Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah – kaji selidik IQS J.D Power 2019

Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah  – kaji selidik IQS J.D Power 2019

Menurut Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 yang dijalankan oleh J.D.Power, masalah yang dialami oleh pemilik-pemilik kenderaan baharu di negara ini didapati menurun berbanding dengan tahun lalu. Menurut firma berkenaan, langkah-langkah yang diambil oleh pengeluar dalam peringkat produksi di kilang adalah penyebab utama masalah-masalah tersebut berkurangan.

Kaji Selidik Kualiti Awal dibuat untuk mengukur bilangan masalah yang diambil dari 100 kenderaan (PP100) dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan, di mana bilangan yang rendah mewakili kualiti yang lebih tinggi. Dalam kaji selidik tahun ini, purata industri telah menurun kepada 85 PP100, dari 89 PP100 dalam tahun 2018. Masalah yang dialami hampir sama rata di antara kategori reka bentuk (40 PP100) dan pengilangan (44 PP100).

Kaji selidik ini mendapati bilangan masalah yang berkaitan dengan pengilangan telah berkurangan sepanjang tiga tahun lalu ke 51% dalam tahun 2019 dari 74% dalam tahun 2016. Punca majoriti dalam penurunan berbanding tahun lalu adalah dari aspek bunyi, seperti bunyi angin (-1.7 PP100); bunyi suspensi tidak normal (-1.1 PP100); bunyi dari tempat duduk (-0.9 PP100); bunyi transmisi tidak normal (-0.7 PP100); dan bunyi dari ruang penyimpanan yang lain (-0.3 PP100).

Namun begitu, 36% daripada masalah pengilangan yang dilaporkan oleh pemilik kenderaan adalah berkaitan dengan bunyi. Secara purata, pemarkahan keseluruhan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan baharu lebih rendah di kalangan pemilik kenderaan yang melaporkan masalah bunyi berkaitan dengan isu pengilangan berbanding dengan mereka yang tidak (7.3 dan 8.2 masing-masing dalam skala 10 mata).

Honda Jazz, City, CR-V dan Perodua Aruz paling kurang masalah  – kaji selidik IQS J.D Power 2019

Menerusi kaji selidik ini, J.D Power mendapati Honda telah menghasilkan kereta-kereta yang paling kurang masalah dalam segmen masing-masing – Honda Jazz mendahului segmen kenderaan bandar kompak dengan 68 PP100, Honda City mendahului segmen ‘entry’ saiz sederhana dengan 59 PP100, dan Honda CR-V mendahului segmen SUV bersaiz besar dengan 64 PP100. Manakala untuk segmen SUV kompak pula, diterajui oleh Perodua Aruz dengan 64 PP100.

Sekarang kita teliti pula data-data tersebut untuk setiap segmen. Untuk segmen kenderaan bandar kompak, Perodua Axia berada di tempat kedua di belakang Jazz dengan 75 PP100. Tetapi apa yang mengejutkan, model antara yang dipercayai dalam pasaran iaitu Perodua Myvi mencapai 86 PP100, berada di bawah jumlah purata keseluruhan model-model segmen ini yang merekodkan 80 PP100.

Beralih ke segmen ‘entry’ saiz sederhana pula, Honda City jauh meninggalkan Toyota Vios di tempat kedua dengan 74 PP100. Perodua Bezza pula berada di tempat ketiga dengan margin yang jauh lebih besar iaitu 103 PP100, menghampiri purata keseluruhan segmen iaitu 115 PP100.

Bagi segmen SUV kompak pula, Honda HR-V mencatatkan 85 PP100, menunjukkan prestasi di bawah purata keseluruhan yang mencatatkan hanya 78 PP100. Honda BR-V pula menunjukkan prestasi yang jauh lebih ketinggalan dengan 125 PP100.

Manakala dalam segmen SUV bersaiz besar, Mazda CX-5 mencatatkan 93 PP100, berada di bawah purata keseluruhan segmen yang hanya mencatatkan 85 PP100. Manakala SUV segmen-C paling laris buat masa sekarang, Proton X70 pula berada lebih jauh ke bawah dengan catatan 126 PP100.

“Memandangkan pengguna kenderaan adalah lebih peka kepada bunyi-bunyian seperti berdengung, mencicit, berdetar dan berisik bising, para pengilang bukan sahaja harus meningkatkan proses pembuatan tetapi harus juga mengkaji semula panduan rekaan kenderaan bagi mengelakkan masalah-masalah ini dari terjadi di awal kitaran pemilikan kenderaan,”kata E-Ling Cheah, Pengurus Negara untuk Malaysia di J.D. Power.

Antara lima masalah utama, empat masalah tertinggi yang dicatatkan tahun ini adalah sama dengan lima masalah teratas dalam tahun 2018. Bunyi angin yang berlebihan (5.9 PP100) dan bunyi jalan yang berlebihan (2.9 PP100) masih menjadi dua masalah teratas yang dilaporkan. “Masalah hubungan Bluetooth® dengan peranti/telefon bimbit” menjadi masalah ketiga paling banyak dilaporkan (2.7 PP100), meningkat dari tempat kelima tahun lepas (2.5 PP100). Masalah radio mendapat kedudukan keempat tahun ini (2.0 PP100).

Juga sama sebelum ini, pelanggan lebih muda di bawah umur 35 tahun (57%) dilihat lebih cerewet dengan melaporkan lebih banyak masalah berbanding dengan mereka yang berumur 35 tahun ke atas (91 PP100 berbanding dengan 73 PP100, masing-masing). Pemilik kenderaan yang lebih muda melaporkan lebih banyak masalah dalam kategori ciri kawalan/paparan (+4.6 PP100) dan juga dalaman kenderaan (+4.5 PP100).

Kaji selidik ini turut mendedahkan, 49% di kalangan pemilik kenderaan yang tidak melaporkan masalah menyatakan mereka “pasti akan” mengesyorkan jenama dan model kenderaan mereka kepada rakan atau saudara-mara, berbanding dengan 37% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dalam kenderaan mereka.

Satu per tiga daripada pemilik kenderaan baharu yang tidak mengalami apa-apa masalah dengan kenderaan mereka menyatakan “pasti akan” membeli balik buatan yang sama di masa depan, berbanding dengan 26% di kalangan mereka yang mengalami sekurang-kurangnya satu masalah dengan kenderaan mereka.

Kaji Selidik Kualiti Awal Malaysia 2019 ini dijalankan oleh J.D. Power dengan mengambil maklumbalas daripada 1,904 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Julai 2018 dan Ogos 2019. Kaji selidik ini melibatkan 50 model kereta penumpang, pikap dan kenderaan utiliti daripada 12 jenama. Kaji selidik ini dijalankan antara bulan Mac dan Oktober 2019.

Ini adalah tahun ke-17, firma berkenaan membuat kaji selidik tersebut dengan meneliti masalah-masalah yang dialami oleh pemilik kenderaan baharu dalam tempoh dua sehingga enam bulan pertama pemilikan menurut dua kategori yang berlainan iaitu masalah yang berkaitan dengan aspek reka bentuk kenderaan dan juga masalah ketidaksempurnaan dan kerosakan.

Kaji selidik ini merangkumi soalan-soalan diagnostik yang spesifik dalam lapan kategori masalah: luaran; pengalaman memandu; ciri/ kawalan/ paparan; audio/ komunikasi/ hiburan/ navigasi; tempat duduk; pemanasan/ pengudaraan/ penghawa dingin; dalaman; dan enjin/ transmisi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required