Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Petron buka stesen minyak ke-800 di Pedas-Linggi arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS

    Petron buka stesen minyak ke-800 di Pedas-Linggi arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS

    Petron Malaysia telah mencatatkan kejayaan baharu untuk rangkaian stesen runcitnya, dengan pembukaan rasmi stesen ke-800 di laluan Pedas-Linggi (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan.

    Cawangan stesen minyak terbaharu ini adalah seluas 4,047 kaki persegi bertujuan untuk memenuhi keperluan pengguna setempat dan mereka yang melakukan perjalanan jarak jauh ke arah selatan. Menurut Petron, stesen itu telah dibuka tepat pada masanya untuk cuti sekolah Januari serta musim perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelang tiba.

    Stesen yang baru dibuka itu menawarkan rangkaian penuh produk bahan api runcit daripada jenama itu, iaitu petrol Blaze 95 Euro 4M (RON 95), petrol Blaze 97 Euro 4M (RON 97), petrol Blaze 100 Euro 4M (RON 100), Turbo Diesel Euro 5 dan Diesel Max Euro 5.

    Selain bahan api, stesen Petron Pedas-Linggi ini turut menempatkan kedai runcit Treats Mart di mana pelanggan boleh membeli produk dalam kedai dari Dunkin’ dan Costa Coffee, serta menggunakan perkhidmatan ATM. Ini juga merupakan stesen Petron pertama yang menampilkan gerai Quick Treats di kawasan hadapan, membolehkan pelanggan membeli makanan ringan dan minuman sambil berada berdekatan dengan kenderaan mereka, kata Petron Malaysia.

    Sama seperti cawangan Treats Mart sedia ada di stesen runcit Petron, cawangan Pedas-Linggi (arah selatan) yang baru dibuka juga boleh dianggap sebagai pusat sehenti barangan keluaran tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘Sapot Lokal’, sebagai sokongan kepada usahawan tempatan dengan Petron Treats Mart sebagai platform.

    “Pembukaan stesen kami yang ke-800 menandakan berakhirnya tahun 2024 yang hebat dan permulaan yang cemerlang untuk 2025 bagi Petron. Ini menunjukkan komitmen kami untuk membawa produk dan perkhidmatan kami kepada lebih ramai rakyat Malaysia, bagi memenuhi keperluan bahan api dan banyak lagi. Ketika kami mengubah stesen kami menjadi tempat yang selesa, kami teruja untuk mempelbagaikan perniagaan kami dan mengalu-alukan lebih ramai rakan kerjasama yang berkongsi minat dengan kami untuk perkhidmatan dan kecemerlangan,” kata Pengarah Urusan Petron Malaysia Mohd Nizam Mansor.

     
     
  • Ujian kalibrasi kamera AWAS di Terowong Menora/Meru hingga esok – lorong tutup, aliran kontra

    PLUS Malaysia Behrad (PLUS) telah mengumumkan terdapat ujian kalibrasi bagi pemasangan Kamera (Automated Awareness Safety System – AwAS) dijalankan di KM258.25 (Arah Utara) dan KM262.5 (Arah Selatan) di Jajaran Terowong Menora/Meru.

    Di mana ujian berkenaan dijadualkan berlangsung pada hari ini (15 Jan) dari jam 11 malam hingga 3 pagi di KM258.25 (arah utara) menghala ke Pulau Pinang dan esok (16 Jan) juga pada waktu yang sama melibatkan laluan di KM262.5 (arah selatan) arah ke Ipoh.

    Bagi kelancaran ujian ini, PLUS juga akan melaksanakan penutupan lorong dan mengaktifkan laluan kontra di lokasi terlibat. Anda boleh rujuk grafik di atas.

    “Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS.

    Ujian kalibrasi kamera AWAS di Terowong Menora/Meru hingga esok – lorong tutup, aliran kontra

    Minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

    Laluan di Terowong Menora/Meru di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya KK-Karak, yang dianggap sebagai lokasi berisiko tinggi, akan menjadi lokasi pertama yang menerima kamera had kelajuan AWAS point-to-point ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Tahun lalu ikon budaya permotoran Jepun iaitu pelumba dan drifter lagenda Keiichi Tsuchiya dijemput untuk merasai sendiri barisan model-model prestasi tinggi Hyundai N termasuk hot-hatch EV sayap perlumbaan jenama automotif Korea Selatan itu, Hyundai Ioniq 5 N. Nampaknya Tsuchiya atau dikenali dengan gelaran ‘DK’ (Drift King) benar-benar berminat dengan model tersebut, dan kini kedua-dua pihak sudahpun bekerjasama untuk menghasilkan model istimewa – ini dia Hyundai Ioniq 5 N DK Edition!

