Pengedar rasmi kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Auto sudah bersedia untuk memperkenalkan CX-8, CX-5 turbo dan CX-30 tidak lama lagi. Menurut laporan daripada The Edge, semua SUV ini akan dipasang dalam negara (CKD) dan Bermaz Auto melaburkan sekitar RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan pengeluaran mereka, sekaligus meningkatkan kapasiti dari 30,000 unit setahun kepada 50,000 unit.

Untuk CX-5, ia akhirnya akan ditawarkan dalam versi yang menggunakan enjin petrol empat silinder 2.5L turbo SkyActiv-G, menghasilkan kuasa 230 PS pada 4,250 rpm dan 420 Nm tork pada 2,000 rpm. Transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan datang secara standard dan ia menyalurkan kuasa sama ada kepada roda hadapan sahaja (2WD) atau semua roda (AWD). Penggunaan bahan api purata berada pada tahap 12.6 km/l (ujian WLTP).

CX-5 yang diperbaharui ini juga datang dengan G-Vectoring Control (GVC), fungsi pengesan pejalan kaki waktu malam untuk sistem Advanced Smart City Braking Support (SCBS), pilihan kamera 360 darjah, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta tweeter baru untuk sistem bunyinya. Kelengkapan lain adalah termasuk rim 19 inci dengan kemasan berkilat, balutan kulit Deep Red Nappa, kemasan dalam real woodgrain, cermin pandang belakang tanpa bingkai, panel instrumen TFT LCD tujuh inci dan lampu suasana LED putih.

Untuk CX-30 pula, kita masih tidak mengetahui pakej enjin apakah yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia, tetapi model ini boleh didapati dengan barisan enjin terkini Mazda termasuk unit SkyActiv-X. Walaupun begitu, jangkaannya ia akan termasuk dengan pilihan enjin petrol NA biasa. Lagipun, CX-30 ditawarkan hanya untuk mengisi ruang antara CX-3 dan CX-5.

Pergi kepada CX-8, model ini sudah pun dipertontonkan semasa Malaysia Autoshow baru-baru ini. Pada masa itu, kami diberitahu ia boleh tiba di Malaysia dalam versi enam tempat duduk atau tujuh tempat duduk. Pilihan enjin pula dari turbodiesel empat silinder SkyActiv-D 2.2 liter (188 hp, 450 Nm) dan petrol NA SkyActiv-G 2.5 liter (192 hp, 257 Nm). Kedua-duanya digabungkan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

CX-8 mempunyai ukuran 4,900 mm panjang dan jarak roda 2,930 mm, sekaligus menjadikan ia masing-masing 350 mm dan 230 mm lebih panjang berbanding CX-5. Kelengkapan standard padanya termasuk rim aloi 19-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, sistem infotainmen MZD Connect, enam beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

Versi tujuh tempat duduk akan menggunakan balutan fabrik manakala model yang lebih tinggi menggunakan balutan kulit serta tempat duduk kapten (dengan perehat tangan di konsol tengah). Walaupun begitu spesifikasi ini masih boleh berubah dan belum disahkan sepenuhnya.