Menerusi acara ubahsuai kenderaan tahunan Amerika Syarikat – SEMA 2017 – Toyota nampaknya bersungguh-sungguh untuk melenyapkan terus imej ‘ayah-ayah’ terhadap sedan segmen-D Camry generasi terbaharu. Tahun ini, Toyota telah membawa lima buah Camry yang diubahsuai dan empat daripadanya menerima sentuhan peribadi pemandu-pemandu Nascar Toyota.
Empat pemandu berkenaan adalah Martin Truex. Jr, Kyle Busch, Denny Hamlin, dan Daniel Suarez, manakala sebuah lagi Camry tersebut menerima sentuhan Rutledge Wood, iaitu penganalisa perlumbaan, hos Nascar Trackside dan juga pengacara bersama Top Gear USA. Kesemua mereka bekerjasama dengan pembina berasingan bagi menghasilkan setiap Camry istimewa berkenaan.
Martin Truex. Jr. bersama Motorsport Tech Center (MTC) telah menghasilkan Camry yang seolah-olah versi jalanraya jentera Nascar Camry Cup sebenar yang dipandunya. Ia diberikan rim replika Nascar berdiameter 20-inci bersama spiltter udara hadapan serta spoiler belakang yang berfungsi memberikan downforce tambahan pada kereta tersebut. Camry ini dilengkapkan dengan warna badan keseluruhan hitam matte bersama kemasan Cerakote-plate.
Untuk Kyle Busch pula, beliau mendapat kerjasama Chuck Gafrarar dari G Fabrication bagi menghasilkan Camry “Rowdy Edition”. Camry ini dipadankan dengan rim custom rekaan Kyle Busch sendiri manakala badannya pula menerima cat hitam dengan kemasan metalik pada bumbung, tiang-A, spoiler belakang serta splitter ala-Nascar pada bahagian hadapan. Ia turut diberikan lencana Rowdy Edition II.
Bagi Denny Hamlin, Camry miliknya menampilkan rupa sebuah sedan berprestasi tinggi sebenar. Ia diberikan kit badan yang menjadikan Camry tersebut lebih lebar, digandingkan dengan rim custom American Racing. Bahagian luar dan dalam kereta ini menerima elemen warna putih dengan kemasan hitam dan merah krom. Ia turut menerima tempat duduk bucket pada bahagian kabin hadapan.
Selain Martin Truex. Jr, MTC turut berganding dengan seorang pelumba Nascar iaitu Daniel Suarez untuk menghasilkan sebuah lagi Camry istimewa. Camry Daniel Suarez ini tampil lebih minimalis dengan warna putih-hitam, bersama kit aero berfungsi terdiri dari splitter hadapan dan spoiler belakang, Bahagian dalaman kereta ini menerima upholsteri kulit custom dan juga tandatangan Suarez dengan sulaman benang merah.
Manakala untuk Rutledge Wood, beliau bekerjasama dengan Real Time Automotive Solution untuk menghasilkan Camry edisinya sendiri. Camry dari Wood ini mungkin yang paling agresif antara semua menampilkan panel badan yang dihasilkan menerusi teknik cetakan 3D serta menggunakan material komposit termaju. Bahagian dalaman kereta ini pula menerima upholsteri “sarung tangan baseball” dan juga sistem audio custom.
Toyota Camry generasi baharu ini masih lagi belum mendarat di Malaysia. Ia didedahkan pada peringkat global buat pertama kali awal tahun ini di North American International Auto Show (NAIAS), Detroit, Amerika Syarikat. Produksi model ini telah pun bermula di Kentucky Jun lalu, manakala di Jepun ia telah mula dijual sebulan selepas itu.
Tiga pilihan enjin baru akan ditawarkan untuk Camry 2018 ini iaitu 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan D-4S berkuasa 301 hp/363 Nm, 2.5 liter “Dynamic Force” empat silinder berkuasa 206 hp/253 Nm dan juga versi hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 208 hp.
GALERI: Toyota Camry 2018 Martin Truex Jr.
GALERI: Toyota Camry 2018 Kyle Busch
GALERI: Toyota Camry 2018 Denny Hamlin
GALERI: Toyota Camry 2018 Daniel Suarez
GALERI: Toyota Camry 2018 Rutledge Wood
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.