    Model istimewa ini dibangunkan menerusi pelbagai siri ujian dan talaan oleh Tsuchiya sendiri, bagi menghasilkan sebuah Ioniq 5 N yang menampilkan karekterisitik pemanduan seperti yang digemarinya. Seperti biasa perkara yang paling dititik beratkan oleh Tsuchiya adalah suspensi, dan ini adalah talaan pertama yang dibuat untuk model istimewa berkenaan.

    Dalam ujian tersebut, Keiichi Tsuchiya mendapati tiada penyerap hentak boleh laras yang mampu menandingi kemampuan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik asal Ioniq 5 N ini. Namun ia masih lagi boleh ditambahbaik dengan menggantikan spring asal kepada spring H&R yang menjadikan badan hot-hatch EV ini 15 mm lebih rendah. Penukaran spring berkenaan bukan sahaja menjadi stance Ioniq 5 N DK Edition ini nampak lebih gagah, malah ia turut memberikan titik graviti lebih rendah bagi menghasilkan prestasi pengendalian menerusi kestabilan dan pergerakan olengan lebih baik.

    Talaan suspensi berkenaan dilengkapkan dengan set roda baharu – model ini masih menampilkan rim berdiameter 21-inci, tetapi ia dibina menggunakan material aloi forged dengan lebar 10j. Menurut Hyundai N, rim dengan rekaan lima-jejari berkembar ini secara keseluruhannya dapat mengurangkan sebanyak 10.6 kg berbanding set rim asal. Ia masih dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35R21.

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Keiichi Tsuchiya turut membuat tingkat taraf brek dengan menukar angkup hadapan dari empat omboh kepada enam omboh monoblok. Angkup baharu ini juga dibina dari material aloi super duralumin yang lebih ringan dan kuat, serta memberikan kawasan yang diapit pad brek 54% lebih besar. Kesemua pad brek Ioniq 5 N DK Edition ini menggunakan pad yang lebih berprestasi tinggi berbanding versi biasa.

    Kesemua komponen mekanikal tingkat taraf pada Ioniq 5 N instimewa ini datang dengan logo ‘DK Edition’ serta diberikan kemasan hijau, iaitu warna rasmi sut lumba Keiichi Tsuchiya sendiri. Dan satu lagi identiti Tsuchiya terhadap kereta-kereta sentuhannya iaitu penggunaan kit aero dari material karbon kering turut diterapkan pada Ioniq 5 N ini.

    Kit berkenaan terdiri dari splitter udara bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser udara belakang dan juga spoiler bumbung yang jauh lebih besar dari asal. Hyundai menyatakan kit aero ini memberikan tambahan downforce keseluruhan 93 kgf pada kelajuan 140 km/j, seterusnya memberikan kestabilan lebih baik pada kelajuan tinggi.

    Badan Hyundai Ioniq 5 N DK Edition ini diberikan warna putih dan hitam, bersama serlahan jalur hijau dan juga pelekat dengan grafik logo ‘DK Edition’. Ini memberikan imej seakan kereta harian Keiichi Tsuchiya yang dipandu setiap hari iaitu Toyota Sprinter Trueno AE86 ‘Touge Maou’.

    Tiada peningkatan kuasa diumumkan untuk model ini, menandakan ia masih sama seperti model standard. Ioniq 5 N menerima dua buah motor elektrik masing-masing pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan sistem AWD. Kedua-dua motor berkenaan dipadankan pada gandar pacuan berintegrasi (IDA) yang diinspirasikan dari jentera WRC sebenar, bagi memastikan ia tahan asakan dari motor elektrik berkuasa tinggi. Motor yang memacu gandar hadapan menghasilkan kuasa 226 PS, manakala motor pada gandar belakang pula berkuasa 385 PS.

    Secara keseluruhan, ia menghasilkan kuasa gabung 609 PS, dan meningkat kepada 650 PS bersama tork maksima 770 Nm apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan. Ini membolehkan Ioniq 5 N tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (3.5 saat jika NGB tidak digunakan), sebelum mencapai kelajuan maksima 260 km/j (Ioniq 5 biasa hanya mampu dipandu sehingga 185 km/j).

    Hyundai N turut memberikan fungsi N Drift Optimizer pada Ioniq 5 N. Menerusi fungsi ini, pemandu dapat melakukan aksi drift dengan lebih lama, malah turut boleh memulakan drift dengan teknik clutch kick seperti jentera enjin pembakaran dalaman pacuan roda belakang yang diberikan kotak gear manual menerusi fungsi Torque Kick Drift.

    Hyundai Ioniq 5 N DK Edition – EV prestasi tinggi dibangun bersama ikon JDM Keiichi Tsuchiya!

    Antara perincian menarik yang turut disertakan pada Ioniq 5 N ini termasuk sistem N Active Sound + dan juga N e-Shift, iaitu sistem yang akan memberikan bunyi seakan bunyi enjin sebenar dan rasa tukaran gear seperti kotak gear DCT.

