Proton akan tingkatkan komitmen projek R5 – MEM

Proton akan tingkatkan komitmen projek R5 – MEM

Pengasas firma pembina kereta rali dari British, Mellors Elliot Motorsport (MEM) iaitu Chris Mellors menyatakan bahawa mereka bakal melangkah semula ke pentas WRC dengan Proton Iriz R5, bersama sokongan dari Proton di Malaysia.

“Ada minat yang besar dari ibu pejabat Proton di Malaysia tentang program rali yang kami buat sekarang. Proton berminat untuk meningkatkan komitmen dari pihak mereka dan ada rakan kerjasama dari Kuala Lumpur mahu terlibat sekali,” kata Chris kepada laman rasmi kejuaraan rali dunia, WRC.com selepas juara dunia WRC dua kali, Marcus Grönholm menguji Iriz R5 berkenaan di Ireland Utara minggu lalu, sebagai persediaan MEM untuk kembali ke kejohanan dunia tersebut.

“Kami berusaha untuk mewujudkan kerjasama ini supaya kami boleh kembali ke pentas dunia. Kami telah menghasilkan kereta yang hebat ini dan kami mahu tunjukkan apa yang boleh dilakukannya,” kata Chris lagi.

Minggu lalu, kami berpeluang untuk bertanyakan sendiri kepada Marcus berkenaan ujian tersebut menerusi satu panggilan telefon yang diaturkan khas oleh pihak MEM sendiri.

Menurut Marcus, mereka melakukan ujian selama dua hari ini dalam dua permukaan berbeza iaitu pada permukaan batu kerikil, dan permukaan asfalt (tar). Dia gembira dengan Iriz R5 berkenaan kerana mempunyai prestasi dan juga lebih mudah dipandu dari ujian pertama yang disertainya dua tahun sebelum ini.

Ketika di tanya pada pendapatnya adakah Proton Iriz R5 ini sudah bersedia untuk ke WRC? Jawabnya ringkas: “Ya, sudah tentu!” Menurutnya, prestasi Proton Iriz R5 tersebut tidak jauh dari prestasi jentera R5 yang lain dari WRC. Walau bagaimanapun, ia masih lagi perlu diuji dan dibuat berberapa talaan akhir.

Kami juga telah diberitahu bahawa Chris Mellors berada di Malaysia minggu lalu ketika pasukannya membuat ujian dengan Gronholm. Minggu lalu juga sebenarnya orang-orang besar dari Geely termasuk presiden Geely Auto Group, An Conghui dan juga Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski berada di Malaysia untuk perasmian permulaan produksi CKD proton X70 di Tanjung Malim, serta perlumbaan pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang berlangsung di Sepang, disertai oleh ‘Abang Besar’ Proton R3 iaitu Lynk & Co Cyan Racing.

Gary Lee iaitu Prinsipal Proton R3 bersama pasukannya dilihat turut berada pada perlumbaan berkenaan bagi memberikan sokongan kepada Cyan Racing, dan meraikan kejayaan pasukan tersebut sebagai Juara Dunia WTCR kategori pasukan selepas berakhirnya perlumbaan ketiga pada malam Ahad, 15 Disember lalu.

Prinsipal pasukan Proton R3 Gary Lee (kiri), pengasas pasukan Mellors Elliot Motorsport (kanan atas) dan Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski (kanan bawah)

Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, seterusnya menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

Menerusi temu ramah bersama media Malaysia sebelum bermulanya perlumbaan di Sepang tempoh hari, Alexander Murdzevski menyatakan bahawa Geely Motorsport sendiri tidak ‘berperangai seperti Abang besar’ dengan memberikan arahan kepada Proton R3.

Adakah “rakan kerjasama dari Kuala Lumpur” yang dimaksudkan oleh Chris berkenaan adalah pasukan Proton R3? Gandingan MEM dan Proton bukan baru ketika zaman Proton R3 dan Satria Neo S2000. Kerjasama antara mereka telah bermula sejak zaman Proton PERT lagi, di mana Karamjit Singh berjaya dinobatkan sebagai juara WRC kategori Produksi (PWRC) pada tahun 2002 dengan kereta Proton PERT Evo VI yang disediakan oleh MEM, dalam percubaan tahun pertama mereka.

Kami telah pun menulis tiga artikel berkenaan perincian Proton Iriz R5 berkenaan – mengapa MEM masih menggunakan Proton sebagai platform projek R5 mereka, mengapa kereta ini menggunakan enjin dari Evo X, dan apa kaitan projek ini dengan Proton di Malaysia – kesemuanya kami korek sendiri dari Chris Mellors menerusi satu temu ramah istimewa Oktober lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required