PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Di Malaysia, seperti yang kita sudah sedia maklum, segmen kenderaan SUV telah berkembang pesat dan menjadi antara pilihan yang popular, terutama untuk kegunaan keluarga. Baik bagi kelompok kenderaan biasa mahupun jenama yang lebih premium, penawaran kenderaan jenis ini terdiri daripada pilihan yang pelbagai.

Namun, jika kita melihat hanya pada jenama premium, apatah lagi jika mengambil kira model-model SUV yang datang sebagai kenderaan PHEV dengan teknologi plug-in hybrid, jumlahnya kini hanya ada dua. Untuk tempoh beberapa waktu sebelum ini, Volvo XC90 T8 Twin Engine menjadi satu-satunya model SUV plug-in hybrid yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Bermula dengan pengenalan versi CBU terlebih dahulu pada harga RM453,888 ketika itu, model pemasangan tempatannya – yang dilakukan di kilang Volvo Shah Alam – menyusul pada tahun 2016, dengan harga yang lebih rendah iaitu RM403,888. Dan, dalam penawarannya yang terkini, tingkat kemasan Inscription Plus baru saja diperkenalkan awal Januari.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Di dalam tempoh berkenaan pula, BMW Malaysia tidak menunggu lama untuk memberikan sedikit persaingan kepada model terbabit – syarikat ini memperkenalkan model BMW X5 xDrive40e sebagai tandingan (BMW menggelarnya “Sports Activity Vehicle, (SAV)”, dengan pakej M Sport). Harga jualannya pula ialah RM388,888, iaitu kira-kira RM25k lebih murah berbanding model pesaing keluaran Volvo.

Ia merupakan model pemasangan tempatan yang dilakukan di Kulim, dan lebih penting, ia juga sebuah kenderaan plug-in hybrid – ia juga menjadi model pertama BMW diperingkat global yang menawarkan teknologi ini (selain daripada model sub-jenama iPerformance sebelum ini).

Apa uniknya kenderaan plug-in hybrid (PHEV) seperti ini? Untuk senang faham, sumber tenaga utama bagi kenderaan PHEV ialah motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri, dengan enjin pembakaran dalaman sebagai pelengkap dan membantu memanjangkan jarak berkenaan (selagi bateri masih ada kuasa). Satu hal lagi, bateri kenderaan ini boleh dicas melalui soket sumber elektrik dari luar kenderaan.

Untuk itu, BMW X5 xDrive40e ini mempunyai kedua-dua motor elektrik (yang sumber kuasanya disimpan dalam bateri) dan juga enjin pembakaran dalaman biasa. Bagi enjin, model ini menggunakan unit N20 2.0 liter turbocaj empat silinder yang menghasilkan 242 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dengan tork sebanyak 350 Nm dari 1,250 hingga 4,800 rpm.

Tidak ketinggalan juga motor elektriknya yang mampu memberikan output maksimum 111 hp pada 3,170 rpm (rated output ialah 73 hp) dan 250 Nm tork dari rpm sifar. Digabungkan dua sistem ini, BMW X5 xDrive40e mempunyai janaan keseluruhan sebanyak 313 hp dan 450 Nm tork, yang disampaikan melalui transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Kuasa ini disalurkan kepada keempat-empat roda melalui sistem pacuan xDrive.

Bacaan 0-100 km/j pula dapat dicapai dalam masa 6.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 210 km/j. Dalam mod elektrik sepenuhnya, ia boleh bergerak sehingga laju maksimum 120 km/j, dan dengan jarak maksimum sekitar 30 km.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Memandunya juga tidak banyak perbezaan. Cuma, dalam keadaan baterinya dicaj penuh, diawal pemanduan anda akan bergerak didalam keadaan yang paling senyap sekali. Jika belum pernah mencuba mana-mana kenderaan hibrid dalam mod elektrik sepenuhnya sebelum ini, mungkin perlu membiasakan diri. Inilah satu kelebihan kenderaan yang mempunyai ciri pemanduan elektrik sepenuhnya – tanpa gegaran enjin yang dapat dirasakan.

