Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

Kita di Malaysia mengenali Toyota Crown sebagai teksi pada era 70’an dan 80’an, dan ia juga merupakan sedan Toyota paling besar serta merupakan model flagship jenama berkenaan. Namun setelah Toyota Camry diperkenalkan di sini, Crown tidak lagi dibawa kepasaran tempatan.

Sebenarnya Crown masih lagi terus dijual dan berevolusi di pasaran Jepun dan ia kekal sebagai sebuah sedan mewah. Generasi ke-14 sedia ada Toyota Crown dengan kod casis S210 diperkenalkan pada tahun 2012, dan ia sudah hampir ke penghujung hayat produksinya. Pada Tokyo Motor Show tahun ini, Toyota bakal membawakan model konsep Toyota Crown generasi baharu untuk diprebiu.

Sebelum ia membuat penampilan sulung, Toyota telah menyiarkan dua imej rasmi sedan mewah berkenaan. Model generasi baharu ini menampilkan rupa yang lebih sporty dan bertenaga. Ia juga menampilkan enam-cermin pada profil sisi, sama seperti Lexus LS generasi terkini.

Muka sedan ini juga direka dengan begitu agresif menampilkan lampu utama LED dan juga gril baharu. Imej model baharu yang disiarkan ini turut menampilkan rim aloi berdiameter besar dengan elemen rekaan turbin yang sporty – berkemungkinan ia dari varian Crown Athlete. Varian mewah Crown Royal dan versi lebih panjang dan lebih premium Crown Majesta dijangka turut dijangka akan diteruskan.

Model generasi baharu ini diukur dengan dimensi 4,910 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,455 mm tinggi manakala jarak rodanya pula 2,920 mm. Berbanding model sedia ada, Crown generasi seterusnya ini adalah 25 mm lebih panjang, 5 mm lebih tinggi manakala jarak rodanya pula 70 mm lebih panjang.

Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

Model ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan dijangka bakal berkongsi banyak komponen dengan Lexus GS generasi berikutnya. Ia juga dijumpai diuji di litar Nürburgring, Jerman, jadi boleh dijangka ia bakal menampilkan pengendalian yang lebih sporty.

Model ini juga dijangka bakal mengekalkan enjin dari generasi sedia ada iaitu enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbo berkuasa 235 PS dan tork maksima 350 Nm, digandingkan bersama kotak gera automatik lapan-kelajuan. Versi yang dijana enjin 3.5 liter NA berkuasa 318 hp/380 Nm bersama transmisi automatik 10-kelajuan juga berkemungkinan akan ditawarkan, sama seperti Lexus LS 350 yang hanya dipasarkan di China.

Untuk versi hibrid pula, model ini dijangka bakal dipacu unit janakuasa Multi Stage Hybrid System yang diambil dari Lexus LS 500h dan LC 500h. Unit berkenaan menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter Dual VVT-i berkuasa 295 hp/350 Nm dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 354 hp. Kedua-dua motor elektrik berkenaan beroperasi bersama kotak gear empat kelajuan bagi memberikan kesan pemanduan seperti menggunakan kotak gear 10-kelajuan.

Bagi sistem keselamatan pula, Crown baharu ini terus dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik dan juga sistem hubungan komunikasi ITS Connect kenderaan-ke-infrastruktur (V2I) dan juga kenderaan-ke-kenderaan (V2V). Menerusi model generasi ke-15 ini, ia turut hadir standard dengan Modul Komunikasi Data (DCM) yang membolehkan sistem Internet of Things (IoT) berfungsi, diperkenalkan buat pertama kali oleh Toyota.

Menurut Toyota, sistem tersebut akan mengumpul sejumlah data yang banyak untuk digunakan dalam pelbagai cara, seperti mengurangkan kesesakan trafik dan meramal masalah kenderaan yang mungkin timbul dan terus menghubungi pusat panggilan bagi memberikan bantuan yang diperlukan secepat mungkin. Toyota Crown generasi baharu ini dijangka akan dipasarkan pada musim panas 2018.

GALERI: Spyshot Toyota Crown 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required