Memang ramai yang tertunggu-tunggu kehadiran Honda HR-V facelift. Nampak gayanya memang ia sedang menantikan saat yang sesuai untuk dilancarkan di pasaran tempatan. Sepatutnya ia dijadualkan pada suku ketiga tahun lalu selepas pertama kali ia dipertontonkan pada Julai lalu. Namun ia tertangguh, dan kini didedahkan barisan modelnya pula.

Ditawarkan dengan empat varian, di mana tiga daripadanya adalah unit petrol biasa- bermula dengan varian asas Grade E, diikuti dengan Grade V, dan yang tertinggi RS yang dipertontonkan tahun lalu. Manakala varian keempat ialah HR-V Hybrid, seperti yang pernah kami pandu uji di Jepun pada tahun 2017, yang sebelum ini menjadi tanda tanya adakah Honda Malaysia akan membawa masuk varian ini ke sini.

Model facelift ini menerima sentuhan yang lebih segar di bahagian hadapan, dimensinya berukuran 4,334 mm panjang, 1,772 mm lebar dan 1,605 mm tinggi, untuk E, V dan Hybrid, dengan jarak roda 2,610 mm. Bagi RS, yang tampil dengan imej yang lebih bergaya dengan elemen kontras lebih gelap, termasuk pemegang pintu krom gelap, kemasan lesen krom hitam, dan ambang sisi hitam berkilat dan kemasan lampu kabus gelap, lebih panjang 12 mm dan lebih lebar 18 mm, dengan ketinggian yang sama.

Perubahan rekaan luaran bagi kitaran pertengahan ini dilihat lebih segar termasuk gril yang disemak semula, menampilkan palang yang lebih besar dengan logo Honda, bersama lampu utama LED sepenuhnya jenis reflektor baharu, bampar yang diprofil semula dan lampu kabus LED. Bahagian belakang pula menerima jaluran krom melintang baharu pada tailgate disambung pada lampu belakang, yang kini ditampilkan dengan unit LED jenis tiub.

Bagi rodanya pula, E, V dan Hybrid dipadankan dengan aloi 17-inci, dibaluti tayar profil 215/55, sementara RS pula dilengkapi roda lima-jejari dua-tona 18-inci dan tayar 225/50. Bagi berat badannnya pula, E seberat 1,275 kg, sementara V pula 1,271 kg. Manakala RS dan Hybrid, masing-masing seberat 1,290 kg dan 1,300 kg.

Untuk ruang but pula – kesemua varian petrol – berkapasiti 437 liter dengan tempat duduk belakang normal, ditambah sehingga 1,032 liter jika ia dibaringkan. Manakala varian hybrid pula memiliki ruang but yang sedikit kecil, dengan 404 liter jika tempat duduk belakang dalam keadaan normal, dan 991 liter pula jika ia dibaringkan. Tidak seperti versi petrol, hybrid tidak didatangkan dengan tayar simpanan sebaliknya dibekalkan dengan kit membaiki tayar sementara.

Tiada perubahan untuk penjana kuasa bagi versi petrol, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta dipadankan dengan transmisi CVT bersama pedal penukar gear. Spesifik untuk model RS ia kini hadir dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) baharu.

HR-V hybrid menampilkan penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD (intelligent dual-clutch drive) seperti Jazz Hybrid. Ia menggabungkan enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dan motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion Blue Energy, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.

Kuasa dari penjana kuasa itu meningkat berbanding Jazz, dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan tork 156 Nm pada 4,600 rpm. Hasil kombinasi dari motor elektrik, sistem tersebut dapat menghasilkan 152 PS dan tork 190 Nm, sedikit tinggi berbanding model janaan petrol.

Untuk kit yang ditampilkan, HR-V facelift lebih berketerampilan dari model asasnya. Secara standard, semua varian dilengkapi dengan butang penghiduo enjin/kemasukan pintar, pendingin hawa automatik, lampu utama auto, lampu nyalaan siang, kawalan kelajuan, pedal penukar gear, kawalan audio pada roda stereng dan empat pembesar suara untuk sistem audio.

Semua versi didatangkan dengan roda stereng tiga-jejari, tetapi E dan Hybrid dengan kemasan kulit, dengan upholstery jadi separuh kulit hitam untuk dua model itu. Ia turut menampilkan lampu utama halogen (dengan larasan manual) dan lampu kabus hadapan jenis mentol dan skrin paparan sistem audio pula dengan unit 6.8-inci.

Manakala varian V dan RS ditambah dengan roda stereng kulit sepenuhnya dan upholstery kulit penuh, dengan kemasan hitam pada V. Kedua-dua varian juga menerima lampu utama LED (dengan larasan auto), lampu kabus hadapan LED dan konfigurasi LED ke lampu belakang. Malah V dan RS juga didatangkan dengan skrin paparan audip 7.0-inci, dan menerima tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala.