Dalam keadaan bateri penuh atau mempunyai cukup tenaga yang tersimpan, kenderaan ini akan beroperasi dalam mod elektrik sepenuhnya. Dan inilah antara tujuan teknologi ini direka; jika anda memandu secara santai untuk satu jarak dekat dalam urusan harian (dalam kes model ini sekitar 30 km), kereta anda hanya memerlukan penggunaan minyak yang sangat minimal (tentunya dalam mod Auto eDrive). Lebih penting, pergerakan anda lebih mesra alam.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengecas baterinya disebelah malam untuk digunaan keesokan harinya untuk menikmati pemanduan EV yang optimum. Model ini menggunakan bateri lithium-ion 351 volt dengan kapasiti 9.2 kWh.

Begitu juga bateri 96-sel voltan tinggi yang membekalkan kuasa kepada sistem 12V, diletakkan pada bahagian bawah ruang simpanan barang. Tempoh mengecas bagi bateri lithium-ion berkenaan ialah sekitar dua jam 45 minit jika menggunakan BMW i Wallbox dengan kadar 3.5 kW (saluran 16A/230V). Jika menggunakan soket biasa di rumah pula, ia memerlukan tiga jam 50 minit.

Tetapi, seperti saya yang tinggal di kawasan apartmen bertingkat, agak sukar untuk mencari kemudahan mengecas atau soket awam ditempat letak kereta. Kalau ini kesnya, BMW Malaysia turut menawarkan pakej BMW 360 Electric.

Dengan kerjasama GreenTech Malaysia, kad ChargeNow akan diberikan, dan pemilik boleh menggunakan kemudahan di stesen-stesen mengecas ChargEV yang disediakan; antaranya di pusat membeli belah stesen minyak terpilih dan juga premis perniagaan.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Macam mana pula untuk perjalanan jauh, dan jika tiada tempat yang sesuai untuk mengecas? Bukankan hal ini merumitkan keadaan? Tidak juga, kerana, seperti saya sendiri ketika mencuba SUV ini, kebanyakan waktu diluangkan untuk memandunya seperti kenderaan biasa dengan enjin konvensional yang lain – tanpa sebarang masalah atau apa-apa kerumitan.

Dalam satu perjalanan ketika memandu model ini, tanpa apa-apa perancangan, destinasi awalnya yang sepatutnya hanya menuju di pekan Batang Kali, Selangor untuk minum-minum berakhir pada jarak yang lebih panjang dari itu. Dan bagi saya, ini petanda yang baik juga; sekiranya sesebuah kenderaan yang sedang anda pandu itu menerbitkan rasa ingin terus berjalan dan menjelajah, itu maknanya ia sangat serasi dengan anda.

Kesudahannya, kesempatan itu saya gunakan untuk merasakan sendiri apa yang ada pada model ini dalam konteks pemanduannya. Sebagai sebuah SUV dengan saiz yang agak besar dengan berat 2,305 kg, rasa sangat menyenangkan untuk terus memandunya, tanpa jemu atau berasa terlalu kepenatan. Perjalanan itu akhirnya membawa saya ke Bukit Fraser melalui Kuala Kubu Bharu dan turun semula melalui arah Bentong untuk kembali ke Kuala Lumpur. Semua itu hanya dalam tempoh setengah hari.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Paling terkesan adalah keselesaan yang diberikan. Tak lupa juga keupayaan pengendalian yang ada padanya. Dengan saiznya, melalui jalan yang berliku tidaklah terlalu sulit – ia masih mudah dikawal dan walaupun terpaksa kerap mengendalikan stereng ke kiri dan ke kanan sepanjang perjalanan naik itu, ia tidak memenatkan.

Pada paparan skrin tengah, anda boleh memilih untuk meninjau cara sistem mengagihkan kuasanya – sama ada dari bateri atau pun enjin. Melihat kepada paparan ini akan memberikan anda sedikit idea tentang bagaimana model ini menguruskan dan mengagihkan sumber kuasanya.

Bagi mod eDrive, terdapat tiga lagi tetapan pilihan untuk pemandu; Auto eDrive, Max eDrive dan Safe Battery. Auto eDrive menjadi mod “standard” – ia akan membiarkan sistem menentukan masukan input yang sepatutnya dalam satu-satu masa bergantung kepada input pemandu. Motor elektrik dan enjin bekerjasama untuk mencapai janaan kuasa yang cekap.

Beralih kepada Max eDrive pula, ia akan menjadikan sistem janaan kuasa anda adalah dari motor elektrik sepenuhnya. Tanpa input dari enjin, ini mod pemanduan yang mungkin ada ingin gunakan ketka berada di dalam bandar, dengan suasana trafik yang tak menentu – untuk menjimatkan minyak serta dalam masa yang sama, mengelak pencemaran yang tidak perlu dari kenderaan.

