Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MRT : Jalan Bukit Bintang ditutup satu malam 3 April

    12916815_1117755521589181_5484030284341922437_o

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan selama satu malam membabitkan laluan sepanjang 100 meter di Jalan Bukit Bintang akan dilakukan pada 3 April ini.

    Menurut syarikat itu dalam kenyataannya hari ini, penutupan laluan antara restoran McDonalds dan Jalan Changkat Bukit Bintang akan dilaksanakan mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi untuk kerja mengalihkan kren.

    Berikutan penutupan itu, pengguna jalan raya yang menghala ke Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lorong di belakang restoran McDonalds dan rumah kedai berhampiran.

    Para pemandu digesa supaya berhati-hati dan mengikut papan tanda yang akan diletakkan di kawasan itu. Malah Pasukan Bertindak Kecemasan MRT akan berada di situ untuk membantu aliran trafik.

     
     
  • Proton Extrema penuh misteri- Proton produksi SUV!

    12903905_10154924435352316_1193811798_o-e1459476104787

    Wow! Satu perkhabaran yang mengejutkan tetapi menguja! Bikin degupan jantung kian kencang! Krikkk..krikkk..krikkkk!

    Selepas menerima foto model crossover kompak Proton, hasil rebadged Maruti Suzuki Vitara Brezza, kemudian kami menerima pula brosur misteri dari pengedar (pemenang Pertandingan Reka Bentuk Proton 2014) Pow Ying Hern, yang mendedahkan tentang SUV Proton ini! Digelar sebagai Extrema, SUV ini dijangka akan dilancarkan pada 1 April, 2017, selepas pelancaran Perdana, Persona dan Saga.

    Tiada perincian lebih lanjut didedahkan, cuma beberapa foto sahaja. Namun ia kelihatan seperti kenderaan kontemporari, dengan lampu utama xenon bersama lampu posisi LED, gril besar dengan Proton Wings (logo tiga-dimensi baharu), skid plate berwarna perak dan lampu nyalaan siang LED.

    Pada bahagian belakang pula, ia ditampilkan dengan ekzos dan lampu belakang yang nampak lebih teratur serta padanan roda 19-inci. Kabinnya pula agak menarik, dengan papan pemuka dan tempat duduk berwarna coklat, serta banyak kekemasan perak bagi memberikan penampilan yang lebih elegan.

    Klik untuk besarkan imej

    Dijangkakan Extrema akan dijanakan oleh enjin baharu Proton iaitu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan-terus TGDI – dengan konfigurasi paling berkuasa, yang mampu menghamburkan kuasa 180 hp dan tork 250 Nm. Mungkin dengan pacuan roda-hadapan dan semua-roda, dipadankan dengan transmisi baharu CVT.

    Apa pendapat anda tentang langkah Proton yang ingin memperkenalkan model sebegini di pasaran? Adakah ia langkah yang tepat atau pun sebenarnya masih belum tiba masanya lagi. Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • SPYSHOTS: SUV Suzuki Vitara Brezza berlogo Proton

    Proton-Suzuki-Vitara-Brezza-3_BM

    Hari ini kami menerima gambar yang agak mengujakan iaitu sebuah Suzuki Vitara Brezza dengan logo Proton. Biar betul? Adakah Proton bercadang untuk memasarkan model rebadge SUV tersebut dalam pasaran Malaysia? Anda perlu terus bersama kami kerana hanya kami sumber utama yang bakal memperoleh tarikh pelancaran model ini.

    Gambar yang diberikan kepada kami oleh penyumbang tetap Theophilius Chin, jadi keasliannya tidak perlu dipersoalkan. Gambar tersebut menunjukkan dua buah Vitara Brezza yang hampir standard, tetapi dipakai dengan logo Proton di bahagian hadapan dan turut mempunyai pelekat cukai jalan Malaysia.

    Kami hanya memberikan foto beresolusi rendah buat masa sekarang, sebagai menghormati ‘orang dalam’ yang masih kekal tidak mahu dikenali. Setelah dilihat dalam imej beresolusi tinggi, kami boleh mengesahkan pelekat cukai jalan tersebut adalah sah sehingga 1 April, 2017.

