2016_C_HR_Dynamic_02_BM

Ini merupakan gambar rasmi pertama bahagian dalaman untu Toyota CH-R yang dikeluarkan oleh Toyota, serta beberapa gambar baharu bahagian luaran. SUV kompak dengan rekaan yang agak garang ini bakal berdepan dengan Honda HR-V dan Mazda CX-3 dalam pasaran, muncul buat pertama kali dikhalayak ramai pada peringkat global di Geneva Mac lalu. Ia akan menembusi pasaran Australia awal tahun hadapan, dan dijangka akan mendarat di Thailand pada masa yang lebih kurang sama untuk peringkat permulaan pasaran ASEAN.

Di Eropah, pra-jualan CH-R akan bermula pada September ini, dengan penghantaran pertama dijangka akan dilakukan sebelum hujung tahun. Model yang dibuat di Turki ini akan diletakkan diantara model wagon Auris Touring Sports dan RAV4. Toyota mensasarkan menjual 100,000 unit CH-R setahun.

Kabin berbentuk coupe yang tinggi pada CH-R ini mensasarkan “kualiti deria terbaik dalam kelasnya” dan bakal memberikan “gaya moden yang menghairahkan” yang akan ditawarkan pada barisan dan segmen Toyota. CH-R diberikan rekaan yang penuh dengan lengkok dan aliran, dan turut dilengkapi dengan skrin sesentuh besar (bersaiz 6.1 inci dengan jam trademark Toyota diletakkan bersebelahan) yang muncul dari bahagian tengah papan pemuka dan dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah juga direka dengan konsep simetrikal.

2016_C-HR_16__mid

Rekaan pada suis-suis kawalan memberikan bayangan motif batu permata yang turut diterapkan pada bentuk badan keseluruhan SUV ini. Tema batu permata berkenaan turut diterapkan pada kemasan pintu, balutan bumbung, serta jarum pada meter instrumen. CH-R spesifikasi Eropah bakal menerima papan pemuka dengan kemasan biru manakala untuk pasaran Australia ia menerima kemasan kelabu.

Toyota mengatakan jurutera mereka memfokuskan pada kualiti komponen yang terdiri dari butiran, tekstur, bentuk, warna dan pencahayaan pada setiap elemen, termasuk alur jahitan pada tempat duduk. Tempat duduk hadapan yang direka dengan dua tingkat SUV ini menggabungkan rekaan langsing, bahagian atas yang disokong dengan lebih kuat serta bahagian bawah yang lebih kukuh.

“Dengan sokongan yang kuat dari pasukan jurutera, kami mampu menghasilkan setiap perincian dan mencabar standard untuk mencipta harmoni bahagian dalaman yang lebih lancar. Akhirnya, kami percaya ia adalah bahagian dalaman yang mempunyai SQ (kualiti deria) terbaik pernah dilihat pada sebuah Toyota,” kata Mehmet Fatih Kale, jurutera senior di pasukan SQ Toyota Eropah.

C-HR yang dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) diukur dengan dimensi 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari Honda HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda CH-R juga 30 mm lebih panjang.

Toyota mengatakan rekaan CH-R yang garang mencerminkan keazaman presiden syarikat Akio Toyoda untuk membenarkan rekaan yang lebih bebas dan menggalakkan kreativiti kejuruteraan dengan rekaan yang lebih menarik serta memberikan nikmat pemanduan yang lebih mengujakan.

Ketua jurutera Kazuhiko Isawa berkata CH-R akan memberikan Toyota penampilan yang kuat dalam segmen yang sedang berkembang, mewujudkan sempadan baharu dengan kenderaan yang penuh dengan keaslian. “Pembaharuan ini datang dari keteguhan dan kekuatan SUV berkenaan. Tetapi kami tidak mencuba untuk membuat SUV yang dinamik; sebaliknya, sebuah kenderaan yang dinamik dengan ciri seperti SUV,” kata beliau.

2016_C-HR_02_BM

Model pasaran Australia bakal dilengkap dengan enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS dan tork maksima 185 Nm. Ia akan digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada enam kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD). Pasaran Jepun pula akan menerima enjin tanpa induksi paksaan 2.0 liter berkuasa 150 PS/193 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan. Jika spesifikasi yang sama dijual pada pasaran Malaysia, CH-R adalah 8 PS/21 Nm lebih berkuasa dari Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang dari MAzda CX-3 2.0. Varian hibrid yang menyadur terus unit janakuasa dari Prius turut bakal ditawarkan.

Untuk varian tertinggi, CH-R dilengkapi dengan sistem pra-pelanggaran Toyota Safety Sense dilengkapi dengan sistem brek automatik, kawalan kelajuan adaptif dan amaran keluar laluan dengan kawalan stereng. Ia juga menerima lampu tinggi automatik, kamera undur,tempat duduk dengan pemanas, sistem kunci automatik, sistem audio JBL 576 watt sembilan pembesar suara, roda aloi 18 inci serta cat metalik dua ton.

Dengan pasaran SUV segmen-B yang nampaknya mendapat sambutan sangat menggalakkan di Malaysia seperti yang boleh dilihat bagaimana prestasi jualan Honda HR-V, UMW Toyota pastinya sudah tidak sabar untuk menjual model ini memandangkan ciri yang ditawarkan oleh CH-R ini jelas bakal menggugat dominasi HR-V.