Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PLUS uji laluan Smartlane di KM P3.0- KM P4.0 di Lingkaran Putrajaya hingga 1 Feb, 7 pagi-9 pagi

    PLUS uji laluan Smartlane di KM P3.0- KM P4.0 di Lingkaran Putrajaya hingga 1 Feb, 7 pagi-9 pagi

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan ujian rintis pengaktifan laluan Smartlane di lingkaran Putrajaya, Lebuhraya ELITE dari KM P3.0 sehingga KM P4.0 (menghala ke Putrajaya).

    Ujian rintis berkenaan bermula hari ini (14 Januari) sehingga 1 Februari 2025, untuk setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 7 pagi hingga 9 pagi.

    Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.​ Walau bagaimana pun, laluan Smartlane adalah untuk kenderaan ringan sahaja iaitu kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian seperti kereta, SUV dan MPV) dan motosikal, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR) sebelum ini.

    Ini bermakna, kenderaan yang lebih besar dan berat termasuk trak, lori dan bas tidak dibenar menggunakan laluan Smartlane ini. Harap peringatan yang dikeluarkan oleh KKR ini tidak diambil ringan oleh semua pengguna jalan raya. Sila patuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dan terus amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Toyota Yaris M Concept – GR Yaris dengan enjin 2.0L Turbo di tengah; ini prototaip MR2 generasi baru?

    Toyota Yaris M Concept – GR Yaris dengan enjin 2.0L Turbo di tengah; ini prototaip MR2 generasi baru?

    Seperti biasa, Toyota antara pengeluar yang membuat penampilan paling gempak di Tokyo Auto Salon 2025 yang berlangsung hujung minggu lalu. Dan antara jentera yang membuat orang ternganga dipamerkan di reruai Toyota adalah ini – sebuah prototaip dikenali sebagai Toyota Yaris M Concept iaitu sebuah GR Yaris dengan enjin yang telah dialihkan ke bahagian tengah badan!

    Pada sebelah luar, Yaris M Concept ini masih lagi kelihatan sama GR Yaris biasa dan ia diberikan pelekat badan penyamaran Gazoo Racing dengan warna merah-putih-hitam, serta tampil dengan sayap belakang ‘leher angsa’ yang seiras dengan spoiler GRMN Yaris.

    Tetapi apa yang menggerunkan, penutup but belakang mempunyai lubang yang besar yang mendedahkan bukan sahaja enjin, malah pengecas turbo bersaiz besar kelihatan jelas. Tidak cukup dengan itu, sebahagian bampar belakang juga telah dipotong bagi menempatkan sistem ekzos dengan paip dan peredam bunyi bersaiz gergasi.

    Selain itu Yaris ini juga dilengkapi set tayar perlumbaan yang cukup lebar terutamanya pada bahagian belakang. Tetapan sebegini sememangnya lazim untuk sebuah kereta dengan enjin di tengah kerana tujuan utama enjin dialihkan adalah bagi memberikan cengkaman lebih baik pada roda belakang.

    Difahamkan bukan hanya kedudukan enjin yang diubah, malah enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo asal GR Yaris ini juga telah ditukar dengan enjin baharu 2.0 liter empat-silinder turbo digelar sebagai G20E, mungkin enjin generasi baharu yang sama Toyota dedahkan tahun lalu. Manakala kuasa dari enjin tersebut masih dialirkan ke empat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR Four.

    Ini bukan jentera prototaip untuk show-off semata-mata kerana Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan ia akan dibawa berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun selepas ini. Jadi tidak hairanlah mengapa bahagian dalaman Yaris M-Concept dilengkapi dengan set rollcage lengkap.

    Menerusi perlumbaan tersebut, pasukan TGR akan mengimplementasikan pembangunan kereta dengan kaedah “driver-first”, di mana kereta tersebut akan dipandu secara berterusan dalam keadaan ekstrem sehingga rosak, dan akan diperbaiki semula untuk mengatasi kelemahannya, serta mengambil respon dan data dari pemandu-pemandu profesional termasuk pengerusi Toyota sendiri, Akio Toyoda atau nama samaran ketika berlumbanya iaitu Morizo.

    Dengan gaya pembangunan yang sedang dibuat ini, tidak mustahil Toyota sebenarnya sedang membangunkan kereta sport enjin tengah iaitu MR2 generasi baharu yang berselindung disebalik badan GR Yaris menerusi Yaris M Concept ini. Pelbagai khabar angin yang bertiup sebelum ini menyatakan bahawa Akio Toyoda memang sangat berminat untuk memperkenalkan semula MR2 ke pasaran selepas produksi GR Supra dihentikan tahun ini.

