Menurut laporan yang diterbitkan oleh RHB Investment Bank, Bermaz Auto merancang untuk memperkenalkan model SUV baharu CX-8 serta Mazda 6 terkini yang dipertingkatkan. Ketika majlis memulakan pemasangan bagi CX-5 baharu di Malaysia pada tahun lalu, kami dimaklumkan SUV tujuh-tempat duduk ini mungkin akan dijual di luar pasaran Jepun, dan Datuk Seri Ben Yeoh, CEO Bermaz, menyuarakan minatnya terhadap model berkenaan untuk diperkenalkan di sini.

CX-8 merupakan SUV tujuh-tempat duduk yang ketika ini dijual oleh Mazda hanya untuk pasaran Jepun sahaja, kerana model CX-9 tidak ditawarkan di sana. Ia berukuran 4,900 mm panjang, iaitu 350 mm lebih panjang berbanding CX-5 tetapi 195 mm lebih pendek berbanding CX-9. Ia juga 129 mm lebih sempit dari CX-9, dengan kelebaran 1,840 mm. Bagi jarak antara rodanya, ia sama dengan CX-9 dengan 2,930 mm, dan lebih panjang berbanding CX-5 (2,700 mm).

Bagi CX-9 tujuh-tempat duduk yang memang sudah dijual di Malaysia, pengenalan terhadap CX-8 memberikan pilihan kepada pelanggan yang mahukan SUV tujuh-tempat duduk dengan harga yang lebih mampu milik daripada Mazda. Buat masa ini, CX-9 ditawarkan pada harga RM281k (2WD) dan RM297k (4WD), manakala CX-5 pula antara RM135k dan RM176k.

CX-5 adalah pemasangan tempatan di Malaysia, sementara CX-9 pula diimport sepenuhnya dari Jepun. Jika CX-8 diukur sebagai SUV mampu milik, pastinya ia mampu mengikut jejak langkah CX-5 sebagai model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Kulim. Selain itu, laporan dari Kenanga Research turut mengesahkan CX-8 mungkin akan dijadikan sebagai model CKD, dan dijangka akan tiba pada suku kedua (Q2) tahun 2018.

Di Jepun, CX-8 hanya ditawarkan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel, dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Ia mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, walaupun kuasanya telah dipertingkatkan menjadi 188 hp dan tork 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Bagaimana pun, tidak dipastikan adakah pilihan petrol akan ditawarkan bagi model spesifikasi Malaysia.

Bagi Mazda 6 baharu, kereta sedan ini telah pertama kali muncul di Los Angeles Auto Show tahun lalu dengan rekaan dan penjana kuasa yang telah dipertingkatkan. Kini hadir dengan enjin 2.5 liter naturally-aspirated SkyActiv-G, dengan ciri nyah-aktif silinder, serta unit turbo 2.5T SkyActiv-G dari CX-9, dengan kuasa 250 hp dan 420 Nm. Ia dilaporkan akan dilancarkan di sini pada suku ketiga tahun ini.

GALERI: Mazda CX-8 yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2018

GALERI: Mazda 6 2018, pasaran USA