Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • MG4 X-Power di Malaysia – 435 PS/600 Nm, bateri 64 kWh, jarak 384 km; harga anggaran dari RM159k

    MG4 X-Power di Malaysia – 435 PS/600 Nm, bateri 64 kWh, jarak 384 km; harga anggaran dari RM159k

    Mulai 28 Februari lalu, pengedar jenama MG di Malaysia, SAIC Motor Malaysia telah mula membuka tempahan bagi barisan model MG4 EV dan MG ZS EV. Untuk barisan model MG4, ia ditampilkan dengan empat varian iaitu Standard dengan harga jangkaan bermula RM104,000 tanpa insurans, Lux berharga RM129,000, RM149,000 untuk Lux Extended dan model spesifikasi padu XPower pula berharga RM159,000. Walau bagaimana pun, SAIC Motor Malaysia masih belum mendedahkan bilakah EV ini bakal dilancarkan di sini dan juga harga rasminya.

    Foto yang anda lihat di sini ialah varian MG4 yang paling padu iaitu X-Power. Tidak seperti tiga varian di bawahnya yang dipacukan sistem roda belakang (RWD), X-Power pula merupakan jentera pacuan semua-roda (AWD). Ia diberikan padanan dwi-motor, sekaligus memberikannya ledakan kuasa cecah 435 PS dan tork 600 Nm.

    Untuk kuasanya, ia dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate berkapasiti 64 kWh dan memberikannya jarak gerak hingga 384 km. X-Power turut diberikan empat mod brek regeneratif dan Dynamic Cornering Control System yang disepadukan dengan locking electronic differential dan kawalan motor pintar untuk memudahkan penvektoran tork bagi kesemua empat rodanya.

    MG4 X-Power di Malaysia – 435 PS/600 Nm, bateri 64 kWh, jarak 384 km; harga anggaran dari RM159k

    Seperti varian MG4 yang lain, X-Power turut menerima ciri Magnify i-Smart yang dipadankan dengan transmisi automatik kelajuan-tunggal dan diberikan lima mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Snow, Custom).

    Selain itu, ia turut dilengkapi port Type 2 dan CCS2, dengan menggunakan pengecas AC 7 kW, ia mengambil masa sekitar 8.5 jam untuk pengecasan penuh. Manakala jika menggunakan pengecas pantas DC 150 kW, tahap pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam 26 minit sahaja. Bukan itu sahaja, MG4 juga diberikan on-boarc charger berkapasiti 11 kW.

    Hatchback EV ini memiliki ukuran dimensi 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,504 mm tinggi dan jarak rodanya 2,705 mm serta memiliki ground clearance cecah 117 mm. Bagi ruang penyimpanan barang di belakang, ia berkapasiti 363 liter dan boleh mencecah 1,177 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Dengan gaya ala crossover, ia menerima sentuhan rekaan penuh bergaya dan impresif. Gayanya cukup terserlah terutamanya pada garisan dan lekuk pada badannya yang menampakkan sifat yang lebih garang, sporty dan agresif.

    Ciri kelengkapan luaran X-Power termasuklah lampu utama projektor LED dengan teknologi reflektif, palang pencahayaan sentral dengan paten di belakang, Twin Aero Spoiler, cermin sisi boleh lipat, roda aloi 18-inci bersama kaliper jingga dan bumbung hitam.

    Di dalamnya, sentuhan agak ringkas bagi sebuah EV, tanpa elemen futuristik. Ciri kelengkapan standard untuk semua varian terdiri daripada kokpit maya tujuh-inci, paparan ‘terapung’ 10.25-inci, kawalan suhu automatik, roda stereng balutan kulit dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Selain itu, X-Power juga diberikan enam-pembesar suara dengan efek 3D, pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-cara, Mobile Phone BT Key, cermin pandang belakang auto-kelam, dan upholstery kulit Alcantara dengan rona hitam, metal sport pedal dan Launch Control.

    Kesemua barisan MG4 turut menerima ciri MG iSMART di mana enjin dan pendingin hawa boleh dihidupkan menerusi peranti telefon pintar pemiliknya. Selain itu, aplikasi ini juga mencatatkan sistem navigasi onboard, informasi kenderaan dalam masa sebenar seperti kondisi bateri, tahap bateri dan kondisi brek serta mengesan sekiranya ada pergerakan luar biasa kenderaan iaitu aplikasi ini boleh memaklumkan penggunaan kereta yang disyaki kecurian dengan serta-merta.

    Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, ia dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar secara standard untuk semua varian.

    X-Power juga menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Amaran Membuka Pintu (DOW), dan kamera 360-darjah.

    Seperti varian yang lain, X-Power juga diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Bantuan Mula Mendaki (HSA), sistem pemantauan tekanan tayar serta pengingatan tali pinggang keledar hadapan dan belakang.

    Untuk warna luarannya, varian X-Powwr menerima warna eksklusif iaitu Matte Green, selain tujuh pilihan rona seperti varian lain iaitu Holburn Blue, Camden Grey, Monument Silver, Black Pearl, Artic White, Dynamic Red, Volcano Orange . Setiap pembelian MG4 didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh-tahun/150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan waranti bateri selama lapan-tahun/180,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

     
     
  • Ora Good Cat akan ditukar nama kepada GWM Ora 03 — bermula dengan model kemaskini CKD di Malaysia?

    Ora Good Cat akan ditukar nama kepada GWM Ora 03 — bermula dengan model kemaskini CKD di Malaysia?

    Model terbaru GWM Ora 07 yang dipertontonkan semalam mempunyai skim nama yang sedikit berbeza dengan model pertama syarikat itu yang dijual di sini — Ora Good Cat. Ke depan, untuk menyelaraskan nama modelnya, Ora Good Cat juga akan ditukar kepada nama GWM Ora 03, walaupun bukanlah dalam masa terdekat. Ini selari dengan apa yang dilakukan di Eropah awal tahun ini.

    Namun, perkara ini tidak akan dilakukan dalam masa terdekat kerana GWM Malaysia masih mempunyai stok Ora Good Cat yang datang dengan perincian nama yang sama itu. Paling awal untuk pertukaran nama ini berlaku mungkin ketika versi CKD-nya diperkenalkan nanti. Ini nanti mungkin juga akan melibatkan kemaskini kecil dan juga penggunaan bateri LFP baru. Pemasangan tempatan model terbabit dijangka bermula di Melaka tahun ini, melalui rakan pengeluarnya EP Manufacturing (EPMB).

    Ora Good Cat akan ditukar nama kepada GWM Ora 03 — bermula dengan model kemaskini CKD di Malaysia?

    Untuk pasaran Malaysia ketika ini, ada dua varian ditawarkan. Varian 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, dan mengambil masa sekitar lapan jam untuk dicas penuh dari pengecas AC 6.6 kW menerusi sambungan Type 2.

    Manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km. Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ia mengambil lebih kurang 10 jam jika dicas menggunakan pengecas AC. Jika menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan dengan tahap 0-80% boleh diselesaikan sekitar 40 minit.

    Kedua-dua varian juga menampilkan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kuasa 143 PS/210 Nm, membolehkan Ora Good Cat ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 152 km/j. Dalam penawarnnya yang terkini untuk pasaran Thai, model berkenaan hanya diberikan pilihan tunggal bateri lithium ion phosphate (FLP) berkapasiti 57.78 kWj.

