Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

Nissan sahkan tiada integrasi produk bersama Mitsubishi, tiada Lancer dan Lancer Evo selepas ini

Dengan pengambilalihan 34% saham dalam Mitsubishi Motors Corporotion (MMC) oleh Pakatan Renault-Nissan seterusnya membolehkan MMC menjadi milik mereka, tentu ramai yang beranggapan Nissan akan membantu Mitsubishi membina semula Lancer generasi baharu, dan yang paling ditunggu-tunggu, varian berprestasi tingginya – Lancer Evolution XI.

Namun perkara ini disangkal oleh ketua pegawai perancangan global Nissan, Philippe Klein, ketika ditemu bual oleh CarAdvice di Consumer Electronics Show (CES) 2017 Las Vegas dengan mengatakan “kami tidak akan berintegrasi dengan Mitsubishi.”

Menurut Klein, pendekatan Nissan terhadap Mitsubishi ialah dengan memacu skala dalam pembuatan dan komponen untuk meningkatkan margin keuntungan, bukan membina model klon dari model sedia ada dengan hanya berbeza lencana jenama. Integrasi antara Nissan dengan Mitsubishi akan mengakibatkan kegagalan jika pelanggan menganggap kedua-dua jenama berkenaan adalah sama.

“Kami akan cuba dan mewujudkan hubungan yang kami ada antara Renault dan Nissan, bermaksud kami akan cuba dan berkongsi komponen, platform, dan teknologi sebanyak yang mungkin tetapi Mitsubishi bertanggungjawab untuk merekabentuk kereta mereka sendiri dan kekal sebagai syarikat yang berbeza, jadi ia menjadi kaedah yang sama digunakan kepada Renault dan Nissan yang telah kami gunakan selama 17 tahun,” jelas Klein.

Menurut Klein lagi, Mitsubishi, Nissan dan Renault mempunyai warisan dan visi mereka tersendiri, jadi Mitsubishi mempunyai kekuatannya di dalam segmen dan negara tertentu, begitu juga Renault dan Nissan.

Setakat ini, Mitsubishi sedang menumpukan pada kereta-kereta elektrik dengan bajet R&D yang agak terhad, menyebabkan sedan segmen-C mereka – Lancer – yang kini generasi sedia ada sudah pun mencapai usia sepuluh tahun, tidak akan diteruskan pengeluarannya. Ini juga akan menyaksikan legasi Lancer Evolution juga berakhir kerana ketiadaan platform yang berpotensi.

Perkara ini juga telah disahkan timbalan presiden eksekutif dan COO Mitsubishi Amerika Utara, Don Swearingen kepada Autoblog sebelum ini bahawa produksi Lancer akan ditamatkan pada Ogos nanti dan model tersebut akan lenyap pada musim panas 2017 setelah stok-stok akhir dijual dan tiada model generasi baharu dibangunkan.

Menurut Swearingen, pasaran sedan semakin mengecil dan syarikatnya perlu membina model-model yang boleh mendatangkan keuntungan. Oleh itu Mitsubishi kini lebih menumpukan pembinaan model-model crossover yang kini sedang berkembang dan menguasai pasaran.

Walau bagaimanapun, berbalik kepada Klein, Mitsubishi Triton generasi berikutnya akan dibina berasaskan platform Nissan Navara. Tetapi, pembinaan Triton baharu tersebut bukan sekadar semudah menukar logo di mana Mitsubishi perlu membina sendiri trak pikap versinya, sama seperti yang dilakukan oleh Mercedes-Benz yang turut membina trak pikap menggunakan platform Navara.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required