanced Park (bantuan letak kereta), paparan keliling kereta, Pre-Collision System (Autonomous Emergency Braking), Lane Tracing Assist, Lane Change Assist dengan pemerhati titik buta dan Rear Cross Traffic Alert.

    Sebagai rujukan, RZ 450e dijual di Thailang bermula pada harga 3.87 juta baht (RM501,587) untuk varian Luxury dan 4.19 juta baht (RM543,061) untuk varian Premium. Harga anggaran untuk pasaran Malaysia masih belum dikeluarkan tetapi ia mungkin boleh jadi menarik kerana kerajaan masih memberikan pengecualian duti import dan eksais bagi EV CBU sehingga hujung tahun 2025.

     
     
  • Honda RS-X pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Honda RS-X pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Baru sahaja diperkenalkan dengan barisan warna baru Januari lalu, Honda RS-X kini ditambah dengan satu lagi warna, dipanggil sebagai Mat Ion Blue Metallic. Harganya masih sama iaitu RM9,798 tidak termasuk insurans.

    Pilihan baru ini datang dengan warna utama biru matte dan diserikan dengan pelekat grafik yang juga berwarna biru serta sedikit bahagian berwarna hitam. Rim pula berwarna hitam.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula dengan enjin, yang menggunakan unit suntikan bahan api satu silinder DOHC 149.16 cc, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm. Enjin ini hanya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik.

    Honda RS-X pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dengan angkup satu piston (ABS diberikan standard), sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Rim adalah unit 17 inci dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada RS-X adalah seperti tangki bahan api 4.5 liter, meter digital dengan penunjuk kedudukan gear, lampu depan dan belakang LED, berat 122 kg dan klac jenis basah.

     
     
  • CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

    CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

    Hujung tahun lalu Proton dilihat mula menguji versi facelift untuk dua model sedia adanya iaitu SUV segmen-C Proton X70 dan juga SUV segmen-B Proton X50. Ketika berlangsungnya majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Proton bersama media malam tadi, CEO syarikat tersebut Dr. Li Chunrong memberikan bayangan bahawa kedua-dua model tingkat taraf berkenaan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

    Menurut Dr. Li, empat model Proton yang diasaskan dari model Geely yang dijual di China iaitu X70, X50, X90 dan S70 dihasilkan sebagai sebahagian dari strategi Proton untuk kembali menghasilkan keuntungan. Dengan pelancaran X90 dan S70 tahun lalu, ini bermakna fasa tersebut telah lengkap dan Proton kini dalam fasa bagi mengekalkan pertumbuhannya.

    Dalam fasa baharu ini Proton bakal memberikan tingkat taraf dan penyegaran bagi model-model tersebut. Oleh itu dua model berasaskan Geely terawal iaitu X70 yang diperkenalkan pada Disember 2018 dan X50 yang muncul pada Oktober 2020 akan dilancarkan semula dalam versi facelift dengan rupa yang lebih segar tidak lama lagi.

    Bagi X70 facelift, unit prototaip yang diuji dilihat hampir lengkap sebagai model produksi. Ia nampaknya tampil dengan bahagian muka hadapan yang lain sepenuhnya, dilengkapi dengan lampu hadapan lebih nipis, bonet hadapan yang lebih berotot dan juga bampar dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar, di mana kesemua perincian ini kelihatan seiras dengan kembarnya di China iaitu Geely Boyue facelift 2022.

    CEO Proton Dr. Li Chunrong sahkan X50 dan X70 facelift akan dilancarkan tidak lama lagi

    Namun pada bahagian gril, X70 facelift ini diberikan rekaan asli dari Proton bercorak pin krom seperti pada X90 dan S70 yang sebenarnya diinspirasikan dari corak kain songket warisan melayu. Sebelum ini X70 menerima gril dengan rekaan infinite weave yang diilhamkan dari corak ukiran rumah tradisional melayu.

    Unit prototaip itu juga dilihat menggunakan unit rim yang sama seperti Boyue facelift 2022. Manakala di belakang, emblem ‘X70’ sudah pun dilekat pada pintu tailgate (tetapi masih dilindung dengan pelekat hitam), serta rekaan kemasan diffuser di bawah bampar juga menerima pembaharuan.

    Untuk X50 pula, unit prototaip ujian yang dilihat tahun lalu mengesahkan bahawa ia menerima rupa yang sama dengan Geely Binyue versi facelift yang dikenali dengan nama Binyue Cool di China. Jadi perubahan muka pada X50 facelift ini juga adalah drastik dan lebih agresif berbanding model sedia ada.