     
     
  • Promosi Salam Ramadan Perodua — Axia, Aruz diberi rebat hingga RM2,000; sah hingga 31 Mac 2024

    Promosi Salam Ramadan Perodua — Axia, Aruz diberi rebat hingga RM2,000; sah hingga 31 Mac 2024

    Sepanjang Ramadan dan menjelang musim Raya tahun ini, Perodua menawarkan rebat sebanyak RM500 dan RM2,000 bagi setiap pembelian kereta Axia dan Aruz sepanjang tempoh Promosi Salam Ramadan tahun ini. Ia akan berlangsung hingga 31 Mac 2024.

    Rebat yang ditawarkan untuk Axia ini bagaimanapun hanya untuk varian terpilih sahaja. Axia D74A yang dilancarkan pada Februari tahun lalu itu dijual dengan harga bermula RM38,600 bagi varian 1.0L G, hinggalah kepada RM49,500 untik 1.0L AV — dengan dua lagi varian X dan SE di antaranya.

    Varian paling asas juga masih dijual, Axia 1.0L E dengan harga RM22,000, tetapi ini model dari generasi pertama, yang juga dilengkapi dengan pilihan transmisi manual. Aruz pula, sebuah SUV dengan ladder frame dijual dalam dua varian — 1.5 X dengan harga RM72,900, dan 1.5 AV dengan harga RM77,900.

    Tawaran ini sah di bilik pameran dan juga tempahan dalam talian, yang boleh di buat di sini.

     
     
  • Promosi Raya 2024 Honda Malaysia — diskaun hingga RM8.5k, keluaran MY2023, MY2024; sepanjang Mac

    Baru sahaja CNY 2024 berlalu, kini akan masuk pula bulan Ramadan yang kemudiannya akan tiba pula musim perayaan Aidilfitri. Dan, untuk itu, kempen promosi Raya juga kini bermula.

    Honda Malaysia menganjurkan Promosi Lebih Meriah Rewards sepanjang Mac 2024 ini, dengan menawarkan potongan harga sehingga RM8,500, dan diberikan untuk kenderaan keluaran MY2023 atau untuk stok tahun 2024 ini. Kedua-duanya akan diberikan diskaun, tetapi diskaun yang lebih banyak adalah untuk kenderaan MY2023 tentunya. Ini juga sah untuk semua model CKD kecuali CR-V yang baru dilancarkan.

    Untuk stok 2023, kumpulan terakhir Honda Accord (yang telah diumumkan akan dihentikan pengluarannya) telah pun habis dijual. Maka, diskaunnya bemula untuk Civic dengan potongan dari RM2,500 untuk varian RS hingga RM3,500 untuk varian E dan V. Civid Hybrid RS misalnya diberikan diskaun RM8,500!

    Barisan penuh City Hatchback pula ditawarkan dengan diskaun RM4,000, sementara insentif untuk City sedan bermula dari RM3,500 (R, RS) hingga RM7,000 untuk Hybrid RS. SUV WR-V dan HR-V pula diberikan tawaran istimewa; semua varian WR-V misalnya diberikan diskaun RM3,000. Untuk HR-V pun diskaun yang sama, tetapi jika ingin lebih jimat, varian Hybrid RS-nya diberikan diskaun RM4,000.

    Tetapi, jika mahukan kereta keluaran 2024 pula, diskaun yang diberikan adalah RM1,000 untuk setiap varian City Hatchback, Civic (kecuali hybrid, yang diberikan diskaun RM2,500) dan WR-V; dan diskaun RM1,500 untuk HR-V RS. Untuk City sedan, varian S diberikan diskaun RM1,000, manakala varian lain diskaun RM2,000.

    Seperti dinyatakan, tiada sebarang potongan harga untuk model SUV CR-V yang baru dilancarkan Disember tahun lalu. Semua promosi Raya ini adalah untuk kenderaan yang didaftarkan bermula sekarang hingga 31 Mac nanti.

     
     
  • Toyota Crown Hybrid 2024 dijumpai atas jalan di M’sia

    Toyota Crown Hybrid 2024 dijumpai atas jalan di M’sia

    Sudah banyak tahun Toyota Crown tidak memasuki pasaran kita sebagai model baru. Walaubagaimanapun, disebabkan sekarang model generasi ke-16 adalah sebuah model global, kemungkinan ketibaannya semula mungkin ada. Malah, rakan sekerja kami sendiri sudah menemuinya atas jalan raya, menghala ke Glenmarie.

    Semasa muncul kali pertama pada tahun 2022, Crown baru ini diperkenalkan dengan empat jenis badan, dan yang di dalam gambar di atas adalah versi crossover. Ia membawa gaya yang sedikit pelik dan datang dengan warna menyerlah seperti yang boleh dilihat dalam gambar.

    Semua varian Crown baru ini mendapat penggerak hibrid, seperti yang boleh dilihat pada lencana Hybrid Synergy Drive di bahagian belakang kenderaan. Ia melibatkan gabungan enjin NA 2.5 liter 186 PS/221 Nm dengan motor elektrik, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 234 PS. Versi Dual Boost yang lebih berkuasa pula menggunakan padanan enjin 2.4L turbo 272 PS/460 Nm dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 349 PS.

    Toyota Crown Hybrid 2024 dijumpai atas jalan di M’sia

    Benarkah UMW Toyota akan memperkenalkan Crown ini ke dalam pasaran? Sebelum ini memang mereka ada menyatakan mahu menambah lagi model hibrid, tetapi nama sebenar tidak didedah. Semasa acara Beyond Zero yang dianjurkan sebelum ini, bayangan yang dilihat cuma adalah Camry dan Alphard/Vellfire Hybrid.

    Dua model ini mungkin lebih mudah diterima pengguna, sementara Crown pula melibatkan pasaran yang lebih tertumpu. Satu lagi petunjuk yang boleh anda lihat, model yang ditemui ini masih menggunakan lencana Crown di bahagian depan seperti model pasaran Jepun, dan bukannya Toyota, seperti model antarabangsa.

    Berkemungkinan, ini adalah unit import terpakai atau dibawa masuk untuk kegunaan lain seperti penilaian. Malah apabila dilihat dalam laman web jualan kenderaan, memang Crown ini sudah ada, dengan harga antara RM320,000 ke RM470,000.

     
     
  • Suzuki Jimny Rainforest & Black Edition dilancar di Malaysia – RM169k-RM172k, dapat aksesori istimewa

    Suzuki Jimny Rainforest & Black Edition dilancar di Malaysia – RM169k-RM172k, dapat aksesori istimewa

    Selepas tampil dengan Jimny Rhino Edition tahun lalu, untuk 2024 pengedar kereta Suzuki Di Malaysia iaitu Naza Eastern Motors (NEM) sekali lagi memperkenalkan model edisi istimewa bagi SUV off-road kompak berkenaan yang dihasilkan khas untuk pasaran tempatan.

    Tetapi kali ini bukan hanya satu, malah dua edisi khas dilancarkan sekaligus – ini dia Suzuki Jimny Rainforest Edition 2024 dan Black Edition 2024 yang hanya terdapat di Malaysia. Kedua-dua model edisi khas ini bukan hanya diberikan beberapa pelekat grafik badan dan emblem unik, malah ia turut didatangkan dengan pelbagai aksesori bagi disesuaikan dengan tema masing-masing.

    Bagi Jimny Rainforest Edition, ia hadir dengan warna badan Jungle Green dan diserikan dengan pelekat badan dengan corak celoreng pada bahagian sisi serta pada perumah tayar gantian di belakang. Jika anda lihat dengan teliti, bahagian gril hadapan juga diberikan corak celoreng. Ia juga datang dengan beberapa aksesori standard luaran lain sepertin rak bumbung, visor pintu dan mudflap pada semua ruang roda.