    Jadi, apa pendapat anda tentang crossover kompak Proton ini? Tuliskan pendapat anda pada ruangan komen di bawah.

    GALERI: Maruti Suzuki Vitara Brezza

     
     
  • Semua model Lexus Malaysia kini dilindungi pakej waranti baharu lima-tahun, tanpa had perbatuan

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    Pengumuman waranti baharu oleh UMW Toyota bukan sahaja untuk jenama Toyota, Lexus Malaysia juga diumumkan turut memberikan pakej waranti lima tahun tanpa had perbatuan untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej waranti tersebut menggantkan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pakej waranti Lexus kini setara dengan pakej waranti BMW Malaysia, tetapi BMW turut menawarkan pakej servis berkala percuma selama lima-tahun/100,000 km. Setakat ini Mercedes-Benz menawarkan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan, manakala Audi Malaysia pula menawarkan waranti empat-tahun/120,000 km.

    Seperti juga pakej waranti yang lain, untuk kekal sah, kereta yang dilindungi waranti tersebut mestilah diservis mengikut terma dan syarat pengeluar – untuk Lexus, ia perlu diservis setiap 10,000 km atau enam bulan (yang mana sampai dahulu) oleh pusat servis Lexus bertauliah. Pakej waranti sepanjang lima tahun tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota Motor.

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    “Kenderaan yang dibawa masuk oleh pengimport kenderaan yang lain tidak akan menikmati pakej waranti ini. Oleh itu, adalah lebih baik untuk membeli kenderaan yang diimport oleh pengedar bertauliah seperti UMW Toyota, di mana kenderaan tersebut akan dilindungi dengan waranti penuh lima-tahun, memberikan pelanggan ketenangan fikiran,” kata Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor.

    Pemilik Lexus sedia yang masih dilindungi waranti tiga tahun juga boleh mendapatkan perlindungan dua-tahun tambahan tanpa had perbatuan melalui pembelian pakej tersebut dengan hanya sekali bayaran dan bergantung pada model. Pelanggan yang membeli pakej ini juga akan menerima pakej servis percuma dari Lexus.

    Tawaran untuk pembelian pakej waranti tambahan berkenaan hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi segera wakil servis Lexus pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
  • UMW Toyota mengumumkan perlindungan waranti lima-tahun untuk semua model Toyota di Malaysia

    Toyota five year warranty

    Berita baik untuk peminat dan pemilik Toyota. UMW Toyota kini telah memperkenalkan pakej waranti lima-tahun untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej tersebut juga menyebut perlindungan waranti lima-tahun itu diberikan tanpa batasan perbatuan kecuali untuk model Hilux dan Hiace yang dihadkan pada 150,000 km.

    Pakej waranti pengeluar baharu ini menggantikan pakej waranti tiga-tahun atau 100,000 km sebelum ini, meletakkan pakej waranti UMW Toyota setara dengan Honda Malaysia yang menawarkan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua modelnya. Edaran Tan Chong Motor walau bagaimanapun masih kekal dengan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km untuk semua model Nissan yang dijual oleh mereka.

    Walaupun dihadkan pada 150,000 km, Hilux dan Hiace masih lagi menjadi kenderaan komersial yang mempunyai perlindungan waranti paling lama dalam pasaran. Toyota Hilux misalnya, mempunyai kadar perbatuan yang dilindungi waranti lebih 50,000 km dan dua tahun lebih lama berbanding Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan Nissan Navara.

    Waranti tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota, dan bukan oleh syarikat insuran lain. Waranti lima-tahun berkenaan juga adalah diberikan kepada unit kenderaan yang dijual, bermaksud kenderaan tersebut masih lagi dilindungi waranti walaupun sudah dijual kepada pemilik lain dalam jangka masa lima tahun itu. Sudah tentu bergantung kepada terma dan syarat, unit kenderaan terbabit perlu diservis mengikut jadual oleh wakil servis Toyota yang bertauliah bagi membolehkan perlindungan waranti tersebut kekal sah.