     
     
  • TOM’S tawar servis restorasi kerangka badan Toyota AE86 serta enjin 4A-GE, 3S-G dan 2JZ; ada waranti!

    TOM’S tawar servis restorasi kerangka badan Toyota AE86 serta enjin 4A-GE, 3S-G dan 2JZ; ada waranti!

    Kegilaan terhadap jentera-jentera klasik JDM bukan hanya menyebabkan harga kereta-kereta sedemikian naik mendadak, ia juga telah menyebabkan perkhidmatan restorasi model-model seperti itu juga semakin mendapat tempat. Untuk model lagenda Toyota Corolla Levin/Sprinter Trueno AE86 di Jepun, selain dari pihak Gazoo Racing yang menghasilkan semula pelbagai komponen alat gantinya menerusi program Heritage Parts, pemilik turut boleh menghantar kerangka badan kereta masing-masing ke TOM’S bagi dijalankan proses menjadikan ia seperti baharu keluar kilang.

    Bagi mereka yang tidak mengenali TOM’S (Tachi Oiwa Motor Sports), syarikat ini merupakan penala persendirian yang ditubuhkan di Jepun oleh Nobuhide Tachi dan Kiyoshi Oiwa pada tahun 1974. Ia kemudiannya dilantik sebagai salah satu badan perlumbaan dan penala rasmi Toyota bagi menghasilkan pelbagai produk berpretasi tinggi, serta menghasilkan model-model talaan khasnya seperti T020 (diasaskan dari Toyota MR-2) dan T111 (dari Toyota Corolla Sprinter Trueno AE111) serta kereta lumba seperti jentera ikonik Castrol TOM’S Supra yang berlumba di JGTC.

    Perkhidmatan terbaharu yang ditawarkan oleh TOM’S ini diumumkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu dengan sebuah kerangkan AE86 yang telah disegarkan ditunjuk direruai pakar ubahsuai Toyota berkenaan.

    “TOM’S, yang tahu berkenaan kereta-kereta Toyota luar dan dalam akan menghasilkan semula kondisi kereta tersebut sehampir yang boleh seperti keadaan asli ketika ia dilancarkan buat pertama kali. Tambahan pula, TOM’S dengan reputasi yang telah dikenali untuk pengubahsuaian, akan melakukan keseluruhan proses bagi menambah sentuhan moden, membolehkan anda melengkapkan kereta berkenaan menjadi sebuah jentera yang unik,” kata syarikat itu.

    Selain itu, TOM’S turut mengumumkan bahawa ia kini turut menawarkan servis untuk merestorasi tiga enjin prestasi tinggi Toyota yang selalu digunakan dalam sukan permotoran iaitu enjin 1.6 liter 4A-GE, enjin 2.0 liter 3S-G dan juga enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris 2JZ.

    Menurut TOM’S menerusi servis ini, enjin yang dihantar pelanggan akan dirombak-rawat oleh mekanik enjin perlumbaan berpengalaman TOM’S, dan ia akan diubahsuai, diimbang semula serta diadaptasi dengan pelbagai teknologi terkini. Enjin-enjin tersebut akan ditala agar seronok dipandu di litar tetapi dalam masa yang sama mudah untuk digunakan seharian di atas jalan raya. Dan paling menarik, TOM’S menyatakan bahawa enjin-enjin yang dibina semula ini akan diberikan perlindungan waranti dan ia mematuhi undang-undang.

     
     
  • Peugeot 2008 diberi rebat RM21,500, kini RM111,888

    Peugeot 2008 diberi rebat RM21,500, kini RM111,888

    Peugeot Malaysia mengumumkan rebat istimewa sebanyak RM21,500 untuk Peugeot 2008, menjadikan harga SUV segmen B tersebut berkurang menjadi RM111,888, daripada RM133,388. Harga ini termasuk dengan jaminan menyeluruh selama tujuh tahun, dan anda boleh menambah program servis lima tahun (upah dan alat ganti) yang berharga RM10,000.

    Membawa gaya seperti 3008 yang lebih besar, 2008 ini dipacu oleh enjin 1.2 liter PureTech turbo, yang menghasilkan 130 PS dan tork 230 Nm. Enjin tiga silinder ini dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan, membolehkan ia mencapai laju maksimum 199 km/j dan penggunaan bahan api 4.5 l/100 km.

