Pepatah melayu ada mengatakan “tiada rotan, akar pun berguna”. Sudah menjadi trend sejak A-Class generasi W176, hatchback ini menerima reaksi positif untuk pelanggan yang lebih muda yang bukan sahaja gemarkan bentuk sporty, malah sukakan prestasinya. Namun tak ramai yang mampu untuk membeli model Mercedes-AMG A45, dan alternatifnya adalah mengubahsuai model A 250 bagi mendapatkan lebih kuasa dan keseronokan memandu.

Untuk generasi baharu W177 ini, model Mercedes-AMG A45 hanya akan muncul pada tahun hadapan tetapi jenama tersebut telah melancarkan versi AMG sebenar yang lebih mampu milik iaitu A35. Tapi jika model tersebut juga tidak kena dengan bajet anda, jangan risau kerana masih lagi ada penala yang menghasilkan peralatan prestasi untuk A 250 W177.

Mercedes-Benz A 250 generasi baharu yang anda lihat ini adalah versi talaan oleh penala dari Jerman iaitu Lorinser. Ia digelar sebagai A 250 Green Series dan hanya dihasilkan sebanyak 25 unit. Pada bahagian luaran, model ini diberikan logo Lorinser menggantikan logo bintang Mercedes pada gril, lips spoiler hadapan dan juga kemasan seakan diffuser di belakang, yang turut menempatkan empat tip ekzos dari sistem ekzos sport Lorinser.

Walaupun ia digelar Green Series, A 250 Lorinser ini diberikan warna badan putih dengan pelekat badan sisi serta serlahan kemasan-kemasan berwarna hitam. Penampilan luaran kereta ini dilengkapkan dengan rim 19-inci RS8 dengan elemen rekaan seperti turbin, dibaluti tayar dari Continental.

Selain dari ekzos, enjin M260 empat silinder 2.0 liter turbo berkenaan masih dibiar standard. Namun Lorinser telah menala semula kotak komputer enjin tersebut membolehkan kuasa 258 hp dan tork maksima 420 Nm diekstrak, berbanding hanya 224 hp/350 Nm pada keadaan asal. Lorinser tidak menyatakan angka prestasi kereta ini, tetapi ia pasti lebih pantas dari A 250 standard yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

Syarikat penala itu juga tidak menyatakan harga sebuah A 250 Green Series ini, namun telah mengumumkan harga komponen-komponen ubahsuai berkenaan. Spoiler bampar hadapan dijual pada harga €690 (RM3,250), kemasan liang udara €540 (RM2,540), diffuser belakang €680 (RM3,200) manakala sistem ekzos pula adalah €1,090 (RM5,140).