    Suzuki Jimny Rainforest Edition

    Tema ‘ketenteraan’ turut diberikan pada bahagian dalaman Jimny Rainforest Edition ini. Ia diberikan balutan kulit perang pada pemegang papan pemuka dan pintu, serta grafik celoreng pada cermin pandang belakang, kemasan dalam pintu tailgate dan juga bahagian bendul ruang but belakang.

    Ia masih diberikan skrin infotaimen yang sama seperti Jimny standard, tetapi bahagian sekeliling skrin untuk Rainforest Edition ini menerima kemasan hitam-kelabu yang nampak lebih lasak. Selain itu, ia juga dipadankan dengan set karpet kaki khas dan diberikan beg istimewa pada ruang but belakang.

    Manakala untuk Jimny Black Edition pula, ia menerima warna badan Bluish Black Pearl 3 bersama kemasan-kemasan bercorak gentian karbon pada gril hadapan, penutup cermin sisi, perumah tayar gantian dan juga pada penutup engsel pintu tailgate belakang.

    Suzuki Jimny Black Edition

    Ia juga menerima aksesori luaran yang sama dengan Rainforest Edition iaitu rak bumbung, visor pintu dan mudflap, serta diberikan emblem tambahan ‘Black Editon’ di bawah emblem ‘Jimny’ pada pintu tailgate belakang.

    Manakala dalam kabin, model ini diberikan balutan kulit hitam bersama serlahan jahitan hijau pada pemegang papan pemuka dan pintu, dan pembeli turut ditawarkan dengan tingkat taraf upholsteri kulit Nappa dua-tona untuk tempat duduk.

    Kedua-dua model edisi terhad ini diberikan kit kelengkapan yang sama seperti lampu hadapan LED projektor automatik, lampu kabus, rim aloi 15-inci, tempat duduk fabrik larasan manual, penghawa dingin automatik zon tunggal, cruise control, skrin sesentuh tujuh-inci untuk sistem infotainmen bersama sokongan Apple CarPlay, dua beg udara dan dua pembesar suara.

    Unit rangkaian kuasa juga masih sama di mana ia masih dijana enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, serta dipadankan dengan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD, bersama unit transfer case bagi membolehkan pemandu memilih gear L untuk pemanduan pada permukaan off-road lebih mencabar.

    Walaupun diberikan dengan pelbagai aksesori asli dan perincian lebih unik, kedua-dua model edisi khas ini sebenarnya menampilkan harga sedikit murah berbanding Jimny standard yang kini dijual pada harga RM174,900. Bagi Jimny Rainforest Edition, dijual pada harga RM168,900, manakala Black Edition pula berharga RM171,900.

    Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan setiap pembelian diberikan waranti pengeluar selama tiga tahun atai 100,000 km yang mana sampai dahulu.

    GALERI: Suzuki Jimny Rainforest Edition 2024

    GALERI: Suzuki Jimny Black Edition 2024

     
     
  • smart sah akan buka cawangan baru di Kota Kinabalu, Kuantan dan Petaling Jaya tidak lama lagi

    smart sah akan buka cawangan baru di Kota Kinabalu, Kuantan dan Petaling Jaya tidak lama lagi

    Pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia, iaitu Pro-Net telah membentangkan rancangan pengembangan rangkaian pengedar mereka untuk tahun 2024 dan mengesahkan bahawa kemudahan pertama di Malaysia Timur yang diberitahu minggu lalu akan dibuka di Kota Kinabalu, Sabah.

    Selain daripada cawangan KK yang akan diuruskan oleh Fook Loi Eurocar, pusat pengedar baru lain yang akan dibuka di Semenanjung Malaysia adalah di Petaling Jaya (Naza Automotive Group) dan Kuantan (Hoi Keen Service).

    “Dengan momentum yang kuat dan minat yang semakin bertambah di Malaysia, smart Malaysia bersedia untuk mengembangkan lagi portfolio produknya. Sasaran kami adalah untuk memecut ke tahap seterusnya, terus meluaskan lingkungan pasaran dengan produk serta servis pintar kami,” kata CEO Pro-Net, Zhang Qiang.

    smart sah akan buka cawangan baru di Kota Kinabalu, Kuantan dan Petaling Jaya tidak lama lagi

    Pada masa ini, smart telah mempunyai 10 pengedar di sekitar Malaysia, di mana anda juga boleh memandu uji EV smart #1. Ia terletak di Ipoh (GB Auto), Balakong (Hap Seng Smart), KL (Hap Seng Smart), Pulau Pinang (Eleganz Lifetsyle), Alor Setar (Lee Motors), Glenmarie (EON), Setia Alam (Wheelcorp EV), Melaka (Sigma Energy EV), Johor Bahru (Motor Future) dan Damansara (smart Mobility).

    Setakat ini, smart #1 versi Brabus yang terletak paling tinggi menjadi model paling laris di pasaran Malaysia, di mana ia dijual pada harga RM249,000. Ia menggunakan dua motor elektrik serta pacuan AWD dengan keupayaan menghasilkan kuasa sehingga 428 PS (315 kW) dan tork 543 Nm, boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat. Varian Pro (RM189,000) dan Premium (RM219,000) yang terletak di bawahnya pula datang dengan satu motor di belakang, dengan kuasa 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, dan pecutan 0-100 kkm/j dalam masa 6.7 saat.

    smart #1 menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan sejauh 440 km mengikut kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC, dengan pengecas yang serasi, status bateri dari 10%-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Manakala jika menggunakan pengecas AC pula, dengan kapasiti 22 kW, status pengecasan dari 10%-80% boleh dicapai dalam masa tiga jam.

     
     
  • eTesting dilaksanakan di institut memandu mulai April 2024 – guna alat sensor, kamera untuk penilaian

    eTesting dilaksanakan di institut memandu mulai April 2024 – guna alat sensor, kamera untuk penilaian

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting). Di mana prestasi calon ujian memandu akan diukur menggunakan alat sensor dan kamera di mana keputusan akan dijana secara masa nyata (real-time), sekaligus meningkatkan integriti proses penilaian.

    Menurut Loke, calon diberi pilihan untuk menjalani ujian biasa atau eTesting. Walaupun institut memandu boleh mengenakan caj maksimum RM100, namun calon yang memilih untuk menggunakan pengujian secara eTesting akan menerima beberapa manfaat iaitu calon boleh membuat percubaan kali ke-2 bagi setiap elemen ujian yang gagal pada hari yang sama tanpa sebarang kos tambahan kepada calon.

    Manakala bagi ujian ulangan, calon hanya perlu membuat ujian ulangan melibatkan elemen yang gagal sahaja tanpa perlu mengulangi keseluruhan elemen ujian Bahagian II (seperti pelaksanaan ujian secara manual).

    “Calon ujian yang diuji menggunakan sistem akan diberikan keutamaan dalam senarai tempahan ujian. Selain itu, rebat RM10 turut diberikan bagi pengeluaran Lesen Percubaan.

    eTesting dilaksanakan di institut memandu mulai April 2024 – guna alat sensor, kamera untuk penilaian

    “Pelaksanaan sistem eTesting membolehkan lebih ramai calon diuji berbanding sistem ujian sedia ada atau manual. Sistem eTesting ini akan meningkatkan integriti sistem ujian memandu, pengeluaran lesen memandu, memudahkan proses auditan dan pemantauan aktiviti ujian secara elektronik,” kata Loke menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, institut memandu di seluruh negara dibenarkan untuk menawarkan ujian berasaskan eTesting bermula pada April 2024. Loke turut memaklumkan sistem e-Testing akan ditawarkan untuk ujian di litar. Selain itu, Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) turut melibatkan undang-undang (teori) dan praktikal di jalan raya.