    Bagi menghasilkan N Active Sound tersebut, Ioniq 5 N diberikan 10-pembesar suara (lapan dalam kabin dan dua lagi di luar) bagi memberikan tiga tema bunyi berbeza iaitu Ignition, Evolution dan Supersonic. Bagi bunyi Ignition, ia memberikan bunyi seakan enjin petrol 2.0 liter turbo pada model Hyundai N sebelum ini (i30 N, Kona N dan sebagainya), lengkap dengan dengan bunyi pop & bang.

    Hyundai menyatakan bahawa Ioniq 5 N DK Edition ini hanya akan dijual di pasaran Jepun dan Korea Selatan. Manakala butiran lain seperti harga dan sebagainya akan diumumkan sebelum pelancarannya tahun ini.

     
     
  • VIDEO: Takumi Fujiwara ‘hidup’ di alam nyata, bertarung dengan juara WRC Kalle Rovanperä

    VIDEO: Takumi Fujiwara ‘hidup’ di alam nyata, bertarung dengan juara WRC Kalle Rovanperä

    Dengan merangkul gelaran juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dua tahun berturut-turut, pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR-WRT) Kalle Rovanperä kini merupakan ‘anak emas’ untuk Toyota. Beliau bukan sahaja berlumba dalam disiplin rali, malah Toyota turut memberikan lampu hijau dan sokongan kepada Rovanperä untuk turut menyertai sukan drift.

    Dalam video terbaharu yang diterbitkan dan disiarkan oleh penaja utama Rovanperä iaitu Red Bull, pelumba muda yang baru berumur 24-tahun itu mempamerkan kebolehannya dalam disiplin drift dengan menawan 69-selekoh yang kebanyakkannya selekoh hairpin di Bukit Iwaki yang terletak di Wilayah Aomori, Tohoku, Jepun.

    Jentera yang digunakan oleh Rovanperä adalah GR Corolla binaan Cusco yang disumbat dengan enjin enam-silinder turbo 2JZ-GTE dengan kapasiti yang sudah dipertingkat sehingga 3.4 liter, menghasilkan kuasa sekitar 900 PS. Kereta berkenaan sebenarnya adalah kereta yang sama Rovanperä gunakan ketika memenangi pusingan kedua Formula Drift Japan 2023 di Litar Ebisu.

    Video ini turut menampilkan beberapa ikon JDM lain seperti pemilik dan pengasas jenama penala Liberty Walk iaitu Wataru Kato, dan juga pelumba dan drifter profesional lagenda Jepun Manabu ‘Max’ Orido yang memandu Toyota GR 86 Advan.

    Dan yang paling menarik perhatian, selepas Rovanperä tiba di puncak Bukit Iwaki tersebut muncul Toyota Sprinter Trueno GT-Apex AE86 dari ‘Kedai Tauhu Fujiwara’, dipandu oleh watak anime itu sendiri iaitu Fujiwara Takumi! Walaupun AE86 tersebut dalam bentuk sebenar, kehadiran Takumi di dalam kabin masih lagi dalam bentuk lukisan manga.

    Apa yang dibuat oleh Kalle Rovanperä dan Fujiwara Takumi selepas itu? Anda saksikanlah video berkenaan sendiri yang telah kami sediakan di atas.

     
     
  • Honda M’sia anjur promosi sempena CNY – diskaun hingga RM8k, setahun servis percuma untuk City

    Perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) bakal disambut dalam dua minggu lagi dan pastinya ada di antara anda yang merancang untuk membeli kenderaan baharu. Inilah masa yang paling tepat untuk buat keputusan kerana pasti ada syarikat pengeluar yang menganjurkan promosi jualan dengan menawarkan penjimatan yang memuaskan.

    Ini termasuklah Honda Malaysia yang memang tidak lekang membuat pelbagai kempen promosi, dan untuk bulan Januari 2025, sempena dengan CNY, anda berpeluang mendapat diskaun sehingga RM8,000 untuk mendapatkan kereta idaman anda, sama ada buatan tahun 2024 atau pun yang terkini 2025. Semua model CKD terlibat dengan promosi ini, kecuali Civic facelift yang baru dilancarkan minggu lalu.

    Kita bermula dengan stok 2024… apa yang ada. City Sedan dengan varian S, V SE dan RS hybrid ditawarkan dengan potongan sehingga RM6,000, namun paling menarik E diberikan diskaun sebanyak RM8,000! Manakala untuk City Hatchback pula diberikan diskaun sehingga RM6,000 untuk semua varian. Bagi WR-V pula, ia menerima potongan antara RM5,000 (S) hingga RM8,000 (S,V, RS).

    Klik untuk besarkan

    Untuk HR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM5,000 untuk varian asas S janaan-NA dan model bawah pengecas turbo E, sementara RS hybrid pula dengan diskaun mencecah RM6,000. Manakala bagi CR-V pula, diskaun sebanyak RM6,000 diberikan untuk varian asas (S) dan model spesifikasi tertinggi (RS hybrid), bagi varian E dan V, diskaun sebanyak RM8,000 diberikan.

