Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan plug-in hybrid

Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan <em>plug-in hybrid</em>

Ketika majlis pengumuman barisan pentadbiran baharu Proton pagi tadi, pakatan Proton-Geely turut mendedahkan sebahagian rancangan mereka dari segi perkongsian teknologi pada masa akan datang, khususnya untuk teknologi enjin serta transmisi.

“Geely akan memberikan semua sokongan yang diperlukan. Geely akan membekalkan enjin dengan teknologi terkini kami. Untuk pengetahuan anda, enjin Proton buat masa ini hanya diiktiraf pada tahap emisi Euro 4. Geely bakal membekalkan enjin Euro 6 dan keatas,” kata naib presiden eksekutif dan ketua pegawai kewangan Zhejiang Geely (ZGH), Daniel Li Dong Hui.

Teknologi yang bakal disalurkan ini bukan sahaja terdiri dari enjin petrol konvensional, malah turut melibatkan unit janakuasa dengan teknologi elektrik. “Geely akan menyediakan transmisi yang bukan sahaja boleh digunakan pada berberapa kereta, malah turut fleksibel untuk digunakan pada teknologi yang menggunakan sumber tenaga baharu, termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Kami akan menyediakan pembangunan produk baharu, termasuk model baharu kami serta kereta hibrid dan elektrik,” tambah Li lagi.

“Ya, ini merupakan perkara yang bakal kami kecapi, dan Geely sudah mengecapi teknologi berkenaan. Ini merupakan salah sebab utama mengapa Proton perlukan rakan stretegik, di mana kami dapat menerima akses lebih cepat kepada teknologi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV),” jelas Pengerusi Proton Holdings, Datuk Sri Syed Faisal Albar.


Geely Emgrand EV

Geely mempunyai latar belakang teknologi elektrik yang sangat baik berikutan kerjasama pembangunan teknologi yang dijalankan bersama sebuah lagi syarikat jenama premium di bawah naungannya iaitu Volvo dari Sweden. Kerjasama berkenaan telah menghasilkan model elektrik sepenuhnya Emgrand EV, dan ia akan diikuti oleh versi plug-in hybrid yang dijangka akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

Geely juga telah menubuhkan divisi mewahnya (seperti Toyota-Lexus, Nissan-Infiniti) dengan jenama Lynk & Co, yang mendapat kerjasama lebih rapat dari Volvo dari segi platform kenderaan, pembangunan unit janakuasa serta teknologi elektrik.

Apa yang pasti, buat permulaan kerjasama Proton-Geely ini bakal membuahkan SUV pertama Proton dan model pertama pakatan berkenaan yang dijangka akan menjengah pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018. Selepas itu, Proton dengan bantuan Geely bakal memperkenalkan model baharu untuk setiap tahun, dan akses teknologi yang bakal diterima ini tentunya bakal membawakan pelbagai lagi model-model yang mengujakan.

Geely Boyue dipasarkan di China dengan pelbagai jenis varian enjin. Ia termasuk versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter petrol NA berkuasa 139 hp/178 Nm), 2.4 liter petrol NA berkuasa 153 hp/225Nm dan yang paling berkuasa 1.8 liter petrol suntikan bahan api terus dengan pengecas turbo berkuasa 161 hp/250 Nm.

Untuk Boyue versi Proton, ia dijangka bakal menggunakan enjin 1.8 liter turbo dengan transmisi automatik enam-kelajuan, memacu hanya roda hadapan. Rakan kami dari paultan.org versi bahasa inggeris telah pun menguji SUV berkenaan di China baru-baru ini, dan anda boleh membaca ulasannya DI SINI.

Walau bagaimanapun perincian berkenaan bila unit-unit janakuasa berteknologi tinggi ini akan digunakan pada model-model Proton masih lagi belum diketahui. Sama ada ia turut akan digunakan pada model-model sedia ada ataupun hanya akan digunakan pada model-model akan datang juga masih lagi samar. Apa yang pasti, kerjasama ini pastinya disasarkan bagi keuntungan kedua-dua pihak.

“Geely perlu melabur puluhan bilion dolar untuk kesemua pembangunan produk baharu ini. Kami tidak meminta untuk Proton membuat perkara yang sama dengan pelaburan tambahan. Jadi Proton hanya perlu melabur untuk mempertingkatkan produksi dan kelengkapan kilang, kualiti dan juga pengenalan produk-produk baharu,” jelas Li.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required