Public-Parking-Lots

Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150% di tempat tumpuan perniagaan (CBD) pada 18 Julai lalu dan kawasan yang terbabit ialah Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar,
banyak pihak termasuk orang ramai memberikan maklumbalas yang kurang menyenangkan. Rata-ratanya tidak bersetuju dengan keputusan DBKL, malahan ia dianggap sebagai menambahkan beban kepada masyarakat.

Dua hari kemudian, DBKL memutuskan untuk membatalkan kenaikan kadar parkir ini di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) serta-merta. Keputusan ini diambil selepas pihak DBKL berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut laporan The Star hari ini, ada lagi empat kawasan yang mungkin akan dikurangkan kadar caj parkirnya, di antara 25% hingga 50%. Kawasan terbabit termasuk Bangsar, Sri Hartamas dan Solaris Mont Kiara.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membincangkan isu ini dan dijangka keputusan bagi penstrukturan semula kadar caj parkir tersebut. Ia akan diumumkan mungkin pada hari ini atau pun esok.

tengku adnan bernama pix

Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di kawasan tumpuan perniagaan (CBD). Di mana caj parkir bagi kawasan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya. Kawasan terbabit termasuk
Bukit Bintang, Bukit Damansara, Hartamas, Solaris Mont Kiara, TTDI dan Bangsar.

Tengku Adnan berkata, “Kenaikan kadar caj parkir sebanyak RM2 untuk sejam pertama dan RM3 bagi jam yang berikutnya adalah untuk kawasan CBD sahaja. Kawasan penempatan penduduk seperti TTDI, Bangsar, Sri Hartamas dan kepong termasuk dalam CBD kalau mengikut pelan struktur lama DBKL.”

Sambungnya lagi, “Saya telah meminta DBKL untuk menilai semula kadar ini dan mendengar pandangan dari semua pihak terlibat. Namun kadar bagi CBD akan dikekalkan.”

Jika ia melibatkan penurunan sebanyak 25%, kadar caj sebanyak RM2 akan menjari RM1.50. Dan jika ia 50%, ia akan menjadi RM1 setiap jam. The Star turut mengutarakan, sekiranya penurunan 25% diluluskan, pengguna kenderaan, contohnya di Bangsar, yang memarkir kenderaan mereka selama lapan jam berterusan hanya perlu membayar RM12 berbanding RM23 mengikut kadar yang dinaikkan sebelum ini.