Toyota Corolla generasi ke-12 sudah pun tiba di ASEAN menerusi Thailand, dengan pelancaran Corolla Altis 2019 awal minggu ini. Selepas ini, ia akan tiba pula di Indonesia – menurut portal negara berkenaan, Autonetmagz, jemputan pelancarannya sudah pun diterima dari Toyota Astra Motor yang akan berlangsung minggu hadapan iaitu pada 12 September 2019.

Tiada sebarang petunjuk spesifikasi apa yang akan diterima Indonesia, namum spekulasi berlegar ia akan ditawarkan dengan barisan enjin yang sama seperti di Thailand iaitu dua enjin NA – 1.6 liter 1ZR-FBE berkuasa 125/156 Nm dan 1.8 liter 2ZR-FBE berkuasa 140 PS/177 Nm dengan kotak gear CVT.

Disebabkan crossover Toyota C-HR Hybrid sudahpun berada di pasaran Indonesia, Corolla Altis juga mungkin akan ditawarkan dalam versi hibrid kerana kedua-dua digerakkan unit janakuasa sama – gandingan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm, secara keseluruhan menghasilkan kuasa 122 PS.

Dari segi penggayaan luaran, Corolla Altis pasaran ASEAN ini adalah lebih seiras dengan Corolla Sedan pasaran Eropah, dan ia tidak agresif seperti model pasaran Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, ia masih kelihatan jauh lebih garang berbanding Altis generasi sedia ada.

Namun seperti pasaran lain, Corolla tersebut adalah model baharu sepenuhnya, diasaskan dari platform GA-C Toyota New Global Architecture (TNGA), tetapi masih mengekalkan nama Corolla Altis bagi pasaran rantau ini.

Kabin model pasaran ASEAN ini pula tidak menampilkan perubahan ketara dengan model pasaran global lain. Ia masih diberikan papan pemuka dengan rekaan berlapis, bersama skrin infotainmen berdiri sendiri pada bahagian tengah.

Selain itu, Altis 2019 ini turut diberikan ciri lain seperti paparan head-up bersaiz besar, paparan meter kelajuan digital tujuh-inci, liang pendingin hawa kabin belakang, skrin sesentuh utama lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan juga kualiti material yang lebih baik dari sebelumnya.

Dari segi saiz pula, Altis 2019 hadir dengan dimensi 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, atau 10 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah dari model generasi ke-11. Tetapi jarak roda Altis baharu ini masih kekal 2,700 mm.

Di Thailand, varian asas 1.6 liter Limo dan 1.6G dijual pada harga masing-masing 829,000 baht (RM114,100) dan 869,000 baht (RM119,600). Model GR Sport dijana enjin petrol 1.8 liter dijual pada harga 999,000 baht (RM137,500). Model hibrid pula hadir dengan tiga varian di mana versi asas dijual pada harga 939,000 baht (RM129,200), meningkat kepada 989,000 baht (RM136,100) untuk versi pertengahan Mid dan varian penuh Corolla Hybrid High dijual pada harga 1,099,000 baht (RM151,200).

Model hibrid paling mahal tersebut turut hadir dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang menawarkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik serta sistem pemantau tekanan tayar. Manakala kesemua varian dilengkapi standard dengan tujuh-beg udara dan sistem kestabilan elektronik.

Jika dilihat trend sebelum ini, selepas pengenalan di Thailand dan Indonesia, ia mungkin akan dilancarkan di Malaysia selepas itu. Jadi apa pendapat anda? Bolehkah Corolla Altis 2019 menggugat raja sedan segmen-C di Malaysia iaitu Honda Civic generasi ke-10?

GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 pasaran Thailand