VIDEO: Toyota GR Super Sport – Hypercar Jepun mula diuji Presiden Toyota sendiri di litar Fuji Speedway

Baru sahaja Toyota mengumumkan mereka akan menghasilkan model konsep Toyota GR Super Sport dalam bentuk produksi jalan raya bagi membolehkan mereka terus berlumba di World Endurance Championship (WEC) musim hadapan, kini video versi prototaip kereta tersebut diuji telah pun disiarkan.

Hypercar yang diuji tersebut nampak lebih lengkap berbanding versi konsep terdahulu, menampilkan lampu hadapan dan juga cermin sisi pandang belakang, tetapi dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran. Berkemungkinan, kedua-dua versi – produksi jalan raya dan juga jentera perlumbaan sebenar – diuji kali ini kerana ada dua kereta berlainan dilihat – sebuah mempunyai skup udara di bumbung, sebuah lagi tidak ada.

GR Super Sport berkenaan diuji sendiri oleh Presiden Toyota, Akio Toyoda ditemani oleh presiden Gazoo Racing, Shigeki Tomoyama, di litar Fuji Speedway. Dalam laporan sebelum ini, kereta tersebut dilaporkan sedang dibangunkan secara itensif di Pusat Teknikal Toyota City, Higashi Fuji dan juga di Toyota Motorsport GmbH, Cologne Jerman.

VIDEO: Toyota GR Super Sport – Hypercar Jepun mula diuji Presiden Toyota sendiri di litar Fuji Speedway

Versi konsep Toyota GR Sport tersebut telah didedahkan di Tokyo Auto Salon dan Le Mans tahun lalu. Ia dijana oleh enjin 2.4 liter V6 dengan dua pengecas turbo, dan turut disokong Toyota Hybrid System-Racing (THS-R). Gabungan tersebut membolehkan kereta ini menjana 1,000 hp seperti jentera LMP1 TS050 Hybrid sedia ada.

Toyota mengambil keputusan untuk menghasilkan versi produksi kereta tersebut setelah FIA mengumumkan bahawa tahun ini merupakan musim WEC terakhir yang menampilkan kategori prototaip LMP1 sebagai kategori tertinggi siri perlumbaan ketahanan tersebut. Musim hadapan, badan sukan permotoran dunia berkenaan telah memperkenalkan kategori baharu bagi menggantikan LMP1, dikenali sebagai Hypercars.

Untuk kategori Hypercars ini, pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta lumba berasaskan kereta-kereta yang sah digunakan pada jalan raya dan dijual dalam pasaran – pengeluar perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 20 unit model ‘homologation special’ untuk di jual kepada orang awam dalam tempoh dua tahun.

VIDEO: Toyota GR Super Sport – Hypercar Jepun mula diuji Presiden Toyota sendiri di litar Fuji Speedway

Untuk versi perlumbaan sebenar, kuasa GR Super Sport berkenaan mungkin akan dikurangkan kerana undang-undang WEC untuk Hypercars menetapkan kuasa maksima untuk semua jentera bertanding tidak boleh melebihi 750 hp. Pengeluar juga tidak disyaratkan secara mandatori untuk menggunakan sistem hibrid elektrik, namun sekiranya mereka mahu menggunakannya ia tidak boleh menghasilkan kuasa melebihi 270 hp.

Bagi versi jalan raya pula, Toyota lebih bebas dalam aspek penghasilan kuasa dan tidak mustahil angka 1,000 hp akan terus kekal pada kereta tersebut. Namun perlu diingat, ia adalah versi produksi yang sah untuk digunakan pada jalan raya oleh orang awam, berkemugkinan besar talaan semula terhadap enjin perlumbaan sebenar berkenaan perlu dilakukan.

Hujung minggu lalu, Toyota telah mempertahankan gelaran juara Le Mans 24 Jam dengan kemenangan bergaya 1-2 di Circuit de la Sarthe dengan jentera LMP1 TS050 Hybrid. Bukan itu sahaja, kejayaan pada pusingan terakhir FIA WEC itu turut mengesahkan trio sebastien Buemi, Fernando Alonso dan Kazuki Nakajima sebagai juara kategori pemandu untuk musim ini, manakala juara untuk kategori pengeluar sudahpun disahkan milik pasukan tersebut lebih awal di pusingan Spa Francorchamps Mei lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required