    8457_04 5yearsW_PressAd_TheStar_37cmX26.1cm

    Untuk nota, kenderaan yang dibeli bukan untuk kegunaan persendirian seperti teksi, kereta sewa, dan digunakan untuk mengangkut barangan tidak tertakluk pada waranti lima-tahun ini. Ia masih kekal dengan waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pemilik Toyota sedia ada yang masih dengan waranti yang sah dan diservis mengikut terma perlindungan waranti tetapi kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1 April 2016, mereka masih boleh menikmati pakej waranti tambahan dua-tahun serta tambahan had perbatuan 10,000 km (sehingga 110,000 km) dengan pembelian pakej waranti tersebut.

    Harga untuk pakej waranti tambahan itu masih belum lagi diumumkan, tetapi ia akan berbeza untuk setiap model. Pelanggan yang membeli pakej tersebut juga akan menerima pakej servis ‘MaxCheck Advance’ secara percuma. Tawaran untuk menaiktaraf pakej waranti sedia ada ini hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi wakil servis pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
  • Honda BR-V terima penarafan 5-bintang dari ASEAN NCAP dengan ESC, 72% pematuhan bagi COP

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.20.04 AM

    Jika anda tertunggu-tunggu ketibaan Honda BR-V di Malaysia, ada satu perkembangan terkini mengenai model crossover ini berkaitan dengan keselamatan. Hari ini, ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan ujian bagi BR-V, dan ia boleh dianggap sebagai berita gembira untuk pembeli prospektif.

    Di mana BR-V dengan konfigurasi tujuh- dan lima-tempat duduk (bergantung pada pasaran), telah menerima penarafan lima-bintang, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

    Walau bagaimana pun, bagi mencapai syarat-syarat yang ditetapkan oleh ASEAN NCAP, di mana Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dikehendaki bagi menerima penarafan, crossover terbabit hanya akan menerima dua penarafan sahaja bergantung pada varian yang ditentukan.

    Bagi BR-V yang didatangkan tanpa ESC dan pengingatan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, penarafan empat-bintang bagi AOP bakal diberikan (dengan jumlah markah masih 14.79). Manakala bagi varian tertinggi BR-V yang dilengkapi dengan teknologi itu pula menerima penarafan lima-bintang bagi AOP. Dua beg udara hadapan, Isofix dan tali penambat teratas (top tether) adalah standard untuk semua varian.

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.19.46 AM

    Menurut ASEAN NCAP, BR-V menerima markah yang lebih tinggi berbanding model SUV lain yang diuji iaitu Subaru XV (14.31, lima-bintang), Mitsubishi Pajero Sport (12.08, empat-bintang), Toyota Rush (12.47, empat-bintang) dan Haval M4 (9.64, tiga-bintang).

    Daripada model yang disenaraikan, hanya Rush dan M4 sahaja yang menerima keputusan lebih baik dari BR-V bagi kategori COP dengam pematuhan 82% dan 79%.

    Honda BR-V bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Tidak dinafikan ia memiliki banyak kelebihan termasuk varian spesifikasi tertinggi yang banyak menampilkan pilihan dengan elemen keselamatan. Cuma, apa yang menjadi persoalan, bila ia bakal dilancarkan dan bagaimana dengan harganya.

    GALERI: Honda BR-V ketika dipandu uji di Jepun

     
     
  • Penunggang motosikal dilarang guna lorong laju?

    FW302026_SG14_301013_JELAJAH

    Penunggang motosikal di Malaysia mungkin bakal dilarang menggunakan lorong laju atau memotong di lebuh raya, berdasarkan permintaan dari Kementerian Pengangkutan. Menurut The Sun Daily, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Karpawi, kementeriannya akan membuat permohonan kepada pihak berkuasa lalu lintas untuk menguatkuasakan larangan ini tanpa tertangguh.

