Perkhabaran yang kami terima dari Indonesia – model baru Suzuki Ertiga sedang disiapkan dan direncanakan untuk pengenalan di pasaran sana pada separuh tahun pertama 2018. Berita ini didapati daripada sebuah laman automotif Indonesia iaitu Otomania, yang memetik ayat daripada temu ramah dengan pengarah pemasaran PT Suzuki Indomobil, Donny Saputra.

Berita ini juga muncul kerana segmen MPV permulaan di Indonesia adalah begitu penting dan keadaan bertambah meriah dengan ketibaan Mitsubishi Expander yang membuat penampilan bulan lalu, dan juga Wuling Confero, yang lebih murah. Kedua-dua model ini adalah peserta baru dalam segmen di mana pesaing lainnya adalah termasuk Honda Mobilio, Toyota Avanza, Daihatsu Xenia dan Ertiga sendiri.

Suzuki Ertiga pernah diberikan facelift pada tahun 2015, tetapi sejak itu, ia tidak banyak berubah berbanding model yang pernah muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012. MPV bajet tujuh tempat duduk ini menggunakan platform Swift, manakala model generasi baru Swift dilancarkan pada Disember 2016. Lukisan render di atas adalah sebuah Ertiga yang dimasukkan dengan ciri Swift baru.

Ertiga semasa ini juga digunakan untuk model Proton yang dijenamakan semula, tetapi masih menggunakan nama sama. Disebabkan kini Proton sudah mempunyai rakan kongsi strategik dari China, iaitu Geely, berkemungkinan ia tidak lagi akan menggunakan platform Suzuki selepas ini.