BMW Malaysia telah mengumumkan pengenalan dua kempen pembiayaan baru yang dinamakan sebagai BMW Full Circle Recharged dan MINI Full Circle Urban Explorer. Ia adalah penambah baikan baru kepada skim pembiayaan Full Circle yang ada sekarang, dan ditawarkan oleh BMW Credit Malaysia untuk barisan model BMW dan MINI tempatan.

BMW Full Circle Recharged adalah satu program pemilikan ekslusif yang dibangunkan khas untuk barisan kenderaan hibrid BMW iPerformance, yang termasuk 330e M Sport, 530e Sport, 740Le xDrive dan X5 xDrive40e M Sport.

Melalui program ini, orang ramai boleh mendapatkan 330e M Sport dari harga RM2,918 sebulan, 530e Sport dari RM3,908 sebulan, 740Le xDrive dari RM6,668 sebulan dan X5 xDrive40e M Sport dari RM4,718 sebulan. Pemohon yang berjaya juga akan menerima pakej BMW Life Recharged secara percuma, iaitu Fitbit Charge 2 dan beg BMW HoriznStudios 33 liter edisi terhad.

Program MINI Full Circle Urban Explorer pula menawarkan model MINI Cooper S Countryman Sports dari harga RM2,698 sebulan. Turut diberi kepada pemohon yang berjaya adalah pembancuh kopi Nanopresso dan jam Fitbit Charge 2.

Program Full Circle ini diperkenalkan untuk memberikan pelanggan lebih fleksibiliti dan jaminan untuk membiayai kenderaan BMW dan MINI, dan ia menawarkan pelbagai cara pembiayaan untuk pemilikan yang menyeluruh, selain memberikan pengalaman mobiliti yang lebih mudah. Dalam masa sama, nilai kenderaan mereka lebih terjamin sepanjang tempoh yang dipersetujui.

Melalui Full Circle juga, pemilik dapat menikmati kelebihan kenderaan baru dan maju, tanpa sebarang kepayahan untuk berunding harga apabila mahu menjualnya semula. Kempen Full Circle Recharged ini berlangsung dari sekarang hingga 31 Ogos 2018, dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.