Subaru WRX dan WRX STI berdasarkan Impreza generasi terkini hanya akan muncul tiga tahun lagi

Subaru WRX dan WRX STI berdasarkan Impreza generasi terkini hanya akan muncul tiga tahun lagi

Subaru Impreza generasi kelima telah pun membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada Mac 2016. Namun setelah lebih setahun dalam pasaran, tiada lagi tanda-tanda dari jenama berkenaan bakal memperkenalkan pula versi prestasi tinggi tradisinya iaitu WRX dan WRX STI. Penggunaan platform generasi sebelumnya itu sebagai model lebih berkuasa berkenaan nampaknya masih lagi diteruskan di mana versi WRX STI lebih hardcore iaitu WRX STI Type-RA baharu sahaja diumumkan sebelum ini.

Adakah WRX akan menerima nasib yang sama seperti seteru utamanya – Lancer Evolution – yang telah sah dihentikan pengeluarannya? Nasib baik tidak kerana menurut pengarah urusan Subaru Australia Colin Christie dalam laporan oleh motoring, WRX dan WRX STI generasi baharu bakal membuat penampilan dalam masa dua setengah hingga tiga tahun dari sekarang.

Menurut Christie, jurutera-jurutera Subaru buat masa ini masih sedang membangunkan unit janakuasa baharu untuk WRX bagi dipadankan bersama Subaru Global Platform, iaitu asas pembinaan Impreza dan XV generasi baharu. Dijangka, WRX dan WRX STI yang dibina berasaskan platform berkenaan bakal hadir dalam tempoh paling cepat 30 bulan dari sekarang.

Christie turut ditanya adakah Impreza standard dan XV yang menggunakan paltform baharu ini bakal menerima enjin yang lebih berkuasa selain enjin boxer 2.0 liter NA sedia ada? “Kami gembira sekiranya mempunyai kereta yang lebih berkuasa,” kata Christie dan menambah “Tetapi tiada enjin yang sesuai buat masa sekarang. Enjin turbo 1.6 liter pada Levorg tidak sesuai untuk dipadankan, jadi model sport Impreza tidak dapat diwujudkan.”

Menurut beliau lagi, buat masa sekarang pemilik-pemilik Impreza generasi baharu masih lagi gembira dengan 154 hp yang dihasilkan oleh enjin boxer 2.0 liter tersebut, dibuktikan dengan jualan yang meningkat 50% walaupun secara keseluruhan jualan segmen kereta berkenaan kini sedang mengecil di Australia.

“Dari sudut pandangan kami enjin berkenaan beroperasi dengan sempurna berdasarkan tujuan asas kereta tersebut dibina. Jika mengikut minat saya terhadap kereta, memang saya mahukan semua kereta diberikan pengecas turbo, tetapi realitinya setiap kereta di bina berdasarkan kegunaannya yang tersendiri,” jelas Christie.

GALERI: Subaru Impreza 2017 pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required