Bagi pelanggan Eropah yang tidak berpeluang untuk memiliki hot-hatch segmen-B dengan kuasa 205 hp Toyota Yaris GRMN, mereka bakal menerima satu lagi pilihan Yaris yang lebih seronok dipandu dari versi standard tidak lama lagi dengan kemunculan Toyota Yaris GR Sport. Kereta ini akan membuat kemunculan sulungnya di Eropah menerusi acara Paris Motor Show bulan hadapan dan bakal ditawarkan di pasaran akhir tahun ini.

Yaris ini merupakan produk pertama di bawah jenama GR Sport yang masuk ke pasaran Eropah, dan ia menampilkan rupa tersendiri berbeza dengan kembar JDMnya iaitu Vitz GR Sport. Menurut Toyota, pengenalan ini adalah contoh bagaimana kejayaan mereka dalam arena suka bermotor antarabangsa menerusi Toyota Gazoo Racing disalurkan ke model jalan raya biasa dalam versi GR. Toyota kembali semula ke kancah Kejohanan Rali Dunia (WRC) pada 2017 dengan Yaris WRC dan kemudian menghasilkan model berprestasi tinggi Yaris GRMN dan kemudiannya berjaya menjadi sebuah model yang laris.

Berbanding GRMN yang dijana oleh enjin 1.8 liter Supercharger, versi GR Sport ini pula hanya dijana oleh enjin 1.5 liter hibrid elektrik – Toyota masih belum mengumumkan jumlah kuasa yang dihasilkan. Menurut jenama berkenaan, keseronokan memandu hatchback ini akan disumbangkan oleh ubahsuai yang dilakukan pada sistem suspensi yang memberikan pengendalian dan tindak balas yang lebih mengujakan.

GR Sport diberikan penyerap hentak dari Sachs sama seperti GRMN, bersama bar-anti oleng solid menggantikan jenis hollow bagi meningkatkan ketegarannya. Ia juga menampilkan stance yang lebih menarik dengan suspensi berkenaan apabila kelegaan tanah dikurangkan 11 mm dan ruang antara badan dan tayar dikurangkan 18 mm berbanding Yaris standard.

Model ini juga diberikan set rim aloi GR Sport berwarna hitam yang direka khas untuknya dengan diameter 17-inci, dibaluti tayar sama dengan GRMN iaitu Bridgestone Potenza RE50 bersaiz 205/45R17. Kesemua ciri-ciri khas ini dipastikan hanya menerima berat tambahan kurang dari 5 kg.

Rupa luaran Yaris GR Sport ini adalah diinspirasikan terus dari Yaris GRMN, namun hanya tampil dalam bentuk badan hatchback lima-pintu berbanding tiga pintu untuk GRMN. Selain itu, ia menampilkan rupa yang seiras terdiri dari bampar hadapan, bumbung berwarna hitam dan juga spoiler bumbung belakang. Ia turut diberikan kemasan pintu berwarna hitam piano serta gril sarang lebah, kemasan lampu kabus serta penutup cermin sisi juga berwarna hitam.

Lampu hadapan pada kereta ini adalah unik hanya untuk versi GR Sport manakala cermin tingkap belakang yang gelap untuk lebih privasi didatangkan juga secara standard. Bagi memberitahu ia adalah model lebih istimewa dari versi standard, lencana-lencana GR diletakkan pada tempat sepatutnya bersama pelekat jalur merah ditampal pada spoiler bampar hadapan.

Bahagian dalaman pula menyaksikan kabin kereta ini menerima kemasan berwarna hitam hampir pada keseluruhan bahagian. Ia didatangkan dengan tempat duduk lebih sporty dari GR Sport, dibaluti Ultrasuede berwarna hitam dengan serlahan dan jahitan berwarna putih. Apabila pemandu menekan suis penghidup enjin, paparan TFT pelbagai-informasi akan ‘mengucapkan selamat datang’ dengan memaparkan logo GR Sport.

Kereta ini juga dilengkapkan dengan roda stereng tiga-jejari berdiameter lebih kecil, sama seperti pada model coupe GT86. Pelapik bumbung hatchback ini turut hadir dengan warna hitam,lantai pula diberikan karpet kaki hitam istimewa dengan lencana GR, manakala tombol penukar gear, liang udara penghawa dingin dan sekeliling pembesar suara diberikan kemasan berwarna perak satin.

GALERI: Toyota Yaris GRMN

GALERI: Toyota Vitz GR Sport dan GR JDM