    Jika anda inginkan model buatan tahun 2025, diskaun sebanyak RM1,000 diberikan untuk semua varian City Hatchback, WR-V, HR-V dan CR-V. Manakala City sedan didatangkan dengan rebat RM2,000 untuk semua varian, kecuali versi petrol RS yang diberikan diskaun sebanyak RM3,000.

    Sebagai tambahan kepada rebat tunai, mereka yang mendaftar City atau City Hatchback dari sekarang hingga 28 Februari akan mendapat bonus servis percuma selama setahun.

     
     
  • Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT kini di Malaysia – RM92,200, 1.9L Turbodiesel, 6MT, badan Double-Cab

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT kini di Malaysia – RM92,200, 1.9L Turbodiesel, 6MT, badan Double-Cab

    Isuzu Malaysia hari ini membuka tempahan bagi model paling mampu milik untuk trak pikap Isuzu D-Max facelift iaitu varian Low-Ride 4×2 MT. Varian lebih rendah, pacuan roda belakang serta kotak gear manual yang disasarkan untuk kegunaan kerja dan perniagaan ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM92,199 di Semenanjung Malaysia, RM94,280 di Sabah dan RM94,170 di Sarawak.

    Jadi varian ini adalah hampir RM7,000 lebih murah berbanding varian paling murah sebelum ini iaitu D-Max 1.9L Single Cab 4×4 MT yang dijual pada harga RM98,949. Malah dengan badan Double-Cab, varian baharu ini juga boleh membawa lebih ramai penumpang.

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 ini masih digerakkan dengan enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm yang telah mencatatkan rekod dalam Malaysian Book of Record kerana berjaya bergerak sejauh 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76-liter. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual bagi menghantar kuasa sepenuhnya ke gandar belakang.

    Antara perincian yang diberikan termasuk tempat duduk fabrik, radio 1-DIN, stereng larasan atas-bawah dan teleskopik, sistem kunci sentral dan juga cermin sisi larasan elektronik. Menerusi jarak kelegaan tanah hanya 78 cm, Isuzu menyatakan bahawa ia dapat memudahkan barang dinaikkan pada ruang bed belakang.

    Manakala untuk keselamatan, D-Max Low-Ride 4X2 ini dilengkapi dengan dua beg udara, Brake Override System (BOS), Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan, lampu Follow-Me Home dan penderia undur – menurut Isuzu Malaysia, sistem keselamatan asas ini sudah cukup membolehkan D-Max menerima penarafan lima-bintang ASEAN NCAP.

    Model ini hanya ditawarkan dengan hanya satu pilihan warna badan iaitu Splash White. Ia turut diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km. Penghantaran pertama untuk pelanggan terawal menempah trak pikap ini akan bermula bulan hadapan.

     
     
  • Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Sedan EV yang dibangunkan dan telah dilancarkan di China November tahun lalu iaitu Mazda EZ-6 telah disahkan bakal dipasarkan di Eropah pada musim panas 2025. Di benua berkenaan, model ini akan dinamakan semula sebagai Mazda 6e (sebagai penerus model Mazda 6 sebelum ini) dan bakal ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa iaitu Mazda 6e dan Mazda 6e Long Range.

    Bagi model asas Mazda 6e, ia dilengkapi dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 68.8-kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 479 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Model ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 258 PS dan tork 320 Nm yang memacu roda belakang, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

    Ia boleh menerima sistem cas pantas DC sehingga 200 kW, membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 22 minit, manakala jarak gerak sejauh 235 km dapat dicapai dengan cas hanya selama 15 minit.

    Manakala bagi Mazda 6e Long Range, ia menerima bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 80-kWj yang, memberikan jarak gerak sejauh 552 km. Jarak yang lebih jauh ini bukan hanya disumbang oleh bateri lebih besar, malah kuasa yang dihasilkan pada motor elektrik juga lebih rendah iaitu 245 PS dan tork 320 Nm. Kelajuan maksima masih sama pada 175 km/j, tetapi pecutan 0-100 km/j adalah sedikit lambat iaitu 7.8 saat.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Walau bagaimanapun kapasiti mengecas untuk sistem DC pada Mazda 6e LR ini adalah lebih rendah iaiitu 95 kW, di mana cas 10%-80% dapat dipenuhkan dalam masa 45 minit. Di China, varian Long Range ini tidak ditawarkan, sebaliknya ia diganti dengan model yang menerima bateri LFP 56.1-kWj.

    Kedua-dua varian ini diberikan sistem mengecas AC dengan kapasiti yang sama iaitu 11 kW, di mana kadar cas 10%-80& dapat dipenuhkan dalam masa lapan jam untuk Mazda 6e atau 9.5 jam untuk varian Mazda 6e Long Range.

    Tidak ada perubahan rupa untuk Mazda EZ-6 pasaran China dan Mazda 6e pasaran Eropah. Ia menampilkan gril hadapan dengan logo yang bernyala, bersama bar lampu belakang yang akan menampilkan denyutan bagi memberikan isyarat berkenaan status kadar cas bateri.