    Aziz berkata, penguatkuasaan ini perlu dilakukan memandangkan kadar kemalangan jalan raya di kalangan penunggang motosikal kian membimbangkan. “Penunggang motosikal sepatutnya tidak menggunakan lorong laju atay lorong kanan,” ujarnya kepada pemberita dalam pelancaran kempen keselamatan jalan raya “Visibility Makes a Difference” untuk penunggang motosikal oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Linda Group.

    Turut disebut, satu perbincangan akan dilakukan di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk menentukan implementasi dan penguatkuasaan ini. Mengikut statistik, sejumlah 62% kematian daripada 6,706 kemalangan jalan raya pada tahun 2015 membabitkan penunggang motosikal iaitu sebanyak 4,203 kes. Ia meningkat sebanyak 32 kes berbanding tahun sebelumnya.

    Penunggang motosikal perlu mempertingkatkan lagi tahap keselamatan mereka, ujar Aziz. “Ramai di antara mereka yang kerap melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat merah, menunggang laju melebihi had kelajuan, menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat membelok, memotong kenderaan lain tanpa berhemah, berlumba di jalan raya dan banyak lagi,” ujarnya.

    Satu lagi implementasi yang patut dilaksanakan bagi keselamatan penunggang motosikal ialah mewajibkan pemakaian vest lut sinar. “Penunggang motosikal harus boleh dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain. Penglihatan membawakan perbezaan. Pada masa ini, kami sedang melakukan program advokasi untuk menggalakkan mereka memakai vest lut sinar atau jaket yang berwarna terang,” tambah Aziz lagi.

     
     
  • Harga bahan api April 2016: semua melibatkan kenaikan harga, RON 95 kini RM1.70

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Selepas beberapa bulan harga bahan api turun, kini ia naik semula. Harga bagi bulan April 2016 melihatkan peningkatan bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu RON 95, RON 97 dan diesel.

    Bagi April ini, RON 95 berharga RM1.70 seliter (menyaksikan kenaikan sebanyak 10 sen berbanding bulan Mac), RON 97 pula RM2.05 seliter (naik 10 sen), diesel RM1.55 seliter (naik 20 sen) dan diesel Euro 5 RM1.65 seliter (naik 20 sen). Seperti sebelum ini, RON 100 Petron Blaze masih RM2.60 seliter.

     
     
  • Video awalan Honda Civic 2016 disiar sebelum pengenalannya di Indonesia minggu hadapan

    Show Who You Really Are

    Posted by HONDAISME on Wednesday, 30 March 2016

    Sebelum ini sebuah Honda Civic 2016 dilihat tanpa apa-apa penyamaran di Indonesia, menandakan sedan segmen-C generasi kesepuluh tersebut akan menerjah pasaran Indonesia tidak lama lagi. Kini, Honda Indonesia telah menyiarkan secara rasmi video awalan Civic baharu tersebut di laman facebook mereka. Model tersebut dijangkakan akan membuat penampilan sulungnya di Indonesia International Motor Show minggu hadapan.

    Video berdurasi 16 saat berkenaan memberikan gambaran awal berkenaan ciri-ciri yang bakal diterapkan pada Civic spesifikasi Indonesia, yang bakal diproduksi oleh kilang Honda di Karawang, bersama CR-V, Mobilio, Jazz, dan lain-lain.

    Antara ciri yang saksikan adalah paparan instrumen TFT LCD, penghawa dingin automatik, sistem kunci pintar dan lampu hadapan LED-penuh. Beberapa babak dalam video tersebut juga mendedahkan roda aloi seiras dengan roda aloi spesifikasi tertinggi di Thailand iaitu Civic Turbo RS.

    Dalam pasaran Thai, Civic ditawarkan dengan pilihan enjin NA 1.8 liter SOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT auto yang menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan torque converter sebelum ini.

    Sejumlah empat varian ditawarkan iaitu 1.8E, 1.8 EL, Turbo dan Turbo RS untuk Civic spesifikasi Thailand. Manakala untuk pasaran Filipina pula, hanya varian 1.8 E dan Turbo RS ditawarkan.

