TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

Satu ketika dahulu, pasaran Jepun dipenuhi dengan sedan-sedan besar yang sporty dan berkuasa tinggi seperti Toyota MkII dan Chaser dijana siri enjin JZ serta Nissan Laurel dan Cedric dijana enjin siri RB dan VG. Namun sekarang, sedan-sedan besar JDM tidak lagi dihasilkan dengan konsep yang sama, sebaliknya ia kini hanya menampilkan imej yang mewah.

Jika anda rindu dengan kereta-kereta sedemikian, Toyota Mark X GRMN ini adalah untuk anda, itu pun kalau anda kini menetap di Jepun. Kereta ini didedahkan di Tokyo Auto Salon 2019, dan menurut Toyota ia hanya dibina sebanyak 350 unit sahaja.

Mark X ini diberi lencana GRMN (Gazoo Racing Meister of Nürburgring) dan bukan hanya GR atau GR Sport, jadi ia adalah model ubahsuai penuh yang diberikan peningkatan kuasa kuda, prestasi pengendalian dan juga rupa yang lebih sporty seperti apa yang telah diterapkan pada model Toyota Yaris GRMN.

TAS2019: Toyota Mark X GRMN – 3.5L V6 NA, 318 PS/380 Nm, manual 6-kelajuan, terhad hanya 350-unit

Sedan ini dijana oleh enjin NA 3.5 liter V6 yang mampu menghasilkan 318 PS dan tork maksima 380 Nm dengan kuasa hanya dialirkan ke gandar belakang. Cukup seronok bukan? Tetapi Toyota bakal memberikan anda senyuman yang lebih lebar kerana Mark X GRMN ini turut diberikan dengan kotak gear manual enam-kelajuan!

Untuk membezakan model istimewa ini dengan versi Mark X normal, gril hadapannya direka lebih kecil tetapi bahagian ‘mulut’ pada bampar hadapan direka lebih besar, memberikan muka yang lebih garang. Bampar belakang pula dirombak sepenuhnya dengan diberikan sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi dan diffuser udara yang turut menempatkan sepasang tip ekzos berkembar.

Selain itu, kereta ini juga diberikan lencana-lencana GRMN pada tempat-tempat sepatutnya, dan juga lid spoiler pada penutup bonet belakang. Sekiranya anda mahu lebih lagi, opsyen bumbung yang diperbuat dari gentian karbon CFRP juga ditawarkan dengan harga tambahan, yang didakwa Toyota bahawa ia boleh mengurangkan berat sebanyak 10 kg serta merendahkan lagi titik graviti bagi membantu aspek pengendalian.

Bagi melengkapkan rupanya, Toyota Mark X GRMN didatangkan dengan rim forged BBS bersaiz 19-inci, bersama tayar 235/40 R19 di hadapan dan 255/35 R19 di belakang. Angkup brek GR berwarna putih juga dapat dilihat disebalik set rim berkenaan yang memberikan kuasa pemberhentian yang lebih baik.

Kabin sedan ini turut dihasilkan bagi menaikkan semangat memandu. Pemandu dan penumpang kini ‘dipeluk’ lebih kemas dengan pemadanan tempat duduk bucket GR, manakala kemasan gentian karbon diberikan pada konsol terowong dan sedikit pada panel pintu. Pemandu juga dapat memijak setiap pedal dengan lebih yakin kerana ia dipadankan dengan set pedal aluminium.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required