    Ia juga datang dengan spoiler belakang aktif yang akan naik secara automatik pada kelajuan 90 km/j serta boleh dioperasikan secara manual. Lapan warna badan ditawarkan termasuk Melting Cooper dan Aero Grey, manakala untuk roda ia dilengkapi dengan rim 19-inci.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Selain itu sedan ini turut diberikan bumbung panaromik, lampu suasana kabin 64-warna, upholsteri kulit sintetik sama ada dalam warna Warm Beige atau Hitam (kulit Nappa Tan bersama sued ditawarkan secara opsyen), paparan head-up AR, paparan instrumen digital dengan skrin 10.2-inci, skrin sesentuh utama 14.6-inci, skrin sesentuh kabin belakang dan juga sistem bunyi SonyPRO 14-pembesar suara.

    Ia turut diberikan fungsi kawalan gestur tangan serta kunci Bluetooth yang membolehkan pemandu menggunakan telefon pintar untuk mengunci dan menghidupkan kereta yang boleh dikongsi sehingga tiga orang. Mazda 6e ini juga dibekalkan dengan enam mod pintar iaitu Leaving Mode, Rest Mode, Relax Mode, Car Wash Mode, Private Call Mode dan Fresh Air Mode bagi melaras beberapa fungsi dengan hanya satu arahan.

    Model ini juga dijangka akan merangkul penarafan lima-bintang dalam ujian penilaian Euro NCAP dengan dilengkapi sistem bantuan pemanduan seperti pengekal lorong kecemasan, amaran pelanggaran hadapan dan belakang, brek kecemasan automatik dan pelbagai lagi. Fungsi-fungsi ini disokong oleh pelbagai kamera, radar-radar gelombang-milimeter dan ultrasonic.

    Mazda 6e 2025 EV dibangun di China sah ke pasaran Eropah, UK; ada versi RHD, mungkin masuk Malaysia?

    Selain dari Eropah, Mazda 6e juga akan dijual di United Kingdom pada separa pertama 2026, bermaksud model ini turut bakal dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan.

    Mazda 6e/EZ-6 ini merupakan model yang dibangunkan oleh Mazda bersama pengeluar automotif China iaitu Changan. Ia menggunakan platform EPA Hybrid yang sama dengan sedan EV Deepal L07, iaitu jenama di bawah Changan. Apa yang menarik, pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz Auto telah pun mewujudkan subsidiari Bermaz Changan dan dianugerahkan hak pengedaran jenama Deepal di Malaysia pada November tahun lalu.

    Menerusi kerjasama itu, Bermaz Changan dijangka bakal melancarkan Deepal S05 dan S07 di Malaysia pada pertengahan 2025. Dan dengan pengenalan Mazda 6e versi RHD di UK tahun depan, mungkin model ini turut akan dibawa oleh Bermaz ke Malaysia bagi menggantikan Mazda 6 generasi sedia ada yang kini berada dipenghujung produksinya?

     
     
  • Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022, Yamaha R15M kini ditawarkan dalam warna baru untuk model keluaran tahun 2025. Harga yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) masih lagi sama, iaitu RM14,998 tidak termasuk insurans.

    Warna baru ini dipanggil sebagai Signature Black, dan ia menggunakan tangki berwarna perak sementara fairing hadapan dan panel tempat duduk belakang berwarna hitam. Sebagai kontras, rim aluminium dijadikan warna biru dan dipegang fork hadapan warna emas.

    Spesifikasi motosikal sport permulaan ini tidak berubah, bermula dengan enjinnya yang merupakan unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Yamaha R15M di Malaysia dapat warna baru – RM15k

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.

     
     
  • Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – cruiser RM30k

    Voge CU525 masuk pasaran Malaysia – cruiser RM30k

    Selepas kapcai FR150, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan satu lagi model daripada jenama Voge, dan kali ini adalah sebuah cruiser yang membawa nama CU525. Ia dijual pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu hitam, biru dan hijau.

    CU525 dipacu oleh enjin dua silinder selari 494 cc dengan sistem penyejukan cecair dan DOHC, menghasilkan kuasa maksimum 53 hp pada 8,500 rpm dan tork 50.5 Nm pada 7,000 rpm untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem pacuan tali sawat.

    Datang dengan rim aluminium 16 inci di hadapan dan belakang, CU525 nampak seakan sebuah bobber dengan tayar hadapan setebal 130/90 di hadapan, sementara di belakang pula menggunakan tayar 150/80. Ia masing-masing dipegang oleh fork USD (tanpa pelarasan) dan dua penyerap hentak.

    Menjalankan tugas penghentian adalah brek cakera tunggal dengan angkup J.Juan di hadapan dan belakang, bersama dengan sistem ABS dual-channel dan sistem keselamatan turut dibantu lagi dengan kawalan cengkaman. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 178 kg.

