SPYSHOT: Ford Ranger facelift 2018 diuji di Thailand

SPYSHOT: Ford Ranger <em>facelift</em> 2018 diuji di Thailand

Ford Ranger T6 mula diperkenalkan pada tahun 2011 dan menerima facelift pertama pada tahun 2015 termasuk pada pasaran Malaysia. Namun apa yang ditemui oleh ahli kelab Ford Ranger Thai dan disiarkan oleh Headlightmag ini petanda jelas bahawa trak pikap berkenaan akan disegarkan sekali lagi untuk tahun 2018.

Untuk pengetahuan anda, Ranger sememangnya dihasilkan di Thailand untuk pasaran seluruh dunia, dan tidak hairanlah ia ditemui diuji di negara gajah putih berkenaan. Untuk facelift 2018 ini juga, nampaknya ia hanya menerima sedikit perubahan berbanding versi 2015.

Berbeza dengan versi sedia ada (tidak termasuk model Wildtrak), perbezaan paling ketara adalah pada bahagian gril hadapan yang menampilkan jalur krom sekeliling yang lebih nipis serta tidak lagi kelihatan bersambung terus dengan gril bawah pada bampar. Bar tebal yang memegang logo Ford juga telah digantikan dengan dua jalur lebih nipis dan panjang, manakala bahagian atas gril yang menempatkan perkataan “Ranger” juga turut lebih nipis.

Secara keseluruhan, gril tersebut menjadikan Ranger 2018 ini lebih classy dan kurang garang – lebih hampir kepada versi SUV Everest. Gril berkenaan turut disertakan dengan bampar yang direka semula, dan juga sepasang lampu hadapan baharu menampilkan lampu nyalaan siang pada bahagian bawah.

Unit yang diuji tanpa sebarang penyamaran ini juga diberikan lencana “Limited” pada bahagian sisi dan belakang, yang mungkin menandakan ia adalah varian tertinggi sebelum varian XLT. Dijangkakan versi lebih garang FX4 dan Wildtrak turut akan ditawarkan untuk mereka yang mahukan trak pikap dengan gaya lebih lasak.

Untuk versi sedia ada, Ranger dijana enjin turbodiesel dari siri “Puma” yang terdiri dari versi 2.2 liter Duratorq TDCi berkuasa 125 hp/320 Nm dan 160 hp/385 Nm serta versi 3.2 liter lima-silinder berkuasa 200 hp/470 Nm. Enjin-enjin berkenaan dipadankan dengan pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau automatik.

Selain dari Ranger facelift, peminat trak pikap dari “The Blue Oval” pastinya tertunggu-tunggu sebuah lagi versi istimewa Ranger iaitu Ranger Raptor – model berprestasi tinggi yang dibina bagi pasaran yang tidak menerima model penuh trak F-150 Raptor. Trak pikap istimewa berkenaan dijangka akan dijana enjin diesel turbo berkembar “Panther” 2.0 liter EcoBlue baharu yang mampu menjana 190 hingga 215 hp, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required