    Lebih menarik adalah gayanya, di mana antara konsep rekaan unik yang digunakan adalah seperti lampu depan dan belakang dengan pencahayaan seakan cakar singa, permukaan berbucu-bucu dan bahagian dalam dengan i-Cockpit, yang terdiri daripada papan pemuka bertingkat serta skrin sesentuh tujuh inci yang disengetkan ke arah pemandu. Turut disediakan adalah pakej bantuan dan keselamatan ADAS.

     
     
  • Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Sudah menjadi satu tradisi sejak model GC8 terakhir, setiap varian muka Subaru Impreza WRX STI atau WRX STI akan ‘ditutup’ dengan varian edisi terhad paling berkuasa siri ‘S’, bermula dengan Impreza WRX STI S201 pada tahun 2000. Model terakhir siri ini iaitu Subaru WRX STI S209 diperkenalkan pada 2019, dan agak mustahil untuk Subaru menawarkan versi siri S baharu kerana model generasi terkini WRX yang muncul pada 2022 tidak dihasilkan dalam versi STI.

    Walau bagaimanapun ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu, Subaru membuat kejutan dengan memperkenalkan model penerus siri tersebut iaitu S210. Ia masih lagi dalam bentuk prototaip, tetapi versi produksinya nanti akan tampil dalam rupa yang sama.

    Dengan ketiadaan versi STI sebenar, Subaru Technica International menghasilkan model ini berasaskan model WRX S4 STI Sport R EX. Menurut badan penala rasmi tersebut, Subaru WRX S210 ini dihasilkan menerusi teknologi dan pengetahuan yang mereka perolehi dalam perlumbaan endurance Nurburgring 24-jam, dan ia hanya ditawarkan sebanyak 500 unit sahaja.

    Enjin asal FA24 2.4 liter empat-silinder boxer turbo pada perut WRX S4 tersebut diusik semula oleh STI dengan pemadanan penapis udara, pengalir udara kemasukan dan pengalir udara sebelum pengecas turbo yang baru dibangunkan. Ia turut digandingkan dengan sistem ekzos baharu dengan peredam bunyi back pressure lebih rendah bersama paip yang lebih besar dengan kebuk berbentuk meriam didakwa dapat merendahkan rintangan pada udara kemasukan dan gas ekzos.

    Dengan tetapan baharu ini, STI turut menala semula kotak komputer enjin berkenaan bagi mendapatkan respon tork yang lebih linear ketika memecut bagi memberikan pemandu yakin untuk memijak pedal pendikit dalam apa jua situasi, serta sasaran kuasa kuda lebih besar iaitu 300 hp berbanding kuasa asal 271 hp.

    Namun model paling berkuasa ini tidak ditawarkan dengan kotak gear manual di mana ia hanya menampilkan pilihan kotak gear Subaru Performance Transmission, secara tidak langsung menjadikan S210 ini sebagai model siri S pertama yang menerima kotak gear CVT automatik itu.

    STI turut menala semula kotak gear berkenaan dengan TCU unik bagi menyesuaikan ia dengan kuasa lebih tinggi serta memberikan karekter lebih sporty bagi memberikan kawalan lebih baik kepada pemandu, serta dibekalkan dengan penyejuk minyak transmisi bagi memastikan bendalir berkenaan sentiasa pada suhu optimum walaupun kereta berkenaan sedang dibelasah di dalam litar.

    Subaru WRX S210 STI Prototype didedah – produksi terhad 500 unit, 2.4L Turbo 300 hp, hanya CVT

    Kuasa lebih besar ini turut disokong dengan larasan semula dibuat pada pengendaliannya. STI telah menala semula penyerap hentak kawalan elektronik yang dibina oleh ZF dan spring WRX ini serta memberikan set bush bar penstabil belakang yang baru dibangunkan. Ia juga dilengkapi rim aloi forged 19-inci STI Flexible Performance Wheels yang dihasilkan oleh BBS, dibalut dengan tayar prestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 255/35R19.

    Selain itu ia turut menerima Tower Bar hadapan, rod Draw Stiffner hadapan dan belakang kesemuanya keluaran STI dengan logo S210. Manakala untuk brek, WRX S210 ini diberikan cakera brek berliang 18-inci di hadapan dengan angkup Brembo enam omboh kemasan merah bersama logo STI, dan juga cakera 17-inci di belakang.

    Pada bahagian luaran, model istimewa ini sekali lagi menerima teknologi dari perlumbaan Nurburgring 24 Jam menerusi kit badan yang dibekalkan. Kit tersebut menampilkan spoiler bawah bampar hadapan, belakang serta skirt sisi, diffuser pada bambar belakang dan juga spoiler GT gentian karbon di belakang dengan rekaan ‘leher angsa’.