    “Kini terdapat tiga institut memandu yang telah bersedia dengan pelaksanaan sistem eTesting iaitu Institut Memandu Surfine Hitech di Hulu Langat (Selangor), Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd di Ulu Tiram (Johor), dan Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd di Pulau Pinang.

    “MOT mengalakkan semua institut memandu untuk menawarkan ujian memandu berasaskan eTesting. Tempoh masa selama enam tahun akan diberikan kepada institut memandu bagi peralihan pengujian kaedah manual kepada kaedah eTesting.

    “Institut memandu boleh memilih mana-mana penyedia perkhidmatan eTesting yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penilaian Projek eTesting seperti Uji Bestari Sdn. Bhd, TBS Solutions Sdn. Bhd dan KOPIMA Technology Sdn. Bhd. “Dalam masa yang sama terdapat tiga lagi penyedia perkhidmatan eTesting yang masih dalam fasa penilaian dan akan diumumkan kemudian,” jelasnya lagi.

     
     
  • Zon motosikal di CIQ Johor mengalami kesesakan berpunca gangguan sistem M-Bike – KP Imigresen

    Zon motosikal di CIQ Johor mengalami kesesakan berpunca gangguan sistem M-Bike – KP Imigresen

    Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh mengesahkan kesesakan di zon motosikal Kompleks ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor, disebabkan masalah gangguan sistem M-Bike di kedua-dua laluan zon pemeriksaan motosikal masuk dan keluar.

    Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum mengenai kesesakan luar biasa yang berlaku di zon motosikal Kompleks ICQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

    “Insiden gangguan sistem ini berlaku disebabkan kerja-kerja konfigurasi sistem yang sedang dilaksanakan oleh syarikat pengendali baharu yang dilantik bermula pada 29 Februari lalu. Pihak syarikat pengendali dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang mengambil tindakan drastik bagi mengatasi gangguan ini dalam masa terdekat.

    Zon motosikal di CIQ Johor mengalami kesesakan berpunca gangguan sistem M-Bike – KP Imigresen

    “Bagi mengatasi masalah kesesakan di laluan motosikal, JIM mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan kaunter manual secara maksimum. Ia bagi membolehkan pemeriksaan di Zon Motosikal dilakukan secara manual sehingga isu gangguan sistem berkenaan diatasi. Jabatan ini komited melakukan yang terbaik bagi memastikan masalah gangguan ini dapat dipulihkan dalam kadar segera,”katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menafikan berita tular mengenai dakwaan penamatan kontrak M-Bike disebabkan arahan ‘orang atasan’.

    “Syarikat pengendali terdahulu sudah tamat tempoh kontrak dan lantikan syarikat pengendali baharu dilaksanakan mengikut prosedur kewangan yang berkuat kuasa. Jabatan ini menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

     
     
  • Kastam Perak rampas 28 kereta mewah dalam 2 bulan pertama 2024 termasuk kesalahan berkaitan cukai

    Kastam Perak rampas 28 kereta mewah dalam 2 bulan pertama 2024 termasuk kesalahan berkaitan cukai

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya merampas sebanyak 28 kenderaan mewah yang didapati melanggar pelbagai peraturan dalam tempoh dua bulan pertama tahun i2024. Menurut Pengarahnya, Datuk Abdul Ghafar Mohamad, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak melakukan serbuan di 12 lokasi berbeza di sekitar Perak dan Selangor.

    Katanya, kenderaan mewah yang dirampas antaranya berjenama Porsche, Lamborghini, dan Mercedes Benz yang membabitkan cukai RM10.4 juta, laporan Bernama

    “JKDM Perak juga menahan 11 individu berusia 40 hingga 50 tahun disyaki pemilik kenderaan dan pemilik syarikat bagi membantu siasatan.

    “Kesemua kenderaan yang dirampas atas pelbagai kesalahan antaranya pelanggaran syarat atas kemudahan pengecualian duti dan cukai, menyimpan kenderaan mewah di kawasan yang tidak dilesenkan serta mempunyai nombor kenderaan berpendaftaran di Langkawi dan telah berada di Semenanjung melebihi 90 hari,” katanya.

    Kastam Perak rampas 28 kereta mewah dalam 2 bulan pertama 2024 termasuk kesalahan berkaitan cukai

    Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat sama ada kesemua kenderaan yang dirampas itu mempunyai permit import atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d), Seksyen 133(1) (a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

    Dalam pada masa yang sama, Abdul Ghafar menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah serta kenderaan dan dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

    “Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

     
     
  • PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    Pengendali kenderaan berkelompok (fleet) sering berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan pengurusan yang berada di luar aspek logistik perniagaan. Dengan sistem pengurusan bahan api yang betul dan cekap, masalah seperti penipuan dan pertikaian tuntutan boleh dihindarkan bagi memastikan operasi bukan sahaja dapat diperkemas, malah lebih menjimatkan kos!

    Jika anda merupakan pengendali fleet atau pemilik perniagaan kecil yang ingin mengoptimumkan kos, ada baiknya anda semak dahulu tawaran dari PETRONAS dalam segmen tersebut. Kad minyak PETRONAS SmartPay ini dapat menghindarkan sebarang kegusaran berkaitan pengurusan fleet bahan api yang anda hadapi.

    PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    PETRONAS SmartPay akan memudahkan anda menjejak perbelanjaan bahan api dalam masa sebenar, serta pembayaran yang fleksibel untuk perbelanjaan dengan kredit tanpa faedah sehingga 30 hari. PETRONAS SmartPay juga menawarkan pelbagai pilihan pelan prabayar dan pasca bayar, sama ada dalam bentuk kad atau tanpa kad. Hubungi Mesralink di talian 1-300-88-8181 untuk mengetahui pelan yang paling sesuai untuk anda!

    PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    PETRONAS SmartPay boleh digunakan di seluruh rangkaian stesen minyak PETRONAS di Malaysia (lebih daripada 1,000 stesen di seluruh negara). Semuanya turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan termasuk surau, barangan penjagaan diri/kereta serta makanan dan minuman sedia untuk dimakan. Anda juga tidak perlu risau berkenaan jenis minyak, kerana program ini menawarkan akses kepada semua jenis bahan api yang dipasarkan oleh PETRONAS. Ini bermakna anda boleh memilih semua jenis bahan api Primax95, Primax97 atau Dynamic Diesel/Euro 5 yang disediakan.

    PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    Apa yang lebih menarik, khidmat penghantaran bahan api mudah alih PETRONAS turut disediakan, meliputi kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor Bahru dan Kuantan. Dan yang paling penting, pendaftaran PETRONAS SmartPay ini percuma dan tiada yuran tahunan akan dikenakan.

    PETRONAS SmartPay — pengurusan bahan api untuk kenderaan fleet kini lebih mudah, elak penipuan

    Jadi, jika anda sedang mencari penyelesaian pengurusan bahan api yang lebih mudah dan lebih cekap untuk fleet, semak dahulu tawaran oleh PETRONAS SmartPay. Ketahui lebih lanjut mengenai PETRONAS SmartPay di sini.