    Mengikut trend tersebut, kami jangkakan Civic spesifikasi Indonesia akan turut sama seperti apa yang terdapat di Thailand dan Filipina, begitu juga untuk pasaran Malaysia kelak. Civic serba baharu ini dikhabarkan akan melakukan penampilan sulungnya di Malaysia sebagai sebuah model pemasangan tempatan yang diproduksi oleh kilang Honda di Pegoh, Melaka. Walau bagaimanapun bila ianya akan dilancarkan masih lagi belum diketahui.

    GALERI: 2016 Honda Civic Turbo RS di Bangkok International Motor Show

     
     
  • Tun Mahathir letak jawatan sebagai pengerusi Proton

    Press Conference with YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and Dato' Abdul Harith Abdullah

    Proton telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.

    Dalam kenyataannya, PROTON berkata, “Kita menghormati hasrat Yang Amat Berbahagia Tun untuk berundur. Malah kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga sebagai Penasihat sejak tahun 2003. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Tun Dr. Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional.”

    Pada 24 April lalu, Proton turut mengumumkan perlantikan Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) baharu, yang menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April ini.

     
     
  • Isu berkenaan aplikasi perkongsian kenderaan dan pemandu teksi akan diselesaikan tidak lama lagi – PM

    Tesla_Najib_02

    Berikutan penentangan pemandu teksi dan pengendali aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan konflik antara dua pihak tersebut. Isu berkenaan telah mendorong pemandu teksi mengadakan bantahan jalanan disepanjang Jalan Bukit Bintang selasa lalu, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Najib berkata kepentingan untuk kedua pihak iaitu pengguna dan pengendali teksi akan dipertimbangkan apabila jalan penyelesaiannya diumumkan kelak tidak lama lagi, setelah kerajaan meneliti pelbagai cadangan.

    Menerusi catatan terbaharu di dalam blognya, Perdana Menteri berkata, “Saya faham dan mengambil berat berkenaan masalah dan rasa tidak puas hati pemandu-pemandu teksi ini yang berpunca dari servis Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.”

    Beliau juga turut menambah isu tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia malah di serata dunia. Beberapa negara di dalam dunia seperti Perancis dan Indonesia, masih lagi bergelut dengan isu ini. Sesetengah negara telah pun mengharamkan terus servis aplikasi tersebut secara keseluruhannya.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pelbagai faktor sebelum hadir dengan jalan penyelesaian. Ini termasuklah elemen inovasi, persaingan dan lain-lain lagi. “Dalam era canggih dan inovasi, kita perlu mengekalkan rentak dengan pembangunan teknologi,” tambah beliau.

    Tambahan lagi, beliau mengalu-alukan persaingan antara pemandu teksi dan servis perkongsian kenderaan berdasarkan aplikasi tersebut, menjadikan ia sebagai batu loncatan ke arah meningkatkan mutu servis mereka kepada orang awam dan bukan dijadikan sebagai penghalang.

    “Saya harap tidak ada pihak yang mengikut emosi mereka sendiri dan mengambil langkah drastik seperti memulakan demonstrasi jalanan yang akan hanya memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej mereka. Ia tidak akan membawa apa-apa faedah, terutamanya untuk pengguna perkhidmatan teksi,” kata Najib.

     
     
  • GrabCar M’sia sedia bekerjasama dengan kerajaan

    StarWarsGrabCar-e1450774455652

    Syarikat pengendali aplikasi teksi GrabCar, Grab Malaysia, telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dan mematuhi peraturan bakal digubal.

    Menurut Pengurus Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu, pihaknya komited membantu mana-mana kementerian atau agensi bagi menaik taraf industri teksi di negara ini, laporan Berita Harian.

    “Kami mengalu-alukan peluang untuk menyumbang idea, cadangan dan maklum balas kepada pembuat dasar dalam usaha mentransformasi industri teksi, baik membabitkan pemandu atau penumpang.

