Platform Mercedes-Benz A Class 2018 bakal digunakan sebagai asas untuk lapan lagi model baharu lain

Platform modular pacuan hadapan baharu yang digunakan untuk Mercedes-Benz A-Class 2018 (didedahkan baru-baru ini) bakal digunakan sebagai asas untuk sekurang-kurangnya lapan lagi model baharu lain, kata Gorden Wagener, ketua pegawai pereka Daimler dalam laporan CarAdvice.

“Saya boleh jamin bahawa semua varian pada platform ini, ada sekurang-kurangnya lapan, akan menjadi model yang mengkagumkan,” kata Wagener. Beliau turut menjelaskan platform berkenaan membolehkan berberapa elemen – jarak juntaian pendek, bahagian hadapan yang rendah, saiz roda yang besar, nisbah dari papan pemuka ke gandar – yang penting bagi mendapatkan rekaan yang baik.

Namun Wagener masih tidak menyatakan senarai model-model berkenaan. Walau bagaimanapun, dari laporan-laporan sebelum ini serta panduan dari model generasi sedia ada, CLA, GLA, GLB dan B-Class adalah calon yang berkemungkinan besar, manakala A-Class sedan pula telah disahkan sebagai salah satu daripadanya.

Bagaimana dengan dua lagi? masih terlalu awal untuk diagak dan berkemungkinan ada model yang tidak disangka akan dihasilkan oleh Mercedes untuk barisan kompak baharu mereka kelak.

GALERI: Mercedes-Benz A-Class 2018