    Turut disediakan pada CU525 adalah lampu LED, panel meter digital, tangki bahan api 15 liter, lencana tepi yang menyala serta dua peredam bunyi yang keluar di bahagian kanan motosikal.

     
     
  • Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Kerajaan Malaysia berharap agar usaha subsidi bersasar yang dijalankan akan membawa kepada lebih ramai warga Malaysia kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui, jelas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, lapor FMT.

    Sebelum pelaksanaan subsidi bersasar, pengguna awam banyak bergantung kepada bahan api petrol dan diesel kerana ia murah. Namun, kerajaan ingin mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar fosil melalui pilihan terhadap tenaga boleh diperbaharui yang lebih “menarik”, tambah beliau.

    Nik Nazmi juga menyatakan yang beliau berharap penghapusan subsidi bagi petrol RON 97 dan diesel akan menjuruskan lebih ramai warga Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik sebagai cara untuk menguruskan kos harga bahan api yang tinggi. Peralihan ini juga akan membantu di dalam usaha nyah-karbonisasi oleh negara untuk, ujarnya.

    “Dengan tidak lagi memberikan susbisidi untuk bahan api fosil, kita boleh saksikan perubahan itu sedang berlangsung ketika ini,” tambahnya. Ada juga laporan yang dipetik, yang menyatakan sumber dari kajian peringkat global mendapati bahawa kos tenaga boleh diperbaharui adalah lebih murah berbanding bahan api fosil di rantau Asia Pasifik, sementara tenaga solar juga antara sumber tenaga yang paling murah berhadapan dengan bahan api fosil yang semakin mahal.

    Subsidi bersasar petrol, diesel diharap alih lebih ramai kepada tenaga boleh diperbaharui — Nik Nazmi

    Usaha subsidi bersasar ini bukanlah satu keputusan yang mudah dari segi kesan politiknya, jelas Nik Nazmi yang juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Nyah-karbonisasi Kebangsaan. Kerajaan juga menyedari bahawa usaha subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang dijangka akan dilaksanakan tahun ini akan membawa kesan berbeza dan lebih besar serta merupakan isu yang sensitif.

    “Dengannya, kerajaan mungkin hilang kuasa, sementara kerajaan berikutnya mungkin menyatakan yang usaha berkenaan tidak berbaloi dilakukan,” jelas Nik Nazmi. “Bagaimanapun, langkah ini perlu dan bagus untuk perbendaharaan negara ketika ini. Ia juga penting untuk alam sekitar, dan saya fikir ini satu peralihan yang betul dan perlu dilakukan,” jelasnya.

    Minggu lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan yang kriteria kelayakan penerima subisidi serta kaedahnya akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi. Ini akan mengalihkan kriteria yang disebut sebelum ini, dari berasaskan demografik pendapatan dalam klasifikasi B40, M40 dan T2, kepada yang berasaskan pendapatan bersih boleh dibelanjakan.

     
     
  • Lotus Cars Malaysia berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit Emira pada tahun 2024

    Lotus Cars Malaysia berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit Emira pada tahun 2024

    Ternyata pasaran jentera mewah dan premium di Malaysia tidak lesu, malah kekal ‘padu’, buktinya Lotus Cars Malaysia (LCM) berjaya menjual lebih 200 unit SUV EV Eletre dan 20 unit kereta sport Emira pada tahun 2024.

    Merujuk kepada data pendaftaran kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejumlah 214 unit Eletre telah didaftarkan pada 2024, manakala 20 unit untuk Emira. Manakala Emeya, yang dilancarkan pada bulan Ogos lalu bersama Emira Turbo (dinamakan semula daripada Emira i4), mencatatkan lapan pendaftaran.

    Sebagai perbandingan, data JPJ menunjukkan hanya sembilan unit Eletre telah didaftarkan pada 2023, manakala Emira mencatatkan 20 pendaftaran. Oleh itu, pendaftaran Eletre meningkat lebih 20 kali ganda pada tahun pertama jualan kenderaan elektrik (EV) itu selepas pelancarannya pada April 2023.

    Untuk Eletre, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM698,000 bagi model Eletre S, atau RM50,000 lebih mahal berbanding sebelum ini. Manakala untuk varian tertinggi Eletre R, ia kini RM40,000 lebih mahal dengan harga jualan RM838,000.

    Untuk Emira, ia masih lagi ditawarkan dalam versi First Edition. Di Semenanjung Malaysia, Emira V6 First Edition dengan kotak gear manual kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM1.289 juta berbanding RM1,205,800 sebelum ini. Manakala versi automatik pula adalah RM1.309 juta berbanding RM1,225,800 sebelum ini. Walau bagaiaman pun, di Langkawi, Emira V6 manual dijual pada harga bermula RM529,000 (naik dari RM478,800) dan versi automatik pula dijual pada harga RM539,000, berbanding RM493,800 sebelum ini.

