Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

Minggu lalu pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing telah mengumumkan barisan pelumba mereka untuk musim 2020 – juara dunia enam-kali Sebastien Ogier, Juara WRC2 2019 Kalle Rovanpera, dan bekas pemandu M-Sport Ford Elfyn Evans. Ini bermakna tiada langsung pemandu sedia ada pada musim ini berjaya mengekalkan jawatan mereka untuk musim hadapan.

Juara WRC tahun ini, Ott Tänak telah mengesahkan perpindahannya ke pasukan Hyundai, manakala dua lagi pemandu mereka iaitu Jari-Matti Latvala dan Kris Meeke masih terkontang-kanting tanpa kontrak untuk mana-mana pasukan. Walau bagaimanapun, presiden Toyota, Akio Toyoda sangat berterima kasih kepada Latvala dan beliau mendedahkan bahawa Latvala adalah punca kenapa Toyota kembali bersaing dalam WRC selepas menarik diri pada tahun 1999.

Menurut Toyoda, ketika beliau ke Finland pada tahun 2014 untuk bertemu Latvala yang ketika itu memandu untuk pasukan Volkswagen, Toyota masih belum membuat keputusan sama ada mahu kembali ke WRC setelah 18-tahun menghilang atau tidak.

“Saya sangat teruja kerana ia adalah acara WRC pertama yang saya hadir dan saya berdiri di lobi hotel dan berjumpa sendiri para pelumba. Jari-Matti merupakan pemandu pertama yang sampai. Ketika saya menegurnya secara teruja, dia menjawab dengan mesra. Ketika berbual, dia melihat saya sebagai seseorang dari Toyota dan gembira bercerita tentang Corolla dan Celica miliknya,” kata Toyoda.

Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

“Ini adalah detik di mana saya mengambil keputusan untuk kembali. Kami perlu kembali ke WRC ketika pemandu seperti ini masih ingat zaman Toyota sedang bersaing. Anda boleh katakan jika saya tidak berjumpa pemandu VW yang ramah ini dulu, mungkin Toyota tidak ada dalam WRC sekarang!” jelasnya lagi.

Latvala kemudian diumumkan sebagai pemandu utama Toyota ketika pasukan tersebut mendedahkan jentera Yaris WRC 2017 buat pertama kali setelah kembali semula ke WRC. “Ketika saya mengetahui kamu (Latvala) akan menjadi pemandu kami dua tahun kemudian, saya sangat gembira dengan takdir yang sangat bermakna ini,” tambah presiden Toyota itu lagi.

Toyoda turut mendedahkan bahawa dia tidak menjangkakan bahawa pasukannya beroleh podium pertama begitu awal setelah Latvala berada di tempat kedua Rali Monte Carlo 2017, iaitu pusingan pertama dalam musim pertama yang mereka sertai.

“Walau bagaimanapun, kamu terus memberikan podium kepada Toyota di Monte Carlo. Dan selepas itu, kamu bawa kami sekali lagi ke podium sebulan selepas itu di Sweden. Ia merupakan pengalaman seperti dalam mimpi. Saya juga bangga kita akhirnya berdiri bersama di podium tahun lalu di Finland,” kata Toyoda.

Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

Walaupun secara teknikalnya Latvala dan Toyota kini tiada lagi sebarang ikatan kontrak, Toyoda meminta agar Latvala “sentiasa berhubung” dengan pasukannya, dan prinsipal pasukan Toyota Gazoo Racing, Tommi Makinen mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk mendapatkan tempat untuk Latvala pada penghujung musim ini.

Bulan lalu, Citroen mengesahkan akan menarik diri dari WRC untuk musim hadapan – ini bermaksud ruang untuk pemandu yang masih lagi belum menerima kontrak adalah sangat sempit kerana kini hanya tinggal tiga pasukan yang bertanding. Selain Toyota, Hyundai juga telah mengesahkan pemandu mereka iaitu Ott Tänak dan Thierry Neuville. Buat masa sekarang, lapan lagi pelumba yang tiada kontrak sedang menunggu keputusan dari pasukan M-Sport Ford.

Toyota juga dikhabarkan bakal mewujudkan ‘Pasukan B’ dalam WRC, dengan jentera Yaris yang sama. Latvala berkemungkinan besar dapat berlumba dalam lima pusingan WRC 2020 dalam pasukan tersebut, bersama seorang pelumba muda Jepun yang sedang dibangunkan oleh Toyota sendiri, Takamoto Katsuta.

Latvala penyebab Toyota kembali ke WRC – A. Toyoda

Dalam kesempatan yang sama, Akio Toyoda turut berterima kasih dengan Kris Meeke. “Kris, kamu telah berkerja keras untuk Toyota. Kamu sentiasa menyerang sehingga ke tahap maksimum dan memandu kereta sehingga ke hadnya, dan memberikan banyak nasihat dari kaca mata seorang jurutera. Ini telah menjadikan Yaris lebih kuat. Terima kasih untuk sumbangan tahun ini,” kata Toyoda.

Kriss Meeke adalah bekas jurutera yang bekerja di pasukan M-Sport Ford. Dia pernah dididik oleh mendiang Colin McRae dan memulakan karier dalam WRC sebagai pelumba dalam pasukan Prodrive MINI. Seperti mentornya Colin McRae, Meeke mempunyai gaya pemanduan yang sangat agresif, menyebabkan dia dipecat dari pasukan Citroen pada musim 2018 kerana terlalu banyak kemalangan.

Dia kemudiannya menerima kontrak dari Toyota Gazoo Racing akhir tahun lalu, bagi membolehkannya memandu untuk pasukan tersebut untuk keseluruhan musim 2019, serta menamatkan musim ini ditempat keenam dengan 98-mata.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required