    Komponen-komponen kit aero tersebut bersama gril hadapan dan juga pelindung badan sisi pada setiap ruang roda WRX ini diberikan kemasan hitam berkilat, sementara serlahan jalur Chery Red signatur STI diberikan pada kerangka bawah gril hadapan.

    Untuk kabin pula, sedan prestasi tinggi ini diberikan roda stereng balutan kulit, butang penghidup enjin STI kemasan Chery Red, tempat duduk karbon Recaro balutan kulit Nappa dengan larasan elektrik lapan-hala, plat nombor siri istimewa 1 hingga 500, dan pelbagai lagi.

    Subaru menyatakan bagaimana cara untuk mereka tentukan pelanggan yang layak bagi membeli WRX S210 STI ini akan diumumkan pada musim bunga tahun ini.

     
     
  • DBKL laksana ujian penggunaan “articulated bus” di pusat bandar KL hingga 30 April – melibatkan 4 laluan

    DBKL laksana ujian penggunaan “articulated bus” di pusat bandar KL hingga 30 April – melibatkan 4 laluan

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan pelaksanaan ujian penggunaan “articulated bus” bagi menilai kesesuaian kenderaan ini untuk perkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur. Ujian ini akan dijalankan di empat laluan yang telah dikenalpasti, dengan setiap laluan diuji bagi tempoh satu bulan sahaja.

    Laluan pertama ialah GOKL 01 yang bergerak dari KLCC ke Bukit Bintang dalam jarak 7 km, dengan kekerapan satu jam pada waktu puncak, dan satu jam 30 minit pada waktu luar puncak. Ini akan berlangsung dari 1 hingga 31 Januari.

    Laluan kedua ialah GOKL 03 dari Hab Titiwangsa ke KL Sentral dalam jarak 13 km, dengan kekerapan satu jam pada waktu puncak, dan satu jam 30 minit pada waktu luar puncak, yang berlangsung dari 1 hingga 28 Februari.

    Klik untuk besarkan

    Manakala laluan ketiga ialah GOKL 08 yang akan bergerak dari MRT Kampung Batu ke Chow Kit, dengan jarak laluan terpanjang kuartet ialah 20.3 km. Kekerapan bas adalah setiap dua jam pada waktu puncak dan dua jam 30 minit pada waktu luar puncak, dan GOKL 08 akan bermula dari 1 hingga 31 Mac.

    Bagi laluan keempat pula melibatkan laluan penghubung GOKL 10 yang akan bergerak dari Terminal Maluri ke Chow Kit dalam jarak 17 km, dengan kekerapan dua jam pada waktu puncak dan dua jam 30 minit pada waktu luar puncak. Laluan penghubung GOKL 10 akan bermula dari 1 hingga 30 April.

    Pada masa yang sama, DBKL turut menjalankan kajian tentang keberkesanan “articulated bus” di laluan tersebut. Percubaan itu adalah untuk menentukan keberkesanan perkhidmatan dari perspektif pengguna, termasuk aspek seperti masa menunggu, keselesaan, keperluan destinasi serta keperluan lain yang berkaitan, menurut DBKL.

    Menurut DBKL, maklumat yang diperoleh daripada kaji selidik ini akan digunakan untuk menentukan kesesuaian penggunaan kenderaan ini berdasarkan pandangan awam (kod QR disediakan dalam imej di atas). Tempoh kaji selidik adalah dari 1 Januari hingga 30 April 2025.

     
     
  • Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Zeekr mendedahkan model terbaru mereka, 007 GT melalui satu siri gambar awal yang menunjukkan bahagian luarnya yang berbentuk shooting brake/station wagon. Ia menyusuli 007 sedan yang didedahkan kali pertama pada November 2023 dan seterusnya dilancarkan untuk pasaran pada Ogos 2024.

    Menurut CarNewsChina, 007 GT ini akan dijual di China dalam empat varian iaitu Smart RWD pada harga 209,900 yuan (RM128,457), Long Range RWD dan Smart AWD, kedua-duanya pada harga 229,900 yuan (RM140,693), dan Performance AWD, pada 299,900 yuan (RM183,532).

    Melihat daripada gambar ini, 007 GT menggunakan konsep rekaan yang kebanyakannya adalah sama seperti 007 GT kecuali bumbung yang lebih panjang dan bersambung dengan bahagian belakang dengan lebih membulat, serta datang bersama rel bumbung.

