PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

Pencemaran alam adalah satu isu yang diambil penting pada masa kini dan kenderaan adalah antara penyumbangnya kerana menggunakan bahan api untuk memberi kuasa kepada enjin, seterusnya membebaskan gas karbon dioksida ke udara. Digandakan dengan jumlah kenderaan yang berada atas jalan, kesannya cukup besar.

Ini seterusnya memaksa pengeluar kenderaan memikirkan penyelesaian untuk mengurangkan kesan penggunaan kenderaan terhadap alam sekitar dan antara caranya adalah menggunakan sumber alternatif bagi memberi kuasa kepada enjin, dan yang paling berkesan sekarang adalah bateri. Hasilnya, wujudlah kenderaan elektrik, hibrid dan plug-in hybrid.

Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap langkah ini, seterusnya memperkenalkan rebat khas untuk kenderaan cekap tenaga (EEV). Model-model hibrid adalah antara yang terawal mengambil manfaat daripada insentif ini, dan pengguna berpeluang memiliki kenderaan seperti Toyota Prius, Honda CR-Z dan Lexus CT200h pada harga yang cukup menarik.

Walaubagaimanapun, struktur insentif tersebut telah dirujuk semula, dan kini hanya model yang dipasang di dalam negara sahaja yang layak menerima insentif tersbut. Ini mengakibatkan jumlah model yang ditawarkan menjadi kurang, dan banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pengeluar supaya harga model seperti ini dapat ditetapkan pada tahap bersesuaian bagi pengguna.

Antara yang terbaru dilancarkan di Malaysia adalah Hyundai Ioniq. Model seperti ini tidak terhad hanya kepada jenama biasa, tetapi turut serta adalah jenama mewah, di mana Mercedes-Benz contohnya ada menawarkan S400h dan C350e, Volvo dengan XC90 T8 manakala BMW pula mempunyai X5 Hybrid, 7 Series Hybrid dan 3 Series Hybrid.

PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

Saya berpeluang mencuba model terakhir tersebut iaitu BMW 330e, dan berikut adalah laporan pandu ujinya. Sementara anda mungkin pernah melihat laporan pandu uji kenderaan ‘mesra alam’ seperti ini disiarkan di sini seperti untuk Hyundai Ioniq, ini walaubagaimanapun adalah kali pertama saya mencuba model plug-in hybrid. Sebelum pergi lebih lanjut, mari berkenalan terlebih dahulu dengan kereta ini.

BMW 330e Sport dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu dengan harga RM248,800 tetapi awal tahun ini, BMW Group Malaysia telah menambah satu lagi varian bagi model ini iaitu M Sport, yang mempunyai kit badan lebih sporty dan tambahan kelengkapan, dijual pada harga RM258,800. Model yang saya pandu ini adalah 330e Sport.

Pada harga ini, 330e Sport terletak di tengah, dalam barisan kenderaan 3 Series BMW, tetapi jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, iaitu Mercedes-Benz C350e PHEV, 330e lebih murah, di mana C350e dijual pada harga antara RM288,888 dan RM298,888.

BMW 330e ini sekali pandang mungkin nampak biasa sahaja kerana rekaannya biasa sahaja, sama seperti model-model BMW yang lain. Tiada yang begitu menyerlah dan tiada kemasan warna biru atau hijau pada badannya untuk menandakan ia adalah sebuah model ‘mesra alam’.

Cuma bagi yang betul-betul kenal, barulah anda akan dapat mengetahui ia adalah model PHEV kerana pertamanya, tentu adalah lencana nama modelnya yang terdapat di belakang, kemudiannya lencana e-drive di c-pillar kenderaan tersebut. Pada fender kiri pula, berhampiran tayar terdapat tempat untuk mengecas bateri. Kenderaan ini turut dilengkapi lampu LED penuh pada bahagian depan dan belakang, bersama rim 18 inci secara standard.