     
     
  • ChargEV akan buka hab pengecas trak elektrik pertama di Tangkak – juga boleh digunakan EV biasa

    ChargEV akan buka hab pengecas trak elektrik pertama di Tangkak – juga boleh digunakan EV biasa

    ChargEV mengumumkan tidak lama lagi akan melancarkan hab pengecas trak elektrik (e-truck) yang terletak berhampiran Lebuh Raya Utara Selatan, di Tangkak. Menurut pengendali pusat mengecas (CPO) tersebut, kemudahan baru ini menandakan langkah penting dalam memajukan elektrifikasi kenderaan komersial, dan merupakan aspek penting dalam pengangkutan mampan.

    Sebelum hab tersebut dibuka secara rasmi, menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dibawa melawatnya terlebih dahulu. “Sementara ini cuma pra tonton awal, semangat dan keterujaan yang dikongsi semua orang di tapak ini menunjukkan peningkatan momentum untuk perjalanan mampan. Hab ini disiapkan untuk menjadi bahagian penting dalam rangkaian EV sepanjang lebuh raya PLUS, direka untuk memberi sokongan kepada perjalanan yang lancar dan boleh diharap,” tertulis dalam muatan syarikat tersebut di media sosial.

    Selain trak elektrik, pemilik kenderaan elektrik biasa juga boleh menggunakan stesen pengecas tersebut (nampak di dalam gambar seperti ada lapan unit) untuk menambah tahap bateri mereka. Ini diketahui melalui jawapan yang diberi oleh syarikat tersebut terhadap soalan yang berkaitan dengan perkara itu.

     
     
  • GWM Tank 500 akan dilancar di M’sia tahun ini, jangka versi 2.0T hibrid — Haval H9 juga ada kemungkinan

    GWM Tank 500 akan dilancar di M’sia tahun ini, jangka versi 2.0T hibrid — Haval H9 juga ada kemungkinan

    Wakil dari Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah mengesahkan kepada paultan.org bahawa model SUV GWM Tank 500 — yang dipertontonkan ketika Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 — akan dilancarkan di sini pada tahun ini. SUV tujuh-tempat duduk binaan body-on-frame ini mungkin akan ditawarkan dalam bentuk HEV (bukan plug-in) sebagai permulaan.

    Versi ini menggunakan tetapan enjin 2.0 liter turbo cas empat-silinder yang menjana 244 PS/380 Nm yang digandingkan bersama sebuah motor elektrik 106 PS/268 Nm serta transmisi automatik hidraulik (HAT) sembilan-kelajuan untuk menghasilkan output keseluruhan 350 PS dan 616 Nm.

    Turut tersedia adalah pacuan empat roda differential-lock di depan dan belakang, gear 4L serta kamera 360-darjah termasuk Body Transparent System yang membolehkan anda melihat bahagian bawah kenderaan ketika ia melalui permukaan mencabar. Ada juga pemijak tersorok, paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci.

    Untuk pasaran global, Tank 500 turut ditawarkan dalam versi petrol bukan hibrid dengan enjin 3.0 liter NA V6 355 PS/500 Nm, enjin diesel 2.4 liter turbodiesel 186 PS/480 Nm serta dua versi sistem janaan plug-in hybrid (PHEV), yang dikenali sebagai Hi4-T dan Hi4-Z.

    Selain Tank 500, Haval H9 generasi kedua juga ada ura-ura akan tiba di Malaysia, memandangkan model asal sebelumnya pernah dipertontonkan di sini (dan mungkin pernah dijual dalam angka yang kecil). Jika ia tiba, mungkin bukan dalam masa terdekat kerana ia sedang melalui pembangunan untuk versi pemanduan sebelah kanan.

    GWM Tank 500 di KLIMS 2024

     
     
  • Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Kelibat SUV Jaecoo J7 makin banyak kelihatan di jalan raya. Ternyata, jualan SUV ini ‘boleh tahan masyuk’ juga, membuktikan ia menerima sambutan menggalakkan di pasaran tempatan. Jaecoo Malaysia sediri melaporkan jualan bagi SUV J7 telah mencecah 7,041 unit dalam tempoh lima bulan selepas ia dilancarkan pada Julai 2024. Dianggarkan sekitar 1,400 unit sebulan, angka yang agak tinggi bagi ‘pendatang baharu’ sepertinya dalam segmen SUV-C.

    Jaecoo Malaysia mengaitkan pencapaian itu dengan pelaburan dalam rangkaian pengedaran yang luas, gudang dan aset pengeluaran. Syarikat itu baru-baru ini telah mengiktiraf 12 pengedar berprestasi tinggi menerusi penganjuran majlis anugerah pengedarnya yang pertama.

    “Kami menghargai pelanggan kami atas kepercayaan mereka terhadap jenama Jaecoo dan kami akan tetap berdedikasi untuk memenuhi janji jenama kami dengan kenderaan terbaik dalam kelasnya dan pengalaman pemilikan premium.