    Zeekr 007 GT didedah – EV wagon dengan dua motor, AWD, kuasa cecah 510 PS, jarak gerak CLTC 870 km

    Versi motor tunggal, RWD bagi 007 GT ini akan menggunakan motor 310 kW (422 PS), yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, sementara versi pacuan semua roda menggunakan motor 165 kW (224 PS) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 375 kW (510 PS) dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.84 saat – sama seperti 007 sedan varian paling tinggi.

    Platform yang digunakan pada 007 GT ini dikatakan sama seperti 007 sedan, bermakna ia adalah PMA2+ daripada kumpulan SEA oleh Geely dan boleh menerima binaan elektrikal 800 volt.

    Bergantung kepada varian, bateri yang akan digunakan adalah sama ada LFP atau NMC, dengan jarak gerak antara 616 km ke 870 km mengikut standard ujian CLTC China. Menurut Zeekr, 007 GT ini akan dilancarkan untuk pasaran secara rasmi pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Dari Tokyo kami bawa anda untuk menjenguk apa yang ada di Tokyo Auto Salon tahun ini. Antara yang menarik perhatian adalah model Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition, yang akan ditawarkan bermula 19 Mac nanti di Jepun, dan hanya untuk tempoh masa terhad antara Mac-November 2025.

    Dari sudut mekanikal, model ZC33S Final Edition tidak berbeza daripada Swift Port Standard generasi ketiga yang sedia ada. Ia menggunakan enjin K14C 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol dengan janaan sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan 230 Nm tork dari 2,500 hingga 3,500 rpm. Ada dua pilihan transmisi: manual enam-kelajuan dengan harga 2,329,800 yen (about RM67k) atau automatik enam-kelajuan dengan harga 2,401,300 yen (RM69k).

    Perbezaan aspek penggayaan pula melibatkan gril depan dengan penyudah hitam berkilat serta kemasan lampu kabus, dengan rim 17-inci bersama profile tayar 195/45 yang turut menerima penyudah yang sama. Selain itu, angkup brek warna merah diberikan, serta hiasan ZC33S di tiang C dan juga lencana merah/hitam di bahagian belakang.

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition di Tokyo Auto Salon — pengeluaran terhad, luaran baru; dari RM67k

    Di dalam, kemasan unik di bahagian papan pemuka, panel pintu serta konsol tengah dengan kesan khas boleh dilihat, yang tidak ketinggalan tulisan ‘Sport’ dan ‘ZC33S powered by Suzuki’ di beberapa bahagian lain. Kemasan stereng pula dalam warna perak berkilau.

    Walaupun ini semacam salam selamat tinggal bagi Swift Sport semasa, ada khabar angin yang mengatakan Suzuki sedang membangunkan versi baru model hot hatch ini, untuk versi generasi keempatnya, walaupun masih belum ada sebarang pengesahan diberikan.

     
     
  • Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Jepun – kabin hitam berbanding merah; dari RM172k

    Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Jepun – kabin hitam berbanding merah; dari RM172k

    Menerusi Tokyo Auto Salon tahun ini, Honda telah memperkenalkan varian ‘Racing Black Package’ baharu untuk Civic Type R, di mana ruang kabinnya telah ditukarkan dari rona merah kepada hitam. Harga yang ditetapkan ialah 5,998,300 yen (sekitar RM172k), atau hanya lebih satu juta yen berbanding Civic Type R biasa yang berharga 4,997,300 yen (RM143k).

    Dengan Racing Black Package, upholstery merah suede kini ditukarkan dengan hitam suede, di mana penukaran warna ini juga diaplikasikan untuk karpet dalam dan alas lantai. Jahitan kelabu turut digunakan merentasi ruangan kabin, hanya tali pinggang keselamatan, lencana pada roda stereng dan pencahayaan ambien sahaja yang dikekalkan dengan serlahan merah.

    Di samping perubahan ini, Honda turut menggantikan kemasan berkilat pada kawalan suhu dan corong udara dengan kemasan lebih gelap, sementara papan pemuka bergetah dibaluti material suede untuk mengurangkan pantulan cahaya. Cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik juga diberikan untuk versi ini.

    Walau pun ruang kabin diberikan serlahan hitam, namun bahagian luarannya masih ditawarkan dengan beberapa pilihan warna, termasuk Championship White, Sonic Gray Pearl (dengan kos tambahan), Crystal Black Pearl, Frame Red and Racing Blue Pearl.