     
     
  • GWM Haval H6 Hybrid — pelancaran suku kedua, 1.5T 243 PS, saingi Honda CR-V, Proton X70, Mazda CX-5

    GWM Haval H6 Hybrid — pelancaran suku kedua, 1.5T 243 PS, saingi Honda CR-V, Proton X70, Mazda CX-5

    Mei tahun lalu, GWM Malaysia telah mula mendedahkan spesifikasi awal bagi SUV Haval H6 Hybrid yang akan memasuki pasaran tempatan, yang ketika itu tanda diberikan sebarang tarikh untuk ketibaan tersebut. Namun kini, syarikat berkenaan telah memberikan bayangan bila model ini akan dilancarkan — suku kedua 2024.

    GWM Haval H6 Hybrid ini mempunyai ukuran dimensi 4,683 mm panjang, 1,886 mm lebar, 1,724 mm tinggi dengan jarak roda 2,738 mm. Ini akan menjadikannya bersaing dengan SUV segmen C seperti Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5 — kelebihannya model ini mempunyai jarak roda lebih panjang dengan mengatasi Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Di bawah bonetnya ialah enjin petrol empat-silinder 1.5 liter berkuasa 167 PS dan 285 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan serta motor elektrik 177 PS (130 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 243 PS dan tork 530 Nm.

    GWM Haval H6 Hybrid — pelancaran suku kedua, 1.5T 243 PS, saingi Honda CR-V, Proton X70, Mazda CX-5

    Enjin hibrid series-parallel pacuan roda hadapan ini juga menggunakan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan keluaran GWM sendiri, dan bukannya klac berkembar tujuh kelajuan seperti kebiasaannya. Dalam kelajuan rendah, motor elektrik akan menjadi penggerak utama, sementara enjin akan membantu dalam kelajuan yang lebih tinggi — bergantung kepada keadaan.

    GWM H6 Hybrid dilengkapi lampu utama LED matriks, lampu belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa, panel instrumen digital 10.25 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci, lampu suasana, bumbung suria, enam beg udara, kamera 360 darjah dan sistem bantuan letak kereta.

    Bagi sistem bantuan pemandu ADAS pula, H6 dilengkapi dengan sensor ultrasonik, kamera dan juga radar untuk memberikan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Wisdom Dodge System yang boleh menjaga jarak selamat daripada kenderaan yang besar.

     
     
  • GWM Tank 300 dipertonton di M’sia — lancar suku ketiga 2024, SUV off-road dengan enjin 2.0T 220 PS

    GWM Tank 300 dipertonton di M’sia — lancar suku ketiga 2024, SUV off-road dengan enjin 2.0T 220 PS

    Selain Ora 07, GWM Malaysia hari ini turut mempertontonkan model SUV Tank 300, yang dijangka akan dilancarkan di sini pada suku ketiga tahun ini. Bulan lalu, syarikat itu memaklumkan bakal membawa masuk unit terawal SUV off-road berkenaan.

    Ketika ini, harga Tank 300 untuk pasaran Malaysia masih belum didedahkan harga atau varian yang akan diperkenalkan. Seperti selalu, perincian spesifikasi hanya akan diumumkan menjelang pelancaran rasminya. Maka, apa yang dinyatakan di sini adalah berdasarkan apa yang dilihat berdasarkan unit CBU yang dipamerkan semata-mata.

    Melihat kepada adanya kabel oren dalam ruang enjin, Tank 300 yang ditunjuk ini kemungkinan besar dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol yang menjana kuasa sebanyak 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 380 Nm.

    GWM Tank 300 dipertonton di M’sia — lancar suku ketiga 2024, SUV off-road dengan enjin 2.0T 220 PS

    Ini digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda separuh masa, dengan fungsi 2H, 4H, 4L serta differential lock depan dan belakang. Tank 300 ini juga datang dengan fungsi tank turn, yang mana ketika diaktifkan akan mengunci roda belakang bahagian dalam untuk membolehkan kenderaan membelok dalam selekoh ketat.

    GWM Tank 300 mempunyai ukuran dimensi 4,760 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,903 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm. Ia mempunyai jarak kelegaan tanah 224 mm serta kemampuan meredah air dengan kedalaman hingga 700 mm.

    Melihat rekaannya, Tank 300 dengan jelas menggabungkan rekabentuk ikonik kenderaan 4×4 yang pernah dilihat sebelum ini, misalnya daripada Jeep Wrangler/Rubicon, dan memberi sentuhan dan teknologi tersendiri untuk menjadikannya berbeza — lihat bahagian rekaan lampu depan dan belakang yang dihadirkan dengan elemen garis melintang dan menegak dengan memanfaatkan lampu LED, begitu juga dengan lampu kabus yang diletak di sudut bamparnya. Tayar pula menggunakan unit Michelin Primacy SUV dengan rim aloi bersaiz 18-inci.

    GWM Tank 300 dipertonton di M’sia — lancar suku ketiga 2024, SUV off-road dengan enjin 2.0T 220 PS

    Di dalam, suasananya agak ringkas dan kemas. Papan pemukanya seperti mengambil ilham yang jelas dari model Mercedes-Benz G-Class dengan rekaan menegak dan rapat ke depan, corong pendingin ala turbin, dua skrin 12.3-inci (satu untuk kluster instrumen, satu lagi untuk infotainmen) serta pemegang pintu tersorok. Tombol gearnya diberikan rekaan yang agak menarik, dikelilingi juga oleh butang kawalan sistem pacuan empat roda, suis brek parkir elektrik dan sistem bantuan pemandu.

    Ciri lain yang ada termasuklah pendingin automatik, kerusi depan larasan elektrik, balutan kulit, sistem bunyi Harman Infinity, ruang cawan yang dalam di bawah perehat lengat di tengah, sunroof larasan elektrik, pengecas tanpa wayar dan paddle shifter. Sistem keselamatan aktif seperti kawalan melayar adaptif dan AEB antara ciri yang turut melengkapinya.

    GWM Tank 300 ini dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Jadi, sementara itu, dekat dahulu model ini melalui galeri gambar yang kami sediakan. Cukup rugged SUV ini? Dan berapa harga yang berpatutan dikenakan? Di Thailand, ia dijual dengan harga bermula 1.649 juta baht (sekitar RM218k).

     
     
  • MINI Countryman F60 facelift John Cooper Works Trim tiba di Malaysia – model akhir F60, harga RM254k

    MINI Countryman F60 facelift John Cooper Works Trim tiba di Malaysia – model akhir F60, harga RM254k

    BMW Group Malaysia mengumumkan ketibaan MINI Countryman facelift dengan kemasan eksklusif John Cooper Works Trim untuk pasaran Malaysia, sebagai tanda penutup bagi model F60 generasi kedua di negara ini.

    Model yang merupakan varian edisi khas untuk Cooper S ini hanya ditawarkan dalam jumlah terhad 168 unit, dan datang dengan kit aerodinamik John Cooper Works (JCW) yang termasuk bampar hadapan dan belakang, tepi pintu, spoiler belakang dan rim.

    Di bahagian dalam, MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini mendapat penghadang cahaya anthracite, perumah lampu dome serta kemasan tiang warna anthracite. Untuk warna badan, ada empat pilihan disediakan, iaitu British Racing Green, Chilli Red, Nanuq White dan Sage Green – semuanya juga ditawarkan dalam jumlah terhad.