BMW 330e menggunakan enjin yang sama seperti kebanyakan 3 Series F30, iaitu enjin empat silinder 2.0 liter B48 TwinPower Turbo, dan ia ditala untuk memberi kuasa sebanyak 184 hp pada antara 5,000 hingga 6,500 rpm, dan 290 Nm tork antara 1,350 hingga 4,250 rpm, sama seperti varian 320i.

Namun sudah tentu, sebagai sebuah model PHEV, ia mempunyai motor elektrik dan bateri – iaitu motor yang berkuasa 87 hp/ 250 Nm, dan bateri lithium-ion 5.7 kWh. Gabungan motor elektrik dan enjin petrol ini mampu menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 252 hp dan 420 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.1 saat (0.5 saat lebih lambat berbanding 330i) dan laju maksimum 225 km/j (330i boleh mencapai 250 km/j).

Untuk mod pemanduan, BMW 330e disediakan dengan empat pilihan iaitu Eco Pro, Comfort, Sport dan Sport Plus, tetapi bagi operasi eDrive, terdapat tiga lagi pilihan iaitu Auto eDrive, Max eDrive dan Save Battery.

Dalam mod Auto eDrive, kereta boleh digerakkan dengan sama ada kuasa daripada enjin ataupun motor elektrik, dan ia diuruskan secara automatik, bergantung kepada cara pemanduan dan tahap bateri. Dalam mod Max eDrive pula, kereta akan menggunakan kuasa motor elektrik sepenuhnya, sehinggalah pedal minyak ditekan lebih, manakala Save Battery pula menggunakan kuasa enjin sahaja.

PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

Pengalaman saya bersama kereta ini bermula dengan perjalanan dari pejabat di Petaling Jaya pulang ke rumah di Kelana Jaya. Memandangkan di tempat letak kereta pejabat saya terdapat lot khas untuk mengecas kereta elektrik atau PHEV, rakan sekerja, Jonathan Lee telah berbaik hati mengecas kereta ini dan diserahkan kepada saya dengan tahap bateri penuh.

Memandangkan hari itu adalah hari Jumaat dan saya pulang sekitar jam 7 malam, trafik memang sesak, dan saya sekadar membiarkan keadaan kereta dalam mod bagaimana ia bermula secara automatik iaitu Auto eDrive dan Comfort.

Perjalanan melalui Lebuh Raya Persekutuan sebenarnya tidak begitu jauh, sekitar 10 km, tetapi mengambil masa hampir 45 minit kerana jalan sesak. Dalam keadaan itu, kuasa bateri banyak digunakan dan apabila tiba di rumah, saya dapati bateri hanya tinggal dua bar, daripada keseluruhannya ada lima.

Baiklah. Cukup bagus kerana perjalanan saya menggunakan begitu minimal bahan api dan lebih kepada kuasa daripada bateri dan motor elektrik sahaja. Sekarang, untuk memastikan perjalanan saya yang berikutnya mendapat manfaat yang sama, saya perlu memikirkan cara untuk mengecas pula kenderaan ini. Memang ia ada sistem penjanaan semula kuasa brek untuk mengecas bateri, tetapi setelah sekian lama seperti tidak menunjukkan sebarang peningkatan kepada tahap bateri.

BMW 330e didatangkan dengan pengecas tiga pin untuk rumah, tetapi masalahnya, saya tinggal di rumah bertingkat, yang tempat letak keretanya tidak mempunyai sebarang soket elektrik. Kemudiannya, saya meminta ihsan pengawal keselamatan untuk meletakkan kenderaan berhampiran tempat mereka, dan mengecas kereta. Walaupun wayar pengecas yang disediakan agak panjang, saya masih perlu menggunakan sambungan kerana tetap tidak sampai.

Melihatkan semuanya seperti bagus, saya pun naik ke rumah. Tetapi dalam hati masih ada rasa tidak sedap, kerana apa yang saya cas tersebut bukan peralatan elektronik biasa, malah adalah sebuah kereta. Terus, saya mulakan pencarian dalam Google adakah cara saya itu selamat.