    Manakala penjana kuasanya tidak diberikan sebarang perubahan, ia dikekalkan dengan enjin K20C 2.0 liter empat-silinder sebaris VTEC Turbo yang mampu menghamburkan hingga 330 PS (326 hp atau 243 kW) pada 6,500 rpm dan tork 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kotak gear manual enam-kelajuan hanya satu-satunya transmisi yang ditawarkan bagi memacu roda hadapan.

    GALERI: Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Tokyo Auto Salon 2025

    GALERI: Gambar rasmi Honda Civic Type R Racing Black Package 2025

     
     
  • Mitsubishi Xpander ditawar aksesori pilihan pengedar – 200 unit; kamera 360°, dashcam , balutan kulit

    Mitsubishi Xpander ditawar aksesori pilihan pengedar – 200 unit; kamera 360°, <em> dashcam </em>, balutan kulit

    Mitsubishi Xpander facelift yang dilancarkan pada September 2024, kini ditawarkan naiktaraf dengan aksesori pilihan pengedar. Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), ia hanya terhad dengan 200 unit sahaja dan hanya ditawarkan dengan warna Red Metallic.

    Pilihan aksesori pengedar yang ditawarkan ialah kamera perkir 360-darjah, kamera pemuka (dashcam) hadapan dan belakang serta tempat duduk balutan kulit. Ia ditetapkan dengan harga atas jalan RM104,980 tanpa insurans, di mana RM5,000 lebih mahal berbanding harga standard RM99,980. Walau bagaimana pun, dengan pertambahan elemen tersebut, ia masih murah sebanyak RM5,000 jika dibandingkan dengan varian Xpander Plus yang berharga RM109,980.

    MMM berkata Xpander dengan aksesori pilihan pengedar lebih “mencapai keseimbangan sempurna antara gaya, kefungsian dan kemampuan, dan sesuai untuk pelanggan yang mahukan ciri premium ini sambil mengekalkan pilihan yang lebih berpatutan berbanding Xpander Plus”.

    Apakah ciri yang masih eksklusif untuk Plus? Perincian luaranny seperti kemasan perak pada bampar bawah hadapan dan belakang serta skirt sisi (berbanding hitam penuh), spoiler pintu belakang yang menonjol, visor pintu, pengecas tanpa wayar dan scuff plates.

    Buat masa ini MMM turut menganjurkan kempen yang menawarkan ganjaran bahan api, dua tahun penyelenggaran percuma dan ‘Prosperity Reward’.

    GALERI: Mitsubishi Xpander

    Mitsubishi Xpander Plus 2024

     
     
  • Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan pada 16 Januari ini – hanya 1,000 unit sahaja dikeluarkan

    Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan pada 16 Januari ini – hanya 1,000 unit sahaja dikeluarkan

    Selepas dipertontonkan menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 pada bulan lalu, Proton telah mengumumkan Proton X50 Sport Edition bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada Khamis ini, 16 Januari. Anda boleh menyaksikan pelancaran rasminya secara maya menerusi Facebook, TikTok dan YouTube pada jam 9 malam.

    Difahamkan, SUV keluaran khas ini “hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja”. Ketika ia dipertontonkan di KLIMS, ia diserlahkan dengan kit badan yang terdiri daripada splitter hadapan, side skirt dan tambahan panel pada bampar belakang, dan ia nampak berbeza dengan X50 R3 sebelum ini kerana diberikan jaluran merah termasuk pada bahagian tepi pintu dan gril.

    Menjadikan SUV ini lebih garang adalah penggunaan warna serba gelap pada kebanyakan bahagian termasuk kemasan pada pintu but (biasanya berwarna krom satin) serta rim 18-inci yang diambil daripada Geely Binyue varian bawah. Melengkapkan penampilannya adalah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan ia juga diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki baru serta dulang barangan di belakang.

    X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium yang berharga RM101,800, bermakna ia menggunakan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo, digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 226 Nm.

    Ini bermakna sistem bantuan termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dan Lane Centring Assist yang ada pada varian Flagship tidak akan diberikan pada X50 Sport Edition ini.

    “Nantikan pengumuman khas semasa acara itu!”, kata Proton menerusi kapsyen yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya. Agak-agak apakah pengumuman tersebut? Nantikan bersama kami pada Khamis ini.

     
     
  • JPJ keluarkan 22,201 saman terhadap kenderaan perdagangan dalam operasi khas sejak 25 Dis 2024

    JPJ keluarkan 22,201 saman terhadap kenderaan perdagangan dalam operasi khas sejak 25 Dis 2024

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 22,201 notis terhadap kenderaan perdagangan dalam Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ yang dijalankan di seluruh negara bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kenderaan yang gagal mematuhi peraturan.

