Volvo XC40 mendarat di S’pura dengan dua varian T5

Kita mungkin akan menerima Volvo XC40 berdasarkan berberapa petunjuk sebelum ini. Namun sebaliknya di seberang tambak, SUV kompak dari Sweden berkenaan telah pun dilancarkan ketika pembukaan Singapore Motor Show 2018 minggu lalu.

Untuk pasaran republik berkenaan, XC40 ditawarkan dalam dua varian iaitu T5 Inscription berharga SG$190,000 (RM568,376) dan yang lebih garang T5 R-Design berharga SG$205,000 (RM613,256). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga istimewa untuk pembeli terawal ketika khas sempena pelancarannya dan ia termasuk kos COE.

Kedua-dua model tersebut dijana enjin petrol empat-silinder T5 Drive-E 2.0 liter turbo berkuasa 247 hp/350 Nm. Kuasa berkenaan dipindahkan ke kotak gear Geartronic AW TG-81SC lapan-kelajuan automatik dan dialirkan ke sistem AWD untuk memacu keempat-empat roda.

Volvo XC40 tampil hampir sama dengan versi konsepnya yang digelar 40.1 yang muncul pada 2016. Ia diberikan pelbagai ciri terkini Volvo termauk lampu nyalaan siang ‘Thor Hammer’ yang dibina bersama lampu hadapan. Bahagian dalaman SUV ini menawarkan banyak ruang storan yang direka sesuai dengan kegunaan seharian di dalam bandar.

Model yng muncul di Singapore Motor Show ini merupakan dari varian yang dilengkapi kit R-Design, menerima pelbagai perincian lebih sporty seperti gril hadapan R-Design dengan jaring hitam berkilat, emblem pada tiang-C, skid plate hadapan dan belakang serta dua tip ekzos disebalik bampar belakang. SUV R-Design ini juga menerima rim berjejari kembar 20-inci dengan kemasan aloi digilap bersama hitam matte.

Pada bahagian dalaman, ia diberikan kemasan Cutting Edge Aluminium bersama balutan upholsteri Black Stone serta lantai dan panel pintu dengan tekstil Lava. Pakej R-Design turut melengkapkan SUV ini dengan roda stereng dan juga tombol gear balutan kulit. Kit standard lain pada model ini termasuk sistem penghawa dingin dua-zon, sistem infotainmen Sensus bersama skrin paparan pemandu bersaiz 12-inci.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.