Untuk dalaman RS pula, dilengkapi dua-tona seperti yang ditunjukkan di KLIMS 18. Bebayang utama dengan pilihan ivory bersama kelabu gelap sebagai kontras. Kombinasi ini didapati pada papan pemuka dan konsol tengah, sama seperti Vezel hybrid di Jepun, tetapi tempat duduk bagi spesifikasi Malaysia didatangkan dengan warna tunggal iaitu ivory.

Bagi keselamatan pula, HR-V didatangkan dengan ciri standard termasuk enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai sisi), yang sebelum ini hanya pada varian V. Selain itu, ia ditampilkan bersama isyarat berhenti kecemasan (ESS), bantuan kestabilan kenderaan (VSA) dan bantuan mula mendaki (HSA) serta kamera pandang belakang pelbagai-sudut sebagai standard untuk semua model.

Model yang dipertontonkan sebelum ini, RS, dilengkapi dengan kamera titik buta Honda LaneWatch dan ia masih dikekalkan, namun ia bukan menjadi varian tunggal dengan sistem berkenaan, malah Grade V turut menerimanya. Walau bagaimana pun, Sistem Aktif Brek Bandar (CTBA) untuk brek kecemasan sendiri tidak ditampilkan pada model pasaran kita.

Untuk warna, lima pilihan diberikan untuk HR-V 1.8 liter petrol, dengan tona baharu Passion Red Pearl, yang bukan sahaja ditawarkan untuk RS tetapi juga buat E dan V. Empat warna lain pula ialah White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic dan Ruse Black Metallic.

Bagi HR-V hybrid pula, ia ditawarkan dengan tiga pilihan warna – Lunar Silver Metallic, White Orchid Pearl dan Modern Steel Metallic. Hanya harganya sahaja yang belum didedahkan, namun akan diumumkan tidak lama lagi.

Honda HR-V 1.8L Grade E

Ciri standars:
Enjin 1.8 liter dengan 142 PS pada 6,500 rpm dan 172 Nm pada 4,300 rpm
Transmisi CVT
Roda aloi 17-inci dengan tayar profil 215/55
Ruang kargo dengan 437 liter, dan 1,032 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan

Tidak dicat hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi
Perumah cermin sisi dan pemegang pintu luar sama warna dengan badan
Lampu utama halogen, auto, larasan manual
Lampu belakang LED
Lampu nyalaan siang
Lampu kabus hadapan jenis mentol
Antena sirip jerung
Kemasan plat lesen krom gelap

Butang penghidup enjin/kemasukan pintar
Kawalan audio pada roda stereng
Pedal penukar gear
Meter kombinasi pelbagai-informasi termaju
Pendingin hawa auto
Kawalan kelajuan
Roda stereng tiga-jejari, kulit
Upholstery hitam separa kulit
Sistem audio dengan paparan 6.8-inci, empat pembesar suara
HDMI/USB dan sambungan telefon bebas tangan

Enam beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai sisi)
Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA)
ABS, EBD, penahan brek automatik dan bantuan mula mendaki
Cagak Isofix
Kamera pandang belakang pelbagai-sudut

Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

Honda HR-V 1.5L Hybrid

Ciri standard:
Enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan 156 Nm pada 4,600 rpm
Motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, dengan bateri lithium-ion Blue Energy
Sistem Sport Hybrid i-DCD dengan gabungan kuasa 152 PS dan 190 Nm
Transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan
Ruang kargo hingga 404 liter, 991 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan

Tambahan:
Suis kawalan stereng Intelligent Multi-Information Display (i-MID)
Kit baiki tayar sementara, bagi menggantikan tayar simpanan

Warna: White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic

Honda HR-V 1.8L Grade V

Tambahan:
Lampu utama LED, larasan auto
Lampu kabus hadapan LED
Lampu belakang LED (jenis dwi-tiub)
Pemegang pintu luaran krom

Upholstery hitam kulit penuh
Roda stereng tiga-jejari, kulit penuh
Tempat duduk pemandu larasan kuasa lapan-arah
Sistem audio paparan 7.0-inci
Kamera LaneWatch

Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

Honda HR-V 1.8L RS

Tambahan:
Gril hadapan jenis-sport
Kemasan lampu kabus hadapan gaya-mesh
Warna hitam untuk bampar bawah hadapan/belakang dan ambang sisi dan perumah cermin sisi
Pemegang pintu luaran krom gelap
Roda aloi dua-tona 18-inci, tayar 225/50

Upholstery ivory kulit penuh, kemasan kontras kelabu gelap
Pedal sport

Warna: Passion Red Pearl, White Orchid Pearl, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Ruse Black Metallic.

GALERY: Honda HR-V facelift, varian RS