Rupanya tidak, kerana untuk menggunakan wayar sambungan (extension wire), saya perlu menggunakan unit yang mempunyai wayar lebih tebal dan kepala soket yang boleh tahan dengan arus tinggi. Terus, saya bergegas turun kembali ke bawah untuk menghentikan pengecasan.

Masa yang berlalu cuma sekitar 15 minit, tetapi kepala soket pada wayar sambungan saya sudah mula cair manakala wayarnya sendiri sudah mula terasa lembik dan panas, hanya menunggu masa sahaja untuk cair. Walaubagaimanapun, tiada apa-apa yang berlaku pada soket pengecas khas yang disediakan dan kenderaan itu sendiri.

PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

Keesokannya, saya mencari cara lagi untuk mengecas kenderaan ini, memandangkan pengalaman saya menggunakan sistem hibridnya dirasakan sangat sekejap. Selain pengecas tiga pin yang diberikan sekali dengan kereta, pemilik juga mempunyai pilihan untuk membeli kabel pengecas Mennekes Type 2, pada harga RM1,442 termasuk GST.

Dengan adanya kabel ini, dan kad akses yang diberikan sekali, pemilik boleh mengecas kereta di stesen pengecas ChargEV di seluruh negara yang kebanyakannya berada sama ada di stesen minyak ataupun pusat membeli-belah. Walaubagaimanapun, tidak semua stesen ini menyediakan pengecas Type 2 dan anda perlu mencari pula tempat yang mempunyainya.

Saya tahu, selain di Jaya One, terdapat juga tempat mengecas di pusat beli-belah The Curve. Jadi, demi mengecas semula kereta ini, saya membuat keputusan pergi ke sana dan sementara mengecas kereta, saya boleh makan tengahari serta membeli barang keperluan. Tak dapat sehingga penuh, memadailah sekiranya tahap bateri itu boleh naik satu atau dua bar.

Ia tidak semudah yang dijangka. Apabila saya tiba di tempat itu, sebuah Volvo XC90 T8, dan sebuah lagi BMW 330e sedang dicas. Apabila ditanya kepada pihak pengurusan, hanya dua lot sahaja tempat mengecas yang disediakan dan tiada lagi sama ada di tingkat atas atau bawah. Jadi, saya masuk pula ke pusat beli-belah bersebelahan iaitu Ikea.

Setelah masuk, saya tidak membuang masa seperti di The Curve dengan berpusing-pusing sekitar tempat letak kereta itu beberapa kali, sebaliknya terus bertanya kepada pekerja di situ. Sekali lagi saya hampa kerana katanya, tempat yang menempatkan lot pengecas itu sedang diubah suai dan ia kini tidak boleh digunakan. Penyelesaian yang dapat difikirkan adalah masuk ke laman web GreenTech Malaysia, iaitu penyedia stesen pengecas ChargEV ini.

PANDU UJI: BMW 330e – berbaloikah memiliki PHEV?

Nampaknya itu juga tidak membantu, kerana apabila masuk ke laman web tersebut, yang tertulis hanyalah “Akan Datang”. Memikirkan perut sudah lapar, ditambah pula ‘bersiar-siar’ dalam kawasan letak kereta, saya membuat keputusan pergi sahaja ke Jaya One, Petaling Jaya, tempat yang saya pasti ada lot mengecas ChargEV.

Nasib baik, terdapat satu lagi lot kosong sebaik saya tiba di sana, dan di sebelah, terdapat sebuah lagi BMW 330e. Operasinya ringkas – sentuh kad ChargEV di mesin, sambungkan kabel tadi dan anda sudah boleh mengunci kenderaan dan beredar dari situ. Akhirnya, saya boleh menikmati makan tengahari, walaupun sebenarnya waktu sudah petang.

Saya bukanlah seorang yang gemar menghabiskan masa di pusat beli-belah, dan selepas makan makanan yang mahal di pusat beli-belah, saya sudah terpinga-pinga apa yang hendak dibuat di situ. Terpaksalah juga saya ‘bersukan’, berjalan kaki memusing pusat beli-belah itu tanpa sebarang tujuan. Selepas hampir sejam, saya fikir, cukuplah.