    MINI Countryman F60 facelift John Cooper Works Trim tiba di Malaysia – model akhir F60, harga RM254k

    Bahagian mekanikal tiada perubahan, dengan Cooper S JCW Trim ini terus menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter B48, mampu menghasilkan 192 PS pada antara 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 280 Nm antara 1,350 ke 4,600 rpm.

    Kuasa kemudiannya disampaikan kepada dua roda hadapan melalui transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dengan pedal penukar di stereng. Melihat kepada prestasi, kereta ini boleh melakukan pecutan 0-100 kmj dalam masa 7.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 226 km/j.

    MINI Cooper S Countryman JCW Trim ini dijual pada harga RM253,833 tidak termasuk insurans, tetapi jika mahu didapati dengan pakej lanjutan jaminan dan servis, pemilik perlu menambah RM10,400, dan harga kereta akan menjadi RM264,233.

     
     
  • Proton X90 akan dipasang di Bangladesh pada penghujung tahun ini, libatkan pelaburan RM472.9 juta

    Proton X90 akan dipasang di Bangladesh pada penghujung tahun ini, libatkan pelaburan RM472.9 juta

    Minggu lalu Proton baru sahaja melancarkan SUV segmen-D Proton X90 di Bangladesh. Apa yang lebih menarik, BNN melaporkan bahawa X90 turut akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di negara berkenaan menjelang akhir tahun ini.

    Proton X90 tiba di pasaran Bangladesh tidak sampai setahun selepas ia dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Mei 2023. Laporan BNN menyebut rancangan untuk menyediakan fasiliti pembuatan bagi memasang SUV tersebut di Bangladesh telah dibuat oleh pengedar Proton di sana iaitu Rancon. Kilang yang bakal dibina di dalam kawasan Rancon Industrial Park tersebut akan melibatkan peruntukan sebanyak US$100 juta (RM472.9 juta).

    Jika rancangan tersebut menjadi kenyataan, ini merupakan kali kedua operasi pemasangan Proton dibuat di Bangladesh selepas Preve yang turut dikilangkan di sana pada 2017.

    Proton X90 akan dipasang di Bangladesh pada penghujung tahun ini, libatkan pelaburan RM472.9 juta

    Bagi pasaran Bangladesh, Proton X90 ditawarkan dalam dua varian bermula dengan Premium tujuh-tempat duduk dijual pada harga 4,590,000 (RM198k), dan juga Flagship enam-tempat duduk dijual pada harga 4,990,000 Taka (RM215k). Sama seperti di Malaysia, ia juga masih menerima enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Ia turut menampilkan sistem hibrid ringkas 48-Volt yang menggandingkan unit motor elektrik yang digelar sebagai starter generator berkuasa 13 PS/45 Nm, bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS dan tork 300 Nm. Kuasa dialirkan hanya kepada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT.

     
     
  • Chery Omoda E5 EV dilancar di Malaysia 6 Mac ini

    Chery Omoda E5 EV dilancar di Malaysia 6 Mac ini

    Bermula 24 Februari lalu, Chery Omoda E5 EV telah pun mula berada di bilik pameran Chery di seluruh Malaysia. Malahan tempahannya juga sudah mula dibuka dengan harga anggaran RM160,000. Tetapi pelancarannya hanya akan berlangsung secara rasmi pada Rabu ini, 6 Mac 2024, seperti mana yang diuar-uarkan oleh Chery Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.

    Kami juga telah membawakan galeri foto penuh SUV EV ini dengan unit berwarna merah ini yang merupakan spesifikasi produksi. Adakah anda tidak sabar untuk menantikan pengumuman harga rasminya? Nantikan bersama kami dalam majlis pelancarannya lusa!

    Apa pun, bagi menambah debaran di dada, jom kita lihat serba sedikit mengenai perincian versi EV bagi model Omoda 5 ini. Model Omoda E5 ini menampilkan motor elektrik pemasangan hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 7.6 saat. Motor elektrik tersebut dijanakan oleh bateri lithium logam fosfat (LFP) berkapasiti 61 kWj. Ia membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP serta menggunakan kuasa 14.5 kWj untuk perjalanan 100 km.

    Chery mendakwa penggunaan kuasanya sekitar 14.5 kWh bagi setiap 100 km. EV ini menyokong pengecasan AC maksimum 9.9 kW serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang boleh mencapai tahap 30-80% dalam 30 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    Antara ciri kelengkapan untuk Omoda E5 ini termasuklah satu bar hitam berkilat pada bahagian hadapannya, yang bersambung dengan kemasan lampu nyalaan siang. Selain itu, ia diberikan lampu utama projektor LED, roda aloi 18-inci, tailgate bukaan kuasa, beberapa mod pemanduan, upholstery, kawalan suhu dwi-zon (dengan corong untuk tempat duduk belakang, kluster instrumen digital 12.3-digital dan skrin sesentuh 12.3-inci. Ia juga menerima sistem infotainmen yang dikuasakan oleh Qualcomm 8155 system on chip (SoC) serta sokongan ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Bagi sistem bantuan pemandu pula, ia dilengkapi dengan kamera 360-darjah, lampu tinggi automatik, kepekaan ketibaan kenderaan hadapan, amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan sendiri, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan sistem pemantauan tekanan tayar. Chery menggelarkannya sebagai ADAS 2.5. Untuk perincian penuh dan harga rasminya, kena tunggu hari pelancarannya okay.

    GALERI: Chery Omoda E5 di Malaysia, spesifikasi produksi

     
     
  • Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

    Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

    Ketika mengumumkan program Proton Operational Excellence (POE) yang bertujuan untuk mempertingkatkan aspek servis lepas jualannya tahun lalu, Proton turut memberitahu bahawa gudang-gudang alat gantinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak kini telah pun dibesarkan.

    Pembesaran yang dibuat ini sudah tentu dengan satu tujuan iaitu menyelesaikan masalah ketersediaan komponen alat ganti, dan memastikan komponen tersebut boleh dihantar dengan cepat ketika ia diperlukan segera. Dan bagi memberikan gambaran jelas bagaimana gudang-gudang ini beroperasi, Proton telah menjemput sekumpulan media untuk melawat salah satu gudang alat gantinya, iaitu gudang Proton Parts Center Sdn Bhd (PPCSB) yang terletak di Hicom Glenmarie, Shah Alam pada Jumaat lalu.

    Menurut Proton, ia kini mempunyai lima gudang alat ganti yang sedang beroperasi. PPCSB merupakan gudang utamanya yang turut berfungsi sebagai ibu pejabat, dan sudah mula beroperasi sejak 19 Jun 1992. Ia bukan sahaja membekalkan alat ganti kepada 354 pelanggan di Malaysia yang terdiri dari pusat pembaikan badan dan cat, stokis serta jaringan pusat servis bertauliah, malah PPCSB juga berurusan dengan 26 jaringan pengedarnya di luar negara.

    Jadi, fasiliti dengan keluasan 267 hektar ini bukan hanya menguruskan penghantaran alat ganti bukan hanya untuk semenanjung Malaysia, malah ia turut menghantar alat ganti ke Malaysia Timur dan mengeksport ke luar negara, serta menerima komponen alat ganti yang diimport dari luar, dengan kemampuan menerima 2,500 hingga 4,500 tempahan setiap hari.

    Menerusi pemerhatian kami ketika sesi lawatan minggu lalu, pusat komponen alat ganti sememangnya menyimpan hampir kesemua alat ganti untuk kereta Proton, antaranya set lengkap enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo (GEP3), enjin 1.3 dan 1.6 Campro VVT, transmisi CVT, transmisi 7DCT, pelbagai kotak dengan cop Honda dan Suzuki iaitu alat ganti untuk ‘Perdana Accord’ dan Proton Ertiga serta pelbagai lagi.

