Honda Jazz facelift baharu versi pasaran Eropah terima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 130 PS

Honda Jazz facelift baharu versi pasaran Eropah terima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC berkuasa 130 PS

HONDA REVEALS FRESH LOOK AND NEW ENGINE OPTION FOR JAZZ SUPERMINI

Tidak seperti Jepun dan ASEAN khususnya Malaysia dan Thailand yang telah pun menerima Honda Jazz versi facelift, pasaran Eropah masih lagi belum menerima hatchback lima-pintu versi kemaskini berkenaan. Namun set imej pertama Jazz untuk benua berkenaan kini sudahpun di siarkan.

Selain dari penyegaran pada luaran dan dalaman, versi Eropah turut menerima enjin petrol 1.5 liter i-VTEC sama seperti versi Amerika buat pertama kali (pasaran Malaysia hanya menghasilkan 120 PS manakala pasaran Jepun lebih berkuasa dengan 132 PS).

Jazz pasaran Eropah ini juga menampilkan rupa yang berlainan dari apa yang ditawarkan di Malaysia. Gril hadapan diberikan rekaan baharu manakala perumah lampu hadapan juga menerima sedikit sentuhan semula. Rekaan bampar hadapan turut dirombak menampilkan rupa yang lebih agresif pada bahagian liang udara. Secara keseluruhan, bampar berkenaan membuatkan muncung Jazz ini kelihatan lebih tajam.

Varian Dynamic baharu diperkenalkan untuk kali ini yang menampilkan splitter udara nipis yang ditempatkan di bawah gril bampar serta diffuser dengan tiga bahagian pada bampar belakang. Kemasan-kemasan baharu tersebut turut diberikan serlahan jalur merah bagi menaikkan imej sporty hatchback ini. Bahagian belakang juga diberikan jalur kemasan baharu berwarna hitam pada pintu tailgate. Penyegaran bahagian luaran ini diakhiri dengan tawaran warna baharu didalam brosur iaitu Skyride Blue.

Selain dari kemasan-kemasan istimewa, varian Dynamic turut diberikan lampu hadapan LED, lampu kabus hadapan, skirt sisi, spoiler belakang dan juga rim aloi 16-inci kemasan hitam berkilat dibaluti tayar 185/55R16. Bahagian dalaman pula dipadankan dengan upholsteri bercorak pinstripe unik bersama roda stereng dan tombol gear balutan kulit diserlahkan dengan jahitan benang oren.

Enjin i-VTEC berkuasa 130 PS dan memenuhi piawaian Euro-6 berkenaan akan menjana versi Dynamic tersebut. Ia digandingkan sama ada dengan transmisi enam-kelajuan manual atau CVT automatik. Namun, enjin 1.3 liter i-VTEC berkuasa 102 ps pada versi sebelum ini masih lagi ditawarkan untuk semua varian, kecuali untuk gred Dynamic.

Jazz pasaran Eropah akan diberikan ciri-ciri standard seperti cruise control, pemanas tempat duduk, lampu hadapan automatik, dan juga brek kecemasan automatik-bandar. Varian lebih tinggi pula dibekalkan dengan sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, dan juga kelengkapan keselamatan seperti Amaran Pelanggaran Hadapan, Amaran Keluar Laluan serta Pengesan Tanda Trafik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required