Dan, melalui mod terakhir, Safe Battery, kenderaan akan tenaga pada bateri akan dijimatkan dan ditingkatkan untuk kegunaan pada waktu-waktu lain yang lebih memerlukan. Tetapi, bukan ini saja yang berkaitan maklum balas pemanduan. Ada satu lagi set pilihan kendalian yang dikenali sebagai Driving Experience Control.

Ini melibatkan talaan kendalian dalam mod Comfort, Sport dan ECO Pro. Beralih dalam kalangan mod-mod ini pula, anda akan mendapati maklum balas pendikit, stereng, transmisi serta suspensi adaptif M Sport yang melengkapinya akan terdapat perbezaan.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Menurut pengeluarnya, bagi aspek penggunaan minyak, model disifatkan mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 6.5 liter/100 km, tetapi dalam situasi kegunaan harian dengan kelajuan 50-60 km/j dengan bateri dicaj penuh dan bantuan enjin. Namun, perkara ini sangat sukar untuk ditentukan secara tepat; kerana ada pelbagai kombinasi pacuan dan janaan yang ditawarkan sebagai pilihan, seperti yang dijelaskan di atas.

Sepanjang menggunakannya, sedikit pun saya tidak berasa terganggu untuk memikirkan tentang baterinya yang perlu di cas semula. Ini kerana, tanpa pilihan itu pun, SUV ini boleh dipandu sebagai kenderaan biasa tanpa sebarang masalah. Jika anda ingin mengecasnya menggunakan soket domestik dirumah, mungkin anda perlu tahu pengalaman kami ketika melakukan hal yang sama pada model BMW 330e sebelum ini.

Cumanya, anda akan rugi dari segi untuk menggunakannya dalam pacuan elektrik dan dalam masa yang sama, mengurangkan pencemaran ketika bergerak dari satu titik ke satu titik – dan perkara ini jugalah yang menjadi sebab kepada pembangunan teknologi berkenaan.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Selebihnya, SUV ini sama juga seperti model-model BMW lainnya turut dilengkapi dengan sistem BMW ConnectedDrive dengan ciri Navigation System Profesional dengan paparan skrin 10.25 inci. Selain itu, pakej sistem berkenaan turut terdiri daripada ciri Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services.

Sistem audionya pula menggunakan unit Harman Kardon dengan 16 pembesar suara keseluruhannya. Untuk penumpang belakang, terdapat juga dua skrin 10.2 inci untuk sistem hiburan.

Ruang barangan pula memadai; disebabkan kedudukan bateri ialah pada kawasan belakang, di bawah pelapik ruang barangan, keluasan yang berbaki ialah 500 liter. Dengan tempat duduk belakang diturunkan, keluasan ruang barang akan bertambah kepada 1,720 liter. Walaupun saiznya nampak besar, ia sebenarnya merupakan sebuah SUV lima-tempat duduk sahaja.

PANDU UJI: BMW X5 xDrive40e – bagi yang mahukan teknologi hijau dan perlukan praktikaliti sebuah SUV

Dari segi keselamatan pula, antara lain model ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri seperti Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning, Park Distance Control (PDC) pada bahagian depan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang.

Dengan saingan hanya daripada Volvo XC90 T8 Twin Engine setakat ini, BMW X5 xDrive40e mempunyai sedikit kelebihan dari sudut harga. Namun di antara dua lagi varian X5 yang ada ketika ini, iaitu xDrive35i (RM573,800) dan xDrive30d (RM533,800), ia menjadi varian X5 paling murah yang boleh anda miliki. Tetapi, penampilan luarannya tidak akan jauh beza daripada dua varian berkenaan.

Pengalaman yang terlahir daripada kesempatan memandu model ini sangat menyenangkan. Jika anda memang memerlukan sebuah SUV dengan teknologi hijau termaju yang harganya telah menerima potongan hasil insentif EEV oleh kerajaan, ia mungkin sesuai untuk anda.

BMW X5 xDrive40e

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Ayob Othman on Feb 20, 2018 at 6:57 pm

    Adakah kereta elektrik ni tiada pengecas dalaman atau penyimpan tenaga …

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required