    Sejak tahun lalu, gudang utama ini telah dibantu dengan satu lagi gudang tambahan iaitu PPCSB HQ2 yang terletak bersebelahan. Fasiliti dengan keluasan 37 hektar ini menyimpan alat ganti yang terdiri dari panel-panel badan termasuk fender, pintu penutup but belakang dan bonet hadapan, panel utama sisi badan bumbung, cermin dan pelbagai lagi.

    Di PPCSB HQ2 ini, bukan hanya panel badan model-model baharu sahaja di simpan, ia juga mempunyai stok alat ganti untuk model yang tidak lagi dijual oleh Proton seperti Exora dan juga Preve. Tidak jauh dari dua gudang utama ini, Proton turut mempunyai satu lagi gudang berdekatan iaitu di XinHwa Batu Tiga, di Shah Alam di mana fungsi utamanya adalah untuk menyimpan stok minyak dan bendalir pelincir.

    Untuk Sabah dan Sarawak, kedua-duanya mempunyai gudang masing-masing yang tersendiri. Di Sarawak, bekalan komponen alat ganti Proton disimpan di Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) yang terletak di Bintawa, Kuching. Pusat berkenaan baru sahaja berpindah di fasiliti baharu dengan keluasan 27 hektar pada tahun lalu, berbanding bangunan lama yang hanya berkeluasan 10 hektar.

    Manakala Di Sabah, Proton mempunyai sebuah lagi RPC yang terletak di Kelombong, Kota Kinabalu. Ini juga merupakan RPC baharu yang hanya akan dirasmikan pada suku kedua tahun ini, menampilkan keluasan 28 hektar berbanding fasiliti sebelum ini yang hanya berkeluasan 10 hektar.

    Kedua-dua RPC Kuching dan RPC Kota Kinabalu ini membekalkan semua jenis alat ganti untuk semua model Proton bagi pasaran Sarawak dan Sabah, serta mampu menguruskan sebanyak 150 hingga 500 tempahan setiap hari.

    Kewujudan RPC ini juga membolehkan bekalan alat ganti dapat dihantar ke Malaysia Timur dua kali lebih banyak dari sebelum ini, dan vendor dari luar negara juga dapat menghantar alat ganti terus ke Sabah dan Sarawak tanpa perlu ke PPC di Lembah Klang terlebih dahulu.

    Secara keseluruhan, penambahbaikkan dalam jangka masa dua tahun kebelakangan ini membolehkan Proton mempunyai ruang storan sebesar 390 hektar untuk menyimpan alat ganti, naik dari hanya 287 hektar pada 2021 atau 35% lebih besar. Ini membolehkan ia menyimpan stok 1.5 kali lebih banyak, dengan lebih dari 30,000 jenis nombor komponen (part number), kesemuanya dianggar bernilai RM130 juta.

    Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

    Hasilnya, PPCSB menyatakan bahawa ketersediaan alat ganti untuk model-model terkini Proton kini sudah berada pada tahap 94% berbanding 84% pada 2021. Pesanan tertangguh (back order) untuk alat ganti Proton juga kini sudah berkurangan sehingga 60% dengan sistem pesanan yang efektif, serta sokongan yang diberikan oleh bahagian perolehan dan pembuatan.

    Dengan kemampuan yang ada sekarang juga PPCSB dapat menangani peningkatan pesanan alat ganti harian 35% lebih tinggi dari jaringan pelanggannya. Manakala tempoh menunggu juga kini lebih pendek kerana proses kerja yang sedang berlangsung (WIP) telah berkurangan sehingga 63% berbanding dua tahun sebelum itu.

    Walaupun dengan pelbagai penambahbaikkan ini menghasilkan banyak perubahan yang positif, ini tidak bermaksud Proton sudah melengkapkan segala proses transformasi. Buat masa sekarang PPCSB sebenarnya sudahpun masuk ke proses akhir untuk mengimplementasikan sistem baharu yang lebih cekap bagi mengendalikan pergerakan stok dalam gudang, yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Gudang Baharu (WMS).

    Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

    Sistem WMS ini dibangunkan bersama bahagian IT dari Geely serta disokong oleh sistem logistik dan Geely Logistic. Pembangunan tersebut melibatkan perkongsian pengetahuan merentas negara yang dibuat secara interaksi fizikal dan atas talian antara Shah Alam, Wuhan dan Hangzhao.

    Perkongsian pengetahuan tersebut menjadi usaha kerjasama bagi mengumpulkan maklumat berkenaan keperluan pengguna, berkongsi amalan yang terbaik dan fokus pada digitalisasi serta mengoptimakan proses. Menurut Proton, PPCSB bakal mula menggunakan sistem WMS ini bermula pada penghujung Mac ini.

    Selain itu, PPCSB juga masih berusaha bagi memperbesarkan lagi saiz gudang-gudangnya bagi membolehkan lebih banyak stok alat ganti tersedia, serta memperbaiki lagi sistem logistik sedia ada bagi memastikan pelanggan dapat menerima alat ganti yang dipesan lebih cepat.

    Luas gudang alat ganti Proton berkembang lebih 35% dalam masa 2 tahun, tahap ketersediaan capai 94%

    “Proton berbesar hati untuk berkongsi komitmen kami dalam ekosistem penggudangan alat ganti kami dan rancangan untuk penambahbaikkan penggudangan rantaian pembekalan komponen bagi 2024 yang menggariskan dedikasi kami bagi perubahan kepada yang lebih baik secara berterusan,” kata naib CEO Proton Roslan Abdullah dalam sesi lawatan media berkenaan.

    “Pendedahan sistem penggudangan baharu kami ini menunjukkan usaha kami dalam mengejar inovasi tanpa henti bagi memastikan penyelesaian optimum untuk pelanggan yang kami dihargai dan akan terus berusaha bagi menambah baik servis selepas jualan dan memberikan kepuasan pelanggan pada tahap tertinggi,” tambahnya lagi.

    Dalam majlis yang sama, Roslan turut memberi jaminan bahawa selepas X70, Proton kini telah membuat perancangan dan memastikan bekalan alat ganti termasuk yang diperlukan untuk pembaikan kemalangan untuk terlebih dahulu berada dalam gudang alat ganti, sebelum model satu-satu model baharu itu dilancarkan dalam pasaran. Lebih perincian berkenaan isu tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • MOT tidak bercadang memperketatkan syarat baharui lesen memandu termasuk kemuka laporan kesihatan

    MOT tidak bercadang memperketatkan syarat baharui lesen memandu termasuk kemuka laporan kesihatan

    Jika kerajaan memperketatkan syarat pembaharuan lesen memandu kepada semua pemegang lesen kenderaan termasuk keperluan mengemuka laporan kesihatannya, kemungkinan ia akan menimbulkan bantahan ramai pihak dan menambah birokrasi dalam urusan perbaharui lesen memandu. Begitulah yang dikatakan oleh Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Like berhubung perkara berkenaan.

    Walau bagaimana pun, katanya, pemegang lesen bagi kad orang kelainan upaya (OKU) masih tertakluk syarat ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ini, laporan Berita Harian.

    “Saya rasa untuk pemegang kad OKU, kaedahnya seperti biasa. Tapi untuk pemegang lesen sedia ada, untuk mereka perbaharui lesen sekarang ini, tiada syarat tambahan. Kalau kita mahu letak syarat tambahan, nanti ada orang akan bising… setiap tahun perbaharui lesen kena dikepilkan laporan kesihatan dan sebagainya.

