GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

Hatchcback lima-pintu Volvo V40 mula masuk ke pasaran Malaysia bermula 2013 (tidak termasuk model wagon generasi sebelumnya) dan sehingga kini ia hadir dalam pelbagai versi. Tahun lalu Volvo Cars Malaysia tidak lagi menjual V40 dengan versi T4 yang menggunakan enjin 1.6 liter dan dikaitkan dengan enjin EcoBoost dari Ford, manakala enjin 2.0 liter lima-silinder turbo pada versi T5 pula digantikan dengan enjin generasi baharu 2.0 liter empat silinder turbo Drive-E yang lebih berkuasa.

Tahun ini, V40 sekali lagi menerima tingkat taraf, kali ini melibatkan perubahan facelift. Dilancarkan pada Jun lalu, V40 facelift menerima penyegaran pada bahagian luaran dan juga sedikit perbezaan pada bahagian dalaman. Untuk memberikan ia imej yang setara seperti SUV XC90 dan juga pasangan sedan S90 serta wagon V90, V40 kini menerima gril baharu dengan jeriji menegak menggantikan jeriji ‘egg-crate‘ sebelum ini, bersama logo ‘iron mark’ baharu yang lebih besar.

Ia juga kini diberikan lampu hadapan signatur baharu bersama lampu nyalaan siang bina-dalam LED ‘Thor’s Hammer’ sama seperti barisan model-model flagship Volvo. Model baharu ini turut menerima lencana Inscription iaitu trim tertinggi dalam sesebuah model Volvo global (trim asas Kinetic, pertengahan Momentum dan tertinggi Inscription).

GALERI: Volvo V40 T5 Drive-E Inscription facelift 2017

Sedikit penyegaran dilakukan pada bahagian dalaman, antaranya kemasan Milled Aluminium kini menggantikan kemasan Shimmer Graphite pada model sebelum ini, manakala pada para bendul sisi juga diberikan plat dengan logo Inscription. Logo Iron Mark baharu Volvo bukan sahaja ditukar pada bahagian luar, malah pada roda stereng dan kunci kereta ini juga menerima logo baharu berkenaan.

Bagi sistem pendingin hawa pula, ia masih mengekalkan ciri dan sistem asal, tetapi kini turut diberikan tambahan sistem Cleanzone (diberitahu dengan tanda yang dicetak pada liang pendingin hawa) bagi memberikan udara yang lebih bersih dan segar.

Tiada perubahan diberikan pada unit janakuasa di mana V40 T5 facelift masih dijana enjin 2.0 liter turbo Drive-E berkuasa 245 hp dan tork maksima 350 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Walaupun pada luarannya nampak begitu ‘lembut’, hatchback ini sebenarnya mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 6.3 saat – 0.2 saat lebih pantas berbanding Volkswagen Golf GTI sedia ada bagi pasaran Malaysia.

Volvo juga tidak membuat sebarang perubahan dari segi talaan suspensi mahupun dinamik keseluruhan model baharu ini. Jadi, pemanduannya masih lagi sama seperti model sebelum ini, yang telah kami ujinya dan anda boleh baca ulasan berkenaan DI SINI. Versi sebelum ini juga hadir dengan pilihan talaan berprestasi tinggi Polestar Optimisation, mengekstrak kuasa 253 hp/400 Nm dari enjin asal, suspensi lebih keras serta pelbagai lagi tingkat taraf lain – ulasan pandu ujinya juga boleh anda baca DI SINI.

Sistem keselamatan dari model sebelumnya turut terus dibawa pada versi facelift ini. Ia termasuk City System; yang menurut Volvo merujuk kepada ciri dan teknologi Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Collision Avoidance and Mitigation. Ia turut diberikan ciri lain seperti Blind Spot Information System (BLIS), Park Assist Pilot (PAP) serta Cross Traffic Alert (CTA).

Empat pilihan warna ditawarkan kepada pelanggan; Luminous Sand (baru), Ice White, Onxy Black dan Osmium Grey. Volvo V40 T5 Inscription 2017 ini dijual pada harga atas jalan dengan GST tidak termasuk insuran RM180,888. Setiap pembelian V40 T5 Drive-E disertakan dengan perlindungan waranti lima tahun tanpa had perbatuan serta bantuan tepi jalan Volvo On Call juga selama lima tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required