Proton Iriz R5 juara Rally Stage di FOS 2017!

Proton Iriz R5 juara Rally Stage di FOS 2017!

Goodwood Festival of Speed (FOS) 2017 sudahpun melabuhkan tirainya hari ini, dan menurut posting terbaharu laman facebook Mellors Elliot Motorsport (MEM), jentera rali Proton Iriz spesifikasi R5 binaan mereka telah dinobatkan sebagai juara kategori kereta rali moden di Rally Stage FOS 2017!

Apa yang lebih membanggakan, kemenangan ini dikecapi ketika Iriz R5 membuat kemunculan sulungnya pada khalayak ramai, serta menewaskan pelbagai jentera rali lain yang jauh lebih berkuasa. Namun, kami masih lagi menunggu keputusan rasmi dari pihak FOS sendiri untuk melihat catatan masa rasmi serta perbezaan masanya berbanding jentera-jentera lain yang bertanding.

Hatchback segmen-b jenama automobil dari Malaysia berkenaan dipandu sendiri oleh Oliver Mellors di FOS, dan ia bertarung dengan jentera-jentera rali lain untuk mencatatkan masa terpantas di Rally Stage tersebut.

Iriz yang disuntik steroid ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

Berita berkenaan pembinaan jentera rali Proton Iriz R5 telah dihidu oleh kami pada tahun lalu, apabila Mellors Elliot Motorsport (MEM) menerusi media rasminya, Chicane Media menyiarkan imej teaser jentera berkenaan di laman Facebook mereka. Kemudian, kami telah mengesan pula imej penuh kereta rali berkenaan di laman instagram Furancho Racing, tujuh bulan sebelum didedahkan secara rasmi oleh MEM.

Proton Iriz R5 bukanlah dibina oleh Proton sendiri atau divisi perlumbaannya iaitu Proton R3, sebaliknya ia adalah projek dari MEM setelah sebelum ini berjaya membangunkan Proton Satria Neo S2000. Program yang dijalankan oleh MEM ini adalah saling tak tumpah seperti yang dilakukan oleh M Sport yang membina Ford Fiesta R5 – M Sport tidak ada kaitan terus dengan Ford, dan jentera R5 mereka bukan sahaja untuk kegunaan pasukan sendiri, malah ia turut dijual dan disewakan kepada pasukan-pasukan rali persendirian untuk bertanding pada mana-mana rali kelas R5 yang dipantau oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

MEM menerusi laporan sebelum ini juga telah mengesahkan Proton Iriz R5 akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018. Dengan kejayaan yang dikecapi Iriz pada hari ini, mungkin petanda awal ia akan memberikan siangan sengit kepada jentera R5 lain seperti Ford Fiesta R5 dan juga Skoda Fabia R5 pada WRC2 musim hadapan.

GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required