VIDEO: Evolusi Honda Accord dari 70’an hingga kini

Julai lalu, Honda telah memperkenalkan Accord generasi kesepuluh bermula dengan pasaran Amerika Syarikat terlebih dahulu. Model generasi baharu ini menerima pelbagai ciri terkini seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, Wi-Fi 4G LTE dan juga enjin VTEC Turbo yang agak berkuasa dan efisien terdiri dari 1.5 liter dan 2.0 liter – enjin paling besar berkenaan diambil dari Civic Type R.

Sama ada di Amerika atau di Malaysia, legasi Accord tentunya mempunyai kenangannya yang tersendiri bukan? Oleh itu, bagi menyorot kembali evolusi model eksekutif ini, Honda telah menghasilkan video baharu yang menampilkan Accord dari generasi-generasi terdahulu.

Video ini menampilkan Accord dari setiap era, bersama penari yang lengkap dengan kostum era masing-masing bermula pada 70’an, 80’an, 90’an, Y2k dan pasca 2010. Untuk era 70’an, Accord tentunya diwakili oleh model generasi pertama (689) atau dikenali sebagai ‘Accord Pagar’ di Malaysia kerana kita menerima model yang menampilkan kemasan berbentuk seperti pagar pada bampar hadapan dan belakang.

Bagi era 80’an pula, ia diwakili oleh Accord generasi ketiga (CA) yang mula diperkenalkan pada tahun 1985. Model yang tampil pada video ini merupakan versi yang dilengkapi lampu hadapan jenis ‘pop-up’ yang boleh disorokkan ketika tidak digunakan. Untuk pengetahuan anda juga, Accord CA menampilkan sistem suspensi jauh lebih maju dari pesaingnya ketika era berkenaan – dilengkapi sistem double wishbone pada hadapan dan belakang.

Era 90’an, Accord diwakili oleh model generasi kelima (SV) atau dikenali sebagai ‘Accord Jerung’ di Malaysia, dan mula diperkenalkan pada tahun 1993. Accord sememangnya mempunyai versi hatchback tiga-pintu yang lebih sporty sejak dari model generasi pertama, namun ia berakhir pada model generasi ketiga (Aerodeck). Namun, bermula dari model generasi kelima ini, pasaran Amerika Syarikat mula menerima kembali Accord yang lebih ranggi menerusi versi coupe yang tampil pada video ini.

Beralih ke era Y2K, Accord diwakili oleh model generasi kelapan (CP) yang mula diperkenalkan pada tahun 2007. Seperti yang diketahui, model ini agak istimewa di Malaysia kerana telah dijelmakan sebagai Proton Perdana generasi baharu, menerusi kerjasama strategik antara Honda dan Proton.

Yang terakhir, tentulah Accord generasi baharu yang belum lagi sampai ke pasaran tempatan. Accord ini menampilkan rekabentuk sedan terkini Honda yang direka dengan garis badan seakan coupe, sama seperti Civic generasi kesepuluh. Dengan pelbagai kelengkapan terkini diberikan, Honda menggelar model berkenaan sebagai “Honda paling mengkagumkan yang pernah diperkenalkan”.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required