Elon Musk telah mendedahkan bahawa Tesla boleh menghasilkan kereta yang lebih mampu milik dengan kos bawah US$25,000 (RM100k) dalam masa tiga tahun, tetapi syarikat perlu bekerja lebih keras. Dalam satu temu bual dengan pemilik akaun YouTube MKBHD Marques Brownlee, Musk telah memberitahu memang terdapat ruang untuk kereta yang kurang mahal dan berkualiti.

“Ya, sudah tentu. Sebuah kereta US$25,000 adalah sesuatu yang kami boleh lakukan. Dan jika kami bekerja keras, ia boleh dilakukan dalam masa tiga tahun. Kunci untuk menjadikan ia mampu milik adalah rekaan, kemajuan teknologi dan skala,” kata Musk. Tambah beliau, aspek mampu milik ini juga dapat ditambah selepas mempunyai beberapa versi dan jumlah yang banyak.

Sementara itu, Musk juga memberitahu bahawa pasukan beliau mempunyai lebih banyak idea daripada sumber untuk dilaksanakan. Baru-baru ini Tesla telah meminta kembali wang yang telah dibelanjakan daripada pembekal untuk meningkatkan keuntungan dan ia juga pernah bercadang untuk menjadi syarikat persendirian dengan dana daripada Arab Saudi.

Pada masa ini, kenderaan Tesla yang paling mampu milik adalah Model 3. Semasa ia didedahkan dengan harga US$35,000 (RM140k), tempahan awal naik mendadak dengan 115,000 unit ditempah dalam masa cuma 24 jam. Kalau betul lah model yang berharga bawah US$25,000 ini keluar nanti, ia pastinya akan lebih menarik lebih ramai orang.

Walaupun Model 3 ini didedahkan dengan harga US$35,000 (RM140k), beberapa laporan telah menunjukkan sebenarnya agak susah untuk mendapatkannya pada harga bawah US$50,000 (RM200k). Terdapat juga pelbagai isu seperti penangguhan pengeluaran serta pembatalan tempahan untuk model ini. Sebagai perbandingan dengan model lain, Hyundai Ioniq Electric yang merupakan antara kenderaan elektrik mampu milik di Amerika Syarikat dijual pada harga bermula US$29,500 (RM118k).