Group Lotus telah melantik Phil Popham sebagai naib presiden senior untuk operasi komersial dan CEO Lotus Cars. Beliau melapor diri kepada CEO Group Lotus Feng Qingfeng bermula 1 Oktober 2018. Phil berhijrah ke Lotus setelah berkhidmat sebagai CEO Sunseeker International selama empat tahun.

Sebelum itu, Phil sebenarnya salah seorang anggota pasukan eksekutif dalam Jaguar Land Rover (JLR) selama sembilan tahun bertanggungjawab dalam operasi komersial global. Beliau akan memantau perniagaan baharu dan juga struktur operasi syarikat berkenaan yang kini sudah pun dirangka. Lotus membuat satu kenyataan yang mengatakan bahawa “perniagaan kini sudah ditetapkan untuk peringkat seterusnya dalam pertumbuhan akan datang dan juga pengembangan global.”

Feng Qingfeng berkata “Saya gembira kerana Phil meyertai Lotus pada masa penting ini dalam sejarah 70 tahun kami. Kami mengembangkan perniagaan Lotus bukan hanya pada ibu pejabat kami di Hethel, Norfolk, tetapi juga seluruh dunia agar asas dibina bagi menjadi jenama yang kompetitif pada peringkat global dan peneraju yang dikenali dalam pasaran kereta sport.”

Phil Popham pula menambah, “Saya telah menghabiskan masa saya dalam karier bekerja dengan, dan mempunyai minat untuk kemewahan gaya British yang terkenal, teknologi tinggi dan jenama peneraju dan Lotus, dengan sejarah yang mengkagumkan, sememangnya sempurna untuk kategori itu. Saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian dari pasukan yang akan memacu pertumbuhan perniagaan Lotus akan datang yang besar.”

Sementara itu,pada tahun 2017 Lotus telah menjual sebanyak 1,600 kereta – meningkat 10% dari tahun 2016 – dan syarikat berkenaan telah membuat keuntungan buat pertama kali dalam sejarahnya. Kesemua model yang dijual telah dihasilkan di kilangnya di Norfolk, England. Lotus merancang untuk memperkenalkan dua kereta sport menjelang 2020, di mana salah satunya adalah model halo yang akan diletakkan lebih tinggi dari Evora.

Lotus juga mungkin akan menukar unit janakuasanya dari menggunakan enjin Toyota kepada penggunaan enjin Volvo untuk model-model tertentu, terutamanya model SUV pertama jenama kereta sport dari British berkenaan kelak.