Pergi ke kereta selepas itu, saya dapati tahap bateri hanya naik dua bar, tetapi sekurang-kurangnya dapatlah saya menguji sedikit lagi prestasinya. Dalam pergerakan sekitar kawasan bandar, saya dapat mencatat penggunaan bahan api sekitar 3.2 l/100 km dalam mod Auto eDrive.

Untuk pengetahuan anda, BMW menyiarkan bahawa kenderaan ini boleh mencatat penggunaan bahan api bercampur serendah 2.1 l/100 km, dan dengan menggunakan bateri sahaja, ia boleh bergerak sehingga 35 km. Selain itu, anda juga boleh bergerak sehingga kelajuan 80 km/j dengan kuasa bateri sahaja, dan lebih tinggi daripada itu, ia akan menggunakan kuasa enjin petrol.

Sebagai sebuah kenderaan BMW, kualiti pemanduan masih lagi sama. Anda akan dapat menikmati sebuah kereta yang terasa cukup tegap atas jalan, dan mampu bertahan dengan pemanduan yang bersemangat. Itu adalah perkara yang sentiasa menarik perhatian saya terhadap kenderaan BMW, dan ia masih ada pada 330e. Kuasa sterengnya dibantu dengan kuasa elektrik tetapi ia masih memberi berat yang berpadanan dan memuaskan untuk mereka yang gemar melyan selekoh.

Untuk suspensi, walaupun tidak mempunyai unit dinamik seperti 330i yang boleh dilaras, ia masih lagi bertindak baik untuk memastikan kenderaan dapat terus mencengkam dan stabil di selekoh, dan pada masa sama, kekal selesa untuk semua penumpangnya.

Bukan sekadar itu sahaja, segala tetapan di dalam kokpit kenderaan juga berada di tempat yang betul. Dengan duduk sahaja di dalam 330e, anda akan dapat merasa segalanya serba kena. Tombol gear boleh dicapai dengan mudah, stereng dan tempat duduk boleh dilaras banyak kedudukan dan tempat duduk cukup empuk dan mempunyai sokongan yang baik.

Jika dibandingkan dengan 3Series F30 yang lain, ruang simpanan di belakang 330e lebih kecil 110 liter, iaitu 370 liter sahaja. Walaubagaimanapun, ini dianggap masih lagi memadai, dan ia sebenarnya lebih besar berbanding pesaing paling dekatnya, Mercedes-Benz C350e yang menyediakan hanya 335 liter. Tetapi, satu kekurangan 330e adalah tempat duduk belakangnya tidak boleh dilipat. Benda ini sahaja boleh membuatkan orang mempertimbangkan kembali untuk membelinya.

Jadi, sebelum membeli kenderaan ini, anda harus tahu bahawa rupa dan pemanduannya memang adalah tipikal sebuah BMW, dan bagi yang gemar memandu, anda pasti tidak akan hampa. Namun, untuk mendapat manfaat daripada enjin baru ini, banyak lagi perkara yang anda perlu lakukan. Malah, anda juga perlu mengubah cara hidup.

Setiap perjalan perlu dirancang, dan suasana sekitar anda perlu sesuai dengan kenderaan ini. Itu jika anda betul-betul mahu mengambil manfaat daripada sistem hibrid yang disediakan. Namun, ada orang, mereka sekadar suka untuk memiliki sesuatu yang lebih. Biarlah kelebihan itu ada, tetapi tak digunakan pun tidak mengapa. Namun bila tiba masa ingin menggunakannya, ia ada dan mereka boleh mengusahakannya. Terpulanglah pula pada anda.

Jika ingin tahu lebih lanjut berkenaan spesifikasi serta membandingkan BMW 330e dengan kenderaan lain, layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • The correct fuel consumption is 2.1 lit/100 km, not 2.1 km/lit as in the article. The other figure has incorrect unit too.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required