Awal tahun ini, Honda Malaysia telah mengumumkan mereka akan melancarkan enam model untuk tahun 2017 – lebih dua model daripada apa yang dirancangkan sebelum itu. Salah satu model berkenaan kami jangkakan adalah Honda Civic Type R generasi baharu (FK8), yang mana ia mungkin semakin jelas apabila rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris diberi peluang untuk memandu uji kereta berkenaan di Dresden, Jerman.

Hari ini, jangkaan tersebut nampaknya semakin nyata apabila pembaca kami, Galvin Tan menghantar gambar sebuah kereta misteri yang dibalut hampir keseluruhannya diatas sebuah treler di plaza tol KLIA. Namun tidak sukar untuk mengenal pasti kereta berkenaan menerusi rekaan spoiler belakang yang begitu agresif serta tiga tip ekzos pada bahagian tengah bampar belakang yang begitu unik – tentunya ia sebuah Civic Type R FK8!

Honda Civic Type R generasi baharu ini telah dibina dan diproduksi di kilang Honda Swindon, UK, serta diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global di Geneva Motor Show tahun lalu. Untuk pasaran ASEAN, negara yang mengamalkan pemanduan sebelah kiri iaitu Filipina merupakan negara pertama yang menerimanya, diikuti Indonesia yang dilancarkan pada GIIAS 2017 bulan lalu.

Untuk peringkat global, enjin 2.0 liter VTEC Turbo pada Civic berkenaan menjana 320 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Walau bagaimanapun, untuk pasaran Indonesia enjin berkenaan hanya ditala bagi mendapatkan 310 PS. Dengan padanan kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem suspensi dan kit aero yang lebih jitu, Civic Type R kini memegang takhta kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring, Jerman.

Berbalik pada model pasaran Indoensia, hatchback berkenaan diberikan rim aloi Berlina kemasan hitam berdiameter 20-inci, dibaluti tayar Continental SportContact6 245/30R20 yang dibina khas untuknya. Ia turut hadir dengan suspensi adaptif dengan tiga mod pemanduan (Comfort, Sport and R+) serta sistem brek dari Brembo. Ia dijual pada harga 995 juta rupiah atau sekitar RM32,100.

Jika benar FK8 dipasarkan di Malaysia, ini kali kedua Honda Malaysia berjaya membawa masuk legasi Civic paling berkuasa berkenaan setelah berjaya membawa Civic R FD2R sebelum ini. Di jual pada harga hampir RM200k lengkap dengan waranti pengeluar, Malaysia satu-satunya negara luar Jepun yang menerima model JDM berkenaan secara rasmi ketika itu.