    Menurut agensi penguatkuasaan terbabit, sepanjang operasi tersebut yang dijalankan sejak 25 Disember 2024 sehingga ke hari ini, sebanyak 88,034 kenderaan perdagangan telah diperiksa, 22,201 notis telah dikeluarkan, kenderaan diambil tindakan (9,661) dan 77 buah telah disita.

    “Pihak JPJ juga telah mengesan hampir 7,000 kenderaan perdagangan dikesan telah melakukan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi, tidak jaga tayar dengan baik/haus berlebihan,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Berkenaan dengan Ops Khas Puspakom pula, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang ia dilaksanakan sejak 30 Disember 2024, pihaknya telah mengadakan pemeriksaan terhadap 37 buah Puspakom di seluruh negara dan hasil daripada operasi tersebut, sebanyak 21 buah kenderaan telah disita.

    “Pihak JPJ telah mengesan kesalahan kenderaan yang disita adalah melibatkan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor palsu, guna kenderaan tidak berdaftar, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, insurans tamat tempoh dan menggunakan Lesen Perdagangan Kenderaan Motor syarikat lain.

    “Daripada jumlah sitaan tersebut, JPJ turut mengesan sebuah lori telah diluluskan oleh pihak Puspakom sedangkan keadaan fizikal kenderaan tersebut tidak mengikuti piawaian standard keselamatan kenderaan. Tindakan sitaan terhadap kenderaan itu diambil dibawah Seksyen 64(1) Akta 333 bagi mengelakkan berlakunya kesalahan berterusan,” kata Aedy Fadly.

    Berikutan daripada kes tersebut, tambahnya, JPJ telah mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes-kes yang melibatkan penyelewengan terhadap keputusan pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Pihak JPJ juga akan mengadakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.

    “JPJ Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan berusaha meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya terutamanya yang melibatkan kenderaan perdagangan,” katanya lagi.

     
     
  • Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Walaupun hanya pernah berada di pasaran Malaysia dalam jumlah yang sangat sedikit satu ketika dulu, nama Daihatsu Mira agak sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang meminati ubahsuai kereta. Ini kerana Mira dalam pelbagai generasi merupakan asas kepada beberapa model Perodua seperti Kancil, Kelisa dan juga Viva, di mana model-model ini kerap ‘disalin’ dengan set halfcut kembar-kembarnya dari Jepun berkenaan, terutamanya dalam varian-varian lebih sporty yang dibekalkan dengan enjin 660 cc Turbo.

    Walaupun Perodua sudah tidak lagi menyadur kei-car berkenaan sebagai model-model terkininya, Mira masih lagi utuh di pasaran Jepun, dan ia kini dijual dalam versi generasi terbaharu iaitu Mira Tocot dan Mira e:S. Menerusi acara Tokyo Auto Salon (TAS) 2025 yang berlangsung di Makuhari Messe hujung minggu lalu, Daihatsu mendedahkan model konsep Mira e:S dalam varian prestasi yang bakal diproduksi tidak lama lagi iaitu Mira e:S GR Sport.

    Ya, GR atau Gazoo Racing merupakan sayap perlumbaan rasmi bagi Toyota, namun Daihatsu itu sendiri sememangnya satu jenama di bawah naungan Toyota. Ini bukan kali pertama sebuah model Daihatsu menerima sentuhan Gazoo Racing di mana sebelum ini Daihatsu Copen GR Sport sudahpun dijual dalam pasaran.

    Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

    Spesifikasi lengkap bagi model ini masih belum diumumkan, namun segalanya telah ditunjukkan ketika ia dipamerkan di TAS tempoh hari. Pada bahagian luaran ia menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship, beberapa kemasan gentian karbon seperti pada perapi lampu belakang, serta bumbung yang nampaknya mungkin turut menerima material gentian karbon asli seperti Toyota GR Yaris,

    Mira e:S yang lebih garang ini juga datang bersama set rim aloi ringan dari BBS 16-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE050A bersaiz 165/55R16. Manakala pada sebelah dalam dapat dilihat ia menerima kelengkapan yang hampir sama seperti Copen GR Sport seperti tempat duduk hadapan Recaro dan roda stereng Momo. Juga difahamkan Mira e:S ini menerima enjin 660 cc dengan pengecas turbo, dipadan dengan kotak gear manual lima kelajuan seperti yang boleh dilihat pada tombol gear dalam kabin.