    Ia diberikan lampu utama baharu yang lebih nipis dan tajam, bersama gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus. Perubahan ketara juga diberikan pada sebelah belakang dengan rekaan lampu belakang menampilkan lebih nipis, dan ia kini merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang dengan perumah nombor pendaftaran telah dialihkan ke bawah.

    Bayangan digital Proton X50 facelift oleh Theophilus Chin

    Walau bagaimanapun, unit prototaip X50 facelift tersebut masih lagi dalam peringkat awalan di mana ia masih dalam versi pemanduan sebelah kiri serta masih menggunakan gril dan logo Geely pada bahagian hadapan. Jadi boleh dijangka ia akan dilancarkan lebih lambat, mungkin pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

    Untuk X90 dan S70, walaupun kedua-dua model ini baru sahaja masuk ke pasaran tidak sampai setahun tidak bermakna ia tidak akan menerima sebarang kemaskini dari Proton. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, sistem infotainmen untuk X90 bakal ditingkat taraf bagi membolehkan ia menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Manakala untuk S70 pula, sedan dengan enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dan kotak gear DCT tujuh kelajuan berkenaan berkemungkinan bakal menerima varian dengan prestasi lebih baik yang diberikan lencana sayap talaan dan perlumbaannya iaitu R3.

     
     
  • Selangor akan memperluaskan penggunaan garisan jalan ‘glow in the dark’ di 15 lokasi di negeri itu

    Selangor akan memperluaskan penggunaan garisan jalan ‘glow in the dark’ di 15 lokasi di negeri itu

    Kerajaan Selangor bakal memperluaskan lagi penggunaan garisan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark untuk 15 lokasi lain di antara sembilan daerah di negeri tersebut. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim, inisiatif itu akan meliputi kira-kira 15 km jalan raya di daerah seperti Sepang, Kuala Langat dan Petaling.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook rasminya, Izham berkata garisan jalan glow in the dark yang akan dicat di jalan raya tanpa lampu jalan akan dilaksanakan secara berperingkat. Walaupun tiada tempoh masa untuk projek itu, beliau berkata inisiatif itu dijangka bakal menelan kos kira-kira RM900,000 untuk dilaksanakan.

    Katanya, inisiatif itu selaras dengan program ‘Selangor Bercahaya’ yang sehingga kini menyaksikan pemasangan 600 lampu jalan LED di seluruh Selangor. Tambahnya, RM150 juta diperuntukkan untuk tambahan lampu jalan LED yang akan dipasang pada tahun ini.

    Pada November tahun lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis penandaan cat garisan jalan glow in the dark di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi penandaan cat jalan glow in the dark yang pertama seumpamanya di Malaysia.

    Di mana projek rintis itu dilaksanakan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ia didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan ‘road stud/mata kucing’.

    Namun, kosnya sangat tinggi berbanding kaedah penandaan jalan konvensional. Pada Januari lalu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata cat garisan jalan bercahaya itu berharga RM749 semeter persegi berbanding RM40 semeter persegi untuk cat garisan jalan konvensional.

     
     
  • Permohonan BikeCare-1000 masih dibuka hingga 1 Mac – bantuan Selangor bayar deposit beli motor

    Permohonan BikeCare-1000 masih dibuka hingga 1 Mac – bantuan Selangor bayar deposit beli motor

    Permohonan bagi program BikeCare-1000 iaitu bantuan kerajaan negeri Selangor bagi bayaran pendahuluan pembelian motosikal untuk pekerja masih dibuka sehingga 1 Mac 2024.

    Borang bagi program khusus untuk warga Selangor itu boleh diperoleh di pejabat Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di tingkat lima bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam, Selangor. Selain itu, borang tersebut juga boleh diperoleh secara dalam talian menerusi PAUTAN INI.

    Bagi menyertai program ini, pemohon perlu mematuhi syarat ditetapkan iaitu berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen motosikal yang sah dan tidak disenarai hitam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

    Semua permohonan perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan penjamin (keluarga), salinan penyata bank, salinan lesen motosikal dan salinan slip gaji terkini. Borang permohonan yang sudah lengkap perlu diserahkan ke pejabat UPPS di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum 1 Mac ini.

    Program BikeCare-1000 adalah satu inisiatif Kerajaan Selangor sejak tahun 2022 bagi meringankan beban pekerja Gig atau P-hailing dalam bentuk pembayaran pendahuluan pembelian motosikal. Selain itu, ia adalah usaha kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan dalam menyediakan keperluan kehidupan yang kini sedang mencabar.