Melihat kepada masa hadapan, Ducati nampaknya seperti mahu mendapatkan jualan daripada segmen motosikal premium berkapasiti rendah. Untuk memulakan langkah ke arah itu, mereka perlu mencari rakan kongsi yang mampu mengeluarkan motosikal pada kos lebih rendah dan kini tumpuan diberikan kepada syarikat di India. Perkara ini sudah dilaporkan banyak media di India, termasuklah BikeWale.

Dalam laporan itu, syarikat yang mempunyai potensi besar untuk menjadi rakan kongsi Ducati adalah Hero Motocorp kerana ia pada masa ini tidak mempunyai kerjasama dengan jenama motosikal antarabangsa lain. Selain daripada itu, Hero Motocorp juga adalah antara pengeluar motosikal yang terbesar di negara itu dan mereka pernah menjadi rakan kongsi Honda seketika dulu.

Langkah yang akan diambil oleh Ducati ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ia sudah pun dilakukan oleh BMW dengan mengambil TVS sebagai rakan kongsi untuk menghasilkan barisan model 310 (G310GS dan G310R) manakala KTM pula mempunyai kerjasama dengan Bajaj untuk model kapasiti rendah mereka.

Memetik lagi ayat daripada laporan BikeWale ini, Ducati berkemungkinan menghasilkan motosikal yang menggunakan enjin 300 cc suntikan bahan api, dengan pembangunan dilakukan oleh Ducati, tetapi pengeluaran dibuat sepenuhnya di India. Antara model awal yang boleh dijangka adalah seperti Scrambler dan Multistrada versi mini.

Berita selanjutnya berkenaan perkara ini dijangka dikeluarkan secara rasmi semasa pameran INTERMOT atau EICMA tahun ini. Pada masa ini, model paling kecil yang dikeluarkan oleh Ducati adalah Scrambler Sixty2, yang menggunakan enjin 400 cc. Walaupun begitu, ia tidak begitu laris kerana harga yang masih tinggi dan tidak jauh beza dengan model Scrambler 803 cc.