    “Grab komited memastikan pemandu menjalankan tugas secara amanah di samping menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

    Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyarankan agar pengusaha dan pemandu teksi supaya memperbaiki perkhidmatan masing-masing untuk bersaing dengan Grabcar dan Uber. Katanya, terdapat banyak aduan dari orang ramai termasuk pelancong yang diterima berhubung dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi termasuk tidak menggunakan meter, suka memilih laluan sendiri dan tidak menjaga kebersihan.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian iaitu Uber dan GrabCar dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

    Hari ini pula, pemandu teksi menyeru agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

     
     
  • LPT2 dipertingkatkan dengan ciri mesra hidupan liar

    LPT2_PTBM

    Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan laluan di bawah jambatan dan terowong kenderaan (VBC) di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan ditambah baik dengan ciri-ciri mesra hidupan liar.

    Menurut Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata cadangan itu dipersetujui bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada 16 Februari lepas, laporan Bernama.

    “Lokasi terlibat sedang dikenal pasti oleh Jabatan Perhilitan Terengganu dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) dalam persidangan Dewan Parlimen hari ini, yang ingin tahu langkah untuk mengelakkan pencerobohan haiwan demi keselamatan pengguna di LPT2.

    Rosnah turut berkata, bagi tempoh 1 Februari 2015 hingga 29 Februari 2016, terdapat 133 kes kemalangan termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar dicatatkan di LPT2 sepanjang 180 kilometer itu.

    Pencerobohan haiwan ternakan dan binatang liar itu dikatakan berpunca daripada pagar rizab lebuh raya yang telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga membuka ruang haiwan tersebut menceroboh masuk.

    Bagi mengatasi masalah tersebut kementerian telah meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang lebuh raya itu terutama di kawasan berisiko tinggi serta membaik pulih segera pagar rizab yang dirosakkan, katanya.

    Rosnah berkata pengedaran risalah kesedaran kepada penternak berhampiran lebuh raya, pemasangan papan tanda amaran dan peringatan kepada pemandu menerusi Papan Tanda Elektronik VMS serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu turut dilaksanakan.

    Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

     
     
  • Ferrari bakal membangunkan model Dino GT baharu?

    CaliforniaT_Ext_05

    Ferrari California T

    Menurut laporan The Motor Report, Dieter Knechtel selaku Pengarah Urusan Ferrari Far East, berkata, “Satu lagi model baharu selepas California akan dibangunkan di dalam segmen GT.” Beliau berkata demikian ketika menghadiri Australia Grand Prix baru-baru ini.

    Ada sumber mengatakan model baharu yang diperkatakan ini adalah kebangkitan semula Ferrari Dino iaitu jentera sport pacuan roda-belakang yang pernah diproduksikan oleh Ferrari dari tahun 1968 hingga 1976.

    Walau bagaimana pun Knechtel enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai model baharu Ferrari yang bakal dibangunkan itu. Namun mengakui model California T telah mencatatkan rekod kejayaan yang besar dan banyak membantu Ferrari bagi menarik pelanggan baharu termasuk mereka yang tidak pernah memiliki mana-mana model Ferrari tetapi ingin membelinya buat pertama kali.

    Screen Shot 2016-03-31 at 3.48.17 PM

    Ferrari Dino 246 GT 1969

    Walau bagaimana pun, model misteri ini dikatakan tiada dalam perancangan Ferrari dalam tempoh lima tahun ini. Namun Pengerusi Ferrari Sergio Marchionne pernah berkata sebelum ini, berkenaan dengan kebangkitan Dino “ia bukan persoalannya mengapa tetapi bila”.

    Ada laporan menyebut, model kebangkitan semula Dino akan dipadankan dengan enjin-pertengahan dengan biturbo V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 500 hp. Terdapat perkhabaran yang mencadangkan agar jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam kurang 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 322 km/j.

    Baca ulasan pandu uji Ferrari California T di sini.