    “Ia (laporan kesihatan) hanya terpakai untuk pemegang khas lesen kenderaan perdagangan perlu ada laporan kesihatan dan sebagainya. Tapi untuk pemegang lesen B (penuh) umpamanya, tidak diperlukan. Tapi saya rasa adalah penting untuk pemandu berkenaan supaya lebih bertanggungjawab. Kalau mereka diberikan sebagai status pemandu OKU, maka mereka perlu memberikan maklumat itu (laporan kesihatan) kepada pihak JPJ,” katanya.

    MOT tidak bercadang memperketatkan syarat baharui lesen memandu termasuk kemuka laporan kesihatan

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Mohammed Taufiq bertanya sama ada MOT sedia mempertimbang syarat lebih ketat untuk proses perbaharui lesen kepada pemegang kad OKU bagi memastikan mereka tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Terdahulu, Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) mengemukakan pertanyaan sama ada MOT bercadang menambah syarat dalam permohonan lesen bagi kelas B penuh. Loke menjawab, syarat dalam permohonan lesen bagi kelas berkenaan adalah memadai seperti ditetapkan pada masa ini.

    “MOT melalui JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) sentiasa menyemak secara berterusan syarat-syarat permohonan lesen terhadap semua jenis Kelas Lesen termasuklah Kelas Lesen B. Hal ini bagi memastikan pemegang lesen terlibat mempunyai kompetensi dan kemahiran pengendalian kenderaan motor di dalam sesuatu Kelas Lesen berkaitan demi keselamatan semua pengguna jalan raya secara keseluruhannya,” katanya.

    Tambahnya, MOT akan sentiasa menyemak dan menambah baik kaedah-kaedah berkaitan pengangkutan jalan dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan jalan raya berada pada tahap yang tinggi.

     
     
  • Yamaha R25 2024 datang dalam pilihan warna baru

    Yamaha R25 2024 datang dalam pilihan warna baru

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sekali lagi memberikan pembaharuan warna pada Yamaha YZF-R25 pasaran Malaysia, yang sekarang dijual dalam pilihan warna Glacier White dan Racing Blue. Harga jualannya masih lagi RM22,998 tidak termasuk insurans.

    Model R25 yang menggunakan bentuk badan seperti sekarang ini sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2019 dan ia sudah beberapa kali diperbaharui dengan pelbagai pilihan warna. Kali terakhir adalah pada bulan Mac 2023.

    Penggerak R25 juga sudah hampir 10 tahun tidak mengalami perubahan, dan ia masih lagi menggunakan enjin dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan, menghasilkan 35.5 hp pada 12,000 rpm dan tork 22.6 Nm pada 10,000 rpm.

    Yamaha R25 2024 datang dalam pilihan warna baru

    Menggunakan panel badan fairing penuh, R25 mencatat berat keseluruhan 169 kg, sementara tangki bahan apinya pula menyediakan kapasiti 14.3 liter. Rim menggunakan saiz 17 inci, dan dibalut tayar 110/70 di bahagian hadapan dan 140/70 di bahagian belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk suspensi yang terdiri daripada fork teleskopik dan monoshock dengan pelarasan pra beban, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang bersama sistem ABS dual-channel serta panel instrumen LCD dengan lampu shift light.

    Setiap pembelian Yamaha R25 ini diberikan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100. Warna baru ini akan mula berada di wakil pengedar Hong Leong Yamaha Motor pada 4 Mac 2024.

     
     
  • GWM Ora 07 2024 dipertonton di M’sia — dua varian, EV hingga 640 km, saingi Tesla Model 3 dan BYD Seal

    GWM Ora 07 2024 dipertonton di M’sia — dua varian, EV hingga 640 km, saingi Tesla Model 3 dan BYD Seal

    Minggu lalu, Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) mula mengambil tempahan bagi model terbarunya untuk pasaran Malaysia, Ora 07. Dan hari ini, model berkenaan dipertontonkan pula secara rasminya. Ora 07 bakal mengiringi dua lagi model GWM yang bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan tahun ini, iaitu GWM Haval H6 HEV dan juga GWM Tank 300.

    Ketika pelancarannya yang dijangka bulan ini, GWM Ora 07 untuk pasaran Malaysia akan ditawarkan dalam dua varian. Pertama ialah varian Long Range, yang dilengkapi motor elektrik dengan janaan kuasa sebanyak 204 PS/340 Nm yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 640 km (NEDC).

    Sementara itu, varian paling tinggi Performance pula dilengkapi dua motor elektrik menjadikannya pacuan AWD, dengan janaan kuasa 408 PS/680 Nm dengan jarak perjalanan mencecah 550 km (NEDC). Model ini menggunakan bateri lithium ternary berkapasiti 83.5 kWh. Ora 07 boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Bacaan daya rintangan kereta ini juga rendah, dengan 0.22 Cd. Ora 07 dibangun menggunakan platform Lemon GWM.

    GWM Ora 07 2024 dipertonton di M’sia — dua varian, EV hingga 640 km, saingi Tesla Model 3 dan BYD Seal

    Ora 07 ialah sebuah EV yang menerapkan rekaan ala fastback dengan sentuhan rekaan moden yang menarik, meminjam aspirasi rekaan sports. Dari segi ukuran, model ini mempunyai 4,871 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,500 mm tinggi dengan jarak antara rodanya 2,870 mm. Di luar, ia dilengkapi antaranya dengan ciri lampu LED rekaan bulat di depan serta rim bersaiz 17 atau 18-inci bergantung varian. Ini menjadikan Ora 07 bakal bersaing dengan Tesla Model 3 dan juga BYD Seal.

    Rung dalamannya juga luas dengan ciri balutan kulit serta rekaan bumbung panoramik 1.7 meter persegi ala kubah. Konsol tengahnya yang minimalis moden menempatkan butang kawalan boleh pusing serta kerusi dengan ciri urut bagi pemandu dan penumpang depan.

    Ora 07 dilengkapi dengan dua paparan skrin — 10.25-inci untuk kluster meter dan 12.3-inci untuk infotainmen dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu ia juga hadir dengan 11-pembesar suara Harman — menjadikan kabinnya tampil elegan dan ada sentuhan mewah. Tidak ketinggalan, ciri spoiler belakang elektrik adaptif di belakang.

    GWM Ora 07 2024 dipertonton di M’sia — dua varian, EV hingga 640 km, saingi Tesla Model 3 dan BYD Seal

    Aspek keselamatan antaranya terdiri daripada kelengkapan sistem ADAS yang dibantu oleh 12 penderia ultrasonik dan kamera 360-darjah. Lebih 20 ciri keselamatan maju terkandung di dalamnya, antaranya ciri bantuan meletak kenderaan, kawalan melayar adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, pengesan papan tanda trafik dan lain-lain.

    Model ini juga diberikan dua pilihan kemasan warna untuk ruang kabin; hitam dan juga coklat yang khusus untuk varian Performance. Tiga pilihan warna badan ditawarkan, terdiri daripada Crystal Purple, Amethyst Gray dan Jade White.

    Bagi mereka yang membuat tempahan Ora 07 sekarang, turut diberikan ialah pakej servis dan penyelenggaraan percuma selama lima-tahun. GWM Ora 07 dijangka akan dilancarkan secara rasmi bulan ini. Harga anggaran model ini ialah sekitar RM175k hingga RM202k.