    Kuasa dari enjin tersebut dijangkakan tidak akan melebihi jumlah maksima yang dibenarkan untuk kei-Car di Jepun iaitu 64 PS dan tork 100 Nm. Manakala sentuhan GR juga dijangka dibuat menyamai Copen GR Sport seperti pemadanan set suspensi lebih sporty, pendakap-pendapak badan tambahan untuk badan lebih tegar, talaan lebih responsif pada roda stereng dan pelbagai lagi.

    Daihatsu belum lagi mengumumkan bila Mira e:S GR Sport ini akan ditawarkan dalam pasaran. Namun berdasarkan rupanya yang nampak lengkap sebagai model produksi, tidak mustahil pelancarannya akan dibuat tahun ini juga.

     
     
  • Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini secara rasmi melancarkan NMax 2025 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM11,498 tidak termasuk insurans. Untuk pengetahuan, ini adalah NMax baru seperti yang diperkenalkan di Indonesia Jun tahun lalu, tetapi cuma merupakan varian pertengahan, tanpa “Turbo” yang menjadi peningkatan utama.

    Jika dibandingkan dengan NMax sebelum ini, harga model baru ini meningkat sekitar RM1,700 dan ia ditimbal balik dengan pelbagai peningkatan, bermula dengan panel badan serba baru di semua bahagian termasuk lampu jenis hadapan jenis LED projector.

    Kemudiannya, kelengkapan skuter ini turut dipertingkat, termasuk sekarang ia dilengkapi dengan brek ABS dual-channel, kawalan cengkaman serta sistem kunci pintar. Ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar, menjadi 25 liter.

    Paparan meter masih lagi menggunakan unit LCD, tetapi dengan grafik baru dan boleh disambung kepada aplikasi Y-Connect dalam telefon pintar untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon. Menurut HLYM, sistem suspensi NMax baru ini dipertingkat, tetapi masih lagi fork teleskopik biasa dan dua penyerap hentak tanpa tabung di belekang.

    Kelengkapan lain skuter ini masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, yang merupakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Yamaha NMax 2025 dilancarkan di Malaysia – varian pertengahan tanpa “Turbo”, RM11,498 dengan ABS, TC

    Ia juga datang standard dengan sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, soket pengecas USB serta tangki bahan api 7.1 liter.

    Memandangkan model yang masuk ke pasaran Malaysia ini adalah varian pertengahan, bukannya “Turbo” yang paling tinggi, kita terlepas ciri seperti Yamaha Electric CVT (Y-ECVT) dengan Turbo Riding Mode serta Turbo Y-Shift, panel instrumen TFT dengan fungsi navigasi serta penyerap belakang dengan sub-tank.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 — video ringkas peningkatan spesifikasi, Google Built-in; dari RM134k-RM168k

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 — video ringkas peningkatan spesifikasi, Google Built-in; dari RM134k-RM168k

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan semalam dengan menyaksikan beberapa peningkatan penting ditawarkan bagi versi terbarunya kini.

    Ada empat varian yang ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut: 1.5L E (RM133,900; RM2,000 lebih mahal berbanding sebelumnya), 1.5L V (RM144,900; kekal sama) dan 1.5L RS Petrol (RM149,900; murah RM2,000) serta model dengan sistem elektrifikasi iaitu e:HEV 2.0L RS hibrid (RM167,900; kekal sama).

    Dilihat dari harganya, Civic kini memberi lebih nilai kerana peningkatan dan penambahbaikan yang dilakukan juga menjadikan penawarannya sangat berbaloi. Selain rekaan bampar dan wajah depan yang baru, Civic kini hadir dengan banyak kemaskini peningkatan yang penting.

    Sebagai contoh, ciri Google Built-in yang terdiri daripada fungsi Google Maps, Google Assistant serta Google Store. Ini juga merupakan penawaran sulung seumpamanya oleh pengeluar kereta Jepun di Malaysia.

    Selain itu, ada banyak juga ciri yang kini sudah ditawarkan untuk semua varian. Misalnya, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin utama 9-inci untuk semua dan juga filem penapis haba. Tidak ketinggalan ciri keselamatan Honda Sensing dan juga fungsi telematik Honda Connect — kini semuanya diberikan untuk semua varian.

    Kami menggariskan semua peningkatan penawaran yang ada dalam video ini untuk memudahkan lagi anda meneliti setiap satunya. Selamat menonton.

    Honda Civic 2025 RS e:HEV

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025