     
     
  • Penarafan baharu lampu kenderaan di US dinilai

    IIHS

    Institut Insurans Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) di Amerika Syarikat, telah melakukan kajian terhadap lampu utama yang melibatkan lebih 30 jenama kereta bersaiz sederhana. Ia bagi menentukan penilaian penarafan baharu bagi lampu kenderaan yang didorong oleh faktor kebanyakan pemandu sukar melihat semasa memandu pada waktu malam dan ia bukan disebabkan oleh penglihatan mereka.

    Menurut kajian tersebut, daripada lebih 30 jenama kenderaan yang terlibat, hanya satu model sahaja yang didapati mendapat penarafan yang baik. Iaitu daripada jumlah keseluruhan tersebut, satu pertiga hanya mendapat penarafan ‘boleh diterima’, satu pertiga lagi ‘antara boleh dan tidak’ dan bakinya adalah ‘sangat lemah’.

    Di mana Toyota Prius V menjadi satu-satunya model yang mendapat penarafan paling baik daripada keseluruhan 30 kenderaan yang diuji. Prius V menggunakan lampu utama LED dan ia berupaya menerangi jalan lurus yang mencukupi untuk melihat pejalan kaki, penunggang basikal atau halangan lain dalam jarak 118 meter di hadapan. Pada jarak tersebut, biasanya kenderaan akan bergerak selaju 112 km/j dan mempunyai masa yang cukup untuk berhenti dari melanggar halangan tersebut.

    Kajian yang sama turut dilakukan terhadap BMW 3 Series namun didapati model ini cuma menerangi jalan sejauh 39 meter. Pada jarak itu, sebuah kenderaan sepatutnya tidak boleh bergerak melebihi 56 km/j untuk masa berhenti yang cukup.

    IIHS_4

    Kajian yang sama turut mendapati model kenderaan mewah tidak semestinya dilengkapi dengan lampu utama yang baik.

    IIHS membuat kajian lampu tinggi ini di trek iaitu dalam keadaan gelap. Peranti khas digunakan untuk mengukur jarak pencahayaan dari lampu rendah hingga lampu tinggi dengan kenderaan dipandu dalam lima keadaan jalan iaitu laluan lurus, laluan selekoh kiri tajam, laluan selekoh kanan tajam, selekoh kiri berbengkang-bengkok dan selekoh kanan berbengkang-bengkok.

    Kesan silau daripada kenderaan yang datang dari arah hadapan turut diukur iaitu dari lampu rendah dengan senario pemanduan yang sama bagi memastikan ia tidak berlebihan.

    Lampu utama yang diuji adalah diterima daripada pihak pengedar. Walaupun lampu utama pada kebanyakan kenderaan boleh dilaraskan, namun IIHS tidak mengubah sasaran lampu tersebut kerana tidak semua pemandu melakukannya dan sesetengah pengeluar kenderaan juga ada menasihati pengguna supaya tidak berbuat demikian.

    Selepas kenderaan terbabit diuji di trek, jurutera IIHS yang terlibat akan membuat perbandingan antara ukuran jarak penglihatan dan kesan silau untuk mengenal pasti sistem lampu utama yang lebih ideal dan menggunakan satu skim demerit bagi menentukan penarafan.

    Keputusan ujian mendapati, lampu rendah lebih berat berbanding lampu tinggi kerana ia sering kali digunakan. Malah laluan lurus juga lebih berat berbanding jalan berselekoh kerana kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada jalan lurus.

    Manakala kenderaan yang dilengkapi dengan bantuan lampu tinggi, biasanya secara automatik akan menukar antara lampu tinggi-rendah mengikut keadaan jalan. Begitu juga dengan kenderaan yang dilengkapi dengan sistem anti-silau dalam apa jua keadaan jalan, tidak menerima sebarang rating dengan jumlah markah melebihi margin.

    Menurut IIHS, tahap pencerahan lampu kenderaan adalah penting kerana ia memberikan impak yang tinggi terhadap pemanduan khususnya pada waktu malam. Malah di negara berkenaan, dianggarkan separuh daripada 32,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu sering berlaku pada waktu fajar, senja mahu pun malam iaitu disebabkan jarak penglihatan yang rendah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025