Honda Civic Type R sah kereta pengiring YDPA, hadiah dari Honda Malaysia sempena keputeraan baginda

Honda Civic Type R sah kereta pengiring YDPA, hadiah dari Honda Malaysia sempena keputeraan baginda

Jika sebelum ini ramai tertanya-tanya adakah Honda Civic Type R FK8 yang selalu dilihat mengiringi Yang di-Pertuan Agong adalah aset PDRM? Kini persoalan tersebut telah pun terjawab – hari ini, secara rasmi Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah menyerahkan sebuah Civic Type R FK8 tersebut kepada Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, YDP Agong XVI sebagai hadiah keputeraan baginda yang disambut pada Isnin lalu, 9 September 2019.

Kereta tersebut akan digunakan oleh baginda untuk kegunaan harian, sebagai salah satu kenderaan pengiring. Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut menghadiahkan sebuah Honda Civic 1.5 VTEC Turbo Premium kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, yang juga akan digunakan sebagai kenderaan pengiring.

“Di Honda, kami komited untuk menawarkan produk yang bernilai tinggi dan juga terkini dalam teknologi bagi memberikan kegembiraan kepada pelanggan. Civic Type R merupakan model yang telah dinobatkan sebagai ‘kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di dunia’ di litar lumba lagenda Nürburgring di Jerman ketika mula diperkenalkan pada 2017. Model ini bukan sahaja sesuai digunakan di litar, tetapi turut boleh dipandu sebagai kenderaan harian,” kata CEO Honda Malaysia, Encik Toichi Ishiyama ketika berlangsungnya majlis penyerahan tersebut.

“Bagi pihak Honda Malaysia, saya sangat berbesar hati untuk menyerahkan Civic Type R ini kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk kegunaan hariannya sebagai kereta pengiring. Turut diraikan, saya juga gembira untuk menyerahkan satu lagi model yang berevolusi dari Honda – Civic 1.5L VTEC Turbo Premium kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sebagai kereta pengiringnya,” tambah Ishiyama lagi.

Unit yang diterima oleh Tuanku hari ini menampilkan livery Polis diRaja Malaysia yang berbeza dari unit pengiring sebelum ini. Civic Type R merupakan jentera dengan bekalan kuasa 310 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm dari enjin 2.0 liter VTEC Turbo, memacu roda hadapan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

Selain dari hot-hatch berkenaan, Tuanku juga diketahui mempunyai sebuah lagi kereta pengiring Volvo S90 T5 Momentum, dengan enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder Drive-E tanpa bantuan motor elektrik, menjana 251 hp (254 PS) dan tork maksima 350 Nm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required