Geely Binyue Pro telah didedahkan di China dalam satu gambar di laman Facebook CarNewsChina. Dari apa yang dapat dilihat, model crossover segmen B berkenaan diberikan penampilan yang lebih sporty.

Model berkenaan dilapor akan mula dijual bermula 15 April untuk pasaran di sana. CarNewsChina melaporkan bahawa Binyue Pro ini akan dikuasakan oleh enjin Volvo 1.5 liter tiga-silinder turbocas petrol dengan janaan 177 hp dan 255 Nm tork, diganding bersama transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar.

Ia juga dikhabarkan akan turut ditawar bersama dengan pilihan enjin yang lebih kecil, 1,0 turbocas tiga-silinder dengan janaan 134 hp dan 205 Nm tork, dengan hantaran kuasa melalui kotak gear manual enam-kelajuan. Enjin seterusnya yang lebih berkuasa bagi barisan varian Binyue ini pula mampu menghasilkan kuasa sebanyak 156 hp.

Binyue Pro diberikan peningkatan visual yang lebih agresif. Antaranya rim dan muncung ekzos warna hitam kesat, yang diikuti dengan tema gelap yang sama pada bahagian bawah keliling badannya. Spoiler pada bumbung memberikan kesegaran baru padanya. Kit badan sporty juga ditawarkan sebagai pilihan sejak pengenalan Binyue pada 2018.

Selebihnya, kelengkapan yang ada hampir sama dengan ketika Binyue diperkenalkan pertama kali dahulu. Sedikit perbezaan di dalam mungkin dengan kemaskini terhadap sistem infotainmen. Ketika awal pengenalannya, Binyue menggunakan panel instrumen LDC tujuh-inci dengan sambungan multimedia, telefon, tunjuk arah serta ciri bantuan pemandu.

Panel infotainmen terapung berdifinisi tinggi pula terletak di tengah dengan saiz 10.25-inci, serta nisbah aspek lebar 8:3. Bagi varian Pro ini, boleh dijangkakan peningkatan terhadap GKUI Geely Smart Ecosystem yang ada padanya. Ini termasuklah Intelligent Cruise Control dan Automated Parking Assist, yang menggabungkan fungsi radar gelombang milimeter dan kamera berdefinisi tinggi untuk membolehkannya mengikut aliran trafik sehingga 150 km/j dan menukar lorong secara autonomous – memberi Binyue akses kepada pemanduan autonomous tahap 2.

Di sini pula, Binyue pernah dilihat sedang diuji, dan menjadi kembar kepada Proton X50 yang dijangka akan dilancarkan tahun ini dalam bentuk CKD. Pilihan enjin yang paling ideal untuk Malaysia tentunya unit 1.5 liter automatik. Dah tak sabar nak tunggu? Atau elok perkenalkan juga varian Pro ini?