Toyota berjaya mengekalkan kedudukan teratasnya sebagai jenama paling berharga sektor automotif dalam senarai Interbrand Best Global Brands 2018 dengan nilai jangkaannya sekitar US$53.404 bilion atau meningkat 6% berbanding tahun lalu. Secara keseluruhan, Toyota berada di tempat ketujuh di belakang jenama lain seperti Apple, Google, Amazon, Microsoft, Coca Cola dan Samsung.

Nilai untuk Mercedes-Benz juga meningkat tahun ini kepada US$48.601 bilion atau 2% lebih tinggi berbanding tahun lalu, sekaligus memotong kedudukan Facebook untuk berada di tempat kelapan, satu tangga di bawah Toyota. Walau bagaimanapun, hanya kedua-dua jenama automotif – Toyota dan Mercedes-Benz – ini sahaja yang berjaya untuk menduduki carta 10 terbaik dalam senarai 100 jenama paling bernilai di dunia berkenaan.

Bagi jenama lain, BMW kekal di tempat ke-13 tetapi nilainya merosot 1% kepada US$41.006 bilion, manakala Honda meningkat kepada US$23.682 bilion dengan kenaikan 4%, kini di tempat ke-20. Ford di tempat ke-35 dengan nilai US$13.995 bilion (+3%) dam Hyundai di tempat ke-36 dengan US$13.535 bilion (+3%). Nissan, Volkswagen dan Audi pula bersusun ditempat ke-40, 41 dan 42.

Porsche berada di kedudukan ke-52 dengan nilai US$10.707 bilion (+6%), Kia di kedudukan ke-71 dengan US$6.925 billion (+4%) dan Land Rover pada kedudukan ke-78 dengan US$6.221 bilion (+2%).

Jenama kereta sport dari Itali, Ferrari dinamakan sebagai jenama automotif yang mencatatkan pertumbuhan tahun ini dengan kenaikan nilai sebanyak 18% kepada US$5.76 billion namun masih berada pada kedudukan ke-80 secara keseluruhan. Jenama lain yang turut tersenarai adalah MINI dengan US$5.254 bilion (+3%), Harley Davidson dengan US$5.161 bilion (-9%) dan Subaru dengan US$4.214 bilion.

Bagi disenaraikan dalam Interbrand Best Global Brand ini, syarikat perlulah memenuhi berberapa terma, di mana 30% dari pendapatannya mestilah datang dari luar negara asalnya. Jenama-jenama tersebut juga perlu mempunyai penampilan yang signifikant di Asia, Eropah, Amerika Utara dan juga mempunyai liputan geografi yang luas di pasaran penting baharu.

Mereka juga perlu mempunyai data awam yang mencukupi untuk prestasi kewangan jenama, dan mana-mana keuntungan ekonomik perlu dijangka akan positif dalam tempoh jangka masa panjang, memberikan pulangan lebih tinggi dari kos modal jenama berkenaan. Akhir sekali, jenama tersebut perlu mempunyai profil awam dan dikenali oleh kebanyakkkan ekonomi di dunia.