Hyundai Kona dilihat tanpa sebarang penyamaran

Hyundai Kona dilihat tanpa sebarang penyamaran

Imej teaser SUV segmen-B baharu dari Korea yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Toyota C-HR – Hyundai Kona – telah pun disiarkan berberapa kali sebelum ini, menampilkan lampu nyalaan siang dan juga keseluruhan mukanya. Sebelum kemunculan sulungnya, laman autoweek.nl terlebih dahulu telah menyiarkan imej penuh model berkenaan tanpa sebarang penyamaran.

Imej tersebut diambil ketika SUV ini membuat penggambaran iklan, memberikan gambaran jelas bagaimana rupa sebenarnya. Jika C-HR menampilkan rupa yang lebih agresif bagi menenggelamkan bayangan HR-V, Kona pula dilihat mempunyai imejnya yang tersendiri.

Seperti yang didedahkan pada imej teaser sebelum ini, muka Kona menampilkan rupa unik di mana lampu utama SUV ini diletakkan pada bahagian bawah, manakala lampu tirus di bahagian atas hanya berfungsi sebagai lampu nyalaan siang dan lampu isyarat membelok – direka dengan konsep yang sama seperti Citroen C3 dan Nissan Juke. Lampu berkenaan mengapit gril “cascading” seperti i30 baharu.

Bahagian sisi Kona pula menampilkan susuk badan yang agak berotot dengan panel-panel roda yang diberi gelembung, bersama kemasan-kemasan pelindung yang kelihatan lasak. Kemasan pelindung berkenaan turut bersambung dengan lampu hadapan, begitu juga bahagian belakang yang bersambung dengan lampu isyarat belakang.

Bumbung diwarnakan dengan kemasan hitam bermula dari tiang-A, manakala pada tiang-C diberikan kemasan krom sebagai pemisah bumbung dan badan membuatkan bumbungnya kelihatan seperti terapung. Selain dari lampu isyarat pada bampar, Kona turut diberikan lampu belakang utama yang direka tirus diletakkan pada bahagian atas.

Spyshot yang kami terima sebelum ini turut mendedahkan bahagian dalam SUV ini, yang dilihat direka agak ringkas menampilkan rekaan papan pemuka dengan aspek melintang, roda stereng tiga-jejari, dua meter analog utama, liang penghawa dingin lonjong, bersama skrin sesentuh sistem infotaimen yang diletakkan pada kedudukan agak tinggi.

Kona berkemungkinan besar dibina berasaskan platform yang sama dengan Creta/ix25 – direka untuk pasaran China dan India, dan juga platform sama untuk binaan i20. Jadi, dijangkakan SUV ini bakal menerima unit janakuasa yang sama seperti model-model berkenaan dan juga i30, iaitu enjin petrol empat-silinder 1.4 liter T-GDI turbo serta 1.6 liter turbodiesel CRDi. Kedua-dua enjin ini dipadankan sama ada dengan transmisi enam-kelajuan manual atau klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Seperti juga model-model SUV Hyundai lain, nama model baharu ini diambil dari nama tempat di Amerika – Kona merupakan satu daerah di Kepulauan Hawaii, dan ia menggambarkan imej energetik serta gaya hidup yang unik. Model baharu ini bakal diletakkan di bawah Tucson dan Santa Fe dalam barisan SUV Hyundai.

GALERI: Spyshot Hyundai Kona

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required