    “Anugerah tersebut mengiktiraf rangkaian pengedar kami yang memainkan peranan penting dalam pencapaian keseluruhan jenama. Kami akan terus mengembangkan rangkaian pengedar kami, sejajar dengan cita-cita kami untuk memberikan pengalaman pelanggan terbaik,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Jaecoo Malaysia jual 7,041 unit SUV J7 dalam lima bulan – versi PHEV CKD dilancar pada Feb 2025

    Dalam majlis berkenaan, Auto Galaksi selaku wakil pengedar berpusat di Johor telah diberikan anugerah untuk jualan tertinggi. Wakil pengedar lain yang turut menerima pengiktirafan yang sama ialah Gagner Auto, ES Premium Holdings, Luxury Legend, Siang Hin (KL), Apple Autotech, Kluster Automobile, Carshen, AAW Nexus, BH Premium Auto, Indah Utara Enterprise dan Tropical Impact Auto.

    Jaecoo Malaysia berkata ia akan memperluaskan penilaiannya untuk memasukkan skor Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI) dan Indeks Kepuasan Jualan (SSI), antara kriteria lain pada tahun ini.

    Produk kedua syarikat ini, Omoda C9 dilancarkan pada Disember 2024, dan akan datang, model J7 PHEV yang dijadualkan akan diperkenalkan pada bulan hadapan. Sama seperti J7 yang dijana petrol, model plug-in hybrid ini akan hadir dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang diproduksi di kilang Chery di Shah Alam. Harganya dijangna bermula RM170k – perincian penuh di sini.

     
     
  • Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

    Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

    Mazda Spirit Racing iaitu sayap prestasi baharu jenama automotif dari Hiroshima bagi menggantikan Mazdaspeed sebelum ini sudahpun memperkenalkan model produksi prestasi terbaharunya – ini dia Mazda Spirit Racing Roadster 12R yang muncul di Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu.

    Roadster (atau dikenali dengan nama MX-5 atau Miata bergantung pada pasaran) istimewa ini menampilkan pelbagai tingkat taraf kosmetik, pengendalian dan juga kuasa, tetapi hanya ditawarkan sebanyak 200 unit sahaja. Ia diasaskan dari model Roadster dengan bumbung fabrik yang lazimnya hanya diberikan enjin 1.5 liter NA berkuasa 136 PS/152 Nm untuk pasaran JDM. Namun model 12R ini menerima enjin 2.0 liter empat-silinder NA, di mana ia sepatutnya hanya ditawarkan pada model Roadster RF (bumbung keras) di Jepun.

    Enjin berkenaan kemudiannya diberikan lagi pelbagai tingkat taraf termasuk penggunaan kepala selinder, omboh dan aci sesondol yang berbeza, serta sistem ekzos dan penyejukan lebih baik. Ini membolehkan kuasa asal 184 PS/205 Nm pada enjin berkenaan melonjak kepada 200 PS. Model edisi terhad ini juga hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi menghantar kuasa ke roda belakang.

    Untuk pengendalian, Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini diberikan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Ia juga datang standard dengan dengan rim aloi forged Rays TE37 yang dibalut tayar Yokohama Advan Neova AD09. Di belakang set roda tersebut boleh dilihat ia menerima set brek Brembo dengan angkup empat-omboh berwarna merah di depan.

    Pada bahagian luaran Roadster dengan prestasi lebih agresif ini menerima pakej aerodinamik yang direka berdasarkan pengetahuan Mazda Spirit Racing dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance. Ia terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang. Ia juga menerima pelekat badan istimewa dan hanya hadir dengan warna badan Aero Gray.

    Manakala pada sebelah dalam kabin, Roadster ini diberikan tempat duduk bucket dari Recaro lengkap dengan tali pinggang perlumbaan empat poin. Ia juga menerima balutan Alcantara pada papan pemuka, konsol tengah, panel pintu, tombol gear, tuil brek tangan dan juga roda stereng.

    Jika anda tidak berjaya untuk membeli Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini, Mazda turut menawarkan model Mazda Spirit Racing Roadster biasa yang tidak dihasilkan dalam jumlah terhad. Sekali imbas model ini masih kelihatan sama dengan kit aero, rim Rays TE37, brek Brembo dan tempat duduk Recaro yang serupa, tetapi enjin 2.0 liter yang dibekalkan hanya menghasilkan kuasa 184 PS dan tidak diberikan tali pinggang perlumbaan.

    Selain itu Mazda turut melancarkan pelbagai komponen prestasi dan aksesori Spirit Racing yang boleh dibeli oleh pemilik Roadster sedia ada, antaranya termasuk peredam bunyi sports, set bushing yang diperkuat, bump stops suspensi lebih pendek, cakera brek ditebuk dengan pad brek sports, tali pinggang perlumbaan dan juga tayar Yokohama Advan Neova AD09.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025