Pendedahan Mercedes-Benz C-Class Coupe C205 dan C-Class Cabriolet A205 facelift turut menyaksikan ketibaan versi Mercedes-AMG untuk kedua-dua model iaitu C 43 4Matic Coupe dan C 43 4Matic Cabriolet.

Model baru ini melihatkan pelbagai peningkatan, kebanyakannya sama seperti Mercedes-AMG C 43 4Matic sedan facelift yang ditunjukkan awal bulan ini. Perubahan di luar termasuk bahagian hadapan baru, dengan elemen yang lebih segar termasuk gril radiator AMG warna perak iridium matt, serta lampu utama LED seperti pada model standard.

Turut disertakan adalah side skirt dan rim aloi AMG baru, manakala bahagian belakang mendapat diffuser baru serta spoiler yang diwarnakan sama dengan badan. Turut diperbaharui adalah muncung ekzos yang kini mempunyai rekaan dua muncung di setiap sudut.

Pemilik juga boleh mendapatkan pakej pilihan penggayaan tambahan AMG yang memberikan splitter hadapan lebih agresif, spoiler lip, side skirt lebih lebar dan kemasan tambahan pada bampar belakang. Selain Night Package biasa, terdapat juga pakej Carbon Fibre yang memberi perumah cermin sisi serta spoiler gentian karbon.

Masuk ke dalam, balutan kulit/Dinamica Artico dalam warna hitam dengan jahitan merah diberikan secara standard, bersama kemasan berwarna hitam berkilat dan aluminium bercorak garis melintang. Walaubagaimanapun, masih terdapat banyak lagi pilihan tambahan.

Antara pilihan trim yang disediakan adalah kayu ash open-pore hitam/aluminium, aluminium (tepi pintu)/kayu ash open-pore hitam (konsol tengah), high-gloss dark-brown lime, kayu oak open-pore anthracite, walnut open-pore serta trim AMG gentian karbon/ aluminium dan gentian kaca perak/ aluminium. Untuk balutan tempat duduk dan kulit pintu pula, terdapat pilihan merah/hitam, kelabu magma/hitam, coklat/hitam dan porcelain/hitam.

Seperti yang boleh dilihat pada C-Class facelift lain, model ini juga kini menggunakan skrin panel instrumen digital penuh 12.3 inci resolusi 1920×720 pixel, dan tiga gaya paparan khas AMG disediakan untuk C 43 iaitu Classic, Sport dan SUpersport. Turut diberi adalah roda stereng AMG dengan butang Touch Control yang dibalut kulit nappa.

Enjin V6 3.0 liter M276 pada kenderaan ini turut menerima penambahan kuasa, dengan kini mampu menghasilkan 385 hp pada 6,100 rpm, iaitu peningkatan sebanyak 23 hp berbanding model sebelum ini. Tork puncak pula masih kekal 520 Nm, tetapi boleh dinikmati pada tahap rpm yang lebih luas iaitu antara 2,500 hingga 5,000 rpm. Transmisi masih lagi unit AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan.

Pada aspek prestasi, C 43 4Matic Coupe facelift boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, manakala versi Cabriolet boleh melakukannya dalam masa 4.8 saat. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 250 km/j. Selain mod Comfort, Sport, Sport+ dan Individual, kereta ini turut ditambah dengan mod Slippery untuk kegunaan di atas jalan licin atau salji.